Tuesday, November 28, 2006

Surah Yusuf dan Kritikan Sastera Barat

Para pengkritik sastera daripada aliran Barat lazimnya menolak cara menulis novel yang memasukkan ciri-ciri yang memudahkan sesebuah novel itu diadaptasikan menjadi filem. Malah mereka mengatakan pemikiran yang demikian hanya layak ada pada penulis-penulis novel popular yang karya mereka tidak bertaraf sastera.

Justeru, adalah menjadi prinsip pegangan para pengkritik sastera aliran Barat bahawa novel yang bertaraf sastera tidak selayaknya dihasilkan dengan ingatan novel itu dapat difilemkan dengan mudah dan berkesan.

Bebas daripada mindset kritik sastera aliran Barat, yakni tanpa memikirkan faktor filem sama sekali dalam proses penulisannya, para penulis novel Islami yang menggunakan teknik-teknik penulisan dalam surah Yusuf dengan sendirinya menghasilkan novel yang mudah dituliskan, mudah diadaptasikan bukan hanya ke media filem, malah mudah di-telenovela-kan, mudah dianimasikan, mudah dinovel-grafikkan, mudah dijadikan skrip drama radio, mudah dipentaskan dan mudah di-abridge-kan.

Penulis novel popular bukan Islam memasukkan unsur-unsur adaptasi filem atas dorongan kewangan bagi mempelbagaikan sumber royalti yang mereka terima daripada karya mereka.

Namun, bagi penulis novel Islami aliran surah Yusuf, mereka bukan menulis demi filem mahupun royalti. Mereka juga bukan menulis dengan agenda mahu menghasilkan novel yang bertaraf ’sastera’ ataupun ‘bukan sastera’ ataupun ‘novel popular’.

Mereka menghasilkan novel dengan menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf sebagai ibadah, yakni didorong oleh keyakinan religius mereka bahawa dalam al-Quran itu terdapat sumber teori sastera Islami dan panduan teknik penulisan kreatif.

Sebanyak mana mereka menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf, itu adalah berkait dengan kemahiran dan penguasaan seseorang penulis ke atas teknik-teknik itu.

Jika kritikan sastera aliran Barat nanti mengkategorikan novel-novel Islami aliran surah Yusuf sebagai tidak bernilai sastera disebabkan novel-novel itu mempunyai ciri-ciri yang memudahkan ia difilemkan, maka penilaian mereka bukan endorsement yang dimahukan oleh novelis Islami aliran Surah Yusuf.

Allah jualah yang lebih mengetahui mengapa teknik-teknik penceritaan dalam surah Yusuf itu secara natural menghasilkan novel-novel yang mudah diadaptasikan ke dalam berbagai media.

.

.