Kasihan Alif. Disebabkan dia tidak mahu menurut kemahuan Zamri, pipinya menjadi sasaran penampar si Zamri. Semua orang, pelajar dan guru, kenal siapa Zamri.
“Baru tingkatan empat sudah hendak berlagak samseng,” Adi pernah mendengar seorang guru berkata.
Walaupun demikian, tiada tindakan tegas yang diambil terhadap Zamri, paling teruk pun, dia dihantar berjumpa dengan guru besar.
“Mungkin Cikgu Hasan akan hukum dia,” seorang lagi guru pernah membuat andaian.
Andaian tinggal andaian. Cikgu Hasan selaku guru besar pun tidak menghukum Zamri. Sebabnya? Ayah Zamri merupakan penderma terbesar pada tabung PIBG sekolah.
“Takkan awak semua tidak tahu, pagar sekolah kita yang baru diganti itu pun dibiayai sepenuhnya oleh bapa Zamri,” Cikgu Hasan pernah memberitahu dalam mesyuarat guru-guru. Semua guru sudah bosan dengan kerenah Zamri.
“Biarlah budak itu lingkup. Kalau ditegur, nanti dia mengadu kepada ayahnya. Yang penting, gaji aku jalan,” fikir Cikgu Shamala, salah seorang guru di sekolah itu.
Begitulah juga jalur pemikiran guru-guru yang lain, sudah tidak ‘kuasa’ lagi hendak menasihati Zamri, kecuali Ustazah Fatimah.
Ustazah Fatimah masih lagi menyimpan harapan terhadap Zamri. Dia yakin bahawa Zamri boleh dibentuk.
Pada suatu hari, Ustazah Fatimah seperti biasa masuk ke dalam kelas 4 Sains Kuning untuk mengajar subjek Pendidikan Islam.
“Awak semua pernah dengar tentang konsep wasathiah?” Ustazah Fatimah bertanya.
“Pernah, cikgu. Kami belajar tahun lepas,” jawab salah seorang pelajar 4 Sains Kuning, Amli.
“Jadi, awak semua mesti tahu bahawa kita mesti bersederhana, bukan?” Ustazah Fatimah berjalan ke tengah kelas.
Semua pelajar menganggukkan kepala kecuali Zamri yang sedang tidur... berdengkur pula tu!
“Fairos, tolong kejutkan Zamri,” kata Ustazah Fatimah kepada Fairos yang duduk di sebelah Zamri.
“Mengapa awak kacau saya!” Zamri menepis tangan Fairos.
“Ustazah yang suruh saya kejutkan awak.”
“Kenapa awak tidur dalam kelas saya?” soal Ustazah Fatimah.
Seluruh kelas menantikan jawapan daripada Zamri yang dijangka akan ‘berbau’ kurang ajar.
“Ustazah ni kecohlah! Ikut suka sayalah saya hendak tidurkah, hendak apakah, kenapa awak sibuk!” suara Zamri memenuhi ruang kelas 4 Sains Kuning.
“Apa? Dia panggil Ustazah Fatimah ‘awak’?” Adi terkejut dengan jawapan yang keluar dari mulut Zamri.
Ustazah Fatimah masih cuba berlembut, “Zamri, awak tidak sayang pada ibu bapa awakkah?”
“Ustazah jangan babitkan mak ayah saya!” jawapan Zamri boleh membuatkan sesiapa sahaja naik darah.
“Bukan begitu. Mak dan ayah awak mengharapkan awak menjaga mereka apabila mereka tua nanti. Kalau awak terus bersikap begini, bagaimana awak hendak menjaga mak ayah awak nanti?” nasihat Ustazah Fatimah memang tepat pada masanya.
“Sudahlah! Saya tidak mahu dengar lagi leteran ustazah!” Zamri ingin kembali tidur.
“Kalau awak tidak mahu belajar, tolong keluar dari kelas saya!” Ustazah Fatimah mula berkeras.
“Tidak! Saya tidak akan keluar dari kelas! Siapa ustazah, hendak paksa saya keluar kelas? Sedarlah sedikit, ayah saya yang bayar gaji ustazah!” keceluparan Zamri makin menjadi-jadi.
Ustazah Fatimah terdiam, terkejut, tidak sangka Zamri mengeluarkan kata-kata nista yang sebegitu rupa. Ustazah Fatimah tunduk dan kemudian keluar dari kelas 4 Sains Kuning.
“Padan muka! Dia suruh kita keluar, dia yang keluar dahulu. Sekarang kita tahu siapa yang lagi hebat!” Zamri bermegah.
Seminggu lamanya Ustazah Fatimah tidak masuk mengajar kelas 4 Sains Kuning. Dia kemudiannya diganti oleh Ustaz Mahmud.