Tuesday, November 28, 2006

Surah Yusuf dan Sastera Syariah-Compliant

Sekian lama kita membincangkan konsep sastera Islami dengan menggunakan istilah “Sastera Islam”. Penggunaan istilah sastera Islam menyebabkan timbulnya lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah.

Masalah yang paling panas dibincangkan adalah polemik yang tak habis-habisnya adalah polemik tentang definisi teknikal apa itu yang dikatakan karya sastera Islam.

(a) Ada yang mengatakan sastera Islam mesti ditulis oleh orang beragama Islam sahaja.

Maka timbul isu bagaimana status sastera agung dunia yang ditulis oleh orang bukan Islam yang kandungannya tidak bertentangan dengan Islam. Apakah Islam menolak khazanah itu sebagai khazanah yang bermanfaat dibaca oleh orang Islam?

Juga bagaimanakah status karya-karya yang ditulis sebelum si penulis masuk Islam, ataupun sebelum si penulis keluar Islam.

(b) Ada yang mengatakan karya sastera Islam mesti ditulis dengan adanya NIAT mahu menulis kerana Allah semata-mata.

Maka timbul isu bagaimanakah kriteria ini dapat dipastikan kerana isu niat si penulis adalah sesuatu yang hanya diketahui oleh yang empunya diri. Bagaimana mungkin seseorang itu mengetahui apa niat individu lain.

Juga, niat yang betul tidak menjamin karya yang dihasilkan itu Islamik.

(c) Ada yang mengatakan karya sastera Islam mestilah kandungannya dengan terang dan jelas selaras dengan worldview Islam.

Maka timbul masalah kekaburan tentang kriteria keselarasan kandungan karya dengan worldview Islam. Sebagai contoh, bagaimanakah status karya yang bertemakan worldview Syiah, apakah ia dapat diterima sebagai sastera Islam dalam konteks masyarakat yang anti-syiah?

Sementara tokoh-tokoh sastera terus ghairah berpolemik, ketiga-tiga isu di atas mempunyai implikasinya ke atas (a) dasar penerbitan dan (b) dasar editorial sesebuah penerbit seperti PTS FORTUNA Sdn. Bhd. yang fokus pada penerbitan karya sastera Islami.

Dasar penerbitan

Dasar ini menentukan apa yang boleh diterbitkan dan apa yang tidak boleh diterbitkan oleh penerbit. Dasar ini sebenarnya adalah dasar perniagaan sesebuah syarikat penerbitan berkenaan jenis-jenis produk yang diperdagangkannya.

Dasar penerbitan menentukan karya yang ditulis oleh siapa, dan karya yang bagaimana isi kandungannya, yang boleh diterbitkan dan yang tidak boleh diterbitkan oleh PTS FORTUNA.

Disebabkan adalah dasar penerbitan PTS bahawa ia hanya menerbitkan buku-buku yang sesuai dengan Islam, jikalau apa yang didefinikan sebagai ’sastera Islam’ itu semestinya ditulis oleh orang Islam, ini bermakna PTS tidak akan menerbitkan terjemahan sastera dunia seperti karya Shakespeare dan Sherlock Holmes.

Sebagai contoh sahaja… dasar penerbitan yang tidak konkrit, dapat mencetuskan konflik pahit antara PTS dengan pengarang Cina yang menghantar novelnya, konon atas hujah pengarang itu bukan Islam. (Nanti jika dia sudah masuk Islam, barulah karyanya diterbitkan!)

Dasar editorial

Dasar ini menentukan kuasa-kuasa dan akauntabiliti para editor PTS FORTUNA apabila menyediakan sesebuah manuskrip bagi penerbitan.

Dasar ini menentukan unsur-unsur yang mesti ditukar, ataupun dipotong dan dibuang oleh editor PTS sebelum sesebuah manuskrip itu diterbitkan.

Dasar editorial yang tidak konkrit juga dapat mencetuskan konflik pahit dan personal dengan penulis yang tidak puas hati dengan penerbit yang meminda manuskrip asal.

Justeru, dalam operasi hariannya, PTS FORTUNA menggunakan manual editorial yang digubal berdasarkan konsep dan istilah “sastera syariah-compliant”. Istilah ini adalah istilah legal. Ia menyenaraikan unsur-unsur yang tidak boleh ada dalam sesuatu manuskrip yang bakal diterbitkan.

Konsep sastera syariah-compliant adalah konsep yang amat teknikal. Konsep ini memisahkan antara ‘creator’ yakni sang pencipta daripada ‘creation’ yakni ciptaannya.

Konsep sastera syariah-compliant itu difokuskan pada produk, yakni pada karya, bukan pada karyawan.

Konsep “syariah-compliant” diamalkan dalam industri makanan dan perbankan. Justeru sijil HALAL, suatu dokumen perakuan rasmi bahawa sesuatu produk itu syariah-compliant, diberikan kepada produk, bukan kepada pencipta produk.

Dengan meminjam konsep dan istilah “syariah-compliant” daripada industri makanan dan perbankan, maka PTS dapat mengamalkan dasar penerbitan yang membolehkan ia menerbitkan karya Shakespeare dan Sherlock Holmes.

Bagi mendapatkan kriteria teknikal ciri karya yang syariah-compliant, buat masa ini PTS menggunakan surah Yusuf sebagai rujukan, sehingga kita berjaya mengembangkan lagi teori dan teknik penulisan kreatif berdasarkan kajian yang lebih luas dan mendalam ke atas teks al-Quran.

Allah jualah yang maha mengetahui.

.

.