Tuesday, September 19, 2006

Lesen Hakcipta: Pandangan Peguam Nisah Haron

Semalam saya makan tengah hari dengan Puan Nisah Haron, peguam dan novelis terkenal. Pada 12 September lalu MABOPA mengundang beliau mengadakan bengkel kepada anggota-anggota MABOPA tentang dokumen perjanjian penerbitan.

Sebelum menjalankan bengkel itu beliau mendapatkan contoh-contoh dokumen perjanjian beberapa penerbit terkenal dan mengkajinya. Bagi pihak PTS, saya sendiri mengarahkan pegawai undang-undang PTS supaya menghantarkan kepada beliau dokumen itu.

Bagi penerbit lain, beliau tidak menerima kerjasama, lalu beliau mendapatkannya daripada penulis yang karyanya diterbitkan oleh penerbit-penerbit itu.

Menurut penilaian Puan Nisah Haron, perjanjian penerbitan PTS adalah yang paling baik. Menurut beliau hanya PTS yang meletakkan tempoh kuatkuasa perjanjian itu dengan jelas dan tepat, manakala penerbit-penerbit lain tidak meletakkan tempoh itu.

Menurut Puan Nisah, beberapa penerbit terkenal telah 'mengubah' dan 'memperbaiki' isi kandungan perjanjian mereka. TETAPI, apa yang berlaku, selepas 'diperbaiki' ternyata klausa-klausa dalam versi baru itu lebih menekan para penulis berbanding dengan versi lama.


.

1 Komen :

At 5:31 PM, Blogger thanaif Berkata ...

Puan,
Bila berkesempatan saya akan memborong semua buku yang menarik minat minda terbitan PTS.
Mungkin saya akan cari yang redup menghijau ilham ceritanya.

 

Post a Comment

<< Home