Sunday, September 10, 2006

Penulis dan Pemikiran Kritis

Entri ini ditulis untuk mentee-mentee SifuPTS yang sedang bekerja keras hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa.

Percayalah, penulis dapat hidup daripada royalti buku-bukunya. Ini bermakna saudara perlu mempunyai banyak buku yang laku dijual bertahun-tahun, supaya setiap buku mendatangkan perolehan yang berterusan.

Kata pepatah Tamil, satu batang pokok getah tidak jadi sebuah estet. Maka, tulislah banyak buku, jangan berhenti menulis, istiqamah.

Sebuah buku novel remaja mungkin mendatangkan royalti RM2 ribu setahun, tulis 10 buku, royalti saudara RM20 ribu setahun.

Fokus. Fokus. Fokus.

Saudara mungkin dilahirkan dengan bakat menulis yang tinggi. Tetapi bakat sahaja tidak menjamin buku-buku saudara itu laku berpuluh-puluh tahun dalam pasaran.

Buku-buku yang hayat pasarannya panjang ditulis dengan berpandukan formula-formula yang dihasilkan oleh kajian pakar-pakar pemasaran buku. Gunakan formula-formula itu, jangan main untung-untungan, dengan ikut fikiran sendiri yang belum melakukan sebarang kajian berkenaan book-trade.

Ada penulis yang bakatnya besar tetapi karya besarnya tidak siap-siap. Situasi ini tentu sekali tidak membolehkannya hidup sepenuh masa sebagai penulis.

Salah satu punca yang menyebabkan ada penulis berbakat besar yang tidak dapat menghasilkan banyak buku adalah habit berfikir secara kritis.

Apabila kita suka berfikir secara kritis, lazimnya fikiran kritis kita itu dihalakan kepada kerja-kerja orang lain. Kita sibuk berfikir tentang kerja orang lain, dan mengkritik kerja-kerja orang lain, bukan berfikir bagaimana hendak menyiapkan kerja-kerja kita sendiri. Jadi, fokus kita lari, lari daripada kerja sendiri kepada kerja orang lain!

Habit berfikir secara kritis juga menyebabkan kita memulakan fikiran dengan sikap ragu apakah pendapat dan hasil kerja orang-orang lain itu betul, lalu kita mencari-cari perkara-perkara yang tidak kita setujui bagi membuktikan keraguan kita itu betul.

Apabila kita ragu, dan kemudian kita terjumpa point-point yang tidak kita setujui, kita akan menolak semua sekali apa yang kita baca dalam tulisan orang itu. Kita hendak membuang air mandi si bayi dalam baldi itu, tapi bersama-sama air mandi itu kita buang bayinya sekali! Yang tinggal di tangan kita adalah baldi kosong. Jadi kita tidak memperoleh sebarang manfaat daripada tulisan orang lain itu.

Tujuan pemikiran kritis adalah hendak membuktikan kerja orang lain salah. Kalau pun kita berjaya membuktikan kerja orang lain salah, kerja kita sendiri tidak semestinya betul.

Apabila kita pandai mengkritik kerja orang lain, kadang-kadang benda-benda yang kita kritik itu bukan pun benda-benda yang berdosa hukumnya, yang haram, yang tidak ikut Quran dan sunnah, tetapi kita kritik juga bagaikan benda-benda itu dosa besar.

Sekurang-kurangnya orang-orang lain itu sudah menghasilkan banyak kerja, yang mungkin lemah, tetapi tidaklah semuanya lemah belaka. Mana kerja kita? Penghasilan kita sendiri tidak ada kait-mengaitnya dengan kelemahan kerja-kerja orang lain.

Biarkan orang lain menghasilkan kerja-kerja yang banyak kelemahannya di sana sini. Bagi setiap kerjanya yang baik, meskipun masih ada kelemahannya, orang itu sudah pun mendapat pahalanya.

Bagi kita, kita terus fokus pada menghasilkan kerja-kerja kita sendiri. Sikap inilah yang membantu kita menjadi penulis produktif, yang dapat menulis 2 buah buku setahun, yang laku dijual bertahun-tahun, yang akhirnya, insyaAllah, membolehkan kita hidup selesa sebagai penulis sepenuh masa.

Bagi saudara yang teruk kena kritik, ingatlah, saudara menulis untuk dinilai oleh Allah. Yang penting Allah suka apa yang saudara tulis dalam karya saudara itu. Banyak karya yang disukai manusia, tetapi tidak disukai Allah dan Rasulnya. Jadi, jangan patah semangat apabila penilaian manusia tidak selaras dengan penilaian Allah.

Allah-lah yang lebih mengetahui.


.

10 Komen :

At 12:55 PM, Blogger ufukhati Berkata ...

Saya setuju benar dengan pendapat Puan Ainon.

Tulisan ini patut dibaca oleh semua penulis.

