Jualan Majalah Jatuh
Jualan buku-buku dan majalah-majalah hiburan dalam Bahasa Melayu jatuh sepanjang puasa dan dijangka naik semula selepas tamat musim hari raya. Ini adalah trend tahunan.
Sebelum bulan Ramadhan, PTS menghantar pegawai tingginya berjumpa dengan pihak pengurusan MPH dengan cadangan supaya MPH melakukan kempen beli buku-buku agama Islam, sebagaimana MPH melakukan kempen beli buku Kristian menjelang Krismas.
Cadangan PTS itu menerima respons negatif daripada pengurusan MPH berdasarkan faktor bahawa sememangnya cara orang Melayu meraikan bulan puasa dan hari raya tidak serupa dengan cara orang Kristian meraikan Krismas.
Jualan buku-buku Kristian yang mahal-mahal dan cantik-cantik di MPH memuncak menjelang perayaan Krismas. Salah satu sebabnya adalah penganut Kristian suka membeli buku-buku agama itu sebagai hadiah Krismas.
Pemerhatian yang dijalankan oleh jabatan pemasaran MPH mendapati orang Melayu tidak berpusu-pusu masuk kedai buku MPH menjelang bulan puasa dan sepanjang bulan puasa. Sebaliknya mereka masuk kedai-kedai lain bagi persiapan hari raya.
Tingkah laku orang Melayu di negara ini berbeza daripada tingkah laku penggemar buku di Indonesia. Di sana bulan puasa adalah bulan ‘menuai’ bagi para penerbit buku.
Di Indonesia trend bulan puasa sebagai bulan membaca mendapat dukungan kuat daripada para ulamak mereka yang berkempen supaya sepanjang bulan puasa masyarakat memberhentikan aktiviti non-agama dan menggantikannya dengan aktiviti ibadah membaca.
.
.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home