Tuesday, October 11, 2005

Bahasa Moden untuk Teks agama

Hadith ke-2 dalam Koleksi Hadith 40 Imam Nawawi

Khalifah Umar bin Khatab melaporkan, katanya, “Pada suatu hari semasa kami sedang duduk dengan Nabi Muhammad, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai pakaian sangat putih bersih dan rambutnya hitam berkilat. Tidak ada tanda-tanda dia baru datang dari jauh. Tidak seorang pun antara kami yang mengenali siapa orang itu.

Lelaki itu datang lalu duduk betul-betul di depan Nabi Muhammad, sehingga kedua-dua buku lalinya bersentuhan dengan buku lali beliau.

Kemudian lelaki itu meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di atas paha Nabi Muhammad, lalu dia bertanya, 'Terangkan apa itu Islam?'

Jawab Nabi Muhammad, 'Islam adalah kita mengakui bahawa tiada tuhan lain kecuali Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah, kita bersembahyang, kita membayar zakat, kita berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, dan kita naik haji apabila mampu.'

'Betul,' kata lelaki itu.


Kami semua berasa hairan, bagaimana pula dia yang bertanya kemudian dia pula yang mengatakan jawapan itu betul.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan apa itu iman?'

Jawab Nabi Muhammad, 'Kita percaya kepada Allah, kita percaya kepada malaikat-malaikatnya, kita percaya kepada kitab-kitab suci yang diterima oleh para pesuruh Allah, kita percaya adanya alam akhirat, dan kita percaya kepada takdir Allah, sama ada yang baik mahupun yang buruk.'

'Betul,' kata lelaki itu.

Kemudian dia bertanya lagi, 'Terangkan apa itu ihsan?'

Jawab Nabi Muhammad, 'Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu nampak dia, dan apabila kamu tidak nampak dia, kamu yakin dia nampak kamu.'

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan bilakah kiamat akan terjadi?'

Nabi Muhammad menjawab, 'Yang ditanya dan yang bertanya sama-sama tidak tahu.'

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan apa tanda-tanda dunia akan kiamat?'

Jawab Nabi Muhammad, 'Apabila perempuan-perempuan hamba melahirkan majikan mereka sendiri, apabila orang-orang yang tidak berkasut, orang-orang yang telanjang, orang-orang miskin dan para penternak kambing sudah berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi-tinggi.'

Selepas mendengar jawapan Nabi Muhammad itu, lelaki tersebut pun pergi.

Saya terdiam beberapa waktu sehingga Nabi Muhammad berkata, 'Umar, tahukah saudara siapa lelaki itu tadi?'

Saya menjawab, 'Allah dan Pesuruhnya yang lebih tahu.'

Kata Nabi Muhammad, 'Lelaki itu tadi adalah malaikat Jibril. Dia datang bagi menerangkan kepada saudara-saudara sekalian tentang agama saudara-saudara.'”