Saturday, September 10, 2005

Mempromosi Buku ke Kedai Buku

Apabila saudara menjadi penerbit, dan saudara hendak mengedarkan sendiri buku-buku saudara, maka saudara perlu mempromosi buku saudara kepada pihak pengurusan kedai-kedai buku. Saudara perlu meyakinkan pengurus kedai buku bahawa buku yang saudara terbitkan itu laku dijual kepada pelanggan yang masuk ke kedainya.

Buku-buku yang dipamerkan di dalam kedai-kedai buku terdiri daripada 2 jenis:

  1. Buku-buku yang tidak dibeli oleh kedai buku itu, sebaliknya diletakkan oleh penerbit sahaja. Mana yang tidak terjual dalam tempoh 3 bulan, buku-buku itu dikembalikan kepada penerbit sebagai 'buku return'. Buku-buku jenis ini lazimnya adalah buku-buku terbitan para penerbit tempatan.

  2. Buku-buku yang dibeli oleh kedai buku, lazimnya ia terdiri daripada buku-buku yang diimport dari luar negara sahaja. Kalau buku itu tidak laku, buku-buku itu tidak boleh dikembalikan kepada penerbit.

Apabila saudara menerbitkan buku, saudara bukan 'menjual' buku saudara kepada kedai buku. Saudara cuma 'meletakkan' sahaja buku saudara dalam kedai-kedai buku itu.

Kedai-kedai buku belum tentu mahu menerima buku saudara bagi dipamerkan dalam kedai mereka, walaupun mana-mana buku yang tidak laku akan saudara ambil kembali. Kalau saudara bersungguh-sungguh memujuk, barangkali mereka ambil satu, dua ataupun tiga naskhah sahaja, dengan janji nanti jika habis terjual mereka akan 'order lagi'.

Pengurus kedai buku adalah orang yang paling berkuasa memilih buku apa yang mereka mahu 'bawa' dalam kedai mereka. Bagi kedai-kedai buku besar, mereka mempunyai petugas khas yang dipanggil 'purchasing officer' yang memilih buku-buku untuk dipamerkan dalam kedai. Mereka inilah yang saudara mesti yakinkan supaya mahu 'membawa' buku-buku saudara.

Mengapakah kedai buku amat memilih-milih buku yang mereka sanggup 'bawa'?

  1. Kedai buku bukan setor penerbit. Kedai buku menyewa kedai-kedai mereka dan mereka membayar sewa itu daripada hasil jualan buku. Kalau buku saudara tidak laku, ertinya saudara sudah menjadikan kedai mereka tempat saudara menyimpan buku tak laku saudara itu secara percuma!

  2. Ruang pameran dalam kedai buku adalah sangat terhad. Jumlah penerbit pula banyak. Masing-masing penerbit mempunyai banyak buku yang hendak mereka pamerkan, itulah sebabnya mereka tidak cukup ruang bagi melayan semua kehendak penerbit. Jadi kedai buku mesti memilih mana-mana buku yang mereka yakin dapat dijual sahaja. Sebagai penerbit, saudara tentu yakin buku saudara dapat dijual, tetapi pekedai buku belum tentu yakin.

  3. Lokasi kedai buku mempengaruhi jenis-jenis buku yang dapat dijual dalam sesuatu kedai itu. Di kawasan perumahan yang ramai penduduknya terdiri daripada orang Melayu, buku-buku Melayu dapat dijual. Sesetengah kedai buku terletak dalam kawasan penduduk Cina, oleh itu buku-buku Melayu tidak laku di kedai kedai itu. Dalam kawasan kampus, buku-buku akademik yang berkaitan dengan kursus yang ramai pelajarnya belajar di situ adalah lebih laku. Buku-buku bisnes dan pengurusan lebih laku dijual dalam kedai-kedai buku besar dalam kompleks membeli-belah yang besar-besar juga. Jadi, buku yang laku di satu kedai, belum tentu laku di kedai lain. Inilah antara faktor mengapa pengurus kedai buku amat cerewet memilih buku-buku yang hendak mereka 'bawa' dalam kedai mereka.

