Hakcipta: Apa itu “Fair Use”
Jikalau setiap kali kita membuat petikan daripada karya orang lain kita terpaksa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta karya berkenaan, tentulah hal ini amat menyukarkan. Itulah sebabnya dalam undang-undang hakcipta ada apa yang disebutkan sebagai “fair use” atau “penggunaan munasabah”.
Jadi, “fair use” (penggunaan munasabah) bermakna “memetik (to quote) ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa perlu mendapatkan izin bertulis daripada pemilik hakcipta terlebih dahulu sebelum diterbitkan”.
“Fair use” bukan bermakna kita boleh menyalin semula ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa menggunakan cara-cara yang betul apabila membuat petikan, sebagaimana yang dilakukan dengan berleluasa oleh pengarang-pengarang buku agama di negara ini sekarang.
Petikan yang layak dipanggil “fair use” terdiri daripada 2 jenis:
Petikan yang digunakan bagi tujuan penilaian, ulasan dan kritikan adalah layak dianggap “fair use”. Sebagai contoh, apabila kita hendak mengkritik karya terjemahan Quran yang dilakukan oleh JAKIM, maka munasabahlah kita memetik ayat-ayat terjemahan JAKIM yang diulas itu. Demikianlah halnya dengan petikan daripada hasil karya orang lain yang dinilai, diulas ataupun dikritik.
Petikan yang digunakan dalam karya penyelidikan seperti tesis akademik dan laporan kajian yang diterbitkan dalam bentuk jurnal akademik adalah layak dianggap “fair use”. Tujuan penulisan tesis dan artikel jurnal akademik adalah bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Ia yang tidak mendatangkan keuntungan kewangan kepada penulis. Maka munasabahlah petikan-petikan yang dilakukan itu layak dianggap “fair use” dan tidak diwajibkan mendapat izin daripada pemilik hakcipta.
Sesuatu petikan itu tidak lagi layak dikatakan “fair use” apabila dalam keadaan berikut:
Saudara menulis buku dan dalam buku itu jumlah petikan-petikan yang saudara buat itu kurang 10% daripada kandungan buku, ataupun tidak melebihi 1,000 perkataam sahaja (whichever is less) tetapi saudara tidak memberikan maklumat sumber petikan yang saudara lakukan itu, maka perbuatan itu tidak layak dianggap “fair use”.
Saudara menulis buku dan buku itu dijual bagi tujuan yang menguntungkan saudara. Dalam kes ini, saudara membuat petikan dengan menyebutkan sumber petikannya, tetapi apabila jumlah petikan-petikan itu melebihi 10% ataupun 1,000 perkataan, maka itu tidak lagi layak dianggap “fair use”, oleh itu wajib mendapatkan izin bertulis.
Perbuatan menyalin ayat-ayat hasil kerja pengarang ataupun penterjemah lain tanpa melakukan 'acknowledgement', walaupun hanya sepotong ayat sekalipun, apatah lagi apabila jumlahnya kurang daripada 10% ataupun kurang daripada 1,000 perkataan, adalah salah dan melanggar undang-undang hakcipta. Perbuatan itu disebut dengan istilah “plagiarisme”.
Masih ingatkah saudara kontroversi sajak “Ini Nasi Yang Kusuap” oleh Masuri SN? Hanya disebabkan bait pertama puisinya itu yang kebetulan berbunyi “Ini nasi yang kusuap...” mempunyai semacam persamaan dengan sebuah puisi Inggeris yang berbunyi “This bread I eat...” (saya tidak ingat nama penyair Inggeris itu) hingga saat ini penyair besar itu dianggap telah melakukan jenayah intelektual yang disebut plagiarisme.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home