 
At 5:29 PM, Blogger Zamri Mohamad Berkata ...

Satu peringatan yang baik untuk saya! Terima kasih Puan....Fokus, fokus, fokus...

 
At 5:46 PM, Blogger Zamri Mohamad Berkata ...

Ayat ini memang bagi bagi impak kepada diri saya, "Percayalah, penulis dapat hidup daripada royalti buku-bukunya"... entri ini saya tampal dalam bilik!

 
At 9:31 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Ini Fable Fox:

Dah lama tak post.

Terasa juga, sebab novel jibunsyi tak siap-siap lagi. Tapi nak buat macam mana, jadual buku komputer dah masuk, kena siapkan buku tersebut dahulu.

Lagipun kerja cuci kereta makan masa dan meletihkan. hu..hu..

Tak apalah, mintak-maintak tahun baru rezeki baru.

 
At 12:02 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Assalamualaikum,

Situasi saya adalah...selalu dihantui anggapan dan perasaan hasil penulisan sendiri tidak cukup bagus...banyak betul kurangnya.... Adakah cara dan bagaimana mahu mengatasi perkara ini? Tolong beri tunjuk ajar.. Terima kasih daun keladi...

 
At 12:02 AM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Fable Fox, mengapa emel sdr tendang!

 
At 12:05 AM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Puan Neenaumi,

Saya akan terangkan dalam entri khas unk puan.

 
At 7:52 PM, Blogger Unknown Berkata ...

Benar jika kita hilang fokus semua menjadi tidak nyata.Diri juga tidak bermaya...perlu banyak tidur mengumpul tenaga...............

 
At 9:17 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Ini fable fox :

Puan Neenaumi, sila baca buku mengenai self - esteem.

Masalah terbesar orang melayu ialah perangai / sifat kita banyak menyebabkan perkara ini berlaku.

Pernah baca artikel dalam MASSA tentang ini, namun ia lebih merujuk kepada malu. Tetapi implikasinya hamnpir sama, sebagai conoh :

1. malu buku dinilai
2. malu untuk menghantar hasil kerja
3. malu untuk diri diketahui ramai.

selain buku mengenai self-esteem, baca juga buku mengenai procrastinator / procrastination.

Salah didikan ibubapa / masyarakat banyak menyumbang kepada permasalahan ini.

ex-PM Dr. Mahahir juga pernah mengaku bahawa org Melayu mempunyai masalah inferiorrity complex yang teruk.

Entahlah.

kepada Puan Ainon, cuba hantar sekali lagi, dot com saya OK jer.

gunakan juga frozenfox at rock.com.

 
At 4:37 PM, Blogger Unknown Berkata ...

Bantu diperbetulkan boleh,pewaris
perlu dianggap perintis membelah luas ragam 'islah' oleh seleweng tindas tempang yang mengapung tenggelamkan keadilan. Dari adil menyemarakkan benar kerana akhlak yang diwarnai oleh berani atas nama jujur. Rasa rendah diri didik dari ibu bapa yang tidak pernah menggadai setia untuk penguasa, sejak belum merdeka di desa terbiasa budaya memelihara bahasa ketika bersama orang tua,sesudah merdeka ibu bapa masih dirantai kemiskinan kerana kekayaan tidak merata,tumpunya di kota, kota yang pantas dibangun dengan kelab riadah
panggung wayang,orang desa sesekali menjenguk ke kota...
Rasa bangga bila spritual tanpa label, agama tetap terpelihara.

Masa kini mahu selamatkan agama orang harus sembunyi di gua,
rendah dirikah jika stuasi moden terus menterjemah penganut yang taat mesti dijajah ?
Fanatik layakkah gelar buat yang setia berakidah?
Agama tidak memundurkan zaman cuma manusia kerap menoleh ke belakang pada liku yang bersilang sedang masa hadapan terang membentang di sinar oleh yakin keamanan melahir kasih sayang bukan permusuhan.
Salah jugakah perjuangan Rasul SAW
yang menunjuk kesempurnaan jika berpedang ,pedangnya dengan tajam keadilan.
Rendah diri bila terpaksa menekan rasa memilih antara yang ada tidak dapat diukur mana yang utama sedang ia bernyala tanpa cahaya.
Rasa rendah jiwa bila tertunduk mengawal dari berat beban, harus cenderung bawah pengaruh sedang roh tegar menyerah.
Rendah budi bila indah syariat memaksa dimamah noda dosa kerana cela,syariat menjadi bicara yang perlu di helaian kertas sahaja.
Rendah diri bila jihad, bersama yang tidak seagama, memahat sepakat
ia anasir yang diperangi dengan senjata sedang adabnya senjata hanya guna bila diri teraniaya.

Hati yang paling dalam tetap berani
ia satu-satunya harta berbaki.
" Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. "

 

Post a Comment

<< Home