  4. Imej kedai adalah satu lagi faktor mengapa buku saudara mungkin ditolak oleh kedai buku. Ada kedai buku besar yang mempunyai imej penjual buku profesional sahaja. Mereka tidak mahu membawa buku-buku agama disebabkan pada pendapat mereka kehadiran buku-buku agama dalam kedai mereka akan mencacatkan imej profesional mereka.

Itulah 4 faktor utama mengapa buku saudara belum tentu dipamerkan dalam sesetengah kedai buku.


Friday, September 09, 2005

Pasaran Produk Tempatan

Fenomena Mawi bukan fenomena luar biasa. Di mana-mana pun di dunia ini, produk-produk tempatan adalah lebih besar pasarannya daripada produk impot. Mawi adalah produk tempatan. Akademi Fantasia adalah produk tempatan.

Populariti bintang-bintang AF mengatasi rakan-rakan mereka yang dihasilkan oleh penerbit luar negara seperti siri Malaysian Idol. Penyanyi-penyanyi lagu-lagu tempatan, seperti Siti Nurhaliza, adalah lebih kaya daripada mereka yang menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa asing.

Di India yang sudah menggunakan bahasa Inggeris selama 150 tahun sekalipun, pasaran filem-filem yang dibintangi oleh bintang-bintang tempatannya dan lagu-lagu oleh penyanyi tempatannya adalah jauh lebih besar daripada produk impot.

Terbukti dalam sektor 'Pop Culture' produk-produk tempatan jauh lebih berjaya daripada produk impot.

Bagimanakah dengan buku?

Pada suatu masa dahulu pasaran buku-buku fiksyen didominasi oleh buku-buku Inggeris, manakala pasaran fiksyen Melayu amat kecil. DBP yang mencetak 3 ribu naskhah fiksyen Melayu gagal menghabiskan jumlah itu. Sehinggalah penerbit Creative muncul dengan judul-judul fiksyen daripada pengarang-pengarang yang sebelumnya menerbitkan buku mereka dengan DBP! Buat pertama kali pengarang-pengarang fiksyen serius Melayu dapat menerima royalti melebihi RM100.

Selepas Creative muncul penerbit Alaf21 dengan novel-novel cinta remaja. Kini, kedai-kedai buku terbesar di KL menjual antara 600 – 700 buah fiksyen Inggeris sebulan, tetapi menjual 5 – 6 ribu buah fiksyen Melayu sebulan. Buat pertama kali ada pengarang novel cinta yang masih berusia 22 tahun sudah menerima royalti melebih RM150 ribu!

Bagaimana pula dengan senario buku non-fiksyen Melayu?

Buku-buku karya asal Edward de Bono dan Steven Covey sudah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan dijual di kedai-kedai buku dan mendapat sambutan baik.

Puan Ainon Mohd. menulis karya-karya asli dalam Bahasa Melayu bagi memperkenalkan konsep-konsep kreativiti de Bono dengan diberikan konteks Malaysia. Terbukti jualan buku-buku karya Puan Ainon Mohd. mengatasi jualan buku-buku de Bono, baik yang asal mahupun yang diterjemahkan.

Buku Steven Covey 'Seven Habits' yang digarap daripada sumber agama Yahudi sudah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Dr. Danial Zainal Abidin kemudian menulis karya asli beliau '7 Formula' yang digarap daripada sumber Quran. Terbukti jualan buku Dr. Danial mengatasi jualan buku Steven Covey, baik yang asal mahupun yang diterjemahkan.

Di satu pihak lain kita mempunyai pengarang buku-buku motivasi pembangunan diri dalam Bahasa Melayu yang tidak dikaitkan dengan mana-mana pengarang luar, seperti Dr. HM Tuah, Ahmad Fadzli Yusof dan Ahmad Naim Jaafar. Angka jualan buku-buku mereka mengatasi semua angka jualan pengarang-pengarang luar!

Statistik jualan produk-produk yang dihasilkan oleh karyawan tempatan, baik dalam budaya pop mahupun bagi buku, adalah bukti bahawa orang tempatan mahukan produk-produk tempatan yang kualitinya setanding dengan produk-produk karyawan luar.



