Sunday, August 07, 2005

Penulis Jangan Tamak

Orang tamak ada di mana-mana. Di kalangan penulis pun ada yang tamak.


Dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan bersama, jangan tamak. Sebagai penulis, saudara memerlukan penerbit, pencetak, pengedar, pekedai, runner dan kontraktor, pembeli dan pembaca buku. Mereka mencari makan dengan memberikan nilai tambah kepada buku saudara.


Tanpa input daripada mereka, buku saudara tidak dapat diterbitkan, apatah lagi dijual. Kata orang bisnes, "Cari makan sama-sama, makan pun mau sama-sama."


Setiap orang daripada mereka mendapat bahagian masing-masing, seorang sedikit, daripada terjualnya buku-buku saudara, baru semua boleh hidup.


Kalau ada mana-mana pihak yang tamak, yang mahu lebih banyak, buku saudara tidak dapat diterbitkan dan dijual, semata-mata kerana kos penerbitan dan penjualannya tidak berbaloi. Akhirnya semua orang tidak dapat apa-apa.


Yang paling rugi tentulah penulis sebab dia sudah mengeluarkan modal daya usaha menulis buku itu.


Apabila saudara tawar-menawar dengan penerbit, jangan hanya melihat kepada peratus royalti yang ditawarkan. Yang lebih penting adalah keupayaan penerbit itu memasarkan buku saudara.


Bak kata seorang penulis yang pernah ditawarkan royalti sebesar 12.5%, pada akhirnya dia cuma menerima sekali sahaja cek, bernilai RM48.85 sen.


Saudara mungkin ditawarkan royalti 5%, tetapi jika jualan buku saudara itu mencapai 20 ribu naskhah, akhirnya saudara menerima wang yang lebih banyak daripada royalti 12.5% tetapi buku saudara berlonggok dalam setor penerbit.


Penerbit-penerbit yang kredibel dapat bertahan lama dalam dunia bisnes yang sengit persaingannya disebabkan banyak pihak menaruh kepercayaan kepada kredibiliti mereka. Tidak ada mana-mana pihak yang berasa mereka rugi apabila berurusan dengan penerbit seperti itu.


Jikalau saudara menerima tawaran dari penerbit yang kredibel bagi menerbitkan buku saudara, jangan tolak dan jangan sekali-kali bersikap tamak.


Penerbit kredibel tidak banyak dalam pasaran. Ingatlah, penerbit mempunyai pilihan banyak penulis yang kredibel. Tetapi penulis di negara ini tidak mempunyai pilihan banyak penerbit yang kredibel.