Friday, November 24, 2006

Novel Cinta dan Blue Ocean

Buku strategi bisnes BLUE OCEAN STRATEGY berguna bagi para penulis dan penerbit. Buku ini memberitahu kita tentang salah satu kesilapan yang sering kali dilakukan oleh orang bisnes.

Kesilapan itu adalah jenis strategi ‘ikut-ikutan’. Kesilapan jenis ini sering kali dilakukan oleh pemain-pemain baru.

Ambil sebagai contoh kes novel cinta. Sektor novel cinta sudah bertaraf Red Ocean. Ada dua jerung besar di dalamnya, iaitu ALAF dan CREATIVE.

Apabila Creative dan ALAF21 berjaya membuka pasaran novel cinta, maka banyaklah pemain baru ikut terjun ke dalam sektor novel cinta.

Antara pemain baru itu adalah penerbit lama seperti Utusan, Times dan Rythm! Jangan sebutlah nama-nama penerbit novel cinta yang baru muncul yang lebih banyak jumlahnya.

Macam belum cukup, ada pula pengedar novel cinta yang gagah perkasa pun ikut masuk menjadi penerbit halimunan. Pengedar bertaraf jerung itu membayar kos percetakan novel-novel cinta yang ditulis oleh novelis cinta yang sudah senior dan diterbitkan oleh syarikat baru muncul milik penulis itu.

Demikian juga halnya dengan kesilapan ramai penulis baru. Beratus-ratusan penulis baru, majoritinya perempuan, ikut menulis novel-novel cinta dan menghantarkan manuskrip mereka ke Alaf21 dan Creative. 99% manuskrip mereka ditolak dengan sebelah mata disebabkan tidak bermutu.

Seperti yang dikatakan dalam buku Blue Ocean Strategy, ada 2 wilayah lautan, yakni wilayah pasaran.

Lautan Red Ocean dikatakan ‘red’ sebab air lautan itu sudah merah oleh darah akibat para jerung yang penuh sesak di dalamnya luka-luka cuba memakan satu sama lain.

Dalam bahasa bisnes, banyak penerbit novel cinta ikut-ikutan yang ‘terbakar tangannya’. Dalam mengejar untung besar, langsung kerugian yang dialami.

Justeru buku BOS ini mengajar kita supaya jangan masuk ke dalam wilayah Red Ocean, sebaliknya masuklah wilayah Blue Ocean, yakni kita menjadi jerung yang berenang dalam lautan yang airnya masih biru.

Biarlah ALAF21 dan Creative menjadi jerung novel cinta. Times, Utusan dan Rythm yang cuba masuk lautan itu pun gagal memakan Alaf21 dan Creative. Punca kegagalan mereka adalah persepsi.

Peminat novel cinta percaya novel-novel cinta yang diterbitkan oleh Times, Utusan dan Rythm tentu sudah ditolak oleh Alaf21 dan Creative!

Dalam kategori buku motivasi, perkara yang serupa berlaku. PTS menerima banyak proposal daripada penulis baru yang hendak menulis buku motivasi, khususnya motivasi pandai belajar dan pandai menjawab kertas peperiksaan.

Pasaran buku motivasi pelajar cemerlang sudah bertaraf Red Ocean. Sudahlah! Air laut di situ sudah merah!

Tulislah buku motivasi bisnes. Di situ airnya masih biru!
.

.

Apa Lainnya Novel PTS

Berkali-kali kita ditanya: “Apa lainnya novel-novel terbitan PTS FORTUNA?”

Maka inilah jawapan kita:

Sebagai strategi bisnes, PTS tidak boleh masuk pasaran fiksyen dengan tidak menawarkan produk-produk yang unik, yang tidak berbeda daripada produk-produk sedia ada dalam pasaran.

Seandainya novel-novel PTS serupa dengan novel-novel DBP, ataupun ALAF21 ataupun CREATIVE, kita akan masuk wilayah ‘red ocean’, yakni ranah pasaran lama yang sudah penuh sesak dengan pemain-pemain lama.

Dengan menerbitkan novel-novel jibunsyi yang ditulis menggunakan teknik surah Yusuf, PTS mencipta wilayah ‘blue ocean’, yakni PTS meneroka dan membuka ranah pasaran baru, di mana selain PTS tidak ada pemain lain dalam ranah baru itu.

Justeru, dalam pasaran novel jibunsyi, yang ada hanya novel-novel terbitan PTS! Sesiapa yang mahu membaca jibunsyi Melayu, mereka tiada pilihan lain kecuali membaca jibunsyi dari PTS FORTUNA.

Dengan menggunakan strategi blue ocean, novel-novel jibunsyi PTS tidak akan bersaing dengan novel-novel terbitan DBP, ALAF21 ataupun CREATIVE.

