Panduan Meminjam Istilah Bidang Konsumer
Apa itu 'consumer terms'?
Sesetengah perkataan hanya digunakan oleh pakar-pakar ilmu sahaja. Perkataan seperti itu disebut 'istilah teknikal'. Jika saudara menulis buku sebagai seorang pakar bidang ilmu, untuk dibaca oleh anggota kelompok ilmu itu, sudah tentu saudara perlu meminjam istilah-istilah teknikal. Semak senarai istilah DBP bagi mendapatkan ejaannya yang betul dalam bahasa Melayu.
Sesetengah perkataan itu bunyinya macam amat teknikal, tetapi sebenarnya ia adalah sebahagian daripada bahasa umum. Sebagai contoh perkataan 'mobile phone' ataupun 'handphone' ataupun 'cell phone' adalah perkataan umum, yakni 'consumer terms'.
Nama-nama benda yang digunakan oleh orang ramai adalah dikategorikan sebagai istilah konsumer.
Teknologi benda-benda konsumer cepat berubah. Apabila teknologinya berubah, istilahnya ikut berubah. Hari ini SMS, kemudian MMS, besok lusa entah apa pula. Teknologi itu bertaraf 'pakai-buang', yakni hari ini dipakai, besok sudah dibuang. Justeru, nama-nama teknologi itu pun bertaraf pakai-buang.
Apabila saudara menulis buku-buku tentang teknologi yang hayatnya pendek, jangan susah-susah hendak memelayukan nama-nama benda yang 'pakai-buang' itu. Terus sahaja pinjam nama-nama teknologi itu.
Saudara boleh kekalkan ejaan Inggerisnya, kalau mahu. Buku saudara itu pun hayatnya sama pendek dengan teknologi dan istilah itu.
Saudara boleh gunakan perkataan 'blog', 'blogger' 'spam', 'spammer' 'anti-spammer' dan semua perkataan yang sebenarnya adalah nama-nama barang-barang konsumer.
Yang penting, buku saudara itu mestilah ditulis menggunakan bahasa Melayu yang betul struktur nahunya, ayat-ayatnya pendek, tidak berbelit-belit.
8 Komen :
kalau nak tulis novel pon kena ciri-ciri yang sama ker?
Sdr semut, sdr wajib hadir kursus dulu untuk tulis novel! PTS hanya menerbitkan novel oleh penulis yang menerima latihan dari kami.
Puan Ainon...apakah penggunaan yang puan kemukakan ini diterimapakai oleh DBP? jika kita menggunakan terus perkataan Inggeris itu, apakah perlu kita italickan perkataan tersebut?
Sdr unsunghero,
1. DBP berada di belakang pengguna bahasa. Peranannya adalah sebagai pusat dokumentasi, yakni merekodkan menilai bahasa yang digunakan oleh penutur dan penulis. Kalau tunggu DBP bermesyuarat dulu bagi meluluskan ataupun mencipta perkataan Melayu bagi menggantikan "spam", kita semua tidak dapat menerbitkan buku!
2. Kali pertama sdr gunakan ejaan Inggeris itu, italikkan, selepas itu tidak perlu lagi.
Ada pertanyaan lain?
Puan Ainon...terima kasih atas jawaban yang diberikan. saya amat menghargainya.
Saya ingin bertanya kepada puan tentang bahasa in-house. tidakkah penggunaan bahasa in-house baik oleh penerbit buku dan media massa akan mengelirukan khalayak?
contohnya penggunaan perkataan 'atlit' digunakan oleh akhbar Berita Harian, manakala 'atlet' digunakan oleh akhbar Utusan Malaysia. perbezaan ejaan ini sudah pasti mengelirukan kerana yang manakah ejaan yang betul?
saya tahu bahasa in-house meliputi banyak hal lain-lain bukan sahaja dari segi ejaan. tapi secara umum, apa pendapat puan mengenai bahasa in-house ini?
Sdr Unsunghero, ejaan yang betul berdasarkan DBP adalah 'atlet'.
Salah satu perbezaan berkenaan ejaan in-house antara para penerbit adalah ejaan perkataan yang berkait rapat dengan Islam. Di Indonsia sekalipun, penerbit-penerbit agama di sana tidak menerima 100 peratus sistem ejaan rasmi. Bagi perkataan-perkataan tertentu mereka menggunakan ejaan yang berbeza, seperti hadith (bukan hadis).
Kita berpandangan, jika sdr menerbitkan buku untuk kegunaan murid, gunakan ejaan 'hadis' sebab jika tidak kementerian pelajaran akan tolak buku saudara. Jika saudara menerbitkan buku untuk bacaan orang awam, saudara bebas memilih 'hadis' ataupun 'hadith'.
Puan Ainon...jika dilihat dari satu sudut, tidakkah penggunaan perkataan yang punya ejaan yang berbeza ini mengelirukan terutama pada pelajar dan orang luar negara yang mahu mengenali/mempelajari bahasa kita?
...daripada jawapan puan, apa yang dapat saya simpulkan ialah pengunaan ejaan yang betul itu bergantung kepada keadaan. misalnya kalau ia perlukan kelulusan pihak berkuasa (seperti DBP), maka ejaan yang diperakui oleh DBP harus digunapakai, begitu juga sebaliknya...
Sdr Unsunghero, perbezaan ejaan adalah normal, ejaan bahasa Inggeris UK dan US pun ada perbezaan seperti 'colour' di UK tetapi 'color' di US. Istilah pun begitu juga. No problem... Yang penting, tulis jangan tak tulis. Sdr bila akan menulis untuk PTS? Datanglah kursus kami!
Post a Comment
<< Home