Ciri-ciri Buku Evergreen
Apabila saudara mengarang buku, karanglah buku yang evergreen dan dapat diekspot ke Indonesia. Karanglah buku yang hayatnya panjang dalam pasaran baik di Kuala Lumpur mahupun di Jakarta, supaya setiap tahun buku itu diulangcetak dan royalti buku itu berpanjangan.
Berikut adalah faktor-faktor yang boleh menyebabkan buku saudara menjadi evergreen dan dapat dipasarkan baik di Malaysia mahupun di Indoesia:
Topik-topik yang saudara bincangkan dalam buku saudara itu bukan topik yang bermusim. Kalau saudara menulis tentang peristiwa 'tsunami 2004', ataupun 'Islam Hadhari' buku-buku saudara tidak dapat hidup lama dalam pasaran. Apabila tamat cerita tsunami, maka hayat buku saudara pun ikut tamat. Begitu juga, apabila Pak Lah sudah tidak menjadi perdana menteri lagi, buku Islam Hadhari tidak laku lagi.
Topik-topik itu bukan topik yang terlalu lokal sehingga hanya rakyat Malaysia sahaja yang faham isu-isu dalam topik itu. Kalau saudara menulis buku panduan menjadi pemimpin, jangan gunakan isu perebutan kuasa di kalangan pemimpin UMNO sebagai contohnya. Masalah UMNO adalah terlalu lokal.
Contoh-contoh yang saudara gunakan dalam buku saudara itu bukan contoh-contoh orang yang masih hidup. Kalau saudara gunakan nama 'Dr. Mahathir' ataupun 'Pak Lah' ataupun 'Bill Gates', buku saudara tidak dapat hidup lama dalam pasaran. Sebaliknya, gunakan sebagai contoh tokoh-tokoh yang sudah meninggal dunia seperti Nabi Muhammad, Khalifah Umar bin Aziz, Abraham Lincoln, Ayatollah Khomeini, Thomas Edison dan lain-lain.
Nama-nama orang dan organisasi yang saudara gunakan itu jangan nama-nama yang relevan kepada rakyat Malaysia sahaja seperti UMNO, PAS, MARA, Tun Teja, Raden Kartini, Najib Razak, Endon Mahmud, dan lain-lain. Nama-nama itu tidak sama-sama relevan kepada kedua-dua pembaca di Malaysia dan Indonesia. Gunakan nama-nama yang relevan baik di Malaysia mahupun di Indonesia.
Menggunakan nama-nama selebriti lokal seperti Siti Norhaliza, M. Nasir, Krisdiyanti, Hetty Koes Endang, Linda Onn ataupun Aznil akan menyebabkan hayat buku saudara amat singkat, lebih singkat daripada menggunakan nama tokoh politik seperti Dr. Mahathir, Amin Raies, Soeharto ataupun Pak Lah.
Bahasa yang saudara gunakan bukan bahasa yang difahami oleh orang Melayu Malaysia sahaja. Jangan gunakan istilah-istilah dan frasa-frasa yang terlalu lokal. Perkataan “sama ada” tidak difahami di Indonesia. Apabila saudara banyak membeli dan membaca buku-buku terbitan Jakarta saudara mendapat maklumat berkenaan perbezaan kosa kata Indonesia-Malaysia. Di kedai buku Universiti Malaya terdapat banyak buku-buku berkualiti dari Jakarta, silalah ke sana.
PTS sudah mula mengekspot judul-judul PTS ke Indonesia. Buku-buku itu di-Indonesia-kan oleh editor-editor di Indonesia. Gunakan Bahasa Melayu Tinggi apabila saudara menulis sebab gaya Bahasa Melayu Tinggi tidak banyak berbeza daripada gaya Bahasa Indonesia Tinggi. Yang dikatakan bahasa tinggi itu disebut juga sebagai 'bahasa buku'.
4 Komen :
Puan,
Bukankah kita perlukan penterjemah dari bahasa Melayu ke bahasa Melayu Indonesia (dan sebaliknya juga) juga?
err Puan Ainon, tawaran di bawah serius?
Sdr Abdullah Jones, ya, saya serius. Tulislah episod2 pendek yang terdiri daripada peristiwa2 sebenar yang sdr pernah alami selama sdr hidup di tengah2 masyarakat Eropah. Setiap episod, antara 100 - 300 perkataan.
Sdr Naga, ya betul, kita memerlukan penterjemah Malaysia-Indonesia dan Indonesia-Malaysia. Di PTS kita mempunyai bekas pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia bagi meMalaysiakan buku-buku PT Mizan yang kita lesen. Di Indonesia PT Mizan menggunakan bekas pelajar Indonesia yang pernah belajar di Malaysia.
Post a Comment
<< Home