Bagaimana Buku Dipasarkan
Jika saudara hendak menerbitkan buku, saudara perlu tahu bagaimana saudara boleh memasarkan buku terbitan saudara itu.
Berikut adalah saluran-saluran penjualan buku yang diamalkan oleh penerbit-penerbit di negara ini.
Rangkaian kedai buku besar seperti MPH, POPULAR, RYTHM, MUDA OSMAN, SRI INTAN dan lain-lain.
Kedai rangkaian hanya mahu berurusan dengan penerbit dan pengedar yang sudah mapan, yakni established. Kalau saudara tidak mempunyai katalog buku, mereka tidak berminat berurusan dengan syarikat saudara. Mereka juga meminta potongan diskaun yang besar. Tetapi pengurus di bank saudara 'suka' apabila melihat buku-buku saudara dipasarkan melalui rangkaian ini, kerana itu adalah bukti kedudukan bisnes saudara tegap. Penulis-penulis juga suka menulis untuk syarikat saudara kerana buku mereka dipasarkan melalui kedai-kedai yang berimej. Disebabkan rangkaian kedai menggunakan sistem komputer yang canggih, soal kutipan hutang tidak ada masalah dengan mereka. Tanpa diminta mereka menghantar cek kepada saudara.
Kedai buku superstore seperti BORDERS dan KINOKUNIYA.
Kedua-dua superstore ini belum membuka rangkaian. Urusan dengan mereka serupa dengan rangkaian kedai-kedai buku besar.
Kedai buku tradisional milik peribadi.
Jumlah kedai-kedai ini banyak, mereka dominan di bandar-bandar sederhana besar di seluruh negara. Kecuali dengan beberapa buah kedai, kebanyakan kedai-kedai ini mempunyai masalah membayar saudara dengan cara yang 'gentleman'. Kutipan hutang adalah masalah utama berniaga dengan mereka. Jika saudara penerbit batu, lebih susah. Mereka tahu tak lama lagi saudara akan tutup bisnes, jadi buat apa bayar hutang saudara? Tetapi kerana mereka berperangai begitulah maka bisnes saudara tutup. Risiko hangus tangan apabila membekalkan buku-buku kepada kedai-kedai ini adalah amat besar jika saudara penerbit kecil. Ada sebuah penerbit yang mengumpulkan hutang lapuk yang tak dapat dikutip daripada kedai-kedai kategori ini sebanyak RM180 ribu dalam masa 3 tahun pertama ia memulakan operasinya.
Kontraktor buku yang membekalkan kepada kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.
Mereka masuk tender bagi projek-projek khusus seperti pembelian yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), projek NILAM di bawah Kementerian Pelajaran, projek kemajuan masyarakat (KEMAS) dan pembelian oleh Perbadanan Perpustakaan Negeri. Majoriti kontraktor ini bukan penerbit dan tidak mempunyai kedai buku. Mereka aktif berpolitik dan hanya masuk tender kerajaan. Jika buku terbitan syarikat saudara terpilih dalam senarai tender, pastikan kontraktor yang mendapat kontrak itu membayar tunai kepada saudara sebelum saudara bekalkan buku kepadanya.
Syarikat-syarikat jualan langsung buku yang pergi dari sekolah ke sekolah.
Mereka ini mempunyai jurujual yang ramai di mana jurujual-jurujual itu bertugas mengikut zon masing-masing. Mereka mempunyai hubungan mesra dengan sekolah dan tahu keperluan sekolah. Mereka hanya memperkenalkan buku-buku yang sesuai sahaja dengan keperluan sekolah. Berurusan dengan syarikat-syarikat ini serupa dengan berurusan dengan kedai-kedai milik peribadi.
Syarikat-syarikat yang membuat pameran buku bergerak.
Syarikat ini milik peribadi, mereka mengadakan pameran secara kecil-kecilan dari satu tempat ke satu tempat, menjual terus buku-buku kepada pengguna. Pameran buku yang paling laku adalah pameran buku-buku agama. Jualan buku melalui pameran lebih tinggi apabila pameran diadakan sempena seminar di mana di situ ramai guru-guru hadir. Kenakan deposit apabila pempamer datang membeli buku terbitan saudara. Lebih baik lagi galakan mereka membeli tunai dengan memberi diskaun yang lebih tinggi.
Agen pemasaran buku dalam Internet.
Berurusan dengan mereka sebagaimana saudara berurusan dengan agen-agen kecil lain.
Kedai buku kecil-kecil yang menjual macam-macam majalah, suratkhabar dan gula-gula.
Penerbit besar tidak suka berurusan dengan mereka kerana risiko yang tinggi, oleh itu kedai-kedai itu mendapatkan bekalan buku mereka daripada pengedar-pengedar utama. Kedai-kedai buku jenis ini berminat menjual buku-buku novel cinta, cerita hantu, buku agama yang kecil-kecil dan buku komik.
Melalui pensyarah ataupun guru yang mengajarkan sesuatu subjek supaya menjual buku-buku itu kepada pelajar-pelajarnya.
Jurujual syarikat saudara perlu pergi menemui pensyarah-pensyarah berkenaan dan berikan kepada mereka diskaun yang menarik. Lazimnya pensyarah lebih suka menjual bukunya sendiri daripada menjual buku penulis lain kerana kandungan bukunya adalah juga kandungan kuliahnya.
Dengan maklumat di atas diharapkan saudara berfikir betul-betul sebelum menerbitkan buku saudara sendiri, hanya disebabkan saudara tidak puas hati dengan peratus royalti yang ditawarkan oleh penerbit saudara sekarang ataupun apa-apa alasan lain. Jalan yang lebih selamat adalah mencari penerbit lain.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home