Saturday, September 09, 2006

Tema Evergreen dan Royalti Berpanjangan

Apabila saudara menulis buku-buku cerita untuk bacaan remaja dan kanak-kanak, salah satu perkara yang mempengaruhi hayat pasaran buku saudara adalah tema dan persoalan dalam cerita.

Tema dan persoalan yang baik adalah:

1. Tema itu tahan sepanjang zaman.
Bagi sesetengah tema cerita, hayatnya adalah sepanjang zaman, sesetengah tema tidak. Tema dan persoalan dalam kisah Nabi Yusuf adalah contoh tema yang hayatnya sepanjang zaman.

Buku cerita jenis ini dapat dijual dalam tempoh waktu yang lama. Malah ia boleh bertahan dalam pasaran sehingga menjadi klasik. Tema jenis ini membolehkan buku cerita saudara itu laku dijual berpuluh-puluh tahun.

Tema cerita dalam Hikayat Hang Tuah juga mempunyai hayat sepanjang zaman. Sehingga hari ini buku hikayat itu masih dicetak dan dijual.

Begitu juga tema cerita dalam novel "Di Bawah Lindungan Kaabah", "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck", "Siti Nurbaya" dan "Salah Asuhan". Tema-tema dalam buku-buku itu masih dapat dinikmati sehingga hari ini walaupun ia mula-mula terbit 40 tahun yang lalu.

Tema cerita-cerita Pak Pandir, Bawang Putih Bawang Merah dan Si Tanggang juga mempunyai hayat sepanjang zaman. Sehingga hari ini cerita-cerita itu masih ditulis semula oleh ramai pengarang dan diterbitkan berkali-kali.

Sebaliknya, sesetengah cerita temanya trendi. Sebagai contoh, tema cerita kejayaan seorang remaja perempuan menubuhkan pasukan futsal yang menjadi juara adalah tema trendi, sebab sukan itu sukan trendi. Apabila sukan futsal sudah hilang glamournya, maka buku itu pun tamat hayat pasarannya.

Sesetengah cerita bertemakan teknologi kontemporari yang singkat usianya. Sebagai contoh cerita yang seputar pc, disket, CD, handphone, sms, mms, emel, blog dan lain-lain. Tema seperti ini cepat menjadi out-of-date, yakni ketinggalan zaman.

2. Tema cerita itu menarik kepada semua golongan.
Sesetengah tema cerita hanya disukai oleh satu kelompok pembaca, manakala kebanyakan pembaca lain tidak suka. Ini mengecilkan pasaran buku saudara itu, ertinya jualan dan royalti saudara juga akan terkesan.

Tema yang disukai oleh baik remaja lelaki mahupun remaja perempuan adalah tema yang besar pasarannya. Tema dan cerita siri Harry Potter adalah contoh tema jenis ini.

Sebaliknya, cerita berkenaan seorang budak lelaki yang pandai bermain chess hanya diminati oleh mereka yang sukakan permainan cess kerana hanya mereka yang dapat mengaitkan diri mereka dengan cerita itu.

Sesetengah tema hanya diminati oleh kanak-kanak perempuan. Cerita tentang nasib malang yang menimpa seorang budak perempuan yang suka melawa dan perasan dirinya lawa hanya diminati oleh budak-budak perempuan manakala budak lelaki tidak suka.

Sesetengah tema juga mempunyai kelompok peminat yang terbatas. Tema cinta pandang pertama, tema cinta teraniaya, tema cinta palsu dan seumpamanya, hanya diminati oleh pembaca perempuan.

Sesetengah tema hanya diminati oleh remaja bandar dan remaja anak orang-orang berada. Sebagai contoh, tema budaya birthday parti, play station, cinta internet, holiday ke luar negara, bunga valentine, picnic keluarga, dan lain-lain gaya hidup kota besar, tidak diminati oleh remaja luar bandar. Buku jenis ini tidak dapat dipasarkan di luar bandar-bandar besar.

3. Tema itu bukan hanya menarik bagi sesuatu kaum sahaja.
Sesetengah tema cerita hanya menarik kepada orang Malaysia sahaja. Ini menyebabkan cerita itu tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain ataupun diekspot ke negara lain.

Tema cerita tentang masalah identiti seorang anak perempuan Cina yang diangkat oleh keluarga India, sebab kulitnya yang putih dan matanya yang sepet sedangkan namanya Parameswary, tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa Thai ataupun bahasa Vietnam sebab kes seperti itu tidak berlaku di sana.

Tema sepasang remaja Melayu kena tangkap khalwat di tepi pantai waktu malam, kemudian dipaksa kahwin, memang tidak dapat diterjemahkan dan diekspot ke mana-mana disebabkan tema cerita itu amat lokal.

Apabila saudara mahu buku saudara diekspot ke Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kampuchea, maka tema cerita saudara perlu memiliki ciri-ciri yang dapat diidentifikasi oleh pembaca di negara-negara itu.

Bisnes syarikat penerbitan saudara bergantung kepada apa kandungan buku-buku yang saudara tulis. Jika buku saudara mempunyai hayat pasaran yang panjang, maka ia amat baik bagi bisnes penerbit saudara.

