Lesen penerbitan: 21 hari iddah dan rujuk
Apabila saudara memberikan lesen penerbitan kepada mana-mana penerbit, IKIM umpamanya, klausa begini mesti dimasukkan dalam dokumen perjanjian:
“Jikalau dalam masa (21 hari) selepas tamat tempoh pelesenan, pengarang tidak ada apa-apa bantahan yang disampaikan secara bertulis, maka dengan sendirinya tempoh pelesenan itu disambung untuk tempoh (3) tahun lagi.”
Klausa di atas adalah AMAT PENTING kerana:
Klausa itu menyebabkan pegawai-pegawai syarikat penerbit saudara memberikan layanan lebih sopan kepada saudara, sebab jika saudara tidak puas hati dengan layanan mereka, saudara tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik semua buku-buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain yang lebih sopan melayan saudara.
Klausa itu menyebabkan penerbit saudara takut hendak menipu saudara dalam perkiraan royalti dan pembayaran royalti, sebab kalau saudara rasa ia menipu saudara, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain yang lebih pandai berniaga.
Klausa itu menyebabkan penerbit saudara tidak boleh ambil lewa menjual buku saudara, sebab jika tidak laku, saudara tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain yang lebih pandai berniaga.
Jika buku saudara diedit dengan cara-cara yang saudara tidak setuju, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.
Pegawai-pegawai syarikat penerbit tidak boleh menzalimi saudara. Bukan tidak ada kes pegawai penerbit bergaduh dengan penulis, lalu dia sengaja tidak mahu mengulangcetak buku-buku penulis itu, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.
Jika syarikat penerbit menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu mengulangcetak buku saudara, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.
Jika syarikat penerbit itu dijual kepada orang lain, umpamanya ia jual kepada bangsa asing, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.
Jika syarikat itu dibangkrapkan oleh pemiutang, dan harta-hartanya dilelong, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.
Klausa ini adalah baik kepada penerbit dan penulis. Dengan adanya klausa ini penerbit akan menjalankan bisnesnya dengan lebih teratur, sebab, kalau banyak perkara tidak betul, semua penulisnya akan lari!
Banyak penerbit Melayu bungkus sebab mereka tidak takut penulis lari, sebab mereka tahu walau apa kezaliman yang dilakukan ke atas penulis, hakcipta dan hak menerbitkan buku itu sudah menjadi milik penerbit. Ini menyebabkan pegawai-pegawai yang menguruskan syarikat itu melakukan banyak kesilapan dalam pengurusan bisnes. Kesilapan yang paling mudah dilakukan adalah bergaduh dengan penulis.
Tanda-tanda awal bisnes sesebuah syarikat penerbitan itu akan merosot adalah apabila penulis-penulisnya mula lari, lepas seorang, seorang. Faktor paling utama penulis lari adalah kerosakan pada hubungan baik antara penulis dengan pegawai-pegawai dalam syarikat itu dan hilangnya rasa kepercayaan. Apabila syarikat nazak, siapa lagi yang untung kalau bukan printer, kerana hutang penerbit yang paling besar adalah kepada printer-printernya.
********
Hak Penerbitan: Bercerai automatis
Apabila saudara melesenkan hak penerbitan karya saudara kepada penerbit, IKIM sebagai contoh, berapa tahunkah tempoh yang saudara telah berikan? Selagi ada bulan dan matahari?
Tempoh yang paling baik adalah antara 3 hingga 5 tahun sahaja. Jangan lebih!
Dalam masa 1 tahun penerbit sudah tahu sama ada buku itu laku ataupun tidak. Kalau buku itu masih berlambak dalam setor, maknanya buku itu tidak laris. Dalam masa 3 tahun penerbit sempat menjual lelong buku-buku yang tidak laku itu, dan cuba mendapatkan semula mana-mana modal yang masih dapat diselamatkan.
Apabila tempoh itu tamat, secara automatik, saudara dan penerbit saudara bercerai! Saudara mendapat semula hak penerbitan buku itu, dan saudara boleh lakukan apa sahaja kepada harta intelek saudara. Saudara tidak perlu menulis surat ataupun bergaduh-gaduh dengan penerbit saudara sebab saudara hendak menyerahkan buku saudara kepada penerbit lain.
