Sastera Hasanah
Dalam industri muzik, kita tidak mendengar keluh kesah tokoh-tokoh karyawan muzik Melayu kontemporari tempatan seperti M Nasir, Ajai, Pak Ngah, Wah Idris dan lain-lain yang meratap-ratap dan tuduh menuduh dengan penerbit dan konsumer disebabkan mereka tidak dapat hidup sebagai ahli muzik sepenuh masa, padahal mereka terpukul teruk oleh indusri cetak rompak - kerana mereka sememangnya, setelah teruk dirompak, mereka masih dapat hidup sepenuh masa sebagai karyawan.
Apakah formula yang digunakan oleh tokoh-tokoh muzik Melayu kontemporari itu?
Kita berbincang dengan salah seorang daripada karyawan muda dalam bidang muzik Melayu tanah air. Menurut beliau, muzik Melayu komersial kontemporari hari ini hanya ada ‘beberapa bunyi’ sahaja. Ini disebabkan muzik-muzik itu dicipta oleh beberapa orang tokoh muzik sahaja, hanya penyanyinya saja yang berbeza.
Siapakah ‘beberapa’ karyawan yang mencipta muzik komersial Melayu kontemporari itu?
Beliau menerangkan, mereka adalah nama-nama besar dalam industri. Mereka adalah seniman-seniman muzik yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Mereka tidak menggunakan nama-nama sebenar mereka bagi muzik komersial yang mereka cipta.
Di mana-mana negara sekalipun ada apa yang dikatakan semangat muzik indie. Muzik aliran indie mempunyai saluran ekspresinya sendiri. Ia diterbitkan secara indie, bagi dinikmati oleh kelompok pasaran yang sangat selektif, cerewet, dan kecil.
Bagi menampung keperluan hidup, seniman-seniman muzik indie itu mencipta muzik komersial yang berkualiti dan laku keras dalam pasaran. Termasuk dalam kategori muzik komersial adalah jingle iklan, lagu tema kempen dan lain-lain yang dapat menerima bayaran sampai puluhan ribu ringgit. Bagi ciptaan komersial itu mereka menggunakan nama-nama lain.
Menurut karyawan muda itu lagi, menghasilkan muzik komersial adalah lebih susah daripada menghasilkan muzik indie kerana citarasa konsumer sentiasa berubah-ubah. Ini memaksa sang pencipta mencipta perubahan demi perubahan, yakni muzik-muzik baru, dari waktu ke waktu. Dan ini bukan pekerjaan yang mudah. Hanya modal bakat besar dapat melakukan pekerjaan begini.
Para penulis patut mencontohi model kerja para seniman muzik yang mengasingkan karya semangat indie dengan karya komersial berkualiti.
Seniman-seniman besar dalam bidang muzik tidak mempunyai pelbagai halangan psikologis apabila mahu menghasilkan muzik-muzik komersial. Jiwa mereka selesa menghasilkan muzik demi muzik bagi pasaran awam.
Dalam bidang sastera kita lazimnya menggunakan istilah ‘komersial’ dan ‘popular’ dengan maksud yang amat pejoratif. Justeru kita melabelkan novel-novel terbitan DBP sebagai bermutu sastera, manakala novel-novel terbitan bukan-DBP itu novel komersial, novel popular alias tidak bermutu sastera.
Kemudian kita sendiri melakukan self-censorship, di mana kita tidak mahu menerbitkan karya kita dengan penerbit selain DBP atas alasan tidak mahu jatuh taraf menjadi penulis komersial.
Kemudian kita mengeluh pula dengan cara kerja DBP yang sangat lembap dan gagal memasukkan buku-buku terbitannya ke dalam MPH, Kinokuniya, Borders, Times, Popular, jangan sebut hendak mengekspotnya ke Indonesia, macam ekspot muzik Melayu komersial yang dinyanyikan Dato’ Siti.
Bandingkan dengan dunia muzik Melayu, apa juga muzik Melayu yang diterbitkan oleh penerbit komersial adalah ‘muzik komersial’ namun masih banyak antara muzik komersial Melayu yang dapat dinikmati sebagai karya seni oleh peminat muzik yang terpelajar dan bercitarasa sofistikated. Ini bisa terjadi disebabkan banyak muzik komersial itu dicipta oleh nama-nama besar.
Kemampuan hidup sebagai penulis sepenuh masa adalah penting bagi penghasilan karya yang banyak dan bermutu. Selagi penulis masih perlu hidup dengan makan gaji, selagi itu mereka tidak dapat mengembara dan melakukan penyelidikan dan kajian sebelum mula menulis, dan selagi itulah karya mereka tidak seluas buana ini.
Sikap mencurigai dan memusuhi penerbit komersial merugikan semua pihak. Sikap negatif itu menyebabkan penerbit tidak mendapat bekalan manuskrip komersial yang bermutu. Penulis pula tidak mendapat penerbit yang cekap dan mahir mengedarkan dan memasarkan karyanya. Pembaca tidak mendapat buku yang sedap dibaca dan baik mesejnya. Akhirnya industri buku tidak berkembang ke arah yang positif.
Di manakah dosanya bagi para penulis mencontohi strategi kerja karyawan muzik Melayu?
Hantarkanlah karya-karya agung saudara itu ke DBP. Gunakan nama sebenar saudara.
Namun tulislah karya-karya komersial yang bermutu hasanah bagi pembaca yang mahukan buku-buku yang cukuplah dengan mutunya yang hasanah. Ceritanya bagus, bahasanya ringan, mesejnya baik, mudah dijual di kedai-kedai buku seluruh negara, dapat diekspot, pulangan royaltinya pun memampukan sang penulis hidup tanpa makan gaji.
Dengan royalti yang selesa itu, pergilah tuan-tuan mengembara ke seluruh alam, apabila pulang nanti, tulislah karya agung tuan-tuan yang seterusnya dan hantarkanlah ke DBP.
Hidup Buku Melayu!
.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home