Politik Penulis
Apabila saudara menjadi penulis, saudara sebenarnya sudah jadi orang bisnes. Penerbit saudara sudah menjadi bisnes partner saudara. Kalau penerbit pandai berniaga, saudara tumpang tuahnya, buku saudara laku dan royalti saudara naik. Begitu juga sebaliknya.
Ramai penulis tidak tahu cara-cara yang betul menjaga kepentingan mereka dalam konteks usahasamanya dengan syarikat penerbitnya. Sebagai contoh, mereka tidak pandai mengekalkan hubungan baik dengan editor, umpamanya mereka berselisih faham dengan editor.
Dalam dunia bisnes tentu ada politiknya. Salah satu definisi "politik" yang terkenal adalah "Siapa dapat apa, bila, di mana, dan bagaimana."
Saudara belajar main politik dengan penerbit saudara, sebab penulis-penulis lain main politik. Apa yang mereka dapat mungkin menyebabkan ada yang saudara tidak dapat. Ambil sebagai contoh: Apabila kulit buku saudara cantik, adakah saudara menelefon editor ataupun pengarah kreatif, dan mengucapkan terima kasih serta memuji kulit buku itu? Kalau saudara menelefon, itu adalah politik baik, kalau tidak itu adalah politik buruk.
Ingatlah, syarikat penerbit saudara itu besar, dan ramai petugasnya. Kepentingan saudara bukan diuruskan oleh satu orang sahaja. Mereka yang menguruskan nasib buku saudara adalah, editor, artis kulit buku, artis layout, ilustrator, kakitangan-kakitangan jabatan pemasaran dan jualan.
Kalau kulit buku cantik, tetapi mereka di jabatan pemasaran tidak memberikan bajet untuk promosi, nasib buku saudara akan terjejas. Kalau jualan baik, tetapi pegawai kewangan meletakkan nama saudara di bawah sekali dalam senarai penyediaan cek royalti, nasib saudara pun terjejas juga.
Apabila editor saudara memberitahu buku saudara akan diulangcetak, telefon juga jabatan pemasaran dan ucapkan terima kasih. Apabila menerima cek royalti, lakukan yang serupa.
Dalam dunia hari ini, hantar emel kepada mereka melalui laman web rasmi syarikat penerbit anda. Kulit buku saudara dapat dilihat pada laman itu, katakan "Terima Kasih." Susah sangatkah?
Sedikit politik, tetapi banyak faedahnya bagi keuntungan saudara.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home