Thursday, September 08, 2005

Pengarang Melayu Berjaga-jaga!

Selama ini pasaran buku Melayu adalah sangat selamat bagi pengarang-pengarang Melayu. Pembaca Melayu membeli buku-buku karya pengarang-pengarang Melayu. Orang Melayu menulis dalam Bahasa Melayu, dibaca oleh orang Melayu. Duit pembaca buku Melayu langsung masuk ke dalam saku penerbit dan pengarang Melayu. Berpuluh-puluh pengarang Melayu menerima royalti antara RM50 hingga RM100 ribu setahun.

Kini tidak lagi! Data-data yang kita kumpulkan menunjukkan pintu kubu pengarang Melayu sudah pecah. Bahasa Melayu bukan lagi gelanggang permainan pengarang-pengarang Melayu tempatan sahaja.

Berdasarkan lawatan dan perbincangan terbaru antara kita dengan rakan-rakan penerbit di Jakarta, kita meramalkan masa depan pasaran buku-buku Melayu adalah cerah. Manakala pasaran buku-buku Inggeris sekarang sudah mendatar, pasaran buku-buku Melayu adalah 'growth area'.

Di Indonesia, penerbit-penerbit terbesar mereka, seperti Gramedia, Mizan dan Erlangga menerbitkan sekitar 1000 judul setahun.

Trend peningkatan jumlah permintaan bagi buku-buku Melayu terbukti daripada statistik judul-judul TOP 10 di kedai-kedai buku yang menunjukkan dominasi judul-judul tempatan. Ini adalah bukti bahawa pembaca tempatan mahukan buku-buku terbitan tempatan yang membincangkan isu-isu dalam konteks tempatan.

Statistik jualan ini menjadi bukti berlakunya 'ledakan' pada jumlah pembaca buku-buku Melayu. Ledakan ini sudah lama berlaku pada statistik jualan majalah Melayu, kemudian diikuti oleh ledakan jjumlah ualan fiksyen Melayu. Kini ledakan sedang mula berlaku pada statistik jualan buku-buku agama kulit keras dan buku-buku motivasi.

Respon kepada ledakan ini segera diambil oleh pengurusan rangkaian kedai-kedai buku negara ini. MPH Bookstores, Kinokuniya dan Rythm sudah meluaskan ruang pameran masing-masing bagi buku-buku Melayu. Rangkaian Popular yang sekian lama merupakan kubu kuat bagi buku-buku Cina sudah membuka ruang yang luas bagi buku-buku Melayu. Borders pernah cuba mendapatkan 9 ribu judul buku Melayu bagi mengisi ruang pameran buku Melayunya yang seluas 10 kaki persegi.

Menyedari peluang membuat lebih banyak duit melalui Bahasa Melayu, dua pengarang tempatan yang terkenal melalui buku bahasa Inggeris mereka, Billy Lim dan Azizi Ali, mengambil tindakan menterjemahkan buku-buku mereka ke dalam Bahasa Melayu.

Ledakan jualan buku-buku Melayu yang kita saksikan sekarang dihasilkan sebenar-benarnya oleh 'kuasa pasaran terbuka' disebabkan ledakan ini berlaku di dalam kedai-kedai buku, bukan melalui dasar bahasa ataupun projek-projek pembelian kerajaan. Ledakan ini berlaku meskipun kerajaan melaksanakan dasar bahasa Inggeris, dan kerajaan sudah beberapa tahun tidak membuat sebarang pembelian buku-buku tempatan untuk perpustakaan awam.

Pada saat ini bibit-bibit ledakan yang sedang mula dapat dikesan sekarang adalah pada buku-buku bisnes dan pengurusan. Sebagai respon kepada tanda-tanda itu penerbit McGraw Hill sudah mula menterjemahkan judul-judul buku pengarang-pengarangnya yang terkenal, seperti Steven Covey, Tony Buzan, Kiyosaki dan Kotler, ke dalam Bahasa Melayu.

