Seni Melukis Kulit Buku
Penulis baru lazimnya mempunyai angan-angan sendiri tentang rupa wajah kulit buku yang bagaimana yang dia mahu. Sebagai contoh seorang penulis yang menulis novel remaja tentang kisah Orang Asli mahukan lukisan kulit bukunya menggunakan wajah Orang Asli.
“Ini lukisan Orang Asli yang kawan baik saya sudah lukiskan untuk kulit buku saya,” kata penulis baru itu, sambil menyerahkan lukisan itu kepada editor. Lukisan itu menunjukkan Orang Asli sedang menyumpit.
“Cantik lukisan ini,” kata editor, “tapi tak dapat gunakan untuk kulit novel encik.”
“Kalau cantik, kenapa tak boleh gunakan?” berkerut kening penulis itu.
“Wajah Orang Asli tidak dapat menjual buku,” kata editor.
Dalam sesebuah rumah penerbitan, siapakah yang akhirnya dipertanggungjawabkan memilih konsep kulit buku saudara? Editor. Ya, editor!
Sebelum konsep kulit buku diterangkan kepada artis yang akan mencipta design kulit buku itu, editor memberi taklimat pendek kepadanya tentang maklumat latar belakang buku saudara. Maklumat itu termasuklah:
Buku itu buku apa? Katakanlah, buku itu novel. Artis kulit buku mempunyai bakat yang berbeza-beza. Bukan semua artis di jabatan grafik mempunyai bakat menghasilkan kulit buku kreatif.
Apa isi utama novel itu? Maklumat tentang isi buku digunakan oleh artis yang bertugas sebagai “visualiser”. Lazimnya tugas ini dijalankan oleh Pengarah Kreatif. Katakanlah, cerita cinta terhalang antara seorang pemuda Orang Asli suku Temuan dengan gadis Melayu di Kinaboi, Kuala Pilah, yang akhirnya menjadi asal-usul nama kampung Janda Baik di Bentong, Pahang. Visualiser akan mencipta konsep kulit buku itu dahulu, kemudian diterangkan konsep itu kepada artis yang ditugaskan untuk melahirkan konsep itu dalam bentuk design.
Siapa pembeli sasaran buku itu? Katakanlah, guru pusat sumber sekolah.
Siapa pembaca sasarannya? Katakanlah, pelajar sekolah menengah.
Pelajar lelaki ataupun perempuan? Katakanlah lelaki perempuan, sebab perempuan suka membaca novel yang terdapat di dalamnya unsur cinta terhalang.
Bagaimana buku itu akan dipasarkan? Katakanlah buku itu dimasukkan dalam set “Siri Pendididkan Satera” bernilai RM230 untuk perpustakaan sekolah-sekolah menengah, dan akan dijual ke sekolah oleh syarikat jualan langsung.Ataupun adakah ia akan dijual melalui kedai-kedai buku? Kulit yang laku di sekolah belum tentu laku di kedai buku, begitu juga sebaliknya. Sebagai contoh, kulit novel cinta laku dikedai buku tetapi tidak di sekolah, dalam erti kata guru pusat sumber tidak membeli novel yang kulitnya menunjukkan unsur cinta. Itulah sebabnya maklumat ini amat penting kepada artis kulit buku.
Berapa tebal buku itu? Apa saiznya? Bila buku itu mesti dihantar ke percetakan? Bila kulit buku mesti ditunjukkan kepada Pengurus Pemasaran untuk mendapatkan maklum balas apakah kulit cadangan itu mudah dijual?
Ciri pertama apabila mencipta design kulit buku adalah, kulit itu mesti dapat menjual buku itu. Banyak buku yang baik isinya tidak laku dijual kerana kulit buku itu tersalah konsep. Penerbit terus menyuruh artis mencipta design kulit buku tanpa memberikan taklimat tentang latar belakang yang penting berkenaan bagaimana buku itu akan dipasarkan.
Ingat! Fungsi design kulit buku adalah MENJUAL buku itu, bukan menerangkan isi buku. Buku kisah cinta pemuda Asli tidak perlu menggunakan wajah Orang Asli. Gunakan ikon lain yang dapat menjual buku itu. Yang penting buku itu dibeli orang.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home