Lagi-lagi Nasib Penulis
Seorang penulis novel berasa amat seronok dengan sikap penerbitnya yang dianggapnya sangat baik hati dan bertimbang rasa.
“Awak tulis sahaja. Mana-mana bab yang sudah siap, bolehlah serahkan kepada saya, nanti saya terus bayar, tak payah tunggu lama-lama,” janji penerbit itu kepadanya.
Setiap kali si penulis menghantarkan bab-bab novel cintanya kepada penerbit itu, si penerbit segera membayar RM100 ataupun RM200, terpulang kepada jumlah bab yang diserahkan. Ada masanya dia menerima RM500.
Apabila akhirnya dia mendapat tahu novelnya sudah terbit, didapati namanya tidak tercetak pada novel itu. Yang dicetak adalah nama penulis lain! Maka berguling-guling dia menangis....
Apakan daya, si penulis main percaya sahaja kepada penerbit itu. Tidak ada sebarang dokumen yang membuktikan adanya sebarang persetujuan antara dia dengan penerbitnya.
Cerita seperti ini sentiasa berlaku antara penulis baru (baca 'penulis kecil') dengan penerbit kecil (baca 'penerbit tidak terkenal').
Salah satu tingkah laku penerbit kecil yang menyebabkan mereka tidak dapat membangun menjadi penerbit besar adalah, lazimnya mereka melakukan pelbagai perbuatan tidak beretika terhadap penulis. Akibatnya nama mereka menjadi busuk, dan mereka tidak dapat mengekalkan kesetiaan penulis-penulis yang pernah menerbitkan karya dengan mereka.
Salah satu tingkah laku penulis yang tidak puas hati terhadap penerbit mereka adalah, mereka itu bercakap dengan penulis-penulis lain berkenaan penerbit yang menipu mereka.
Dalam suatu kajian di Jepun, didapati seseorang yang tidak puas hati bercakap kepada 29 orang lain. Itu di Jepun, barangkali di Malaysia, lebih lagi!
Apabila saudara mahu menjadi penerbit berjaya, jaga etika perniagaan saudara sebagaimana saudara menjaga nyawa saudara.
Apabila saudara mahu menjadi penulis yang berjaya, jaga-jaga semasa memilih penerbit, sebagaimana saudara memilih bakal pasangan hidup saudara.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home