Apabila perniagaan penerbit saudara bagus dan berkembang sihat, ini bermakna nasib buku-buku saudara juga ikut berkembang sihat. Apabila buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit saudara cepat tamat tempoh lakunya, syarikat itu tidak dapat bertahan lama, ia akan gulung tikar.

Inilah salah satu faktor penting yang diambil kira oleh mana-mana penerbit sewaktu menilai sama ada mahu menerbitkan buku saudara ataupun tidak.


.

Merancang Pendapatan daripada Buku

Kebanyakan penulis tidak mengambil kira pendapatan daripada bukunya apabila menulis buku mereka. Ini lebih-lebih lagi benar di kalangan penulis kreatif. Oleh itu mereka bersikap 'main untung-untungan'. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ikut nasiblah.

Sikap main untung-untungan tidak baik bagi kedudukan ekonomi penulis sendiri. Itulah sebabnya majoriti penulis tidak menikmati gaya hidup di mana semakin dia tua semakin banyak pendapatannya.

Seorang penulis mengadu, katanya dia sudah menulis 22 buah buku, tetapi pada masa ini dia tidak tidak menerima walau seringgit pun royalti daripada buku-bukunya.

Daripada sudut royalti, ada beberapa kategori buku:

1. Buku yang laku dijual banyak, tetapi hayat pasaran buku itu amat pendek.
Contoh buku seperti itu adalah buku ulasan politik semasa. Jika saudara menulis tentang skandal tokoh politik yang 'hot' ataupun buku skandal artis yang 'top', buku saudara itu mungkin meletup tetapi hayat buku itu amat pendek.

2. Buku yang laku beberapa tahun sahaja.
Contoh buku jenis ini adalah buku-buku yang ada kaitan dengan silabus sekolah ataupun maktab. Apabila silabus itu berubah sedikit sahaja pun, tamatlah hayat buku itu. Silabus sekolah disemak dan dikemaskini maksimum 5 tahun sekali, maka selama 5 tahunlah sahaja saudara mendapat royalti daripada buku itu.

3. Buku yang laku banyak pada mulanya, tetapi kemudian makin lama makin kurang laku, sehingga akhirnya tidak laku lagi.
Contoh buku-buku jenis ini adalah novel popular. Novel cinta, novel chicklit, dan teenlit, termasuk dalam kategori ini. Buku-buku novel seram pun termasuk dalam kategori ini.

Pada tahun 60-an, siapa yang tidak membaca novel-novel popular Yahya Samah? Beliau adalah penulis novel popular paling banyak wang waktu itu. Lewat 90-an, siapa yang tidak membaca novel-novel popular Ahadiat Akasyah? Beliau penulis yang hidup paling mewah waktu itu. Baik Yahya Samah mahupun Ahadiat Akasyah, mereka mengalami fenomena 'api yang cepat marak, cepat padam'.

Faktor utama yang menyebabkan novel-novel popular tidak laku berpuluh-puluh tahun adalah disebabkan tema, persoalan dan setting cerita-cerita itu amat kontemporari.

Faktor kedua adalah gaya bahasa dalam novel-novel itu yang juga menggunakan gaya bahasa kontemporari dan parokial, oleh itu ia cepat menjadi out-of-taste dan out-of-date.

4. Buku yang laku sederhana dari mula sampailah berpuluh-puluh tahun masih laku.
Buku jenis ini mungkin laku 3 ribu naskhah setahun tetapi ia terus laku begitu selama berpuluh-puluh tahun. Buku-buku jenis ini termasuklah:

(a) Buku sejarah.
(b) Novel bertaraf sastera.
(c) Buku biografi tokoh-tokoh yang sudah meninggal dunia.
(d) Buku-buku agama.
(e) Buku falsafah.
(f) Buku motivasi yang berdasarkan nilai-nilai agama.
(g) Buku cerita bacaan kanak-kanak dan remaja yang temanya evergreen.

Apabila saudara menulis buku, fikirkan bahawa saudara mencipta harta, yakni harta intelek. Banyak orang menulis buku, tetapi bukunya tidak menjadi harta intelek.

Banyak buku habis sebagai buku. Ada buku menjadi harta intelek, maka buku yang beginilah yang menjadikan saudara makin tua semakin banyak pendapatan, walaupun saudara waktu itu hanya duduk di masjid sahaja!



Buku Sejarah

Banyak sejarawan menyangka buku sejarah tidak dapat dijual, oleh itu mereka tidak mempunyai dorongan menulis buku-buku sejarah.

Sangkaan bahawa buku sejarah tidak ada pasarannya adalah tidak benar. Pasaran buku sejarah tidak ada disebabkan buku-bukunya yang tidak ada. Kelompok manusia yang meminati sejarah memang ada, sebagaimana memang ada kelompok yang meminati buku-buku kereta, orkid, kucing dan hiasan dalaman.

Ciri buku-buku sejarah sebagai produk konsumer adalah:

1. Sejarah diminati oleh kelompok yang sangat khusus. Ertinya mereka memang membeli buku sejarah disebabkan minat yang mendalam.

