Saturday, October 28, 2006

Cara PTS Menetapkan Harga Jualan Buku

Sebagai penulis, harga jualan buku penting kepada penulis sebab royalti saudara ditetapkan berdasarkan harga jualan buku.

Jikalau saudara hendak menjadi penerbit pula, salah satu isu yang kerap membingungkan saudara adalah bagaimana sebaiknya harga jualan sesuatu tajuk itu ditetapkan.

Setiap penerbit mempunyai formula rahsia mereka masing-masing. Ada yang menggunakan formula lipat 3, yakni kalau kos pengeluaran buku itu RM10, harga jualannya adalah RM30. Ada yang menggunakan lipat 3.5, malah lipat 5 pun ada.

Di sini kita akan terangkan bagaimana PTS menetapkan harga setiap buku yang diterbitkannya.

Mula-mula pengurus setiap anak syarikat akan menyediakan maklumat bagi setiap judul buku dengan menggunakan borang standard di mana setiap jenis kos itu diperincikan. Borang itu dibawa ke mesyuarat pengurusan di mana wakil-wakil setiap jabatan hadir.

Dalam mesyuarat itu input daripada jabatan pemasaran menjadi sangat penting disebabkan mereka yang tahu apa buku yang ada dalam pasaran.

Pertama-tama mesyuarat menetapkan berapa margin keuntungan yang patut bagi sesuatu judul itu. Bagi buku kanak-kanak dan remaja, margin itu lebih rendah. Bagi buku-buku bisnes, margin itu lebih tinggi.

Kedua, wakil jabatan pemasaran akan memberitahu sama ada judul seperti itu sudah ada diterbitkan oleh syarikat lain. Jikalau ada, pengurus pemasaran memberikan maklumat harga jualan buku-buku seperti itu yang diterbitkan oleh syarikat lain.

Ketiga, jikalau buku oleh penerbit lain dijual pada harga RM20, PTS tidak akan menjual lebih murah ataupun lebih mahal daripada harga itu.

Jikalau buku seperti itu belum ada diterbitkan oleh syarikat lain, mesyuarat itu akan berbincang dan membuat ‘intelligent guess work’ tentang berapa ringgit orang sanggup bayar bagi judul seperti itu. Ini betul-betul main agak-agak, justeru ada kalanya betul, tetapi sesekali salah juga.

.