Perempuan dan Buku
Perempuan adalah pembeli terbesar buku-buku novel cinta, akhbar tabloid dan majalah terbitan tempatan dalam bahasa Melayu. Inilah faktor yang menyebabkan 90 peratus akhbar tabloid, majalah dan buku tempatan mentargetkan jualan mereka kepada wanita. Pasaran akhbar tabloid, majalah dan novel cinta adalah merata, dari bandar-bandar besar hingga ke ceruk-ceruk kampung.
Jika kita perhatikan gelagat perempuan membeli bahan bacaan, mula-mula mereka akan pergi ke bahagian akhbar tabloid, barangkali kerana harganya murah, kemudian mereka menuju ke bahagian majalah wanita, kemudian keluar semula! Remaja perempuan masuk ke kedai buku dan terus menuju tempat majalah hiburan, kemudian ke rak novel-novel cinta. Mereka tidak membeli akhbar tabloid ataupun majalah wanita.
Beberapa akhbar tabloid wanita dan majalah hiburan dicetak melebihi angka 300 ribu naskhah. Beberapa penulis novel cinta menerima royalti melebihi angka RM300 ribu bagi jualan karya-karya mereka pada tahun 2005 sahaja! Trend ini dapat dilihat secara positif mahupun negatif.
Secara positif kita tahu bahawa ramai wanita suka membaca. Tetapi isunya adalah apakah bahan-bahan yang dibaca oleh wanita kita itu bahan-bahan yang baik bagi kesihatan intelek, psikologi, emosi dan rohani wanita? (Sekadar nota sahaja: Trend peningkatan melonjak pasaran novel cinta juga secara kebetulan berlaku bersama-sama dengan trend peningkatan melonjak jumlah perceraian di kalangan pasangan Melayu dengan nisbah bagi 1 pasangan bukan Melayu bercerai, 3 pasangan Melayu bercerai.)
Siapakah wanita yang masuk ke kedai buku? Menurut seorang pegawai di sebuah rangkaian kedai buku terkenal, mereka berusia antara 16 tahun hingga lewat 30-an. Maklumat ini penting kepada penerbit seperti PTS, kerana ia digunakan bagi merancang jenis-jenis judul buku yang sesuai diterbitkan. Sebagai contoh, disebabkan perempuan 40 tahun ke atas amat kurang masuk ke kedai buku, maka, dari segi bisnes, buku seperti “PANDUAN MENOPAUS” ataupun “PANDUAN MENJAGA CUCU” tidak akan diterbitkan.
Pemerhatian yang kita lakukan mendapati pengunjung perempuan yang masuk gerai PTS di pesta buku PBAKL, mereka itu tidak membeli novel-novel cinta. Ini berdasarkan para pembeli novel cinta menjinjing beg plastik syarikat penerbit novel-novel itu. Pola ini serupa dengan maklumat yang kita perolehi daripada staf kedai-kedai buku besar yang juga perasan trend begini. Wanita yang membeli novel-novel cinta tidak membeli buku-buku lain, dan begitu juga sebaliknya.
Trend ini menimbulkan dua tanda tanya:
Pertama, apakah memang ada dua kumpulan pembaca wanita, dan kedua-duanya memilih buku-buku yang berlainan? Yang membaca novel cinta hanya membaca novel cinta, manakala yang membaca buku-buku umum hanya membaca buku-buku umum? Jika memang begitu, apakah ciri-ciri yang membezakan kedua-dua kumpulan itu?
Sepanjang PBAKL itu, kita dapati majoriti perempuan yang membeli buku-buku motivasi kejayaan kelihatan seperti pelajar-pelajar yang bercita-cita. Barangkali kerana itu mereka tidak membeli novel cinta.
Cabaran bagi penerbit seperti PTS adalah mencari jalan bagaimana hendak menjual buku-buku bermutu kepada perempuan yang sekarang hanya membaca novel-novel cinta. Mereka itu sudah mempunyai tabiat suka membaca dan tidak takut mengeluarkan wang bagi membeli kertas bercetak! Tetapi, apabila mereka masuk kedai buku mereka hanya pergi ke rak-rak novel cinta, mereka tidak pergi ke rak buku-buku lain.
