Saturday, October 28, 2006

Bahasa Melayu Futuristik

Bidang sains komputer berkembang dengan pesat sehingga pada masa ini pakar bedah sudah dapat membedah pesakit yang berada di dewan bedah hospital lain yang beribu-ribu batu jauhnya.

Kemajuan teknologi terjemahan automatik terus dibangunkan di seluruh dunia. Di Malaysia, MIMOS bertanggungjawab membangunkan sistem itu bagi Bahasa Melayu.

Pada suatu hari ini, orang dapat membaca apa sahaja yang ditulis dalam internet, oleh sesiapa sahaja, dalam bahasa apa sahaja - semuanya dengan menggunakan bantuan sofwer-sofwer terjemahan automatik yang akan disediakan dalam internet juga.

Sistem terjemahan automatik Bahasa Melayu dibina berdasarkan sistem ejaan dan sistem tatabahasa yang standard, yakni sistem Dewan Bahasa dan Pustaka.

Justeru sistem itu hanya dapat menterjemahkan apa yang saudara tulis apabila saudara menulis dengan menggunakan sistem ejaan dan tatabahasa standard.

Tulislah blog dan web saudara menggunakan bahasa baku, supaya suatu hari nanti apa yang saudara tulis dapat dibaca oleh satu dunia.

Dalam kes Bahasa Melayu, bagaimanakah kemajuan sistem terjemahannya? Mungkin kita tidak berapa suka, tetapi sistem yang ditargetkan kepada Bahasa Melayu Indonesia adalah lebih diutamakan oleh para penyelidik, dan kerja-kerja dalam Bahasa Indonesia lebih maju berbanding dengan Bahasa Melayu Malaysia.

Ego kita orang Malaysia mungkin tidak selesa dengan situasi ini, tetapi para pelabur melihat isu ini secara praktikal, yakni pasaran Indonesia lebih besar. Lagipun, perbezaan antara kedua-dua bahasa itu tidak banyak.

Bagi para penerbit, perkembangan sains komputer seperti ini perlu diambil kira sejak sekarang, sebelum terlambat. Jika kita mahu buku-buku yang kita terbitkan mudah dilesenkan penerbitannya ke dalam bahasa-bahasa dunia, kita perlu memastikan bahasa yang digunakan oleh penulis-penulis kita mematuhi sistem ejaan dan tatabahasa standard.

Sains komputer sudah menguasai kehidupan kita hari ini. Lihat sahaja, borang-borang bank memaksa kita menulis nama kita dengan huruf besar dalam kotak-kotak, kita tidak dibenarkan menulis dengan huruf berangkai. Pada masa depan penguasaan sains komputer akan bertambah besar dan meluas.

Bagi para pakar yang mengkaji bidang terjemahan automatik, mereka membayangkan sebuah dunia baru, di mana seseorang itu tidak perlu belajar bahasa-bahasa asing bagi tujuan menimba ilmu dan maklumat.

Pada suatu masa nanti, jikalau kita mahu karya kita diproses oleh komputer, kita mesti menulis dengan mematuhi sistem komputer itu.

Contoh (1) implikasi situasi ini adalah: Buku Hikayat Hang Tuah perlu ditulis semula menggunakan tatabahasa BM moden jika kita mahu ia diterjemahkan secara automatik ke dalam bahasa-bahasa asing.

Contoh (2) adalah: Bagi karya kreatif yang dialog watak-wataknya ditulis menggunakan bahasa basahan, bahasa pasar, bahasa orang kampung, akibatnya nilai harta intelek karya itu habis terpukul oleh teknologi disebabkan sistem tidak dapat menterjemahkan dialog-dialog itu dengan betul.

Contoh (3) adalah: Apabila dalam karya itu terdapat unsur bahasa campur-campur, umpamanya ada perkataan dan ayat-ayat Inggeris, unsur-unsur asing itu tidak dapat diproses oleh sistem.

Contoh (4) adalah: Jika buku Melayu itu ditulis menggunakan huruf bukan Rumi, sistem itu tidak dapat memprosesnya.

Kemajuan teknologi bidang ini akan merevolusikan banyak cara kerja kita. Dengan menggunakan sistem terjemahan Inggeris-Melayu, penulis Amerika dapat sambil dia menulis sambil sistem itu menterjemahkan ayat-ayatnya ke dalam bahasa Melayu!

Apabila dia siap menulis, dalam sekelip mata sahaja, penerbit di Malaysia sudah mendapat versi awal Melayunya. Jika kita suka kita boleh terus memberitahu penulis itu kita berminat melesen karyanya bagi diterbitkan di Malaysia sebagai buku Melayu.

Bagi para penulis Melayu, mulalah menulis dengan menggunakan gaya bahasa standard, supaya buku saudara kekal menjadi sumber perolehan harta intelek pada masa depan. Ejaan dan tatabahasa BM (Malaysia) dan BM (Indonesia) tidak banyak bedanya.

Bagi para penerbit, kita perlu menggubal dasar editorial yang mengambil kira trend-trend kemajuan teknologi natural language. Jangan sampai kita menjadi mangsa kepada sikap tidak bersedia dan tidak futuristik dalam profesion kita sebagai penulis, editor dan penerbit.

Jangan membuat ramalan negatif tentang masa depan dengan mengatakan, “Ah! Itu hanya akan menjadi kenyataan apabila saya sudah mati!”

Meskipun saudara sudah mati, anak dan cucu saudara masih hidup. Karya-karya yang saudara tulis hari ini dapat menghasilkan royalti bagi mereka apabila sistem Bahasa Melayunya sudah berfungsi dengan baik.

Terciptanya teknologi kertas mencipta revolusi pertama bagaimana buku diterbitkan dan disebarkan. Terciptanya mesin cetak mencipta revolusi kedua. Terciptanya sistem terjemahan automatik mencipta revolusi ketiga.

Nota: Untuk mendapat maklumat lanjut aktiviti pembangunan sistem Bahasa Melayu, hubungi Prof. Dr. Zaharin Yusoff di MIMOS (zarin@mimos.my)
.

.