Di Indonesia, Thailand, Jepun, Korea dan Taiwan, 60% buku yang dijual di sana adalah terjemahan buku-buku pengarang luar. Ini bermakna pengarang-pengarang tempatan di negara-negara itu bukan hanya harus bersaing sesama sendiri, tetapi mereka bersaing dengan pengarang-pengarang luar melalui karya-karya terjemahan.

Bagi memenuhi kelaparan pembaca Melayu bagi buku-buku bermutu, pengimpot buku tempatan meningkatkan jumlah pembelian buku-buku dari Indonesia.

Jumlah buku-buku hasil pengarang Indonesia yang diterbitkan dalam edisi Malaysia juga sudah meningkat. Usaha yang paling besar adalah penerbit UTUSAN sedang mengusahakan projek ensiklopedia di mana dimasukkan entri-entri spesifik Malaysia bagi menggantikan entri-entri spesifik Indonesia. Malah proses pembikinan filem bagi ensiklopedia itupun dibuat di sana kerana kos yang jauh lebih murah. Adalah dianggarkan projek itu menelan biaya hampir RM2 juta dan akan terbit tidak lama lagi.

Satu lagi cara yang sedang giat dijalankan adalah penerbit Malaysia memelayukan karya terjemahan dalam bahasa Indonesia sehingga pembaca tidak dapat mengesan bahawa buku itu pada asalnya adalah buku Indonesia. Cara ini adalah lebih cepat dan lebih murah. Penerbit tempatan menjadikan bahasa Indonesia sebagai pintu masuk bagi penghasilan edisi Melayu. Selaras dengan strategi ini penerbit PELANGI sudah membuka pejabatnya di Indonesia.

Pengarang-pengarang buku motivasi tempatan seperti Dato' Dr. Fadhillah Kamsah, Dr. HM Tuah, Dr. Danial Zainal Abidin, Dr. Robiah K. Hamzah, Ahmad Fadzli Yusof, Ahmad Naim Jaafar mesti bersedia menghadapi serangan daripada karya-karya pengarang luar yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Kalau para pengarang dan penerbit Melayu masih tidur, saya tidak tahu!



Lanskap Terbaru Dunia Bisnes Buku Melayu

Gosip terbaru 1:

Syarikat DAWAMA Sdn. Bhd, iaitu syarikat yang menerima penswastaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini membeli 70% saham Penerbit SASBADI.

Penerbit SASBADI adalah salah satu daripada 4 buah 'budak besar' dalam industri buku sekolah. Mereka adalah DAWAMA yang menguasai buku-buku teks sekolah rendah, PELANGI yang sudah disenaraikan di Papan Ke-2 Bursa Saham KL, FAJAR BAKTI iaitu anak syarikat penerbit Oxford International, dan SASBADI.

Jumlah dagangan SASBADI adalah sekitar RM40 – 50 juta setahun. DAWAMA sedang dalam proses memohon penyenaraian di Bursa Saham KL. Dari satu sudut ini adalah strategi bersama DAWAMA dan SASBADI untuk penyenaraian.



Gosip terbaru 2:

Sepuluh (10) orang eksekutif tertinggi Penerbit PEARSON Malaysia baru-baru ini keluar dan menubuhkan syarikat penerbitan mereka sendiri.

PEARSON terkenal kuat dalam sektor buku Melayu peringkat pendidikan tinggi. Sejak belakangan ini PEARSON mula menterjemah buku-buku bisnes dan pengurusannya ke dalam Bahasa Melayu.

Sumber-sumber kita memberitahu PEARSON sedang mencari Pengurus Besar baru dan pasukan eksekutif kanan bagi menggantikan 10 orang yang keluar itu. Dikatakan gaji yang ditawarkan kepada calon pengurus besar itu adalah RM22 ribu sebulan.



Gosip terbaru 3:

Datuk Ng, tuan punya Penerbit PELANDUK, meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi MABOPA (Malaysian Book Publishers Association), disebabkan beliau sudah menjual PELANDUK 100% saham syarikatnya itu kepada pihak yang belum dapat dipastikan kerana masih dirahsiakan.

