Label dan Persepsi
Selepas 6 tahun bermain di pasaran, PTS yang mula dengan menerbitkan buku-buku motivasi sekarang sudah menerbitkan banyak kategori buku, tetapi sehingga hari ini PTS masih dianggap sebagai penerbit buku-buku motivasi.
Jika saudara baru hendak menceburkan diri ke dalam bisnes penerbitan buku, barangkali ada manfaatnya saudara membuat ketetapan apakah saudara hendak fokus kepada 1 kategori buku sahaja sewaktu memulakan bisnes saudara, ataupun saudara mahu menerbitkan pelbagai kategori buku sejak dari awal lagi.
Pengalaman PTS mungkin ada manfaatnya kepada saudara yang baru menceburi bidang penerbitan.
PTS memulakan bisnes dengan menerbitkan lebih 40 judul pelbagai buku motivasi dan pembangunan diri. Kemudian PTS mula menerbitkan kategori-kategori baru, yakni kategori buku-buku akademik dan profesional, kemudian kategori buku kanak-kanak dan fiksyen remaja.
Sehingga 3 bulan lalu, kejutan demi kejutan masih dialami oleh pegawai-pegawai pemasaran PTS. Hampir di semua kedai buku, baik kedai buku elit mahupun kedai buku indie, baik di Lembah Kelang mahupun di negeri-negeri, staf kedai-kedai itu tidak tahu bahawa PTS sudah menerbitkan buku kanak-kanak dan fiksyen remaja!
Situasi ini mendorong pengurusan PTS mengambil langkah membeli beg-beg begasi beroda saiz kabin pesawat. Beg-beg itu diisi dengan buku-buku remaja dan kanak-kanak yang sudah diterbitkan oleh PTS. Maka sendatlah beg-beg itu oleh banyaknya judul yang sudah diterbitkan.
Kemudian, setiap pegawai pemasaran PTS diberikan beg berat itu seorang 1 beg. Mereka pun mengheret beg masing-masing pergi berjumpa dengan pengurus kedai-kedai itu lalu dibuka dan ditunjukkan isinya.
Pengurus kedai-kedai itu terkejut, barulah mereka tersedar rupa-rupanya sudah begitu banyak buku kanak-kanak dan fiksyen remaja yang diterbitkan oleh PTS.
Justeru, salah satu setback apabila saudara memulakan bisnes dengan menerbitkan 1 kategori buku sahaja adalah isu ‘label’. Apabila saudara sudah dilabel sebagai ‘penerbit buku motivasi’ maka label itu sukar diubah.
Jika staf kedai buku tidak tahu PTS sudah menerbitkan buku-buku kategori baru, implikasinya amat serius:
(1) Disebabkan mereka tidak tahu PTS menerbitkan buku kanak-kanak dan fiksyen remaja, maka mereka tidak akan meng-order buku-buku itu. Ini menyebabkan di sesetengah kedai buku yang menjual buku PTS, tetapi tidak ada buku kanak-kanak dan fiksyen remaja PTS dijual di situ.
(2) Disebabkan staf yang bertugas menyusun buku dalam kedai itu tidak tahu kategori apa buku yang disusunnya, maka dia letakkan buku-buku itu ikut suka-suka hatinya sahaja. Di sesetengah kedai, fiksyen remaja PTS diletakkan di rak kanak-kanak bersama-sama buku-buku belajar ABC!
Bayangkanlah, PTS ONE sudah 2 tahun menerbitkan buku kanak-kanak dan fiksyen remaja. PTS juga menerbitkan katalog 3 kali setahun dan katalog itu dihantar ke semua kedai yang mempunyai akaun bisnes dengan PTS. PTS juga mempunyai katalog on-line. Namun, staf kedai-kedai elit pun tidak perasan kewujudan kategori itu. Mereka masih menganggap PTS hanya menerbikan buku motivasi.
Mulai bulan Julai 2006 lalu PTS telah meluncurkan 2 kategori baru lagi, iaitu produk ISLAMIKA dan produk FORTUNA. Pada tahun 2007 PTS akan meluncurkan 1 lagi produk baru iaitu produk LITERA.
Bagaimanakah nasib produk-produk baru itu nanti? Berapa tahun pula sebelum orang kedai perasan kewujudannya?
Pelajaran daripada pengalaman ini adalah: Menerbitkan buku adalah kerja mudah berbanding dengan kerja memasarkan dan menjual buku. (Tetapi, sebenarnya, lebih susah daripada itu semua adalah kerja mengutip hutang daripada kedai-kedai buku!)
.
.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home