Sunday, October 29, 2006

Promosi Bulk-display

Semua penulis mahukan bukunya dibulk-display di kedai-kedai buku. Semakin sesuatu buku itu tidak laku, semakin sang penulisnya mahukan bukunya itu dibulk-display atas sangkaan bulk-display dapat melakukan buku yang tidak laku.

Kedai buku kerap mengadakan promosi buku dengan cara bulk-display, di mana sesuatu judul itu disusun banyak-banyak dekat dengan pintu masuk ataupun di dinding kaca kedai, yakni dua lokasi yang semua pengunjung dan orang lalu-lalang tentu terpandang.

Siapakah yang merancang buku apa yang hendak dibulk-dislay dan bila bulk-display itu hendak diadakan?

Bagi buku-buku luar negara, aktiviti bulk-display dilakukan oleh pengurusan kedai buku.

Bagi buku-buku terbitan tempatan bulk-display dirancang oleh jabatan pemasaran syarikat-syarikat penerbit berkenaan. Ini adalah faktor mengapa penerbit-penerbit kecil yang tidak mempunyai staf jabatan pemasaran tidak dapat membuat rancangan bulk-display di kedai-kedai buku.

Bagi memahami bagaimana promosi bulk-display dilaksanakan, kita ambil kes buku-buku PTS yang sekali sekala dapat dibulk-displaykan di MPH.

Mula-mula pegawai PTS menyediakan kertas cadangan bulk-display bagi pertimbangan pihak pengurusan kedai yang berkenaan itu sahaja. Ertinya, kalau kita mahu MPH cawangan Wangsa Maju membuat bulk-display sesuatu judul, PTS perlu mengemukakan kertas cadangan itu khusus untuk cawangan berkenaan sahaja.

Apabila cadangan dan terma-terma yang ditawarkan oleh penerbit itu dipersetujui oleh pihak kedai, barulah sesuatu tajuk itu akan dibulk-displaykan.

Bagaimanakah judul buku bulk-display dipilih oleh penerbit?

Hanya 5 jenis faktor dapat meyakinkan pengurusan kedai supaya setuju melakukan bulk-display sesuatu judul.

(a) Judul itu dipilih berdasarkan musim jualan judul seperti itu akan tiba tidak lama lagi. Sebagai contoh, bulan Ramadhan akan tiba, jadi buku panduan berpuasa sesuai dipromosi secara bulk-display.

(b) Judul itu sudah terbukti best-seller. Sebagai contoh buku bertajuk “Rahsia Bisnes Orang Cina” laku keras sejak mula-mula diluncurkan, maka buku itu sesuai dipromosi secara bulk-display.

(c) Nama pengarang buku itu adalah ‘hot author’ yang terkenal dan ramai peminat.

(d) Buku itu sesuai dengan keperluan khusus jenis pengunjung. Sebagai contoh, di akademi INTAN, siri eksekutif fast-track PTS laku keras di kedai buku situ. Di Institut Aminuddin Baki, buku-buku pengurusan sekolah laku keras.

(e) PTS mesti dapat meyakinkan dan membuktikan kepada pihak pengurusan kedai bahawa buku yang dibulk-display itu benar-benar akan laku keras.

Ruang berdekatan pintu masuk dan ruang pameran di belakang dinding kaca kedai adalah 2 lokasi yang paling tinggi nilainya. Kedua-dua ruang itu mesti dapat menjual buku dengan jumlah optimum, jika tidak pihak kedai rugi besar.

Berapakah jumlah unit buku yang diperlukan bagi bulk-display? Lazimnya antara 30 - 50 unit.

Apakah terma khusus bagi buku bulk-display? Sudah pasti diskaun yang lebih tinggi daripada biasa! Ini bermakna margin keuntungan bagi penerbit semakin susut. Malah ada masanya margin itu lesap sama sekali. Namun royalti bagi penulis tidak terjejas langsung.

Sebuah rangkaian kedai buku terbesar pernah meminta diskaun 50% daripada PTS untuk sebuah judul best-seller PTS yang akan dibulk-display. Kemudian rangkaian itu menawarkan diskaun 50% juga kepada semua pembeli!

Gimik diskaun ekstrem seperti itu dilakukan sebagai umpan supaya lebih ramai pengunjung masuk ke dalam kedai buku itu dan menengok-nengok buku-buku lain yang dipamerkan dalam kedai!

Nota: Jangan terkejut, buku SifuPTS pun belum pernah terpilih bagi bulk-display!

.

.