Promosi Buku
Semua penerbit besar menyediakann bajet promosi buku-buku terbitannya. Sesetengah strategi promosi adalah mahal manakala ada yang tidak.
Strategi promosi yang paling mahal adalah mengadakan majlis pelancaran besar-besaran dengan mengundang orang besar seperti DYMM Agong, ataupun Permaisuri Agong, ataupun YAB Perdana Menteri. Data jualan menunjukkan tidak ada korelasi antara besarnya majlis pelancaran dengan statistik jualan buku yang dilancarkan.
Ada satu lagi pelancaran yang lazim dibuat oleh penerbit start-up, yang dipanggil "soft launching" ataupun pelancaran senyap-senyap. Di sini penerbit menggunakan hubungan baik mereka dengan media supaya buku yang baru terbit itu mendapat liputan dalam yang mereka. Data menunjukkan buku-buku yang disorot dalam media mengalami peningkatan jualan.
Siapakah yang patut mengusahakan supaya buku saudara mendapat liputan media? Pertama orang itu adalah pegawai publisiti di penerbit. Kedua adalah saudara sendiri, iaitu dengan menggunakan hubungan baik yang saudara miliki dengan rakan-rakan saudara di media. Jeniri Amir adalah contoh baik seorang penulis yang banyak mengambil inisiatif membantu penerbitnya mempromosi buku-buku beliau dalam media.
Promosi buku memang mahal. Penerbit yang agresif mengadakan pelbagai aktiviti bagi memperkenalkan nama saudara dan buku-buku saudara dengan harapan aktiviti itu dapat menarik minat wartawan menghadirinya dan kemudian menyiarkan laporannya dalam media.
Pegawai publisiti bertugas sepenuh masa menjalankan tiga perkara (a) mempromosi nama penerbit supaya menjadi brand yang dipercayai oleh penulis dan pembeli sebagai penerbit yang kredibel dan bertanggungjawab, (b) mempromosi buku-buku yang diterbitkan supaya kehadiran buku-buku diketahui oleh banyak pembeli dan, (c) mempromosi nama dan wajah tampan para penulis supaya mereka banyak menerima undangan muncul di televisyen, radio, dan seminar-seminar awam.
Antara perkara rutin yang dilakukan oleh pegawai promosi adalah:
1. Menjalin hubungan baik dengan seramai-ramai orang media.
2. Mencipta pelbagai aktiviti yang mempunyai nilai berita dalam media.
3. Melobi stesen tv dan radio supaya menjemput penulis-penulisnya muncul sebagai tetamu rancangan stesen-stesen.
4. Melobi pengulas-pengulas buku supaya tertarik mengulas buku-buku terbitan syarikatnya.
5. Melobi editor-editor majalah supaya memberi publisiti dalam bentuk artikel tentang penulis buku sebagai personaliti.
Alat lobi yang paling penting adalah buku saudara sendiri. Buku-buku saudara dihadiahkan kepada semua pihak yang dapat memberi liputan bagi buku dan diri saudara sendiri sebagai personaliti. Itulah sebabnya mutu buku saudara amat kritikal peranannya.
Kalau wartawan itu suka membaca buku saudara, barulah dia berminat mengulasnya. Kalau penerbit siaran tv dan radio itu berminat membaca buku saudara, barulah dia berminat mengundang saudara sebagai tetamu dalam rancangan terbitannya.
Jadi, tulislah dengan teliti dan hati-hati. Melaburlah pada kualiti buku saudara, dengan berbuat begitu saudara sudah melabur pada promosi buku saudara sendiri.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home