Jika buku itu laku, tempoh itu boleh diperpanjangkan selama 3 tahun lagi, dan begitulah seterusnsya.
Buku saudara mungkin bagus, tetapi penerbit saudara yang tidak pandai menjual buku. Saudara boleh cari penerbit lain. Jika hak penerbitan buku itu sudah diserahkan buat selama-lamanya, apa lagi yang dapat saudara lakukan?
Cuba baca semula dokumen perjanjian yang saudara tandatangani. Ada ataupun tidak dituliskan bila tamat tempoh pelesenan hak penerbitan yang saudara berikan itu?
********
Hakcipta: Sudah jatuh, ditimpa tangga
Apakah implikasinya apabila penulis ataupun penterjemah memindahkan hakcipta karyanya kepada penerbit, waima penerbit milik kerajaan sekalipun?
Sampai bila-bila, saudara sebagai penulis ataupun penterjemah tidak menerima apa-apa bayaran lagi.
Jika syarikat penerbit itu tutup, saudara tidak dapat berbuat apa-apa. Katakanlah, besok lusa IKIM ditutup oleh kerajaan, saudara tidak dapat berbuat apa-apa. Jika buku saudara itu masih diminati ramai, dan ada penerbit lain yang berminat menerbitkan karya itu, saudara tidak berhak menyerahkan karya saudara kepada penerbit berkenaan. Dalam situasi begini hakcipta itu dimiliki oleh sebuah organisasi yang tidak beroperasi lagi. Saudara amat rugi, penerbit lain pun amat rugi, malah lebih rugi adalah masyarakat yang tidak dapat membeli dan membaca karya saudara itu. Ingatlah, kemungkinan kerajaan membuka dan kemudian menutup mana-mana kementerian, agensi ataupun jabatan bukanlah perkara yang jarang berlaku! Maka, hanya karyawan bodoh sahaja mahu menyerahkan hakcipta karyanya kepada agensi kerajaan.
Jika syarikat penerbit itu dijual kepada orang lain, hakcipta itu menjadi harta sesiapa yang membeli syarikat itu. Katakanlah PTS dibeli oleh Karangkraf, maka semua hakcipta yang diserahkan kepada PTS menjadi milik Karangkraf sampai bila-bila. Jika PTS dibeli oleh penerbit besar dari luar negara yang dimiliki oleh Yahudi Amerika, maka karya saudara akan menjadi milik Yahudi Amerika itu!
Syarikat itu boleh berbuat apa sahaja sekehendak hatinya ke atas karya saudara, dan saudara tidak dapat berbuat apa-apa.
Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said pernah ditawarkan oleh sebuah syarikat Singapura sebanyak 1.4 juta ringgit untuk semua hakcipta karyanya. Beliau menolak tawaran itu disebabkan beliau teringat suatu kes yang melibatkan salah sebuah novel Pearl S. Buck, pemenang Nobel Prize. Beliau telah menjual hakcipta salah sebuah novelnya dengan harga yang amat lumayan. Kemudian baru beliau sedar, hakcipta itu dibeli supaya novel yang mengkritik dasar-dasar luar Amerika itu tidak dapat diterbitkan lagi oleh mana-mana pihak!
*******
Cetak dan ulangcetak: Hak penulis
Adalah hak penulis diberitahu berapa jumlah cetakan pertama bukunya. Dan setiap kali buku diulangcetak, penulis hendaklah diberitahu jumlah cetakannya dan juga berapa harga jualannya, jika ada perubahan.
Kedua-dua hak ini hendaklah dituliskan dalam dokumen perjanjian penerbitan. Ini memudahkan proses tindakan mahkamah apabila penerbit ingkar memenuhi klausa berkenaan.
Banyak penerbit menipu penulis dengan berbagai cara, antaranya:
Penerbit diam-diam mengulangcetak buku, langsung tidak memberitahu hal itu kepada penulis. Ini bagi mengelak daripada membayar honorarium ataupun royalti sama sekali. Adakah IKIM, secara sedar ataupun tidak, telah melakukan penipuan jenis ini kepada para penulis dan penterjemah buku-buku IKIM yang sedang dalam urusan diulangcetak dengan kerjasama MPH?
Penerbit mencetak 5 ribu naskhah tetapi memberitahu penulis jumlah itu kononnya cuma 2 ribu naskhah. Dengan cara ini penerbit dapat menipu penulis tentang jumlah sebenar honorarium ataupun royalti yang perlu dibayar.