Inilah strategi bisnes PTS. Dengan menerbitkan novel-novel jibunsyi Islami, PTS tidak mempunyai pesaing!

Strategi blue ocean mengajar kita supaya jangan menjual kepada pelanggan yang ada, sebaliknya, jual kepada bukan pelanggan.

Justeru, PTS tidak mentargetkan jualan novel-novel jibunsyinya kepada pembaca novel-novel cinta. Sebaliknya jualan jibunsyi PTS adalah ditargetkan kepada mereka yang selama ini tidak membaca novel!

Sekiranya selepas ini akan ada penerbit lain ikut menawarkan jibunsyi, automatis PTS akan menjadi pesaing mereka. Justeru, mereka perlu mem-benchmark kualiti jibunsyi yang mereka terbitkan dengan kualiti jibunsyi PTS.

Pada waktu penerbit ikut-ikutan itu sibuk menganalisis di mana kekuatan dan kelemahan jibunsyi PTS dengan niat mahu mengalahkan kualiti PTS, pada waktu itu PTS sudah membuka ranah baru lagi!

.

.

Apa Lainnya Novel PTS

Berkali-kali kita ditanya: “Apa lainnya novel-novel terbitan PTS FORTUNA?”

Maka inilah jawapan kita:

Sebagai strategi bisnes, PTS tidak boleh masuk pasaran fiksyen dengan tidak menawarkan produk-produk yang unik, yang tidak berbeda daripada produk-produk sedia ada dalam pasaran.

Seandainya novel-novel PTS serupa dengan novel-novel DBP, ataupun ALAF21 ataupun CREATIVE, kita akan masuk wilayah ‘red ocean’, yakni ranah pasaran lama yang sudah penuh sesak dengan pemain-pemain lama.

Dengan menerbitkan novel-novel jibunsyi yang ditulis menggunakan teknik surah Yusuf, PTS mencipta wilayah ‘blue ocean’, yakni PTS meneroka dan membuka ranah pasaran baru, di mana selain PTS tidak ada pemain lain dalam ranah baru itu.

Justeru, dalam pasaran novel jibunsyi, yang ada hanya novel-novel terbitan PTS! Sesiapa yang mahu membaca jibunsyi Melayu, mereka tiada pilihan lain kecuali membaca jibunsyi dari PTS FORTUNA.

Dengan menggunakan strategi blue ocean, novel-novel jibunsyi PTS tidak akan bersaing dengan novel-novel terbitan DBP, ALAF21 ataupun CREATIVE.

Inilah strategi bisnes PTS. Dengan menerbitkan novel-novel jibunsyi Islami, PTS tidak mempunyai pesaing!

Strategi blue ocean mengajar kita supaya jangan menjual kepada pelanggan yang ada, sebaliknya, jual kepada bukan pelanggan.

Justeru, PTS tidak mentargetkan jualan novel-novel jibunsyinya kepada pembaca novel-novel cinta. Sebaliknya jualan jibunsyi PTS adalah ditargetkan kepada mereka yang selama ini tidak membaca novel!

Sekiranya selepas ini akan ada penerbit lain ikut menawarkan jibunsyi, automatis PTS akan menjadi pesaing mereka. Justeru, mereka perlu mem-benchmark kualiti jibunsyi yang mereka terbitkan dengan kualiti jibunsyi PTS.

Pada waktu penerbit ikut-ikutan itu sibuk menganalisis di mana kekuatan dan kelemahan jibunsyi PTS dengan niat mahu mengalahkan kualiti PTS, pada waktu itu PTS sudah membuka ranah baru lagi!

.

.

Rangkaian RYTHM Mengecut

Ini berita terbaru dari dunia book-trade dalam negeri.

Rangakaian kedai buku RYTHM kini sedang mengecut apabila 7 buah cawangannya di Johor, sebuah di Melaka dan sebuah lagi di Kedah, ditutup.

Pada waktu yang sama rangakaian MPH akan membuka 3 cawangan baru di Sarawak. Rangakaian POPULAR pula adalah rangkaian paling banyak outlet sekarang dan paling agresif membuka cawangan baru.

Mengapakah RYTHM mengecut manakala rangkaian lain berkembang?

Cawangan RYTHM adalah cawangan francais, manakala rangakaian lain seperti MPH, POPULAR dan BORDERS membuka cawangan mereka sendiri.

Jika saudara mempunyai sedikit modal, saudara boleh memohon francais RYTHM yang dikendalikan dengan dukungan PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, anak syarikat PNB) di mana PUNB akan memberikan pinjaman modal sekitar RM300 ribu kepada usahawan yang dipilih.

Skim PUNB ini menyebabkan banyak pemegang francais RYTHM terdiri daripada individu-individu Melayu yang tidak mempunyai bakat berniaga, setakat pandai menyediakan kertas proposal bisnes, tetapi disebabkan banyak faktor-faktor non-bisnes, mereka tetap diberikan dukungan pinjaman oleh PUNB.

