Maruah Penerbit
Pada suatu masa, petugas jabatan akaun sebuah penerbit melakukan kesilapan teknikal kecil pada cek royalti yang dihantar kepada penulis-penulis.
Akibatnya ada cek-cek penulis yang diterima oleh bank-bank mereka dengan tidak ada apa-apa masalah, tetapi ada 3 bank yang memulangkan cek-cek itu. Biasalah, ada pegawai bank lebih 'cerewet' daripada yang lain.
Salah seorang penulis itu menghantar SMS kepada pengurus kewangan dengan kata-kata, "Hantar cek tendangkah?"
Dalam tempoh beberapa minit sahaja cerita itu tersebar di seluruh bangunan pejabat penerbit itu. Tamat kemarau setahun dek hujan sehari. Masing-masing jabatan berespons secara negatif dengan cara mereka masing-masing kepada penulis itu.
"Tak payah ulangcetaklah buku dia! Kita banyak judul baru nak dicetak." kata orang jabatan editorial.
"Tak diulangcetak lagi bagus, tak banyak kerja aku kena buat kulit baru untuk buku lamanya. Banyak kulit judul baru nak disiapkan cepat!" kata orang jabatan grafik.
"Tak payah push-lah buku dia. Kita push buku orang lain. Tak tahu berterima kasih!" kata orang marketing.
"Lain kali saya simpan ceknya lama-lama. Semua orang dah dapat duit, baru kita hantar ceknya!" kata kerani pos-mengepos di pentadbiran.
Bagi orang-orang dalam dunia bisnes, kata-kata "Hantar cek tendangkah?" tidak sekali-kali dapat dianggap gurauan.
Jangan bergurau dengan orang-orang dunia bisnes berkenaan kedudukan kewangan syarikat mereka. Itu dianggap sama sahaja biadabnya dengan gurauan, "Bini awak tidur dengan lelaki lainkah?"
Bagi lelaki, isterinya bukan bahan gurauan. Bagi orang-orang bisnes buku cek syarikat mereka bukan bahan gurauan.
Tidak ada orang yang bermaruah yang tidak malu bekerja di syarikat yang ada rekod cek tendang. Mereka akan mencari kerja di tempat lain. Apabila kita mengatakan orang itu sanggup menghantar cek tendang, samalah kita mengatakan dia seorang yang tidak bermaruah.
Jadikan kisah ini pelajaran penting apabila saudara melakukan apa juga bentuk komunikasi dengan pegawai-pegawai di syarikat penerbit saudara.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home