Saturday, October 28, 2006

Dialek dalam Sastera Tinggi

Salah satu isu sensitif dalam Bahasa Melayu Malaysia adalah pengunaan kata gantinama ‘aku’ ‘engkau’ ‘kamu’ dan ‘awak’.

Apa yang dianggap kataganti ‘neutral’ ataupun baik dalam sesuatu kawasan dianggap tidak baik dan tidak sopan di kawasan-kawasan lain.

Ambil sahaja kes ‘aku’ dan ‘engkau’ yang neutral di seluruh pulau Borneo, dianggap ‘kasar’ di Semenanjung.

Ambil pula kes ‘awak’ dan ‘kamu’. Sebaran geografis kataganti ‘awak’ adalah kecil di mana ia hanya digunakan oleh penduduk kawasan Semenanjung Selatan.

Kataganti ‘awak’ tidak digunakan di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang Utara, Sabah dan Sarawak. Di kawasan ini kataganti ‘awak’ dianggap merendahkan dan menjatuhkan martabat orang berkenaan. Di Kelantan, Terengganu dan Pahang Utara mereka menggunakan ‘mu’ bentuk singkat ‘kamu’.

Kawasan sebaran kataganti ‘kamu’ adalah amat luas, termasuk seluruh Indonesia menggunakan ‘kamu’.

Kataganti ‘kamu’ digunakan dalam kitab-kitab terjemahan al-Quran, tafsir, hadith dalam doa.

Singkatan ‘mu’ digunakan dalam Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia baku.

Kataganti ‘kamu’ digunakan dalam Bahasa Melayu Tinggi, dalam bentuk-bentuk bahasa yang dianggap indah, sebagaimana ia digunakan dalam sastera Melayu klasik, dalam syair, pantun, sajak dan lirik lagu.

Sewaktu DBP memperkenalkan sebutan baku ‘a’ untuk sebutan rasmi dalam sistem pendidikan kebangsaan, di TV dan radio, orang Johor menentang dengan penuh emosi, sedangkan sebutan ‘e’ hanya digunakan di kawasan Semenanjung Selatan sahaja.

Sehingga tahun-tahun 80-an, sebutan ‘a’ digunakan dalam filem Melayu. Sehingga hari ini sebutan ‘a’ digunakan dalam lagu-lagu dan dalam deklamasi puisi.

.
.