Apabila cawangan RYTHM ditutup, para penerbit sakit, sebab buku-buku penerbit yang ada dalam dalam kedai cawangan itu dipulangkan sebagai buku return.

Apakah kesannya kepada penulis apabila RYTHM tutup cawangan?

Royalti buku-buku dalam cawangan itu sudah dibayar kepada penulis tahun ini. Apabila buku-buku itu di-return, jumlah royalti yang sudah dibayar itu akan di-debit daripada kiraan royalti penulis daripada akaun tahun akan datang.



Mengapa Novel Remaja PTS Menggunakan BM Tinggi

Novel-novel remaja terbitan PTS ONE menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT), sedangkan dalam dunia realiti, tidak ada kanak-kanak dan remaja yang bertutur menggunakan BMT dalam percakapan harian mereka.

Ada beberapa faktor yang diambil kira sewaktu PTS menggubal dasar editorialnya:

1. Novel-novel remaja PTS ONE ditargetkan kepada pasaran perpustakaan sekolah rendah dan menengah. Oleh itu bahasa dalam novel-novel itu mesti mematuhi sistem ejaan dan tatabahasa DBP.

2. Selain ditargetkan kepada ibu bapa Melayu, novel-novel remaja PTS juga ditargetkan kepada ibu bapa bukan Melayu yang membelikan bahan-bahan bacaan tambahan bagi membantu anak-anak mereka meningkatkan prestasi pelajaran Bahasa Melayu mereka dalam peperiksaan.

3. Model kanak-kanak bercakap menggunakan bahasa tinggi diambil daripada surah Yusuf, di mana semasa Nabi Yusuf masih kecil beliau bercakap kepada ayahandanya menggunakan bahasa tinggi.

Dasar editorial PTS berpegang pada prinsip bahawa PTS bukan hanya menerbitkan buku-buku cerita demi membuat untung biarpun buku-buku itu merosakkan bahasa golongan remaja.

Perjuangan PTS adalah menerbitkan buku-buku bacaan pengkayaan yang isinya baik bagi remaja, manakala pada waktu yang sama buku-buku itu membantu kerja guru-guru bahasa.

.

.

Bagaimana Menjual Buku ke Perpustakaan Negara

Bagi saudara yang hendak menjadi penerbit ataupun pengedar buku, saudara mungkin belum tahu bagaimana caranya saudara dapat membekalkan buku-buku saudara ke perpustakaan desa di seluruh negara.

Termasuk di bawah senarai Perpustakaan Desa adalah semua perpustakaan yang berada di luar bandar yang ditadbirkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat KEMAS, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan kerajaan.

Sehingga saat ini jumlah PD yang sudah beroperasi adalah 800 buah. Pada 2007, 200 buah lagi dijangka akan siap dibina dan beroperasi, menjadikan jumlahnya 1000 buah.

Semua pembelian untuk perpustakaan desa dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Jadi saudara perlu mendaftar sebagai kontraktor kerajaan sebelum layak menjadi pembekal kepada PNM.

Langkah pertama, saudara mesti mendaftarkan syarikat sendirian berhad yang dengan jelas adalah sebuah syarikat berkenaan bisnes buku.

Langkah kedua, saudara mendaftarkan syarikat saudara itu sebagai kontraktor kerajaan. Ada sijilnya.

Langkah ketiga, saudara mendaftarkan syarikat saudara itu sebagai bertaraf syarikat Bumiputera. Ada sijilnya.

Ada Persatuan Kontraktor Buku Bumiputera (PKBM) dan saudara sebaiknya menjadi ahli persatuan ini.

Semua judul yang dibeli untuk perpustakaan desa dipilih oleh panel penilai PNM. Buku-buku saudara perlu memenuhi kriteria isi kandungan dan ciri-ciri fizikal yang ditetapkan oleh PNM.

Setiap tahun PNM memilih banyak judul PTS untuk PD dan kontraktor-kontraktor yang menang tender PNM membeli judul-judul PTS itu daripada PTS secara langsung ataupun daripada pengedar-pengedar PTS.

Walaupun PTS adalah sebuah penerbit buku yang mempunyai sijil-sijil kementerian kewangan, tetapi PTS tidak pernah masuk tender sebagai kontraktor kepada kerajaan. Ini adalah dasar perniagaan PTS.

Banyak pengedar PTS adalah kontraktor kerajaan. Biarlah mereka yang masuk tender. Kita cari makan sama-sama, biarlah kita makan pun bersama-sama. Kontraktor jual buku kepada PNM. PTS jual buku kepada kontraktor.

