Buku Ala Kuih Tempah
Di negara-negara maju, zaman penerbit duduk di meja pejabat menanti penulis datang membawa manuskrip sudah lama berakhir. Ini zaman bisnes penerbitan ala ‘kuih tempah’.
Strategi inilah yang ditiru oleh PTS. Itulah sebabnya PTS melabur dalam mengadakan secara percuma aktiviti kursus penulisan dan mentoring bagi mendapatkan bakat-bakat baru supaya mereka menghasilkan produk-produk baru yang dirancang oleh PTS.
Sebagai contoh, bagi program novel jibunsyi dan novel remaja, PTS mula melatih penulis-penulisnya seperti Ashadi Zain, Zafran, Haslisa Ramli dan Ida Rizyani sejak tahun 2004. Edisi remaja jibunsyi mereka mula diterbitkan ada tahun 2006, manakala hanya pada tahun 2007 edisi besar jibunsyi mereka dapat diterbitkan.
Proses kuih tempah ini juga dilakukan bagi program penerbitan bukan fiksyen PTS. Buku hit “Rahsia Bisnes Orang Cina” ditulis atas permintaan penerbit kepada Ann Wan Seng. Sekarang beliau sedang menulis buku “Rahsia Bagaimana Orang Cina Mengembangkan Wangnya”, juga atas permintaan kita.
Strategi inilah yang membolehkan PTS secara konsisten menghasilkan judul-judul baru setiap bulan, kerana jumlah penulis PTS kini sudah hampir 200 orang, masing-masing sudah tahu mereka menulis untuk siri PTS yang mana.
Strategi ini juga sekarang sudah mula dilakukan oleh ALAF21, dan pendatang baru KarnaDya. (KarnaDya akan mengadakan bengkel penulisan pada 18 Nov 2006, sila mendaftar.)
Cara kerja begini tidak sesuai dengan jiwa sasterawan yang sangat menghargai kebebasan dalam proses berkarya.
Faktor ini menyebabkan PTS bekerja keras membangunkan angkatan penulisnya sendiri yang terdiri daripada bakat-bakat terpendam dan baru sama sekali.
Hikmah di sebalik kesukaran cara kerja begini adalah kita menemui bakat-bakat besar daripada kelompok yang tidak disangka-sangka, yakni golongan terpelajar dan profesional seperti jurutera, akauntan, doktor, peguam dan pensyarah, yang memiliki bakat menulis semula jadi.