Nabilah: Petikan dari Buku "Taman Orang Baik-Baik" karya Imam Nawawi
Inilah contoh teks agama yang ditulis semula oleh peserta bengkel agama ISLAMICA yang baru lepas.
19.2 Abu Aswad melaporkan, katanya, “Pada satu ketika saya datang ke kota Madinah. Waktu itu Madinah diserang wabak penyakit. Semasa saya duduk bersama Khalifah Umar bin Khattab, satu jenazah dibawa melalui orang ramai. Mereka memuji-muji jenazah itu.
Umar pun berkata, “Sudah pasti.”
Kemudian jenazah lain pula dibawa. Orang ramai memuji-muji lagi jenazah yang kedua itu.
Umar berkata lagi, “Sudah pasti.”
Selepas itu ada jenazah yang ketiga dibawa melalui mereka. Orang ramai menyebut-nyebut tentang kejahatannya.
Umar berkata, “Sudah pasti.”
Saya pun bertanya kepada Khalifah Umar, ‘Wahai ketua orang-orang yang beriman. Apa maknanya sudah pasti?’
Umar menjawab, ‘Saya sebut apa yang disebut oleh Nabi Muhammad iaitu, ‘Setiap orang Islam yang diakui oleh empat orang bahawa dia adalah orang yang baik, Allah akan masukkan dia ke dalam syurga.’
Umar berkata lagi, ‘Kami sahabat-sahabat beliau pun bertanya kepada beliau, ‘Bagaimana kalau diakui oleh tiga orang sahaja?’
Nabi menjawab, ‘Tiga orang pun begitu juga.’
Kami terus bertanya, ‘Kalau dua orang sahaja?’
Nabi menjawab, ‘Dua orang pun begitu juga.’
Kata Khalifah Umar lagi, ‘Selepas itu kami tidak bertanya lagi bagaimana jika seorang sahaja yang mengakuinya.”
Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home