Hukum Menulis Cerita Rakyat
Apa itu cerita-cerita rakyat?
Cerita-cerita rakyat adalah cerita-cerita yang kita warisi turun-temurun daripada datuk nenek kita. Semua bangsa mempunyai cerita rakyat masing-masing.
Walaupun pada asalnya cerita rakyat diwariskan dari mulut ke mulut, tetapi banyak cerita rakyat kini sudah dibukukan. Cerita rakyat seperti Si Luncai, Lebai Malang, Pak Pandir, Si Tanggang adalah cerita-cerita rakyat yang menjadi popular kerana dibukukan.
Sesetengah cerita rakyat adalah panjang dan plotnya kompleks, oleh itu dinamakan 'hikayat', seperti Hikayat Malim Deman, Hikayat Panji Semerang dan lain-lain lagi.
Sesetengah cerita rakyat sudah dicipta semenjak pengarang Melayu masih 'jakun' yakni sebelum datuk nenek kita masuk agama Hindu ataupun Islam, umpamanya cerita Si Tanggang. Namun, walaupun kita sekarang sudah Islam, tetapi cerita itu kekal tidak 'diislamkan' sehingga hari ini.
Unsur kejakunan yang paling nyata dalam cerita Si Tanggang adalah perbuatan ibu Si Tanggang yang menyumpah anaknya menjadi batu.
Dalam cerita-cerita rakyat yang panjang-panjang, terdapat unsur dewa-dewa dan pelbagai unsur khurafat. Seperti cerita Si Tanggang yang kekal tidak diislamkan sehingga hari ini, demikian juga halnya dengan cerita-cerita hikayat itu.
Jadi, kita lihat dalam cerita-cerita itu semua tidak ada perbuatan mengucapkan salam, berdoa, bersembahyang, berpuasa, bertaubat dan seumpamanya dilakukan oleh watak-watak dalam cerita-cerita itu.
Apabila kita masuk ke dalam bilik perpustakaan sekolah-sekolah rendah negara kita, hampir 50 peratus buku yang terdapat di dalamnya adalah buku-buku cerita. Buku-buku cerita rakyat, baik cerita tempatan mahupun cerita rakyat yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, merupakan sekitar 70% daripada kesemua buku-buku cerita itu.
Buku-buku cerita rakyat itu popular di kalangan murid-murid sekolah rendah. Akibatnya, tidak ada kanak-kanak perempuan yang tidak kenal cerita-cerita Sang Kancil ataupun Cinderela.
Sebagai penulis Islami, apakah kita dibolehkan mencipta dan mengarang buku-buku cerita rakyat? Kita akan bincangkan isu ini dalam bengkel penulisan PTS yang bakal diadakan slepasa cuti raya nanti.
Bagi saudara yang berminat, sila mendaftar dalam kotak surat blog ini.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home