Kalau PTS ikut masuk tender, PTS mampu memberi diskaun sehingga 30% kepada PNM. Pengedar takkan mampu memberi diskaun sebanyak itu sebab mereka sendiri mendapat 30% diskaun dari PTS! Mereka hendak makan apa?

Justeru, apa bezanya kalau PTS masuk tender ataupun tidak? Dari sudut nilai jualan, tidak ada bezanya.

Tetapi ada beza besar, iaitu dari sudut menjaga hubungan baik dan kepercayaan semua pengedar buku-buku PTS. Mereka tahu dan yakin bahawa PTS bukan sebuah penerbit yang tamak.

.

.
.

Kredit Kontrol

Pengurusan risiko adalah sangat penting bagi orang bisnes. Banyak bisnes bankrap disebabkan kita terlampau hendak menjual lalu kita jual, jual, jual. Kemudian kita tidak dapat mengutip hutang.

Adakah saudara penerbit baru? Hati-hati dengan apa yang disebut credit control.

Salah satu mentaliti orang yang baru membuka bisnes adalah dia sangat yakin apa yang dijual akan dapat dikutip hutangnya. Akibatnya dia langsung tidak mengamalkan apa yang disebut kredit kontrol.

Apabila hendak melaksanakan dasar-dasar kredit kontrol, perkara yang paling penting saudara mesti tahu adalah berapa banyak kredit yang saudara sanggup berikan kepada agen dan pengedar. Jangan main beri sahaja, meskipun pengedar itu pengedar besar dan terkenal.

Apabila saudara sudah tetapkan jumlah kredit itu, pastikan jangan langgar jumlah tersebut. Ada masanya salesman saudara diam-diam melanggar jumlah itu disebabkan dia hendak mencapai target jualannya.

Jadi setiap minggu saudara mesti semak data kredit setiap agen saudara bagi memastikan jumlah yang ditetapkan dipatuhi.

Kedua, tetapkan apakah saudara perlu meminta cagaran seperti deposit. Penerbit-penerbit besar lazimnya meminta deposit. Kalau saudara masih kecil, ini sukar dilaksanakan sebab pengedar takkan mahu membayar deposit.

Saudara perlu melantik seorang pegawai kredit. Tugasnya adalah menguruskan kredit syarikat. Dialah yang kerjanya menagih hutang, justeru telinganya mesti tebal.

Pegawai kredit sangat digeruni (baca, dibenci) oleh agen dan pengedar! Dia berkuasa menahan buku daripada dihantar kepada mana-mana agen dan pengedar selagi agen itu tidak menjelaskan hutangnya lebih dahulu.

Di PTS, kedua-dua orang pegawai kreditnya adalah wanita! Hmm….

Jangan serahkan tugas menjual dan mengurus kredit kepada salesman. Salesman bertugas membuat sales. Pegawai kredit memastikan jumlah kredit adalah terkawal.

Apabila agen saudara tidak membayar hutang, hantar surat peringatan: surat pertama, kedua dan ketiga. Selepas itu baru hantar surat peguam. Prosedur ini mesti dilakukan bagi mematuhi peraturan audit dan sekiranya saudara perlu menyeret agen saudara itu ke mahkamah kemudian.

.

.

Mengapa Buku DBP Tiada di Kedai

Di bawah perjanjian penswastaan DBP, DBP adalah penerbit, manakala DAWAMA adalah pengedar dan pencetak tunggal bagi DBP.Dari sudut prinsip bisnes, apabila buku-buku DBP tidak ada di kedai, itu bukan salah DBP, tetapi salah DAWAMA.

Namun DBP tetap ada salahnya. Meskipun DBP sudah lama tahu buku-buku terbitannya tidak ada dalam kedai-kedai utama, DBP tidak mengambil tindakan disiplin ke atas DAWAMA. Ini adalah situasi yang luar biasa.

Tidak ada salahnya DBP melantik SATU pengedar tunggal bagi pasaran dalam dan luar negara. Yang salahnya adalah DBP tidak memonitor prestasi pengedar tunggalnya.

Bisik-bisik yang kita dengar mengatakan pegawai tinggi DBP yang bertanggungjawab memonitor DAWAMA tidak pernah walau satu kali pun turun padang dan pergi menjalankan spot-check di kedai-kedai bagi menyiasat sejauh mana kedai-kedai itu berpuas hati dengan servis khidmat pelanggan DAWAMA.

Dalam amalan bisnes yang baik, penerbit akan segera mengambil tindakan disiplin ke atas pengedar tunggalnya apabila didapati prestasi pengedar itu tidak mencapai target yang diberikan.

Pengurus Besar Jualan sebuah rangakaian kedai buku utama menyatakan rungutannya kepada kita tentang bagaimana susahnya dia hendak mendapatkan buku-buku DBP daripada DAWAMA.

