Friday, September 15, 2006

Hakcipta: Membeli Ilustrasi

Jika saudara hendak menerbitkan buku untuk kanak-kanak belajar menulis, mengira, melukis, mewarna, saudara memerlukan lukisan-lukisan yang simpel tetapi banyak dalam buku-buku seperti itu.

Bayangkan sahaja betapa banyaknya lukisan simpel-simpel, macam gambar buah pisang, oren, kucing, sudu, bintang dan lain-lain, yang terdapat dalam buku matematik sekolah rendah.

Jika saudara menggunakan perkhidmatan pelukis, setiap lukisan simpel itu harganya adalah antara RM2 - RM5. Ini kos yang tinggi. Ia menyebabkan harga jualan buku itu tinggi, manakala buku kanak-kanak mesti dijual dengan harga rendah.

Ada jalan lain yang amat mudah. Saudara dapat membeli 1 set CD ilustrasi yang mengandungi 80 ribu ilustrasi dengan harga antara RM400 - RM500 sahaja. Segala macam lukisan untuk kegunaan penerbit buku-buku harga murah ada dalam CD itu.

Dalam pasaran, ada bermacam-macam CD yang mengandungi segala gambarfoto dan lukisan. Ia dapat dibeli daripada kedai-kedai CD yang specialist di Kuala Lumpur.

Saudara juga dapat membeli gambarfoto dan lukisan dari internet. Ilustrasi yang dibeli melalui internet lazimnya dibeli daripada agen-agen di Eropah dan Amerika, oleh itu harganya berlipat ganda lebih tinggi daripada CD dalam pasaran terbuka, namun kualiti seninya juga tinggi.

Apabila saudara sudah membeli bahan-bahan ilustrasi itu secara sah, saudara dibenarkan menggunakan bahan-bahan itu berulang-ulang kali tanpa had.

Ingat, jangan beli CD cetak rompak yang dijual pada harga RM40. Ia adalah barang curi, kita mungkin terlepas di dunia, tetapi tidak di akhirat.


.