2. Pembeli buku sejarah membeli bukan disebabkan buku itu mahal ataupun murah. Ini membolehkan harga jualan buku-buku sejarah lebih anjal. Harga buku dikatakan tidak anjal apabila ia naik sedikit pun orang sudah tidak mahu membelinya.

3. Pembeli buku-buku sejarah mempunyai pendapatan yang relatif tinggi. Ditambah dengan minat mendalam, mereka sanggup membeli walaupun harga buku itu tinggi.

4. Peminat buku sejarah membeli buku-buku kegemaran mereka di kedai-kedai elit dan di kedai-kedai buku dalam kampus.

5. Buku-buku sejarah sentiasa dibeli oleh perpustakaan-perpustakaan awam dan sektor pendidikan.

6. Buku-buku sejarah yang ditulis oleh pengkaji sejarah dapat diulangcetak 5 tahun sekali.

Faktor-faktor ini membolehkan buku-buku sejarah dapat diterbitkan dan dijual antara 1500 - 2000 unit. Walaupun jumlahnya kecil tetapi disebabkan ia dapat dijual pada harga yang relatif tinggi, maka ia masih berbaloi diterbitkan.

.


Friday, September 08, 2006

Apa Ada dalam Buku Travelogue?

Apabila saudara menulis buku catatan perjalanan, setiap entri jangan lebih daripada 2 halaman bercetak. Namanya pun 'catatan' oleh itu ia perlu menarik tetapi ringkas.

Apakah bahan dan maklumat yang dicari orang dalam buku catatan perjalanan?

Orang membaca buku travelogue sebab mereka hendak tahu perkara-perkara yang tidak ada dalam buku-buku biasa berkenaan keadaan dan kehidupan orang-orang di tempat itu.

1. Tempat-tempat yang pelik, umpamanya tempat di mana masyarakat di situ meletakkan mayat supaya dimakan oleh burung-burung pemangsa yang liar.

2. Adat resam yang pelik, sebagai contoh adat pengantin lelaki datang dengan membawa 10 ekor lembu hidup sebagai mas kahwin isterinya, yang dianggap amat mahal kerana isterinya amat gemuk.

3. Peristiwa-peristiwa yang lucu yang berlaku kepada seorang pengembara.

4. Watak-watak yang menarik dan luar biasa yang dijumpai dalam pengembaraan, sebagai contoh lelaki muda yang mempunyai dua orang isteri yang terdiri daripada dua adik beradik perempuan.

5. Amalan-amalan bisnes yang menarik, sebagai contoh, si pengembara dibenarkan tinggal percuma dengan tuan pemilik ladang anggur dengan syarat dia bekerja tanpa upah memetik anggur.

6. Bangunan-bangunan yang luar biasa, sebagai contoh restoran yang dahulunya adalah bangunan gereja.

7. Undang-undang luar biasa, sebagai contoh, orang yang ditangkap membuang sampah di bandar itu dihukum bekerja menjadi penyapu sampah setiap hujung minggu selama 10 minggu.

8. Tempat-tempat yang menggerunkan, sebagai contoh, tempat di mana para pesalah menjalani hukuman pancung di khalayak ramai.

9. Ciri-ciri luar biasa, seperti di bandar itu tidak ada sama sekali panggung wayang ataupun kedai video, ataupun supermarket menjual arak.

10. Sukan luar biasa, sebagai contoh sukan lumba katak.

11. Makanan luar biasa, sebagai contoh hidangan di restoran mahal yang terdiri daripada siput babi.

Banyak perkara yang menarik minat pembaca travelogue. Sayangnya orang-orang Malaysia yang belajar ataupun bekerja di luar negara tidak menyimpan catatan perkara-perkara yang menarik sebagai bahan buku travelogue.


.

Menulis Buku Travelogue

Buku yang bertajuk HIKAYAT PELARAN ABDULLAH hasil tulisan Munsyi Abdullah adalah buku travelogue, atau catatan perjalanan, yang paling penting dalam kepustakaan Melayu. Dalam buku ini beliau mencatatkan perkara-perkara yang beliau lihat selama beliau belayar dan mengembara ke Kelantan.

Memang mengejutkan juga bahawa dalam karya Munsyi Abdullah itu terdapat bukti beliau mempunyai intuisi yang tajam tentang cara-cara yang betul bagaimana menulis sebuah buku travelogue.

Hikayat Abdullah termasuk dalam senarai karya agung Melayu yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan Malaysia. Antara karya lain yang termasuk dalam senarai itu adalah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Merong Mahawangsa, Misa Melayu dan Hikayat Raja Pasai.

Buku travelogue tidak serupa dengan buku panduan mengembara ataupun buku panduan pelancong. Buku panduan mengembara dan buku panduan pelancong ditulis untuk pembaca yang bersedia hendak pergi ke tempat-tempat itu.

Buku travelogue menceritakan pengalaman-pengalaman dan perkara-perkara yang luar biasa yang dialami oleh sang pengembara.


.

Psikologi Menerima Kritikan

Entri ini ditujukan kepada angkatan penulis muda PTS, yang baru diperkenalkan dan yang akan diperkenalkan, kepada dunia novel Melayu melalui PTS FORTUNA.

