Halilah: "Cikgu Yusof"
“Tiada seorang pun yang dapat menjawab soalan ini!” jerkah Cikgu Yusof.
Murid-murid di Tahun 4 Usaha yang terletak di tingkat dua itu, semuanya menundukkan muka masing-masing.
“Semua berdiri di atas kerusi!” jerkah Cikgu Yusof lagi.
Murid-murid itu semuanya menurut. Seorang demi seorang naik ke atas kerusi.
“Siapa yang dapat jawab soalan seterusnya, barulah boleh duduk,” kata Cikgu Yusof sambil menulis soalan lain yang lebih mudah di papan hitam.
Abu Samah mengangkat tangan. Dia mara ke hadapan untuk menyelesaikan soalan matematik itu. Cikgu Yusof sedia memerhati jawapan yang ditulis oleh Abu Samah.
“Betul. Kamu boleh duduk,” kata Cikgu Yusof kepada Abu Samah.
Dengan dada yang sengaja dikembangkan, Abu Samah duduk di tempatnya. Sengaja dia mendongak memandang teman-temannya yang masih berdiri, sambil mempamerkan giginya yang tidak cukup sebatang.
“Siapa pula yang boleh selesaikan soalan ini?” Cikgu Yusof bersuara sambil menulis beberapa soalan lain.
Kali ini Rashidah, Asiah, Alif dan Adam pula yang mengangkat tangan. Seorang demi seorang berjaya menyelesaikan soalan-soalan yang ditulis di papan hitam
Lama-kelamaan, hanya tinggal Sarip seorang sahaja yang masih berdiri di atas kerusi. Terkebil-kebil matanya memandang ke kiri dan ke kanan. Teman-teman yang lain semuanya tersengih-sengih memandangnya.
“Sarip!” Cikgu Yusof sengaja menjerkah Sarip yang sedang mengelamun walaupun sedang berdiri di atas kerusi.
Sarip, murid ‘teristimewa’ di kelas itu. Di kala usianya menjangkau sepuluh tahun pun, Sarip masih belum dapat menghafal ABC. Inikan pula hendak membaca....
“Kalau kamu tidak dapat menyelesaikan soalan ini, terjun bangunan sahajalah!” jerkah Cikgu Yusof.
Sarip cuma tersengih-sengih. Dia memang biasa dijerkah begitu. Tiada satu hari pun yang mengecualikannya daripada tidak dijerkah oleh Cikgu Yusof.
“Selesaikan soalan ini!” laung Cikgu Yusof walaupun Sarip berada hanya beberapa inci sahaja di hadapannya.
Sarip mara ke hadapan. Selpas beberapa lama, dia masih juga terkial-kial di hadapan papan hitam. Soalan tiga perpuluhan kosong-kosong darab kosong, terlalu sukar dirasakannya. Soalan itu memang khas untuk Sarip.
“Soalan begini pun kamu tidak dapat jawab!” jerkah Cikgu Yusof sekali lagi. Sarip cuma tersengih-sengih seperti selalu.
“Pergi keluar! Terjun ke bawah!” sekali lagi Cikgu Yusof menjerkah.
Air mata Sarip tiba-tiba sahaja bergenang.
“Terjun bangunan lagi bagus!” tengking Cikgu Yusof lagi. Sebenarnya, bukanlah niatnya hendak menyuruh Sarip terjun bangunan. Cikgu Yusof sekadar menggertaknya sahaja.
Tanpa diduga, Sarip meluru keluar sambil membawa bersama kerusinya. Cikgu Yusof terpaku seketika melihat perlakuan Sarip. Murid-murid lain juga begitu.
Sarip menangis teresak-esak sambil berusaha memanjat tembok. Dia benar-benar hendak terjun!
“Sarip! Sarip! Jangan terjun!” Cikgu Yusof meluru keluar mendapatkan Sarip.
“Sarip hendak bunuh diri! Sarip hendak bunuh diri!” Kelas Tahun 4 Usaha gempar.
“Jangan terjun, Sarip!” Cikgu Yusof menarik tangan Sarip yang masih berpaut pada tembok.
“Saya mahu terjun juga,” kata Sarip sambil teresak-esak. Barangkali dia kesal kerana dilahirkan dengan otak yang bebal. Barangkali benar juga kata-kata Cikgu Yusof, lebih baik dia terjun bangunan sahaja.
“Janganlah, Sarip...,” pujuk Cikgu Yusof. Dia tidak lagi menengking Sarip seperti sebelumnya.
“Sudah... sudah... mari masuk,” Cikgu Yusof menarik tangan Sarip masuk ke dalam kelas. Sarip kembali duduk di tempatnya. Cikgu Yusof menurut dada sambil menarik nafas kelegaan.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home