Hakcipta: “Memetik” lawan “Menggunakan”
Ramai pengarang tempatan keliru tentang peraturan membuat petikan daripada buku lain. Akibatnya mereka melakukan pelanggaran hakcipta.
Akal biasa (common sense) orang yang tidak memahami undang-undang hakcipta mengatakan “memetik” (to quote) adalah serupa sahaja dengan “menyalin dan menggunakan” bahan daripada hasil karya orang lain. Pemahaman begini adalah salah.
Apabila saudara membuat “petikan” (quotation) daripada buku yang ditulis oleh pengarang lain, saudara mestilah menggunakan prosedur petikan yang betul. Saudara mesti menyebut:
Tajuk buku asal yang saudara petik.
Nombor halaman dari mana petikan itu saudara ambil.
Nama pengarang, apabila petikan itu adalah karya asli.
Nama penterjemah, apabila petikan itu adalah karya terjemahan.
Tahun terbitan buku asal.
Edisi terbitan buku asal.
Nama syarikat penerbit buku asal, serta nama bandar di mana syarikat itu berada.
Tujuh maklumat itu hendaklah diberikan dengan menggunakan 3 cara:
a. Ditulis pada hujung petikan, ataupun
b. Ditulis sebagai nota kaki, ataupun
c. Ditulis pada senarai rujukan atau bibliografi.
Apabila saudara membaca buku-buku agama yang dihasilkan oleh pengarang-pengarang Malaysia dan diterbitkan di Malaysia, lazimnya saudara dapat mengesan uslub Bahasa Indonesia dalam buku itu. Ini adalah bukti bahawa dalam buku itu terdapat perbuatan “menyalin” (baca 'mencuri') ayat-ayat daripada hasil kerja penulis-penulis ataupun penterjemah-penterjemah Indonesia. Orang Melayu Malaysia tidak mungkin menghasilkan ayat-ayat Bahasa Indonesia, kecuali jika dia mempunyai pertalian rapat dengan negara itu, umpamanya dia pernah lama belajar di sana.
Perbuatan yang dilakukan oleh ramai pengarang buku agama di negara ini bukan “memetik” disebabkan ayat-ayat yang mereka salin daripada karya asal Indonesia itu tidak dituliskan maklumat sumber yang mereka ambil.
Apabila saudara menggunakan teks terjemahan Quran dari “Tafsir ar-Rahman” yang diterbitkan oleh JAKIM, saudara tetap perlu menyatakan dalam buku saudara bahawa semua terjemahan yang saudara gunakan itu dipetik daripada “Tafsir ar-Rahman” oleh JAKIM. Apabila saudara tidak menyatakan fakta itu, saudara memberi gambaran palsu bahawa teks terjemahan itu adalah hasil terjemahan saudara sendiri. (Memberi gambaran palsu adalah perbuatan berdusta.)
Undang-undang hakcipta karya terjemahan adalah serupa dengan undang-undang hakcipta karya asli. Saudara tidak dibenarkan menyalin, mencedok dan menggunakan ayat-ayat yang dihasilkan oleh orang lain, tanpa mengira sama ada ayat-ayat itu datang daripada karya asli ataupun ayat-ayat terjemahan karya asli itu, melainkan dengan izin bertulis daripada pemiliknya.
Walaupun JAKIM membenarkan “Tafsir ar-Rahman” digunakan sebagai hak awam, tetapi 'acknowledgement' tetap hendaklah diberikan kepada JAKIM apabila ia digunakan, dengan demikian kita tidak memberi gambaran palsu seolah-olah teks terjemahan itu adalah hasil kerja kita sendiri.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home