Kata pepatah Tamil, pokok yang buahnya manis sahaja dibaling orang.

Apabila saudara masuk dunia sastera Melayu, saudara memasuki 'kebun ular' oleh itu saudara mesti bersedia dipatuk ular. Tidak ada walau satu orang pun sasterawan Melayu yang terlepas daripada dipatuk ular sastera. Semakin besar kejayaan seseorang itu, semakin banyak pujian dan kritikan yang diterimanya.

Sebagai contoh, pada minggu lalu sasterawan-saterawan negara dikritik dengan sangat kerasnya dalam Utusan Malaysia oleh seorang tokoh besar tempatan dalam teori sastera, Mohd. Affandi Hassan dalam artikelnya "Kembalikan Siuman Sastera Melayu". (Artikel itu disiarkan semula dalam blog Sdr Faisal Tehrani.)

Sebagai penulis, kritikan siapakah yang perlu saudara baca dengan serius? Jawabnya, kritikan daripada tokoh-tokoh yang mengetahui ilmu sastera, sebab mereka mengkritik menggunakan ilmu pengetahuan.

Kritikan daripada ilmuan sastera adalah signifikan kerana:


(1) Apabila novel saudara mendapat perhatian daripada golongan ilmuan bidang sastera, meskipun kritikan mereka itu keras dan negatif, itu adalah suatu pengiktirafan bahawa novel saudara itu sudah mencapai taraf yang layak dinilai sebagai karya sastera.

Ertinya, selagi novel saudara belum disebut oleh pengkritik berilmu, ini bermakna novel saudara belum dianggap bermutu sastera, yakni masih bertaraf novel popular, ataupun novel saudara itu bernilai sastera tetapi belum dikaji dan dinilai oleh ilmuan.


Golongan ilmuan membentangkan kritikan mereka secara rasmi dan bertanggungjawab melalui kolum sastera media massa dan dalam kertas kerja seminar-seminar sastera.

Apabila novel saudara dikritik ataupun dipuji-puji oleh pembaca yang bukan ilmuan dalam disiplin sastera, pandangan mereka itu bukan pandangan yang berdasarkan ilmu.

(2) Kritikan daripada golongan ilmuan sastera, biarpun keras dan negatif, tetapi mengandung maklum balas yang penting tentang novel saudara, dan berguna bagi meningkatkan lagi pencapaian saudara dalam novel-novel akan datang, sebab mereka mengkritik secara rasional dan ilmiah.

Dalam zaman internet, apabila saudara mempunyai blog dan web sendiri, maklum balas ke atas novel saudara daripada rakan dan seteru, amat mudah disampaikan dan diterima.

Pandangan daripada pembaca blog saudara yang mengandungi puji-pujian ataupun kutukan dalam ruang komen blog saudara itu adalah pandangan orang-orang biasa, bukan pandangan ilmuan.


Puji-pujian dan kritikan yang saudara terima daripada mereka yang bukan ilmuan sastera tidak boleh saudara jadikan ukuran kejayaan ataupun kegagalan saudara sebagai penulis disebabkan ia adalah pandangan dan penilaian yang tidak berdasarkan disiplin ilmu dan teori-teori sastera, melainkan citarasa peribadi orang-orang biasa.



.

Thursday, September 07, 2006

Kulit Buku dan Kedai Buku

Entri ini ditulis untuk para designer kulit buku.

Lazimnya apabila designer kulit buku mencipta design kulit buku, mereka melupakan suatu perkara penting, iaitu mengambil kira bagaimana buku itu akan berfungsi dalam kedai buku.

Kulit buku-buku yang disusun dalam kedai hendaklah berfungsi menaikkan seri dan kecantikan kedai itu.

Apabila kedai nampak cantik dari luar, barulah orang yang lalu-lalang di luar kedai itu akan tertarik dan hendak masuk ke dalam kedai dan berjalan-jalan di dalamnya, mula-mula dengan niat menengok-nengok sahaja, tetapi diharapkan akhirnya dia membeli sesuatu yang ada dipamerkan.

Jangan ikut kulit-kulit buku DBP yang muram, malap dan compang-camping itu. Buku-buku DBP, apabila disusun, design dan warna kulit-kulitnya akan memalapkan suasana dalam kedai buku.


.

Wednesday, September 06, 2006

Apabila Pengedar Menjadi Penerbit Hantu

Gosip dunia buku mengatakan penerbit-penerbit indie novel Melayu sedang berdepan dengan dilema tentang hubungan dengan pengedar novel.

Dalam industri buku ada pengedar-pengedar profesional yang menjalankan aktiviti mengedar jenis-jenis buku khusus. Sebagai contoh ada pengedar yang fokus pada buku-buku sekolah sahaja, ada pengedar buku kanak-kanak, pengedar buku-buku perpustakaan dan ada pengedar novel-novel sahaja.

Adalah lazim apabila penerbit menjadi pengedarnya sendiri, yakni mengedarkan sendiri buku-buku terbitannya. Malah penerbit kecil yang merancang menjadi besar perlu dari awal belajar mengedarkan sendiri buku-bukunya.