Penerbit mengatakan buku itu tidak laku, tetapi buku itu diulangcetak berkali-kali dengan cara tidak menuliskan pada inprint buku akan maklumat ulangcetak itu. Setiap kali diulangcetak, yang tertulis tetap Cetakan Pertama 1999, umpamanya, padahal buku itu sudah 5 kali ulangcetak! Degan cara ini penerbit dapat lari daripada membayar honorarium ataupun royalti ulangcetak sama sekali.
Buku itu diulangcetak dengan judul baru, supaya penulis tidak sedar bukunya itu diulangcetak. Dengan cara ini penerbit dapat lari daripada membayar honorarium ataupun royalti.
Buku itu diedit dan ditokok tambah, kemudian dicetak semula dengan diberikan nama pengarang lain, di mana nama itu adalah nama rekaan semata-mata. Dengan cara ini penerbit dapat lari daripada membayar honorarium ataupun royalti.
Penerbit diam-diam menaikkan harga jualan buku ulangcetak. Ini dilakukan dengan tidak mencetak harga jualan itu pada buku. Dengan cara ini penerbit dapat mengurangkan honorarium ataupun royalti penulis.
Penerbit yang tidak bersih etikanya mempunyai pelbagai cara membuat keuntungan dengan mengambil kesempatan atas kebodohan penulis.
*******
Hakcipta subsidiari: Si cerdik hanya dapat memakan si bodoh
Salah satu hakcipta subsidiari adalah hak menerbitkan semula cerita asal dalam bentuk skrip filem. Novel “Ranjau Sepanjang Jalan” oleh Shahnon Ahmad pernah difilemkan. Yang terbaru adalah novel “Main-main Cinta” oleh Meor Shariman.
Jangan serahkan hakcipta edisi skrip filem saudara kepada mana-mana penerbit buku. Umpamanya, jika buku saudara diterbitkan oleh IKIM, hakcipta edisi skrip filemnya jangan serahkan kepada IKIM. IKIM bukan penerbit filem, maka IKIM tidak akan memperdagangkan karya saudara ke pasaran industri filem, oleh itu saudara tidak akan mendapat royalti tambahan daripada usaha pemerdagangan seperti itu.
Begitu juga, jangan serahkan hakcipta edisi komik buku saudara kepada IKIM, kerana IKIM bukan penerbit buku-buku komik!
Apabila penulis tidak mempunyai pengetahuan tentang cara-cara yang betul menguruskan harta inteleknya, mereka melakukan banyak tindakan yang amat merugikan diri mereka sendiri.
Salah satu kebodohan penulis adalah menandatangani dokumen perjanjian penerbitan yang menyerahkan SEMUA 25 kategori hak-hak subsidiari karyanya kepada penerbit bukunya, buat SELAMA-LAMANYA!
Siapakah penulis yang paling teruk ditindas penerbit? Jawabnya, penulis muda yang baru pertama kali hendak menerbitkan karyanya. Sampai hari ini, amalan begini masih berleluasa.
Gosip mengatakan Faisal Tehrani adalah salah seorang yang pernah mengalami penindasan seperti itu. Hakcipta salah sebuah novel beliau dipaksa diserahkan kepada penerbit sebagai syarat jika beliau mahu novelnya diterbitkan. Siapakah penerbit itu? Jawabnya, sebuah penerbit novel yang amat terkenal pada masa ini.
*******
Lesen Hak Penerbitan: Jangan ajar si miskin mengail ikan, nanti dia cuma dapat makan ikan. Ajar si miskin berniaga ikan, nanti baru dia kaya....
Apabila saudara menghasilkan sebuah karya, saudara sudah mencipta suatu harta yang berpontensi menjadikan saudara seorang yang kaya. Hakcipta saudara adalah sesuatu yang perlu saudara perdagangkan, barulah dengan itu ia mencipta sumber-sumber kekayaan.
Katakanlah saudara adalah penterjemah “Perjalanan Ibnu Batutah”. Saudara dapat lakukan sebagaimana berikut:
Serahkan hak menerbitkan edisi kulit keras-mewah sahaja kepada IKIM. Dan beri tempoh 3 tahun sahaja, sebab dalam masa 3 tahun itu dijangkakan IKIM mempunyai masa yang secukupnya membuat keuntungan daripada penjualan edisi kulit keras itu. Edisi kulit keras digemari oleh perpustakaan dan golongan berwang.