Berkali-kali permintaan dengan menggunakan telefon supaya DAWAMA menghantar buku-buku DBP ke rangakaian kedainya di seluruh negara tidak menghasilkan respons daripada pegawai DAWAMA yang bercakap.

“Dalam satu tahun tidak sekali salesman DAWAMA datang!” kata Pengurus Besar itu.

“Banyak pelanggan datang bertanyakan buku-buku DBP,” katanya lagi. “Kita sudah beritahu DAWAMA, kalau DAWAMA tidak mahu hantar buku, apa kami mahu buat?”

Situasi begini tambah meyakinkan orang ramai bahawa DAWAMA memang tidak berminat mengedarkan buku-buku DBP, sebaliknya hanya berminat mengaut keuntungan besar daripada projek buku-buku teks yang diberikan oleh Kementerian kepada DBP.

Dalam dunia bisnes, memang luar biasa apabila ada kedai buku meminta bekalan buku tetapi pengedar buat pekak!

Keadaan begini hanya berlaku dalam budaya bisnes jabatan kerajaan sedangkan DAWAMA adalah sebuah syarikat swasta.

Memang keuntungan daripada projek buku teks itu sudah cukup besar bagi DAWAMA, sedangkan kerja mengedar dan menjual buku ke kedai-kedai adalah kerja berat dan remeh.

Bagi mengedarkan buku teks, salesman DAWAMA tidak perlu bangun daripada kerusi empuknya, tidak macam kerja mengedarkan buku dari satu pintu kedai ke satu pintu kedai.

Tempoh konsesi buku-buku teks itu adalah selama 12 tahun, baki yang ada tinggal 8 tahun. Gosip pasaran mengatakan DAWAMA sibuk berhempas-pulas meminta supaya konsesi itu dipanjangkan sampai 20 tahun.

Jikalau DAWAMA berjaya mendapat pelanjutan konsesi itu selama 20 tahun lagi, maka buat 20 tahun tahun lagilah akan memburuk semua buku-buku terbitan DBP dalam setor DAWAMA!

Buat apa susah-susah hendak menjual buku DBP sedangkan makan duit buku teks pun salesman DAWAMA sudah gemuk?

Bagi orang ramai pula, kalau hendak membeli buku DBP, tunggulah setahun sekali DAWAMA mengadakan lelong jualan kilangnya!

Kita juga mendengar desas-desus pertunangan merger antara DAWAMA & SASBADI mungkin diputuskan oleh pihak SASBADI disebabkan DAWAMA gagal menunjukkan prestasi target jualan sebagaimana yang dipersetujui dalam MOU mereka.

SASBADI dan DAWAMA berminat kahwin sebab pemegang-pemegang saham DAWAMA dan SASBADI sama-sama mahu cash-in, yakni menuai keuntungan dengan mengapungkan saham DAWAMA/SASBADI di papan pertama BSKL.

Ada pula desas-desus yang mengatakan SASBADI sedang “diurat” oleh seorang jejaka korporat Melayu kayaraya yang sedang mencuba buat kali kedua hendak memasuki pasaran buku-buku bersilabus.

Jejaka korporat itu berminat membeli SASBADI sebab dia pun mahu mengapungkan saham syarikatnya ke Papan Pertama BSKL.

.

.

Apa itu Stock Check

Salah satu tugas eksekutif perkhidmatan pelanggan adalah pergi ke kedai buku bagi menjalankan tugas stock-check atau semak stok.

Stock-check wajib dijalankan secara berjadual. Ia mesti dibuat secara berdisiplin, umpamanya seminggu sekali, 2 minggu sekali ataupun 1 bulan sekali.

Bagi rangkaian kedai elit, proses stock-check dilakukan dengan bantuan sistem komputer. Ini amat memudahkan para penerbit dan pengedar menyemak ’stock-level’ setiap judul yang mereka bekalkan kepada rangkaian itu.

Bagi kedai-kedai indie, stock-check terpaksa dibuat secara manual. Kita sendiri perlu pergi ke kedai itu dan kira judul-judul buku yang kita bekalkan. Periksa judul yang sudah habis terjual, yang sudah kurang, dan yang tidak bergerak (tak laku).

Bagi judul yang habis dan sudah kurang, tambah bekalan baru.

Bagi judul yang tidak laku, ambil balik. Jangan terus dipamerkan di kedai itu. Ambil balik judul yang tak laku sebab ia dapat dihantar ke kedai-kedai lain di mana judul itu boleh laku.

Kerja stock-check termasuklah mengemaskan susunan buku-buku kita di rak-rak dalam kedai itu. Jangan berharap sahaja kepada pekerja kedai menyusun buku-buku kita.