PELANDUK adalah penerbit yang terkenal dengan buku-buku biografi dan buku-buku tokoh politik yang mahal.

Dato' Ng adalah tokoh penerbitan yang mempunyai hubungan rapat dengan orang-orang terkenal, baik dalam kerajaan mahupun dalam dunia bisnes. Komuniti bisnes buku Melayu meramalkan PELANDUK dibeli oleh Kumpulan MPH yang diketahui mempunyai rancangan mahu membuka sayap penerbitan.



Tuesday, September 06, 2005

Hakcipta Subsidiari

Pada suatu masa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membenarkan sebuah penerbit swasta menerbitkan karya-karya beberapa penulis besar abad ke-20 dalam dunia sastera Melayu.

Mereka yang karya-karyanya diserahkan oleh DBP kepada penerbit swasta itu adalah A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Arena Wati, Abdullah Husain, S. Othman Kelantan, Keris Mas, Awang Had Salleh, Baharuddin Kahar, Hassan Ali, Hassan Ibrahim, Khadijah Hashim, Anwar Rithwan, Ibrahim Omar, Azmah Nordin, Amil Jaya, Shaari Isa, Muhammad Rakawi Yusuf, Rosmini Shaari dan Jong Chia Lai.

Akibat daripada tindakan DBP itu, timbul kekecohan kerana DBP tidak menulis surat kepada para penulis itu bagi mendapatkan persetujuan mereka supaya karya mereka diserahkan bagi tujuan penerbitan kepada penerbit swasta itu.

Selepas beberapa lama kecoh-kecoh, suasana senyap. Barulah mereka yang bising-bising itu tahu apa yang dilakukan oleh DBP itu adalah dibenarkan berdasarkan isi kandungan dokumen perjanjian penerbitan yang mereka tandatangani.

Sebagai penulis muda, saudara mesti ambil waktu dan berhati-hati apabila membaca huruf-huruf halus yang tercetak pada kertas dokumen perjanjian penerbitan dengan syarikat penerbit saudara.

Jikalau dalam dokumen itu terkandung klausa di mana saudara setuju menyerahkan semua hakcipta subsidiari karya saudara kepada penerbit, apa yang dilakukan oleh penerbit itu ke atas karya saudara adalah menjadi hak penerbit itu.

Jadi, jangan kecoh-kecoh kemudian!



Hakcipta Karya Terjemahan

Katakanlah, saudara seorang peminat Yokio Mishima. Saudara sudah menterjemahkan karya mendiang penulis pemenang Nobel Prize itu ke dalam Bahasa Melayu, tetapi saudara menterjemahkannya dengan tidak meminta izin daripada pihak yang memiliki hakcipta karya itu.

Dalam keadaan begini, kedudukan saudara adalah seperti berikut:

1. Apabila saudara menterjemah karya orang lain, maka hakcipta ke atas terjemahan yang saudara hasilkan itu adalah hak saudara. Tidak kiralah apakah saudara mendapat izin ataupun tidak daripada pemilik hakcipta karya asal.

2. Walau bagaimanapun, saudara hanya boleh menerbitkan terjemahan saudara itu dengan meminta izin daripada daripada pemilik hakcipta karya asal. Ertinya, saudara hanya boleh menyimpan sahaja terjemahan saudara itu untuk kegunaan saudara sendiri.

3. Orang lain pula tidak boleh menerbitkan hasil terjemahan saudara itu tanpa izin daripada saudara. Ertinya, jikalau ada orang lain menerbitkan terjemahan saudara itu tanpa izin saudara, orang itu sudah mencuri hakcipta saudara.

Itulah sebabnya, saudara mesti meminta izin daripada pemilik hakcipta sesuatu karya sebelum menterjemahkan karya itu.


Seks dalam Novel Islami

Jikalau saudara mengarang novel yang di dalamnya terkandung unsur seks, bagaimanakah teknik penceritaan unsur seks yang dibenarkan dalam teori novel Islami?

