Entri ini ditulis untuk mentee-mentee SifuPTS yang sedang bekerja keras hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa.
Percayalah, penulis dapat hidup daripada royalti buku-bukunya. Ini bermakna saudara perlu mempunyai banyak buku yang laku dijual bertahun-tahun, supaya setiap buku mendatangkan perolehan yang berterusan.
Kata pepatah Tamil, satu batang pokok getah tidak jadi sebuah estet. Maka, tulislah banyak buku, jangan berhenti menulis, istiqamah.
Sebuah buku novel remaja mungkin mendatangkan royalti RM2 ribu setahun, tulis 10 buku, royalti saudara RM20 ribu setahun.
Fokus. Fokus. Fokus.
Saudara mungkin dilahirkan dengan bakat menulis yang tinggi. Tetapi bakat sahaja tidak menjamin buku-buku saudara itu laku berpuluh-puluh tahun dalam pasaran.
Buku-buku yang hayat pasarannya panjang ditulis dengan berpandukan formula-formula yang dihasilkan oleh kajian pakar-pakar pemasaran buku. Gunakan formula-formula itu, jangan main untung-untungan, dengan ikut fikiran sendiri yang belum melakukan sebarang kajian berkenaan book-trade.
Ada penulis yang bakatnya besar tetapi karya besarnya tidak siap-siap. Situasi ini tentu sekali tidak membolehkannya hidup sepenuh masa sebagai penulis.
Salah satu punca yang menyebabkan ada penulis berbakat besar yang tidak dapat menghasilkan banyak buku adalah habit berfikir secara kritis.
Apabila kita suka berfikir secara kritis, lazimnya fikiran kritis kita itu dihalakan kepada kerja-kerja orang lain. Kita sibuk berfikir tentang kerja orang lain, dan mengkritik kerja-kerja orang lain, bukan berfikir bagaimana hendak menyiapkan kerja-kerja kita sendiri. Jadi, fokus kita lari, lari daripada kerja sendiri kepada kerja orang lain!
Habit berfikir secara kritis juga menyebabkan kita memulakan fikiran dengan sikap ragu apakah pendapat dan hasil kerja orang-orang lain itu betul, lalu kita mencari-cari perkara-perkara yang tidak kita setujui bagi membuktikan keraguan kita itu betul.
Apabila kita ragu, dan kemudian kita terjumpa point-point yang tidak kita setujui, kita akan menolak semua sekali apa yang kita baca dalam tulisan orang itu. Kita hendak membuang air mandi si bayi dalam baldi itu, tapi bersama-sama air mandi itu kita buang bayinya sekali! Yang tinggal di tangan kita adalah baldi kosong. Jadi kita tidak memperoleh sebarang manfaat daripada tulisan orang lain itu.
Tujuan pemikiran kritis adalah hendak membuktikan kerja orang lain salah. Kalau pun kita berjaya membuktikan kerja orang lain salah, kerja kita sendiri tidak semestinya betul.
Apabila kita pandai mengkritik kerja orang lain, kadang-kadang benda-benda yang kita kritik itu bukan pun benda-benda yang berdosa hukumnya, yang haram, yang tidak ikut Quran dan sunnah, tetapi kita kritik juga bagaikan benda-benda itu dosa besar.
Sekurang-kurangnya orang-orang lain itu sudah menghasilkan banyak kerja, yang mungkin lemah, tetapi tidaklah semuanya lemah belaka. Mana kerja kita? Penghasilan kita sendiri tidak ada kait-mengaitnya dengan kelemahan kerja-kerja orang lain.
Biarkan orang lain menghasilkan kerja-kerja yang banyak kelemahannya di sana sini. Bagi setiap kerjanya yang baik, meskipun masih ada kelemahannya, orang itu sudah pun mendapat pahalanya.
Bagi kita, kita terus fokus pada menghasilkan kerja-kerja kita sendiri. Sikap inilah yang membantu kita menjadi penulis produktif, yang dapat menulis 2 buah buku setahun, yang laku dijual bertahun-tahun, yang akhirnya, insyaAllah, membolehkan kita hidup selesa sebagai penulis sepenuh masa.
Bagi saudara yang teruk kena kritik, ingatlah, saudara menulis untuk dinilai oleh Allah. Yang penting Allah suka apa yang saudara tulis dalam karya saudara itu. Banyak karya yang disukai manusia, tetapi tidak disukai Allah dan Rasulnya. Jadi, jangan patah semangat apabila penilaian manusia tidak selaras dengan penilaian Allah.
Allah-lah yang lebih mengetahui.
.