Syarikat kecil lazimnya tidak mempunyai jumlah eksekutif khidmat pelanggan dan salesman yang cukup bagi menjalankan tugas-tugas stock-check secara berjadual. Alasannya adalah volume bisnes masih kecil, oleh itu belum mampu mengambil lebih banyak staf.

Tetapi, selagi jumlah staf jabatan jualan tidak ditambah, selagi itulah volume jualan sukar bertambah!
.

.

Menulis adalah Menulis Semula

Tulis semula bab-bab awal buku saudara!

Bab-bab awal sangat penting peranannya dalam mencipta persepsi kualiti buku saudara. Kalau orang yang membelek-belek buku saudara suka membaca bab awal, ada harapan dia mahu membeli buku saudara itu.

Sentuhan pertama, walau apa pun namanya sentuhan itu, mestilah sentuhan ajaib.

Kalau ayat pertama yang dibacanya menimbulkan kesan suka, itulah sentuhan pertama yang menimbulkan minat baginya terus membaca ayat kedua dan ayat-ayat seterusnya.

Kalau ayat pertama pun sudah lembik, manakan timbul ghairah bacanya.

Tulis-tulis semula semua ayat-ayat pertama setiap bab buku saudara. Ini disebabkan kita sudah membuat pemerhatian bagaimana bakal pembeli buku menilai kualiti buku yang dibacanya.

Didapati, bakal pembeli bukan hanya membaca ayat pertama bab 1, tetapi mereka lebih banyak membaca ayat pertama bab-bab yang di tengah-tengah!

Pastikan, walau bab mana yang dibuka dan dibacanya, ayat pertama yang dibacanya itu mencipta kesan sentuhan pertama yang ajaib.

Manakan tidak ajaib! Saudara penulis baru. Buku itu buku sulung saudara. Nama saudara belum ada brand, tetapi dia sudah terpikat dengan buku saudara, lalu membelinya.

.

.

Teknik Berfalsafah dalam Karya

Ada pengarang Malaysia berasa tersinggung lalu marah-marah apabila seorang penulis Indonesia mengatakan karya Malaysia tidak mengandung falsafah.

Isu apakah komen penulis Indonesia itu benar bagi SEMUA karya penulis Malaysia, ataupun ia benar bagi mana-mana karya yang pernah dibaca oleh penulis Indonesia itu sahaja, isu itu bukan persoalan penting.

Yang penting adalah menerima kenyataan bahawa karya sastera mesti mencipta kesan ke atas daya fikir pembacanya bahawa karya itu mengandung falsafah dan dia memahami mesej falsafah si pengarang.

Kesan falsafah itu mesti terang dan jelas, sambil membaca, pembaca sudah nampak apa falsafah yang terkandung dalam karya itu.

Bukan mesej falsafah yang perlu dicari-cari, digali-gali, diteka-teka apa barangkali falsafah yang cuba disampaikan oleh si pengarang. Bukan kesan samar-samar, ataupun yang cuma diada-adakan oleh pengkritik karya itu.

Bukan juga falsafah yang memerlukan IQ tinggi disertai oleh penguasaan ilmu-ilmu bantu yang tinggi-tinggi bagi mengesan dan memahami mesej falsafah itu, bukan yang perlu difikir-fikirkan dengan mendalam, perlu direnungkan, dimenungkan.

Bukan, bukan falsafah yang seperti itu. Jika begini persepsi kita, karya seperti itu tidak banyak gunanya bagi tujuan memandaikan pembaca, sedangkan adalah fungsi asas sastera memberi pencerahan, yakni membantu pembaca menjadi lebih bijaksana selesai membacanya.

Bukan juga mesej falsafah yang hanya dapat dimasukkan oleh pengarang selepas banyak membaca buku-buku falsafah Barat mahupun kitab-kitab tulisan ulamak-ulamak agung. Jika begini persepsi kita, maka tidak banyak penulis yang berani memasukkan unsur falsafah ke dalam karyanya.

Memang ada karya sastera yang bertaraf karya falsafah, yang ditulis oleh pengarang yang menguasai ilmu-ilmu falsafah, dan hanya dapat difahami mesej falsafahnya oleh pembaca yang memiliki banyak ilmu-ilmu bantu yang tinggi dan kompleks. Barangkali kategori inilah yang dimaksudkan oleh si penulis Indonesia itu.

Dari sudut pandang Islam, setiap penulis dituntut memasukkan mesej falsafah ajaran Islam ke dalam karyanya, tanpa kekecualian apakah karya itu cerita kanak-kanak, novel remaja, novel cinta ataupun fiksyen sains, dan tanpa kekecualian apakah individu yang membaca karyanya itu kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.