Di kalangan penerbit indie novel Melayu, isu yang dihadapi adalah kekurangan modal bagi mengedarkan sendiri novel terbitan mereka. Ini menyebabkan mereka sangat bergantung kepada sebuah pengedar novel yang mendominasi pasaran.

Dilema yang dialami oleh penerbit-penerbit indie saat ini adalah pengedar dominan itu menjadi penerbit hantu dengan membiayai penerbitan novel seseorang pengarang yang terkenal.

Di sini si pengarang itu menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri bagi menerbitkan novel-novelnya. Jadi pada novelnya itu memang nama syarikatnya yang tercetak sebagai penerbit rasmi. Tetapi sebenarnya dia tidak mengeluarkan modal percetakan.

Apabila si pengedar itu mengeluarkan wang bagi mencetak novel-novel pengarang itu, ia akan mengutamakan novel-novel itu. Dengan itu berlaku konflik kepentingan bagi mempromosi antara novel-novel yang diedarkannya sahaja dengan novel-novel yang dibiayainya.

Kita mendengar rungutan daripada kedai-kedai buku yang memesan novel pengarang-pengarang lain daripada pengedar tersebut tetapi tidak menerima kiriman.

Bagi pembeli novel, apabila mereka pergi ke kedai dengan niat hendak membeli novel, jika novel pengarang kegemarannya tidak ada, dia takkan hendak balik dengan tangan kosong, sedangkan dia sudah bersusah payang naik bas dan sebagainya pergi ke kedai itu. Jadi dia akan membeli juga novel lain.

Situasi ini paling teruk dirasakan oleh dua kumpulan. Pertama, penerbit indie yang terdiri daripada pengarang sudah terkenal. Mereka dahulu menerbitkan karya mereka dengan Alaf21 ataupun Creative, kemudian mereka menerbitkan karya mereka sendiri dan bergantung kepada pengedar dominan itu.

Kedua, para pengarang terkenal yang menerbitkan karya mereka dengan penerbit-penerbit indie. Dahulu mereka juga menerbitkan novel mereka dengan Alaf21 dan Creative tetapi kemudian mereka menyerahkan novel terbaru mereka kepada penerbit-penerbit indie itu.


.

Tuesday, September 05, 2006

Jumlah Cetakan Pertama

Apabila saudara hendak menerbitkan buku-buku untuk jualan dalam kedai-kedai buku, berapakah jumlah cetakan pertama yang sebaiknya? Berikut adalah panduan umum:

(a) 1500 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi buku-buku semi-akademik dan profesional yang dijual pada harga lebih RM20. Hampir 50% buku-buku terbitan PTS Profesional termasuk dalam kategori ini.

(b) 2000 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi buku-buku bacaan umum yang dijual antara RM16 - RM19. Hampir semua buku-buku terbitan PTS Millenia termasuk dalam kategori ini. Novel-novel PTS Fortuna juga termasuk dalam kategori ini.

(c) 3000 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi cetakan pertama buku karangan penulis yang sudah terbukti buku-bukunya mudah dijual, seperti buku-buku Dr. Danial Zainal Abidin. Termasuk dalam kategori ini adalah buku-buku bacaan kanak-kanak.

Apakah kelebihan mencetak jumlah kecil bagi cetakan pertama?

1. Cetakan pertama adalah ujian bagi mengetahui apakah judul itu laku dijual. Jikalau terbukti laku, tiada masalah mengulangcetak judul itu. Jikalau tidak berapa laku, jumlah yang kecil itu adalah cara menguruskan risiko. Bayangkan jika saudara mencetak 5000 naskhah dan terbukti buku itu kurang laku dan tersadai dalam setor bertahun-tahun.

2. Dalam cetakan pertama seringkali terdapat kesilapan pada isi ataupun pada pakejingnya. Apabila jumlah cetakan itu kecil, stok dapat cepat habis dijual, dan kesilapan itu dapat dibaiki segera apabila diulangcetak. Jika saudara mencetak 5000, ertinya lamalah lagi sebelum semua stok dapat dijual dan kesilapan itu dapat dibetulkan.

3. Cetakan pertama perlu dijual dalam tahun pertama sebab apabila sudah berubah tahun, buku itu semakin sukar dijual. Pembeli hanya membeli buku yang diterbitkan pada tahun semasa, bukan tahun-tahun sebelumnya. Pada fikiran pembeli, buku tahun lalu dianggap tidak bagus kualitinya, itu sebab stok lama masih belum habis!

4. Ada masanya konsep kulit buku itu tidak menarik, oleh itu jualannya tidak laju. Jumlah cetakan yang kecil membolehkan stok dijual habis, dan kulit buku ditukar apabila diulangcetak.

5. Para pekedai mahukan supaya setiap tahun kulit buku ditukar. Jika jumlah cetakan banyak, ini menimbulkan masalah dengan pekedai disebabkan kulit buku tidak ditukar bertahun-tahun.

6. Jumlah cetakan yang rendah membolehkan ruang setor digunakan dengan lebih efisien. Ruang setor mahal sewanya. Ia adalah tempat transit buku antara kilang cetak dan kedai buku. Ia bukan tempat menyimpan buku tidak laku.

