Bagaimana Royalti Dikira
Tiap-tiap penerbit mempunyai prosedur dan formula mereka sendiri bagaimana dan bila royalti dikira dan cek pembayaran dihantar kepada penulis.
Penerbit yang menerbitkan novel lazimnya mempunyai formula yang kurang rumit disebabkan penulis novel hanya seorang. Tetapi penerbit akademik dan profesional lebih kompleks formulanya.
Buku-buku akademik selalu ditulis oleh lebih daripada satu orang. Ada kalanya sampai berbelas-belas orang. Jadi royalti dikira mengikut formula yang sudah dipersetujui oleh semua pengarang dalam buku itu.
Hakcipta bagi satu buku itu juga mungkin dikongsi oleh beberapa orang. Sebagai contoh, hak cipta teks dipegang oleh satu orang. Hakcipta ilustrasi dipegang oleh orang lain. Hakcipta rekaletak dan perwajahan buku mungkin dipegang oleh orang lain pula.
Kalendar perkiraan royalti bagi tiap-tiap penerbit ditentukan sendiri oleh pihak pengurusan. Jadi ada penerbit mula mengira royalti pada bulan April, ada yang pada bulan Jun dan begitulah seterusnya.
Bagi penerbit besar, perkiraan royalti dibuat selepas dilakukan proses pengauditan dan kiraan stok. Ini untuk memastikan maklumat akaun syarikat sentiasa dalam keadaan betul dan kemas.
Apabila saudara menerima cek royalti saudara, bersama-sama cek itu akan disertakan laporan prestasi jualan buku saudara secara terperinci bagi tiap-tiap judul buku saudara. Dalam laporan itu juga akan disebutkan hutang-piutang saudara dengan penerbit, jika ada.
Kalau saudara tidak puas hati ataupun kurang faham sewaktu membaca laporan itu, saudara hubungi bahagian akaun dan bercakap dengan pegawai yang menyediakan akuan laporan itu.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home