KDN dan Buku Agama
Adakah saudara penulis ataupun penerbit buku-buku agama?
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau kegiatan penerbitan dan penyebaran bahan-bahan Quran dalam negara ini. Sebuah unit yang dipanggil Unit Penyemakan Teks al-Quran ditubuhkan khusus bagi menjalankan tugas itu.
Banyak penerbit tidak tahu bahawa hanya terjemahan Quran yang dihasilkan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sebagaimana yang terdapat dalam kitab “Tafsir Ar-Rahman” terbitan JAKIM, yang boleh digunakan dalam apa-apa buku agama yang dijual dalam negara ini.
Jika saudara menulis apa-apa buku yang di dalamnya saudara menggunakan teks dari Quran, saudara tidak boleh menggunakan terjemahan selain terjemahan JAKIM.
Universiti Kebangsaan Malaysia tidak membenarkan tesis dan desertasi menggunakan terjemahan selain terjemahan JAKIM.
Buku-buku terbitan tempatan yang mengandungi terjemahan Quran yang bukan terjemahan JAKIM boleh diarahkan oleh JAKIM supaya ditarik balik dari pasaran dan dibakar!
Apakah jenis-jenis buku yang mesti mendapat kelulusan KDN?
Sebarang buku terjemahan seluruh Quran.
Sebarang buku yang 50% daripada isinya mengandungi teks Quran, tanpa mengira ketebalan buku itu, contohnya buku surah Ya-Sin, mesti mendapatkan kelulusan KDN.
Buku yang mengandungi surah-surah pilihan dari Quran, seperti buku muqadam.
Penerbit dikehendaki menghantar seluruh manuskrip buku kepada KDN bagi disemak dan diluluskan. Kelulusan dibuat oleh sebuah jawatankuasa khas. JKK itu cuma bermesyuarat 2 kali setahun!
Yuran yang dikenakan adalah RM300 bagi satu judul, tanpa mengira buku itu nipis ataupun tebal.
Jika buku saudara sudah diluluskan oleh autoriti luar negara sekalipun, saudara dikehendaki menghantar manuskrip saudara itu ke KDN bagi disemak dan diluluskan.
Jadi, sebagai langkah keselamatan dan peringatan, walaupun buku saudara hanya mengandungi sepotong ayat terjemahan teks Quran, gunakan terjemahan JAKIM.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home