Dalam surah Yusuf terdapat unsur seks dalam episod Siti Zulaikha tergoda oleh keelokan rupa paras Nabi Yusuf. Episod itu diceritakan dengan teknik seperti berikut:

1. Zulaikha, isteri tuan rumah di mana Nabi Yusuf menumpang, menggoda Yusuf supaya memenuhi kemahuannya. Zulaikha menutup pintu-pintu lalu berkata kepada Yusuf, “Marilah ke mari!” (maksud ayat 23)

2. Yusuf berlari menuju ke pintu diikuti oleh Zulaikha. Perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang sehingga terkoyak. Tiba-tiba suami Zulaikha muncul di muka pintu! “Apakah hukuman bagi lelaki yang cuba memperkosa isteri kakanda? Penjarakan dia, ataupun hukumlah dia dengan hukuman berat!” kata Zulaikha kepada suaminya. (maksud ayat 24)

3. “Dia menggodaku supaya aku memenuhi kemahuannya,” kata Yusuf kepada suami perempuan itu. (maksud ayat 26)

4. Perempuan-perempuan di kota itu mencerca Siti Zulaikha. Kata mereka, “Isteri Al-Aziz jatuh cinta kepada pembantu rumahnya sendiri sehingga sanggup menggodanya. Sungguh dia tidak tahu malu!” (maksud ayat 30)

5. Apabila perempuan-perempuan itu terpandang Nabi Yusuf, mereka terpesona oleh keelokan rupa parasnya, sehingga mereka terpotong jari mereka sendiri, sambil berkata, “Demi Tuhan, adakah lelaki ini manusia ataupun malaikat!” (maksud ayat 41)

6. Kata Zulaikha kepada perempuan-perempuan itu, “Sekarang kamu sudah nampak dengan mata kepala kamu sendiri orang yang kamu cerca apabila aku tertarik kepadanya. Memang aku pernah menggodanya supaya membalas cintaku, tetapi dia menolak.” (maksud ayat 32)

Dengan menganalisis teknik penceritaan di atas, beberapa prinsip dapat dikesan:

1. Tidak ada sebarang perlukisan tentang sifat-sifat tubuh badan watak-watak. Tidak ada digambarkan mana-mana ciri fizikal Siti Zulaikha mahupun Nabi Yusuf. Jadi kita tidak diberitahu ciri-ciri kejelitaan Siti Zulaikha mahupun ciri-ciri ketampanan Nabi Yusuf. Prinsip ini membayangkan dalam teori novel Islami, pengarang tidak dibenarkan menerangkan ciri-ciri pada mana-mana bahagian tubuh badan watak yang mempunyi kaitan dengan unsur-unsur seksual. Tidak ada sebarang maklumat dan keterangan, sebagai contoh, berkenaan warna kulit, rambut, mata, ketinggian dan lain-lain seumpamanya itu, baik tentang Siti Zulaikha mahupun Nabi Yusuf.

2. Tidak ada sebarang perlukisan tentang ciri-ciri pakaian dan perhiasan yang dipakai oleh watak-watak. Jadi kita tidak diberitahu apakah pakaian yang dipakai oleh Siti Zulaikha bagi menggoda Nabi Yusuf. Kita juga tidak diberitahu apa pakaian Nabi Yusuf.

3. Tidak ada sebarang perlukisan tentang tingkah laku dan perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh Siti Zulaikha bagi menggoda Nabi Yusuf. Jadi kita tidak diberitahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh Siti Zulaikha dalam usahanya menggoda Nabi Yusuf.

4. Tidak ada perlukisan tentang apa yang terpandang oleh Nabi Yusuf, baik tentang keadaan dalam kamar Siti Zulaikha, mahupun tentang diri Siti Zulaikha.

5. Tidak ada penggunaan perkataan-perkataan emotif bagi perlukisan tentang emosi yang dirasai oleh Siti Zulaikha terhadap Nabi Yusuf, ataupun tentang emosi Nabi Yusuf terhadap Siti Zulaikha.

Apakah teknik penceritaan yang digunakan bagi menggambarkan keelokan rupa paras Nabi Yusuf?