Walaupun kos mencetak buku bagi setiap unit semakin turun apabila jumlah cetakan itu dinaikkan, tetapi dengan mengambil kira banyak faktor lain, jumlah cetakan pertama sebaiknya jangan lebih daripada 3000 unit.


.

Ketampanan dan Kejelitaan: Prinsip Surah Yusuf

Unsur lelaki tampan dan perempuan jelita adalah unsur penting dalam teori sastera Islami aliran Surah Yusuf. Mengikut teori ini, kisah yang indah adalah kisah di mana watak utamanya adalah lelaki yang tampan, manakala watak pembantu utamanya adalah watak perempuan jelita.

Justeru, berdasarkan surah Yusuf, bagi menghasilkan kisah yang indah, watak utamanya mestilah lelaki muda dan tampan seperti Nabi Yusuf, manakala watak pembantu utamanya adalah perempuan cantik, seperti Zulaikha. Apabila watak-watak utamanya bukan lelaki tampan dan perempuan jelita, cerita yang terhasil itu nanti mungkin cerita yang menarik tetapi ia bukan 'kisah yang indah'.

Meskipun watak-watak utama dalam sastera Islami adalah lelaki yang tampan dan perempuan yang cantik, ada suatu unsur yang tidak terdapat dalam penceritaan kisah Nabi Yusuf, iaitu maklumat berkenaan tubuh badan Nabi Yusuf dan Zulaikha.

Dalam surah Yusuf sama sekali tidak ada walaupun sepatah perkataan yang menerangkan ciri-ciri tubuh badan Nabi Yusuf dan Zulaikha. Jadi kita tidak tahu apa warna rambut dan mata mereka. Kita juga tidak tahu warna kulit dan ketinggian mereka, sebagaimana kita tidak diberitahu tentang lain-lain bahagian tubuh badan mereka.

Daripada analisis ini dapatlah disimpulkan bahawa dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, pengarang tidak dibenarkan menerangkan ciri-ciri anggota tubuh badan watak-watak lelaki yang tampan dan perempuan-perempuan yang jelita.

Malah perkataan 'tampan' dan 'jelita' itu pun tidak terdapat dalam surah Yusuf. Kita dapat mengemukakan suatu hipotesis apakah ini suatu signal kepada kita bahawa kedua-dua perkataan itu, dan perkataan-perkataan lain yang sinonim maknyanya, sebaik-baiknya tidak digunakan dalam menghasilkan sebuah kisah yang indah.

Bandingkan ini dengan teori sastera konvensional, di mana dalam membina perwatakan, penulis dikehendaki memberikan maklumat detail tentang setiap orang watak, termasuk maklumat berkenaan anggota tubuh badan mereka, atas nama mencipta kesan realisme.



.

Buku Sastera yang Laku

Apabila kita mengkaji senarai novelis yang menerima royalti lebih RM50 ribu setahun daripada jualan karya mereka dalam pasaran terbuka, tidak ada antara nama-nama itu yang terdiri daripada penulis yang diiktiraf sebagai sasterawan.

Keadaan ini mencipta semacam mindset 'sef-fullfilling prophecy' ataupun 'ramalan yang kemudian terbukti menjadi benar' di kalangan para penulis novel sastera.

Jadi, orang sastera percaya novel sastera tidak dapat menghasilkan royalti puluhan ribu setahun. Mereka percaya novel yang laku puluhan ribu naskhah bukan novel bermutu sastera. Kepercayaan itu menyebabkan mereka tidak mempelajari formula-formula karya yang dapat menghasilkan royalti puluhan ribu ringgit setahun.

Akibatnya, mereka pun terus menerus menghasilkan karya-karya yang kemudiannya terbukti tidak dapat dijual puluhan ribu naskhah setahun!

Tidak ada bukti bahawa novel bertaraf sastera mustahil dapat menghasilkan royalti puluhan ribu setahun. Keyakinan bahawa novel bertaraf sastera tidak laku adalah mitos yang dipercayai sebagai suatu kebenaran oleh orang-orang sastera sendiri.

Dalam semua kategori produk, tentu ada yang laku dan ada yang tidak laku! Ini adalah kebenaran. Rolls Royce pun ada modelnya yang laku dan ada yang kurang laku. Apatah lagi yang namanya novel sastera.

Produk-produk sastera tidak berbeza daripada produk-produk lain. Ada produk sastera yang laku dan ada yang tidak. Tetapi apabila kita percaya asal namanya novel sastera maka ia pasti tidak laku, pola pikir seperti ini tidak logik, tidak objektif.

Para penulis novel sastera perlu mempelajari formula-formula karya sastera yang laku. Peminat sastera menunggu-nunggu kemunculan novel-novel sastera yang dapat mereka nikmati dalam proses pembacaannya.

PTS FORTUNA sedang bekerja keras membangunkan seangkatan penulis novel sastera yang dapat menghasilkan royalti berpanjangan kepada para penulisnya. Mudah-mudahan usaha ini dapat menghasilkan statistik jualan yang meyakinkan golongan sasterawan bahawa sastera tidak berseteru dengan wang.


.