Justeru Islam tidak membataskan tugas berfalsafah itu kepada sasterawan yang menguasai ilmu-ilmu falsafah Islam, Barat dan Timur sahaja, ataupun kepada mereka yang menulis novel-novel bertaraf ’sastera’ sahaja. Tuntutan Islam ini tidak membedakan penulis kepada kategori sasterawan dan bukan sasterawan, suatu pembedaan ciptaan pakar-pakar teori sastera aliran konvensional.

Justeru, dari sudut pandang Islam, penulis-penulis novel remaja, novel popular, novel cinta, novel sejarah, malah novel thriller sekalipun, dituntut memasukkan mesej falsafah dalam karyanya.

Apabila Islam menuntut semua penulis berfalsafah, maka timbul 2 isu:

(1) Isu pertama, apakah jenis-jenis falsafah yang mudah dimasukkan ke dalam karya, sehingga ia membolehkan penulis yang belum membaca buku-buku falsafah pun dapat memasukkan unsur falsafah dalam karyanya.

(2) Isu kedua adalah, apakah ada teknik-teknik yang mudah bagi memasukkan unsur falsafah ke dalam karya, sehingga penulis-penulis yang baru belajar menulis pun sudah dapat mempelajari dan menggunakan teknik-teknik itu.

………………….

Pesan bagi mentee-mentee SifuPTS:

Memasukkan kandungan falsafah dalam novel jibunsyi adalah mudah. Ikut teknik yang digunakan dalam surah Yusuf. Teknik itu adalah dengan menggunakan dialog yang mengandung nilai. Maksudnya, mesej falsafah itu disampaikan dalam dialog watak-watak, bukan dalam naratif.

Teknik dialog mengandung nilai falsafah inilah yang digunakan dalam sastera komik Amerika. Inilah yang membolehkan, jangan dikatakan karya sastera, malah strip komik Amerika sekalipun, mengandung unsur falsafah. Justeru, si kucing Garfield itu pun seringkali mengucapkan dialog-dialog yang mengandung mesej falsafah!

(Teknik falsafah dalam dialog inilah yang membolehkan Garfiled diminati oleh semua kategori manusia, di semua pelosok dunia - dan tidak terbatas pada peminat kucing sahaja.)

Berdasarkan surah Yusuf, watak utama mestilah seorang yang mengucapkan dialog yang mengandung falsafah ajaran Islam. Prinsip inilah yang menyebabkan dalam teori sastera Islami (aliran surah Yusuf), watak utama tidak boleh merupakan individu yang tidak baik, yang tidak insaf sampai akhir cerita, sebab jika begitu, kita memberikan kemenangan moral kepada kemungkaran.

Ada dua jenis dialog falsafah dalam surah Yusuf:

(1) Dialog yang dengan jelas mengandungi mesej falsafah Islam.

Sebagai contoh, ayat 90: “Barang siapa yang hatinya sabar, Allah tidak menyia-nyiakan perbuatan baiknya.”

(2) Dialog yang tidak secara jelas menyatakan ajaran Islam.

Sebagai contoh ayat 35: Dalam episod sewaktu isteri al-Aziz mengancam Nabi Yusuf, sekiranya dia tetap enggan membalas cintanya, maka dia akan pastikan supaya Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara.

Dijawab oleh Nabi Yusuf dengan berkata lebih kurang beginilah maksudnya, “…saya lebih cintakan penjara daripada cinta yang puan tawarkan kepada saya…”

Sifu sedang menyambung kajian ke atas surah Yusuf….

Jangan lupa! Besok, Sabtu 25 Nov, datang kelas tambahan!



Wednesday, November 22, 2006

Branding dan Surah Yusuf


Nama saudara dapat dijadikan BRAND. Nama penulis menjadi BRAND apabila orang membeli sesuatu buku itu disebabkan dia menghargai nama pengarangnya.

Brand mempunyai tempoh hayatnya. Brand yang dikenali oleh suatu generasi belum tentu dikenali oleh generasi berikutnya.

Ambil kes ini sebagai contoh: Nama Azizi Hj. Abdullah adalah salah satu nama besar dalam sastera Melayu moden. Bagi generasi SifuPTS, siapa yang tidak kenal nama itu. Beliau banyak menerima anugerah.

Pada suatu masa pengetua sebuah sekolah mengundang beliau memberi ceramah kepada pelajar-pelajar sekolahnya.

Apabila Azizi bertanya kepada pelajar-pelajar yang hadir, siapa kenal karya-karyanya, tidak seorang pun yang kenal. Tidak ada yang pernah mendengar nama 'Azizi Hj. Abdullah' sebagai nama seorang sasterawan. Pengetua sekolah itu kenal nama beliau, tetapi pelajar-pelajar itu tidak kenal.

Kes Azizi Hj. Abdullah bukan kes yang unik. Majoriti nama-nama sasterawan seangkatan dengan Azizi mengalami nasib yang serupa. Pelajar-pelajar sekolah hari ini tidak kenal mereka.

