Masa Depan PTS
Industri buku sekolah terdiri daripada 2 jenis buku: (a) buku teks, dan (b) buku ulangkaji.
Buat masa sekarang, industri buku bersilabus adalah sektor terbesar, baik daripada sudut jumlah nilai jualannya, mahupun daripada sudut keluasan jaringan saluran pengedarannya.
Empat pemain utama dalam sektor ini adalah DBP-DAWAMA, SASBADI, PELANGI dan FAJAR BAKTI.
Penerbit Pelangi sudah masuk papan ke-2 di Bursa Saham KL. SASBADI dan DAWAMA sudah menandatangi MOU mereka mahu bergabung menjadi sebuah syarikat sebelum ke papan pertama BSKL. (Ada gosip-gosip mengatakan SASBADI mungkin memutuskan ‘pertunangan’ itu disebabkan DAWAMA gagal memenuhi syarat yang dipersetujui bersama dalam MOU tersebut.)
Industri ini akan kekal berkembang sihat selagi Kementerian Pelajaran tidak melakukan perubahan drastik pada sistem pendidikan sekarang yang sangat berorientasikan peperiksaan.
Selagi ada peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM, selagi itulah sektor buku ulangkaji peperiksaan akan terus menjadi mesin pencetak duit terbesar dalam industri buku Malaysia.
Namun, trend ke arah pendidikan liberal semakin ketara dalam dunia moden hari ini. Selama manakah Malaysia akan terus mengekalkan amalan-amalan pendidikan lama yang sudah ketinggalan zaman seperti keadaan sekarang?
Di negara-negara maju, hanya 3 atau 4 subjek teras sahaja yang diperiksa. Lain-lain mata pelajaran diajarkan tetapi tidak diperiksa.
Di Malaysia, apabila kita meliberalkan sistem pendidikan kita nanti, hanya 4 mata pelajaran teras akan diperiksa, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Semua mata pelajaran lain tidak dinilai dengan cara peperiksaan tradisional seperti sekarang.
Isunya sekarang bukan lagi apakah sistem peperiksaan akan berubah, tetapi bila ia akan berubah.
Tanpa peperiksaan, buku ulangkaji peperiksaan tidak diperlukan lagi. Apabila ini berlaku, apakah yang akan dilakukan oleh penerbit-penerbit seperti DAWAMA, SASBADI, PELANGI dan FAJAR BAKTI?
Kita meramalkan mereka akan masuk ke dalam sektor buku umum, yang disebut juga dengan istilah ‘trade book’. Inilah sektor yang diceburi PTS sekarang.
Pada masa ini 2 pemain utama sektor buku umum adalah PTS dan UTUSAN (UP&D). Kemasukan DAWAMA, SASBADI, PELANGI dan FAJAR BAKTI ke dalam sektor ini akan mengubah sama sekali lanskap industri buku umum negara ini. Kumpulan Karangkraf juga menunjukkan tanda-tanda gergasi itu semakin komited kepada sektor buku umum.
Apabila ini terjadi, PTS akan menjadi pemain kecil yang amat vulnerable kepada hostile take-over daripada budak-budak besar itu.
Apakah pilihan yang ada di depan PTS?
1 Komen :
Apabila kita memasukkan batu-batu besar ke dalam sebuah bekas, ruang-ruang kosong akan terbentuk. Untuk memenuhkan ruang-ruang kosong, kita memasukkan batu-batu kecil pula. Namun, ruang-ruang kosong masih ada. Seterusnya, kita masukkan pasir pula.
Ini berbeza dengan memasukkan simen ke dalam bekas itu. Simen bukan batu besar. Simen asalnya batu besar yang telah dikisar menjadi serbuk halus. Bukan semua batu besar boleh menjadi simen. Ada batu besar kekal menjadi batu besar. Batu besar yang menjadi simen berguna untuk binaan.
Post a Comment
<< Home