Buku Tema Trendi

Apabila saudara menulis buku-buku cerita, pilih tema dan plot cerita yang dapat kekal indah sepanjang masa. Dengan begitu buku saudara dapat dinikmati berpuluh-puluh tahun lamanya. Ini membolehkan penerbit mengulang cetak buku-buku saudara setiap tahun.

Tidak semua cerita dapat bertahan lama dalam pasaran. Laporan dari Amerika mengatakan buku-buku chicklit dan teenlit yang terbit tahun lalu sudah tidak laku tahun ini. Laporan daripada seorang pegawai di sebuah syarikat pengimpot buku di Kuala Lumpur juga mengatakan trend begitu berlaku bagi buku-buku chicklit dan teenlit yang diimpotnya.

Sesetengah tema cerita memang mempunyai musimnya yang singkat disebabkan tema itu dicipta oleh trend-trend dalam media masa. Buku-buku cerita yang ditulis sebagai respons kepada topik-topik trendi tidak dapat bertahan lama dalam pasaran.

Sebagai contoh, apabila majalah MASTIKA berjaya meningkatkan jualannya sehingga 300 ribu sebulan dengan menerbitkan cerita-cerita pelik, TV3 ikut langkah itu dengan menyiarkan siri Misteri Nusantara, maka masyarakat mula berminat dengan topik-topik misteri.

Stesen TV lain pun ikut menerbitkan siri tentang pemburu hantu. Penerbit filem pun ikut cash-in juga dengan menerbitkan filem cerita hantu pontianak. Sekarang ada penerbit buku baru muncul yang ikut memasarkan buku-buku cerita hantu dan kepercayaan karut.

Tema-tema yang dicipta oleh media massa mempunyai hayat pasaran yang singkat disebabkan media massa sentiasa mencipta produk-produk baru dari waktu ke waktu.

Sebagai penulis novel dan buku-buku cerita, elakkan novel dan cerita yang temanya terpengaruh oleh trend-trend citarasa yang dicipta oleh media massa disebabkan tema-tema itu trendi, bukan tema evergreen.



.

Monday, September 04, 2006

Rejab FI sebagai Model Karyawan

Rejab FI adalah penulis buku-buku novel remaja yang 'mati hidup semula'. Pada tahun 70-an dan 80-an beliau banyak menulis novel-novel remaja. Kemudian beliau patah semangat sebab jualan buku-bukunya terhenti, tidak membawa sebarang pendapatan lagi.

Apabila beliau setuju mendapatkan semula semua hak penerbitan buku-bukunya dan membenarkan PTS menerbitkan semula buku-buku itu, barulah Rejab FI hidup semula.

Pengajaran daripada kes Rejab FI:

(1) Nasib baik Rejab FI tidak pernah menjual hakcipta novel-novelnya kepada mana-mana penerbit, oleh itu karya-karya itu dapat diserahkan kepada PTS sebagai penerbit barunya.

(2) Nasib baik jumlah novel remajanya banyak, iaitu hampir 20 judul, oleh itu PTS beminat menerbitkan kebanyakan buku-bukunya. Kalau karyanya kurang daripada 10 buah, susah bagi PTS mempromosi semula nama beliau.

(3) Nasib baik tema novel-novel Rejab FI bersifat evergreen, oleh itu cerita-cerita itu masih dapat dinikmati sampai hari ini walaupun buku-bukunya itu sudah 20 tahun dahulu waktu mula-mula diterbitkan.

Hingga hari ini sudah 10 buah novel remaja Rejab FI yang diterbitkan semula oleh PTS, dan sambutannya baik, dan semuanya sudah diulang cetak. Judul-judul lain sedang diusahakan penerbitannya.

Rejab FI juga seorang pengarang yang mudah dibawa berunding. Beliau mudah memahami mengapa pihak PTS perlu melakukan beberapa perkara sebelum buku-bukunya dapat diterbitkan semula.

Sikapnya yang mudah memberikan kerjasama kepada PTS menjadikan kerja-kerja menerbitkan semula karya-karynya jauh lebih mudah. Hasilnya, daripada sudut pendapatan, hingga saat ini Rejab FI adalah penulis kreatif TOP di PTS.


.

Contoh Surat Mengambil Semula Hak Penerbitan

.Surat

Surat berdaftar

Tarikh: (wajib ditulis)

Kepada,
Pengurus Besar
(nama rasmi syarikat sebagaimana yang didaftarkan dan alamat penerbit)

Tuan,

Perkara: Menamatkan Perjanjian Hak Penerbitan

Adalah dengan ini saya (ejaan nama ikut KP @ ejaan nama pada kulit buku ) sebagai pengarang dan pemilik hakcipta karya yang bertajuk (Judul buku sebagaimana yang diterbitkan) yang diterbitkan pada tahun (tahun pertama terbit) oleh syarikat (Nama lengkap syarikat penerbit itu sebagaimana yang didaftarkan dan tercetak pada halaman inprint buku, cth: PTS Professional Sdn. Bhd. ) memaklumkan bahawa melalui surat ini saya menarik balik dan menamatkan persetujuan yang membenarkan syarikat tuan menjadi penerbit dan pengedar kepada buku yang judulnya seperti disebutkan dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saya dan pihak syarikat tuan tandatangani pada (tarikh dalam dokumen).