Selepas tamat tempoh 3 tahun, saudara boleh serahkan hak menerbitkan edisi kulit lembut kepada IKIM ataupun mana-mana penerbit lain. Kulit lembut akan dijual dengan harga lebih murah untuk pembeli individu.
Selepas 3 tahun, saudara serahkan hak edisi ringkasan kepada IKIM ataupun mana-mana penerbit lain.
Serahkan hak edisi komik kepada IKIM ataupun mana-mana penerbit lain.
Serahkan edisi buku bergambar kepada IKIM ataupun mana-mana penerbit lain.
Setiap kali saudara memberikan hak penerbitan karya saudara kepada mana-mana penerbit, nyatakan dengan jelas hak yang mana yang saudara lesenkan, dan untuk tempoh berapa lama.
*******
Malang Pak Kadok:
Hakcipta dan Hak Penerbitan adalah dua konsep yang mesti difahami oleh penulis, demi kebaikan penulis sendiri. Banyak penulis mengalami kerugian besar disebabkan mereka tidak memahami kedua-dua konsep ini.
Hakcipta dan Hak Penerbitan adalah dua hak yang berasingan. Majoriti penulis hanya faham secara kabur konsep 'hakcipta' sahaja. Malah ada Sasterawan Negara yang tidak faham wujudnya apa yang disebut 'hak penerbitan'. Akibatnya mereka menandatangani perjanjian penerbitan yang amat merugikan penulis.
Apabila saudara menulis buku, secara automatik hakcipta dan hak penerbitan buku itu adalah milik saudara. Sesiapa yang memiliki hakcipta karyanya, dia juga memiliki hak menerbitkan karya itu. Baik hakcipta mahupun hak penerbitan, kedua-dua boleh dipindahkan kepada pihak lain.
Jadi ada penulis yang memindahkan hakciptanya kepada penerbit. Sebagai contoh, novel Keris Mas “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” hakciptanya sudah dibeli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Jadi hakcipta karya itu sudah menjadi milik DBP. Hak Penerbitannya juga dimiliki oleh DBP.
Kalau besok lusa novel “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” itu diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh sebuah penerbit Jepun, dan berjaya dijual 100 ribu naskhah di sana, semua royaltinya diambil oleh DBP. Hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak Jepun. Jika novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Hindi di India, hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak di India. Royaltinya diambil oleh DBP. Jikalau novel itu difilemkan, royaltinya pun 100% dikaut oleh DBP.
Jika saudara tidak mahu menjual hakcipta buku saudara kepada mana-mana penerbit, apakah yang mengizinkan sesebuah penerbit menerbitkan buku saudara?
Begini: Saudara hanya mengizinkan penerbit itu menerbitkan buku saudara sahaja. Jadi, kepada penerbit itu, saudara memberikan hak bagi menerbitkan, mencetak, menyimpan, mengedar dan menjual buku saudara. Sebagai imbalan, saudara akan dibayar sekian-sekian banyak royalti ataupun honorarium.
Isunya sekarang, berapa lama tempoh yang saudara benarkan si penerbit memegang hak menerbiktan buku saudara itu?
Cuba saudara baca balik klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan penerbit itu. Ada ataupun tidak dinyatakan tempoh hak penerbitan yang saudara berikan kepada penerbit itu - selama satu tahun, lima tahun, dua puluh tahun, ataupun 'selagi ada bulan dan matahari'?
Dalam tempoh hak penerbitan, walaupun hakcipta buku itu saudara punya, tetapi saudara tidak boleh menukar penerbit saudara. Katakanlah, penerbit saudara adalah IKIM. Berapa tahun saudara berikan IKIM memegang hak menerbitkan karya saudara?
Jikalau dalam dokumen perjanjian penerbitan dengan IKIM itu, tidak disebutkan had tempoh hak penerbitan itu, ini bermakna, saudara menyerahkan hak penerbitan buku saudara itu itu kepada IKIM sampai bila-bila! Ini umpama saudara membuat rumah, jadi rumah itu adalah milik saudara, tetapi saudara sudah memberikan hak menghuni rumah itu kepada orang lain sampai bila-bila.
