Saturday, September 16, 2006

Mewaqafkan Hakcipta

Harta intelek, sebagaimana harta konvensional, boleh dijual, dibeli, dihadiahkan, dipindah milikkan, dan dapat diwaqafkan.

Ramai ulamak dulu-dulu tidak ambil pusing tentang karya mereka sebagai harta intelek. Mereka membenarkan sesiapa sahaja membaca dan menggunakan ilmu yang mereka sampaikan dalam buku-buku yang mereka tulis.

Mereka mewaqafkan buku-buku mereka kepada orang ramai dan hanya mengharapkan balasan daripada Allah sebagai ganjarannya. Ulamak dulu-dulu melakukan ini hanya dengan berniat dalam hati mereka sahaja.

Justeru kita tidak mempunyai bukti sah bagi mengetahui sama ada sesuatu buku itu sudah diwaqafkan hakciptanya ataupun tidak. Dalam keadaan seperti itu, saudara tidak boleh dengan sesuka hati menganggap sesuatu karya itu sudah diwaqafkan hakciptanya. Tunggu sehingga tamat tempoh 50 tahun selepas pengarangnya meninggal dunia, barulah secara automatik karya itu menjadi harta awam.

Jika saudara hendak mewaqafkan buku hakcipta buku saudara, bagaimanakah caranya?

Saudara hendaklah menyebut secara bertulis dalam bab "Dari Pengarang" bahawa saudara mewaqafkan hakcipta buku saudara itu, dan dengan hal yang demikian sesiapa sahaja boleh mengulang cetak seluruh ataupun sebahagian isi kandungan buku itu tanpa meminta izin daripada saudara terlebih dahulu.


.