Sekiranya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat ini diposkan, saya tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak tuan, maka saya anggap tuan bersetuju dan tuan tiada sebarang halangan bagi saya mengambil semula hak penerbitan buku tersebut dan menamatkan perjanjian itu.

Di atas budi baik dan kesudian pihak syarikat tuan menerbitkan buku saya itu dahulu, saya ucapkan jutaan terima kasih.

Sekian dimaklumkan.

(tandatangan)
.................................................
(Nama penuh seperti dalam KP @ nama sebagaimana dieja pada buku)
(Alamat rasmi)




.

Mendapatkan Semula Hak Penerbitan

Barangkali dahulu saudara pernah menerbitkan buku saudara dengan sebuah penerbit (Penerbit ABC) dan sekarang saudara hendak menyerahkan buku itu kepada penerbit lain (Penerbit XYZ).

1. Adakah saudara menandatangani sebarang dokumen perjanjian penerbitan dengan Penerbit ABC?

(a) Jikalau saudara tidak ada menandatangani apa-apa dokumen dengan
Penerbit ABC, saudara tidak perlu mengambil semula hak penerbitan buku saudara itu. Saudara boleh terus menyerahkan buku itu kepada Penerbit XYZ.

Banyak penerbit kecil-kecilan yang tidak ambil pusing dengan dokumen perjanjian hak penerbitan. Dari segi undang-undang, tanpa dokumen itu saudara sebenarnya tidak pernah menyerahkan hakcipta dan hak penerbitan buku saudara kepada
Penerbit ABC.

Jadi saudara boleh serahkan buku saudara kepada penerbit lain.

(b) Jikalau saudara ada menandatangani dokumen perjanjian penerbitan, maka saudara perlu menulis surat kepada
Penerbit ABC itu dan memberitahu niat saudara hendak mengambil semula hak penerbitan buku itu.

2. Adakah syarikat
Penerbit ABC itu masih ada, masih beroperasi?

(a) Jikalau
Penerbit ABC itu masih hidup, dan saudara ada menandatangani dokumen perjanjian penerbitan, saudara perlu menulis surat kepada penerbit itu.

(b) Jika
Penerbit ABC sudah mati, sudah tidak beroperasi lagi, saudara perlu menulis surat berdaftar kepada alamat lama penerbit itu, dan simpan surat itu apabila ia dikembalikan, sebagai bukti bahawa saudara sudah cuba menghubungi Penerbit ABC.

Selepas saudara menerima semula surat berdaftar yang saudara kirimkan itu, tunggu 14 hari sebelum menyerahkan buku saudara kepada penerbit baru.

Apabila saudara menulis surat mengambil semula hak penerbitan, sentiasa gunakan khidmat pos berdaftar!



.

Sunday, September 03, 2006

Buku Klasik

Pada suatu hari saya bersarapan pagi di sebuah kedai Mamak dengan Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said. Kami berbincang-bincang tentang hal-ehwal buku.

"Dalam bahasa Inggeris ada banyak buku yang menjadi klasik," kata SN itu, yang beliau maksudkan adalah buku-buku karya sastera yang dapat bertahan dalam pasaran selama berpuluh-puluh tahun. "Kenapa dalam Bahasa Melayu tidak ada?" beliau bertanya pendapat saya.

Banyak buku sastera Melayu sudah bertaraf klasik dan masih diterbitkan dan masih laku dijual. Novel-novel HAMKA seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah, novel Marah Roesli Siti Noerbaja, novel Abdoel Moeis Salah Asoehan, novel S. Takdir Alisjahbana Layar Terkembang, novel Achdiat Kartamihardja Ateis, dan banyak lagi masih diulangcetak hingga hari ini.

Buku-buku klasik tidak terhad kepada buku karya sastera sahaja. Bagi setiap kategori buku, akan ada judul-judul klasiknya sendiri. Sebagai contoh, bagi kategori sastera rakyat Melayu, banyak cerita-cerita itu menjadi klasik, sampai sekarang cerita-cerita itu masih ditulis semula dan dijual dalam pasaran.

Dalam bidang perkamusan Melayu, kamus Arab-Melayu karya al-Marbawi adalah bertaraf klasik. Ia masih diulangcetak sehingga hari ini, walaupun sudah ada kamus-kamus Arab-Melayu yang lebih baru.

Bagaimanakah caranya supaya karya saudara dapat menjadi klasik? Ini bukan tugas saudara seorang. Ia adalah tugas penerbit saudara juga.

Sesetengah karya mempunyai ciri-ciri yang membolehkan ia menjadi klasik, tetapi jikalau penerbitnya tidak mahu mengulangcetak buku-buku itu, dan mempromosikannya semula, apakan daya saudara?

PTS sudah berusaha mengulang-terbit novel-novel remaja karya Rejab FI, termasuk judul-judul yang ditulis lebih 30 tahun lalu, dan hasilnya baik sekali. Novel-novel beliau sudah diulangcetak oleh PTS. Usaha PTS ini dapat dilakukan apabila Rejab FI berjaya mendapatkan semula hakcipta novel-novelnya itu daripada penerbit asal.



.