1. Dikemukakan bukti akan ketampanan Nabi Yusuf dengan menggunakan peristiwa perempuan-perempuan yang terpotong jari mereka sendiri apabila terpandang Nabi Yusuf.

2. Digunakan kata-kata yang diucapkan oleh perempuan-perempuan itu yang berbunyi, “Demi Tuhan, adakah lelaki ini manusia ataupun malaikat!”

Apakah teknik penceritaan yang digunakan bagi menerangkan sedalam mana Siti Zulaikha tergoda oleh Nabi Yusuf?

1. Dengan mengemukakan bukti bahawa Siti Zulaikha sanggup mengejar Nabi Yusuf lalu menarik bajunya dari belakang sehingga koyak.

2. Dengan menyebutkan apa yang dikatakan oleh Siti Zulaikha kepada Nabi Yusuf, iaitu “Marilah ke mari!”

3. Dengan menyebutkan kata-kata yang diucapkan oleh Siti Zulaikha kepada perempuan-perempuan itu yang berbunyi, “Sekarang kamu sudah nampak dengan mata kepala kamu sendiri orang yang kamu cerca apabila aku tertarik kepadanya. Memang aku pernah menggodanya supaya membalas cintaku, tetapi dia menolak.”

Suatu persoalan yang menarik di sini adalah analisis ayat “Marilah ke mari!” Bagaimanakah ayat ini harus dibaca?

Hipotesis 1: Ayat itu bibaca dengan menggunakan intonasi ayat penggodaan.

Hipotesis 2: Ayat itu dibaca dengan menggunakan intonasi ayat perintah.

Perkataan-perkataan “marilah ke mari” dapat diubah sama sekali maknanya dengan mengubah intonasi yang digunakan.

Dalam hipotesis pertama, Siti Zulaikha, dalam keadaan dia seorang perempuan yang dalam keadaan mabuk cinta kepada Nabi Yusuf, boleh menggunakan intonasi ayat godaan bagi menyebutkan perkataan-perkataan itu. Jikalau hipotesis ini yang kita gunakan bagi menganalisis kata-kata “marilah ke mari” ertinya dalam dalam teori novel Islami, penggunaan dialog-dialog cumbu-rayu adalah diizinkan, suatu kesimpulan yang tidak disokong oleh bukti-bukti lain dalam teknik penceritaan surah Yusuf. Sedangkan penggunaan ayat-ayat yang menerangkan pakaian dan ciri-ciri fizikal watak pun tidak diizinkan, apatah lagi penggunaan dialog cumbu-rayu!

Dalam hipotesis kedua, Siti Zulaikha sebagai majikan kepada Nabi Yusuf, boleh menggunakan intonasi ayat arahan bagi menyebutkan perkataan-perkataan itu. Jika hipotesis ini yang digunakan, ertinya Siti Zulaikha mengarahkan Nabi Yusuf datang mendekatinya, tetapi Nabi Yusuf dapat membaca kepura-puraan dan tipu helah perempuan itu. Dengan itu, kita dapat membuat kesimpulan bahawa dalam teori novel Islami penggunaan dialog cumbu-rayu tidak diizinkan. Kita berpendapat hipotesis ini adalah lebih kuat.

Analisis teknik penceritaan dalam surah Yusuf menghantar kita kepada dua isu:

1. Bahawa tema tentang watak-watak jahat dan kisah-kisah kejahatan tingkah laku manusia adalah dibenarkan dalam teori penceritaan novel Islami.

2. Bahawa dalam teknik menuliskan tema-tema kejahatan, teori novel Islami mempunyai peraturan yang jelas tentang teknik-teknik penceritaan yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan.

Kita perlu membuat analisis surah Yusuf dengan lebih mendalam.



Monday, September 05, 2005

Apabila Pengarang dan Ilustrator Berkongsi Royalti

Apabila sesebuah buku diterbitkan, isi kandungan buku itu mungkin dimiliki oleh 2 orang ataupun lebih.

