Penulis dan Peminat
Sebagaimana penyanyi dengan album yang mereka rakamkan mendapat peminat, penulis dapat mengumpulkan peminat-peminatnya sendiri melalui karya-karya yang diterbitkan.
Lazimnya orang menyangka hanya penulis-penulis kreatif, seperti novelis dan penyair, yang mempunyai peminat, manakala penulis buku-buku deskriptif tidak. Sebenarnya semua penulis berpeluang mempunyai peminat bagi kategori buku-buku yang diterbitkannya. Peminat novel cinta ada, peminat novel sejarah pun ada. Peminat buku-buku herba ada, peminat buku-buku hantu pun ada.
Peminat mempunyai peranan penting meningkatkan jualan buku-buku saudara:
Peminat saudara adalah pembeli setia buku-buku saudara. Mereka adalah pasaran tersedia bagi produk saudara sebagaimana peminat Siti Nurhaliza menunggu-nunggu albumnya yang akan datang. Malah peminat akan membeli buku-buku saudara yang sudah lama terbit, sebagaimana filem-filem lama P. Ramlee masih terus laku dalam pasaran.
Peminat saudara akan menghadiri seminar-seminar komersial yang saudara kendalikan dan sampaikan. Pasaran seminar dan ceramah adalah sumber pendapatan penting bagi penulis buku-buku motivasi. Malah pendapatan daripada yuran seminar dan ceramah adalah lebih besar daripada royalti.
Peminat saudara adalah jurujual dan jurukempen bagi diri saudara dan buku-buku sauadara. Mereka menceritakan kepada orang lain akan keistimewaan buku-buku saudara.
Sebagai penulis saudara perlu menulis banyak buku kerana jika saudara cuma menerbitkan satu ataupun dua buah karya, saudara tidak dapat mengumpulkan peminat. Jikalau penyanyi hanya merakamkan satu ataupun dua album, dia pun tidak dapat menjadi menjadi penyanyi popular dan mengumpulkan ramai peminat.
Semakin banyak buku saudara, semakin banyak peminat saudara, maka semakin banyak jurujual dan jurukempen saudara yang saudara tidak bayar gajinya!
0 Komen :
Post a Comment
<< Home