Faktor utama yang menimbulkan situasi ini adalah disebabkan karya-karya mereka tidak ada di dalam perpustakaan sekolah. Inilah yang menyebabkan pelajar-pelajar tidak kenal dan tidak dapat membaca karya-karya mereka.

Walaupun Azizi Hj. Abdullah mempunyai banyak karya, karya-karya beliau tidak lagi diulangcetak dan dipasarkan ke perpustakaan sekolah.

Suatu hari nanti sudara mungkin mengalami nasib seperti sasterawan Azizi Hj. Abdullah. Pada hari ini novel saudara mungkin laku keras, tetapi 10 tahun dari sekarang, pelajar-pelajar sekolah menengah mungkin tidak kenal nama saudara.

Sepuluh tahun dari sekarang, bagaimanakah caranya hendak menjual novel saudara kepada pembeli yang tidak kenal nama saudara? Sedangkan 10 tahun dari sekarang sudah banyak nama-nama kontemporari yang terkenal, yang menguasai pasaran semasa.

Sebagai penulis, saudara perlu memilih penerbit yang buku-bukunya mendapat kepercayaan guru-guru, dan dengan demikian buku-buku penerbit itu banyak dijual ke perpustakaan sekolah, supaya karya saudara dibaca oleh pelajar.

Lebih awal kanak-kanak membaca buku-buku saudara, itu adalah lebih baik.

Pelajar yang sudah kenal nama saudara sejak di bangku sekolah menengah atas, apabila mereka sudah bekerja, mereka akan membeli karya-karya terbaru saudara. Nama saudara sudah menjadi BRAND dalam memorinya.

Apabila mereka mempunyai anak kecil yang sudah pandai membaca, mereka akan membelikan buku-buku yang pernah dibacanya sewaktu mereka masih di sekolah rendah! Nama saudara sudah menjadi BRAND dalam memorinya.

Apabila dia mempunyai cucu, dia akan membelikan buku saudara sebagai hadiah untuk bacaan cucu-cucunya. Pendeknya, seorang nenek yang membaca buku "Cinderela" sewaktu dia kecil, dia akan membelikan buku cerita itu untuk anaknya, dan kemudian untuk cucunya.

Tulislah buku-buku evergreen bagi pasaran perpustakaan sekolah rendah dan menengah. Dengan cara ini saudara sudah mencipta nama saudara sebagai BRAND dalam otak peminat saudara sejak mereka masih kecil lagi.

Sejak di sekolah rendah mereka sudah membaca buku cerita karangan saudara. Apabila naik ke sekolah menengah, buku saudara pun ada dalam perpustakaan dan mereka membaca karya saudara.

Apabila mereka keluar sekolah dan memasuki alam pekerjaan, apabila mereka pergi ke kedai buku, percayalah mereka akan beli karya-karya saudara yang ada dalam kedai buku. Tingkah laku ini disebut dengan istilah 'brand loyalti'.

Ini adalah strategi kerja jangka masa panjang. Ini adalah vision yang mendorong saudara menulis buku-buku cerita evergreen, yang dapat diulang cetak setiap tahun, selama berpuluh-puluh tahun.

Banyak buku hayat jualannya amat singkat. Ia cuma dapat dijual semusim. Habis musim ia menjadi 'buku lama'. Selepas 10 tahun ia menjadi 'buku buruk'. Buku-buku seperti itu adalah buku yang tidak bertaraf harta intelek.

Buku-buku yang evergreen akan dapat dijual kepada beberapa generasi. Buku jenis inilah yang disebut harta intelek.

Sebagai harta buku-buku itu membawa pulangan yang berpanjangan, malah royaltinya dapat diwariskan kepada anak cucu. Justeru, jangan terpilih penerbit yang membeli ataupun 'merampas' hakcipta karya saudara.

Strategi kerja bagaimana menghasilkan karya untuk pasaran dewasa dan remaja sekaligus dan serentak sudah diterangkan kepada mentee-mentee Sifu yang mengikuti bengkel jibunsyi.

(a) Ikut model kisah Nabi Yusuf, yang plot ceritanya bermula sejak beliau 8 tahun.

(b) Tulis novel jibunsyi saudara menggunakan KJ Method.

(c) Tiru gaya bahasa tinggi seperti yang digunakan dalam Surah Yusuf, sebab Bahasa Tinggi itu mempunyai hayat evergreen.

Jangan menulis dengan mengikuti prinsip-prinsip, teknik serta gaya bahasa ciptaan akal manusia semata-mata, dan menolak model yang Allah sudah tunjukkan dalam Quran.

Allah lebih mengetahui strategi dan cara kerja yang menghasilkan karya hasanah yang evergreen. Kita ikut sahaja strategi dan teknik-teknik ciptaan Allah itu.
.

.