13 Komen :
Puan Ainon...bagaimana pula agaknya pola membaca di kalangan golongan lelaki?
Assalamualaikum...,
Memang remaja perempuan masa kini semacam 'ketagih' dengan novel cinta. Lihatlah bagaimana 'budak besar' mempromosi buku-buku novel mereka. Dari segi bisnes - memang strategi yang menjadi tapi yang bagaimanakah mereka melihat kehidupan pada masa akan datang. Mendapat kekasih yang kacak, kerja yang bagus, kehidupan yang selesa... tapi realitinya tidak begitu.(Maaf.. tak semua novel cinta berkisar perkara ini).
Sesuatu perlu dilakukan. Mungkin bermula disekolah - didik mereka memilih bahan bacaan yang bermutu. Kalau tidak, pola ini akan berterusan.
p/s-Unsunghero. Budak-budak di Sek Izzudin Ipoh(sek lelaki) gemar membaca novel terutama budak ting.1 & 2.
Kena tulis novel cinta yg berlainan la pula, cerita cinta ini memang menarik tapi di pasaran terlampaun klise
Puan,
Maaf, saya keluar topik seketika.
Ceritalah tentang 1. PEARSON, 2. Rashid Husin yang mahu membekalkan buku-buku teks tu!
Kalau malu di sini - e-mellah saya! :)
(Sekadar nota sahaja: Trend peningkatan melonjak pasaran novel cinta juga secara kebetulan berlaku bersama-sama dengan trend peningkatan melonjak jumlah perceraian di kalangan pasangan Melayu dengan nisbah bagi 1 pasangan bukan Melayu bercerai, 3 pasangan Melayu bercerai.)
Apakah ini statistik yang boleh dipercayai atau atau hanya pendapat individu? Secara rasional ini hanya satu tuduhan dan ingin membunuh bisnes orang lain.
Boleh tak kalau kita katakan kelompok novel adalah kelompok awal yang kemudiannya bergerak kepada kelompok kedua iaitu yang cenderung kepada motivasi...Perubahan umur membawa kepada perubahan bukuyang dibaca...
PTS harus segera mengisi lompong yang ada. Jika tidak adalah satu kegagalan kepada PTS kerana gagal mengisi keperluan yang sudah dikenalpasti. Sekali lagi kita berbalik pada persoalan apakah PTS rela melabur menerbitkan `sastera tinggi' sedangkan pulangannya belum tentu. Jika adapun lambat. Realitinya PTS adalah sebuah syarikat bisnes, bukan sebuah syarikat sukarela...
Sdr Anonymous, buruk sangka hukumnya haram. Ampun!
Satu lagi pendekatan yang paling saya tidak gemar bila melontarkan pandangan. Bagi pandangan guna nama anonymous, tak faham falsafah dan prinsip sebuah syarikat janganlah buat kenyataan bukan-bukan, baling batu sembunyi tangan...Sangka baiklah...Kalau boleh menyumbang sekali, kalau anda seorang penulis berkata begini, kena istigfar...Yang jadi punca kegagalan sebab fakulti pemikiran macam saudaralah, tahu hendak suruh orangbuat tapi idea pun tidak dihulurnya... angin aku masih jumpa orang begini walau sudah 20 tahun berlalu...sekarang zaman buat bukan minta-minta-minta
Menceburi bidang penerbitan buku samalah seprti bidang bisnes yang lain. Perlu menguasai ilmu pemasaran. Perlu tahu buat customer profiling. Pelu kaji data demografik.
Pelu bijak menganalisa pasaran dan merangka strategi pemasaran yang betul.
Pemerhatian yg Puan Ainon lakukan sangat menarik untuk dikaji. Jarang saya dapat baca penerbit buku melihat kehendak pelanggan dalam merangka startegi dan mencari niche.
Statistik tu betul, cuma yang mengaitkan antara dua tu rasa-rasanya Puan Ainon. Saya pernah baca surat khabar. surat khabar tu cakap walaupun islam mengandungi lebih banyak undang-undang pasal perkahwinan berbanding agama lain, lebih ramai org melayu bercerai berbanding agama lain. artikel inilah yg Puan Ainon baca agaknya.
