Tentang Tempe, Sate Kajang dan Jakarta
PTS mentarget Jakarta sebagai gawang yang membolehkan buku-buku PTS menerobosi pasaran Indonesia. Itulah sebanya setiap tahun PTS menghantar pegawai-pegawainya ke Pesta Buku Antarabangsa Jakarta bagi tujuan itu.
Indonesia adalah pasaran besar kita. Mulai 2005 PTS sudah mula mengekspot judul-judul PTS ke Indonesia. (Ingat ya, PTS mengekspot judul, bukan buku!)
Bagi memudahkan PTS mengekspot karya-karya saudara, apabila saudara menulis, masukkan wajah-wajah pembaca Indonesia dalam minda saudara, jangan fikir pembaca Malaysia sahaja yang akan membaca buku-buku saudara. Tanya, “Kalau orang di Bandung membaca bukuku ini, dia fahamkah ayat ini?”
Apabila saudara gunakan metafora TEMPE, ya, itu baik di Malaysia mahupun di Indonesia, istilah itu dapat difahami. Bagaimana apabila saudara menggunakan metafora SATE KAJANG? Gunakanlah sahaja metafora SATE KAMBING yang dapat difahami baik di sini mahupun di sana.
Dua faktor yang menyebabkan sesuatu judul itu mudah diekspot ke Jakarta adalah (a) penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dan (b) setting yang neutral-budaya, maksudnya jangan ada unsur-unsur yang terlalu lokal.
PTS sudah mengadakan persetujuan dengan PT Mizan, iaitu penerbit kedua terbesar di Indonesia selepas PT Gramedia, bahawa jual-beli lesen penerbitan antara Mizan-PTS akan diusahakan dengan formula 1 Mizan 1 PTS. Maksudnya bagi setiap judul Mizan yang dilesen oleh PTS maka Mizan akan cuba melesen 1 judul PTS. Jadi, bayangkan apabila PTS melesen 100 judul Mizan, PTS harus dapat meyakinkan Mizan supaya memilih 100 judul PTS! Nah! Jikalau gaya bahasa dan isi buku-buku PTS terlalu lokal, buku-buku itu tidak dapat dipasarkan di sana, PT Mizan tidak akan mahu melesennya. Ini bererti kita akan mengimpot lebih banyak judul daripada mengekspot. Alangkah ruginya.
Pada tahun 2006, PTS akan menerbitkan 350 judul baru, ditambah 500 judul yang sudah ada, mudah-mudahan daripada jumlah judul itu banyak yang memikat hati Mizan bagi melesennya.
Mizan menerbitkan sekitar 1000 judul baru setiap tahun. Dengan jumlah yang sebegitu banyak, tentulah senang-senang PTS dapat memilih lebih daripada 100 judul, kalau mahu lebih pun boleh, setiap tahun bagi diterbitkan sebagai edisi Malaysia.
Bagi mengimbangi jumlah impot-ekspot judul antara PTS-Mizan, majoriti buku-buku PTS mestilah dapat dilesenkan kepada Mizan supaya diterbitkan semula untuk pasaran Indonesia. Hal ini amat bergantung kepada komitmen dan kreativiti penulis-penulis PTS menghasilkan judul-judul yang dapat dijual baik di Malaysia mahupun di Indonesia.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home