Novel Cinta 50 Tahun Masih Dibaca
Novel-novel cinta karangan Barbara Cartland mula terbit pada tahun 1960-an dan sehingga kini masih dibaca di seluruh dunia. Barbara Cartland dan Agatha Christie adalah pengarang paling kaya di dunia sebelum munculnya JK Rowling. Nampaknya ketiga-tiga pengarang terkaya di dunia adalah perempuan.
Manakala Barbara Cartland adalah penulis siri novel cinta, Agatha Christie adalah pengarang novel siasatan jenayah. JK Rowling adalah pengarang novel khurafat.
Apakah ciri novel-novel cinta Barbara Cartland yang menjadikan beliau kaya-raya? (Kebetulan, beliau adalah nenek kepada Puteri Diana sebelah ibu.)
1. Tema dalam novel-novel cintanya adalah tema universal. Tema cinta antara dua darjat adalah tema universal. Begitu juga tema kahwin terpaksa. Tetapi, jikalau saudara menulis novel cinta yang bertemakan cinta poligami, isu poligami bukan isu universal. Tema universal membolehkan novel-novelnya diterjemahkan dan dinikmati oleh penggemar novel cinta di seluruh dunia.
2. Setting kisah-kisah cintanya sentiasa setting historis, dengan itu tidak akan berlaku isu cerita menjadi out-of-date. Jikalau saudara menulis kisah cinta yang berlaku dalam Istana Perak pada zaman sebelum Merdeka, setting novel itu akan kekal evergreen. (Ini kisah cinta P.Ramlee-Norizan!) Fakta-fakta sejarah tidak berubah. Ini membolehkan novel cinta saudara menjadi evergreen. Fakta-fakta sejarah dalam novel-novel Barbara Cartland sentiasa betul.
3. Hero dan heroin dalam novel-novel cintanya terdiri daripada gadis dan teruna yang ideal, dan kedua-duanya mempertahankan kesucian mereka sampailah mereka bernikah. Novel-novel cintanya juga sentiasa menampilkan nilai-nilai moral, sosial dan nilai-nilai kekeluargaan yang murni. Ini menyebabkan novel-novel cinta beliau dapat diterima oleh pasaran masyarakat moden mahupun tradisional.
Tentu sekali, isu kesucian teruna-dara adalah isu kultural. Dalam masyarakat Inggeris tradisional, mereka menerima beberapa perlakuan asmara yang tidak diterima oleh masyarakat Timur tradisional, seperti perbuatan hero dan heroin duduk-duduk berdua memadu cinta.
Nah! Jikalau saudara mahu menghasilkan novel-novel cinta yang evergreen, Barbara Cartland sudah menciptakan modelnya. Yang evergreen mungkin juga mengandungi ayat-ayat yang haram diperniagakan. Dalam sesetengah budaya, ayat-ayat yang menerangkan babak-babak asmara tidak diizinkan dijadikan barangan yang diperniagakan.
Bagi saudara yang mahu menghasilkan novel-novel cinta Islami, yang evergreen dan juga menjadi ibadah, modelnya adalah surah Yusuf.
4 Komen :
Saya suka melawat blog ini kerana ia banyak memberi panduan kepada saya. Terima kasih. Saya bercita-cita menjadi penulis sejak di bangku sekolah. Saya ada menghantar manuskrip kepada sebuah syarikat penerbitan tahun lepas. Hingga sekarang masih tiada jawapan. Bagaimana jika saya ingin mencari penerbit baru?
Sdr Noraziah,
Cuba emelkan kepada saya supaya saya dapat baca, kalau sesuai dengan dasar penerbitan PTS, kita boleh rundingkan.
ainon@pts.com.my
Adakah saya perlu hantarkan manuskrip saya sekaligus atau mengikut bab?
Sdr Noraziah,
Kalau manuskrip sudah siap ditulis, emelkan semua.
Kalau belum ditulis, jangan tulis selagi sdr belum ikuti kursus teknik penulisan surah Yusuf. PTS hanya menerbitkan buku-buku yang mematuhi syarat2 PTS.
Post a Comment
<< Home