Puan,
Setakat pemerhatian saya, sememangnya golongan pembaca terbahagi kepada 2 kumpulan yang berbeza. mereka yang suka membaca novel-novel cinta dan juga 'junk material', jarang membaca bahan-bahan yang lebih bermutu. Saya suka membaca dan saya akan baca apa sahaja, samada dalam bahasa melayu atau bahasa inggeris (sebab 2 bahasa ini aje yang saya fasih), namun maafkan saya, saya tidak akan membaca novel-novel cinta melayu kerana tiada isu sampingan yang menarik untuk dijadikan sebagai cetusan pemikiran. Sekali-sekala saya baca novel cinta, sekadar untuk merehatkan minda, tapi saya hanya akan baca karya Judith McNaught kerana gaya penulisannya yang menarik dan ada unsur-unsur lawak yang praktikal. Di samping itu beliau akan mengenengahkan isu-isu lain yang berteraskan kepada penyelidikan beliau dan bukan menulis ikut sedap hujung jari beliau menaip, contohnya tentang pergerakan wanita yang membantu golongan wanita yang buta huruf, dengan mengadakan kelas-kelas di sekolah awam selepas waktu persekolahan rasmi, tentang dunia perniagaan peruncitan, hartanah, penerbitan majalah DIY.
Pada pendapat saya, minat membaca dan pemilihan bahan bacaan sebenarnya bermula dari rumah. Seingat saya, saya mula membaca ketika di sekolah rendah lagi, bapa saya seorang guru dan aktivis masyarakat sentiasa menyimpan koleksi Dewan Pelajar dan utusan Pelajar dari keluaran pertama lagi. Saya ingat, saya suka curi-curi masuk ke bilik bacaan beliau di rumah saya sekadar untuk membaca majalah dan akhbar itu. kemudiannya saya mula berani mengambil buku-buku dari rak beliau, terdapat beratus-ratus buku yang terdiri dari novel Enid Blyton, Hamka, Shahnon Ahmad dll. Saya akan membaca kesemuanya samada yang berbahasa melayu, inggeris mahupun yang bertulisan jawi, malahan meliputi pelbagai genre, siri kanak-kanak, sastera, dokumentari dan ilmiah. Sehinggakan di awal remaja, peringkat sekolah menengah rendah lagi, arwah ayah saya telah berikan saya buku-buku panduan menulis agar saya akhirnya tidak sekadar membaca karya orang lain. Kini saya sudah jadi bagaikan obses dengan membaca, saya tidak kisah apabila adik-adik saya mengatakan saya ini boros dalam membeli buku.
Saya mempunyai ramai anak saudara. Kebanyakannya tidak minat lagi membaca, apalagi rumah lama kami yang mepunyai bilik bacaan arwah ayah telah musnah dalam kebakaran 2 tahun selepas ayah saya meninggal dunia.
namun terdapat beberapa anak saudara saya yang lelaki yang mulai menunjukkan minat dalam membaca. Saya mengambil peluang untuk memberi galakan dengan membekalkan bahan bacaan yang mereka minta. Ya, novel yang mereka minta ialah siri Goosebumps oleh R.L Stine. Saya langgan novel ini untuk mereka. Dalam masa yang sama saya juga pinjamkan novel Harry potter koleksi saya kepada mereka. Memang mengagumkan, darjah minat membaca mereka naik secara mendadak. Mereka bukan sahaja baca dalam versi bahasa inggeris malah mereka juga mengeluarkan duit sendiri untuk membeli versi bahasa melayu. Mereka baca dalam kedua-dua versi. Mereka juga berminat untuk berbincang tentang buku-buku tersebut. Saya cuba berikan buku The Da Vinci Code, tapi agaknya belum sampai pada tahap pemikiran mereka kerana umur mereka adalah dari 11 tahun ke 15 tahun. Salah seorang dari mereka (yang berumur 15 tahun) juga telah membaca siri Lord of The Ring dan The Hobbits! Malangnya tiada bahan dalam bahasa melayu yang dapat menarik minat mereka.
Puan Norjihan, saya baca komen puan dengan teliti, dan saya yakin Puan dapat menjadi pengarang. Kami jemput puan datanglah ke kursus kami! Saya berminat berkenalan dengan puan.
Post a Comment
<< Home