Jikalau saudara mengarang cerita untuk bacaan kanak-kanak dan remaja awal, buku saudara itu perlu ilustrasi sebab kanak-kanak dan remaja awal tidak suka membaca buku yang isinya adalah teks semata-mata.

Kejayaan buku kanak-kanak dan remaja awal amat dipengaruhi oleh kualiti ilustrasinya. Ini menyebabkan penerbit mencari pelukis ilustrasi yang baik untuk buku saudara.

Ada beberapa beberapa cara bagaimana ilustrasi dibayar:

  1. Katakanlah yuran ilustrasi yang dibayar kepada pelukis adalah RM500, maka yuran itu dipotong daripada royalti buku saudara. Bayaran itu dipotong sekali sahaja. Cara ini lebih menguntungkan pengarang apabila buku itu dicetak berkali-kali. Kelemahan cara ini adalah lazimnya kualiti ilustrasi kurang bermutu disebabkan hanya pelukis amatur yang sanggup menerima bayaran murah.

  2. Pelukis ilustrasi berkongsi royalti saudara. Pembahagian royalti itu adalah berdasarkan persetujuan antara pengarang dengan pelukis. Cara ini menguntungkan kedua-dua belah pihak pengarang dan pelukis disebabkan cara ini disukai oleh pelukis yang lebih profesional. Hasilnya ilustrasi buku saudara lebih bermutu dan dengan itu peluang jualan buku saudara meningkat adalah lebih baik.

Pengurus syarikat penerbitan saudara lazimnya akan memainkan peranan sebagai orang tengah yang akan memberikan nasihat pembahagian royalti antara pengarang dengan pelukis supaya pembahagian itu digemari oleh kedua-dua belah pihak.



Buku untuk Menghadapi Zaman Meleset

Pada saat artikel ini ditulis, pengurusan tertinggi syarikat-syarikat kereta di Malaysia sudah mula mengarahkan para pengurus pertengahan mereka supaya mengambil langkah-langkah persediaan bagi menghadapi zaman meleset disebabkan sudah ada tanda-tanda kitaran kemelesetan pada jualan kereta mewah.

Apabila berlaku kemelesetan ekonomi, tidak ada sektor yang kebal daripada kesan buruknya, termasuk para penerbit buku.

Buku bukan barangan keperluan utama, seperti halnya beras, minyak dan air. Oleh sebab itu, apabila berlaku kemelesetan ekonomi, jualan buku akan terjejas, sebagaimana jualan kereta mewah akan terjejas.

Setiap kali berlaku kemelesetan ekonomi, sebagai langkah berjimat cermat, kerajaan tidak mengeluarkan kontrak pembelian buku untuk perpustakaan awam. Ini bermakna, yang paling teruk terpukul adalah para kontraktor buku dan para penerbit buku yang banyak bergantung kepada pembelian kerajaan, termasuk para penerbit buku-buku teks sekolah.

Tanpa kontrak kerajaan, penerbit terpaksa hidup dengan menerbitkan buku-buku yang dapat dijual melalui kedai-kedai buku.

Ulat-ulat buku akan terus membeli buku, tetapi disebabkan pendapatan yang berkurangan, mereka tidak membeli buku-buku mahal. Ini bermakna, hanya buku-buku murah dan sederhana sahaja yang dapat dijual dalam zaman meleset.

Disebabkan pendapatan golongan menengah jatuh, permintaan untuk aktiviti hobi luar rumah akan jatuh, sebaliknya orang ramai akan menumpukan perhatian kepada jenis-jenis hobi yang dapat dilakukan di rumah, seperti bertanam bunga dan sayuran, membela ikan dan seumpamanya. Jadi jualan buku-buku dan barang-barang yang berkaitan dengan hobi-hobi itu akan naik setiap kali ekonomi meleset.

Bagi para penulis, saudara semua perlu merancang judul-judul buku yang saudara perlu tulis bagi menghadapi zaman meleset oleh sebab judul-judul yang laku dalam zaman mewah tidak laku dalam zaman meleset.

Bagi para penulis PTS, tulis emel saudara kepada blog ini untuk mendapatkan artikel lengkap ini.