Kasihan Pak Kadok, ayamnya menang, kampungnya tergadai....
*****
Berita terkini:
Kita mendengar, karya agung "Pengembaraan Ibnu Batutah" terjemahan Syed Nurul Aqla sedang dicetak oleh MPH Printing Sdn. Bhd. Ia dijadualkan siap cetak minggu hadapan. Selain itu ada 4 lagi tajuk IKIM lain juga akan diulangcetak oleh MPH dengan kerjasama IKIM. Hak pengedaran akan diambil oleh MPH Distributors Sdn. Bhd. yang akan mengedarkan buku-buku secara lebih meluas iaitu kepada semua kedai-kedai buku utama.
Apabila dihubungi, Syed Nurul Aqla memberitahu beliau belum dihubungi oleh IKIM berkenaan karya beliau itu.
*****
Untuk saudara yang baru menjadi pembaca blog ini, kita ulangsiar entri ini yang pernah disiarkan pada 21 Ogos 2005.
Apabila saudara menandatangani perjanjian penerbitan buku dengan syarikat penerbit saudara, berapa hak penerbitan buku itu yang saudara serahkan?
Ambil peringatan bahawa apabila saudara mengarang sebuah buku, saudara bukan lagi mencipta sebuah karya. Saudara sudah mencipta sebuah HARTA. Dalam sebuah karya terkandung banyak potensi eksploitasi harta intelek itu.
Apabila saudara membuka perbincangan dengan mana-mana penerbit tentang karya saudara, saudara sebenarnya sedang menjalankan urusniaga ke atas harta intelek saudara.
Walaupun hakcipta karya saudara itu masih saudara pegang, tetapi hak mengeksploitasi karya saudara itu adalah isu lain. Kepada siapakah saudara berikan lesen menerbitkan senarai hak-hak saudara seperti yang tersenarai di bawah?
Hak menerbitkan edisi kulit keras.
Hak menerbitkan edisi kulit lembut.
Hak menerbitkan edisi paperback.
Hak menerbitkan edisi ringkasan.
Hak menerbitkan edisi bergambar.
Hak menerbitkan edisi E-book.
Hak menerbitkan edisi-edisi terjemahan, dan nyatakan dengan tepat ke dalam bahasa apa.
Hak menerbitkan edisi komik.
Hak menerbitkan edisi 'downloadable' melalui Internet.
Hak menerbitkan edisi audio-book.
Hak menerbitkan edisi braille.
Hak menerbitkan edisi bersiri dalam akhbar ataupun majalah.
Hak menerbitkan beberapa bab dalam Internet sebagai bahan promosi.
Hak menerbitkan edisi buku digital dalam bentuk non-downloadable 'hand-held devices'.
Hak menerbtikan edisi adaptasi menjadi skrip animasi.
Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip filem.
Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip siri televisyen.
Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip teater pentas.
Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi modul latihan.
Hak menerbitkan cerita-cerita 'sequal' atau sambungan yang dihasilkan oleh pengarang lain.
Hak mendaftarkan judul buku ataupun nama-nama watak, ataupun wajah watak-watak dalam buku bagi tujuan pemerdagangan.
Hak menjadikan watak-watak dan jalan cerita sebagai computer games.
Hak merchandising.
Hak watak-watak dalam karya saudara dijadikan duta iklan barangan dan kempen komersial.
Hak menerbitkan semula edisi asal mengikut wilayah pemasaran.
Jangan ambil ringan pengurusan Harta Intelek saudara. Pilih dan nyatakan dengan tepat hak penerbitan mana yang saudara lesenkan kepada sesuatu penerbit itu. DAN nyatakan dengan tepat tempoh lesen yang saudara serahkan itu.
Penerbit tentu mahu supaya saudara menyerahkan semua hak ke atas harta intelek saudara kepadanya dengan tempoh yang tiada hadnya. Tetapi saudara jangan terperangkap sehingga saudara menandatangani dokumen yang amat merugikan diri saudara sendiri disebabkan saudara tidak mahu ambil tahu tentang hak-hak saudara sebagai pengarang. Berurusanlah dengan penerbit yang mengamalkan etika bisnes yang baik sahaja. Baca nota kaki di bawah entri ini.