Saturday, October 07, 2006

Buku Poligami

Di Jakarta ada sebuah majalah yang judulnya “Poligami”. Penerbit majalah itu adalah seorang pemilik restoran yang punya 4 orang isteri.


Tidak seperti halnya di sini, di mana isu poligami semacam tidak dibenarkan dijadikan topik perbincangan terbuka, kecuali bagi tujuan mengecam lelaki dan amalan itu, di negara jiran itu pernah diadakan siri diskusi poligami di TV, di mana 2 orang pendukung poligami berdebat dengan 2 orang penentang poligami.


Adakah saudara berminat menulis buku panduan poligami bahagia? Kadungannya adalah tip-tip praktikal untuk kegunaan suami, kegunaan isteri pertama, kegunaan isteri kedua, ketiga dan keempat. (Ini serius!)


Selama ini ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang bercakap tentang poligami hanya mengkritik lelaki-lelaki yang berpoligami yang dikatakan tidak adil.


Buku yang kita cari ini akan mengandungi bab khusus yang menerangkan tip-tip bagaimana setiap orang isteri yang bermadu dapat mengamalkan sikap adil kepada suami dan kepada madu-madunya.



Thursday, October 05, 2006

Surah Yusuf dan Logo HALAL

Seorang pemerhati bertanya apakah sesebuah karya yang tidak banyak menggunakan dialog, sebaliknya yang banyak menggunakan ayat-ayat naratif, tidak dapat mencapai taraf karya sastera yang indah dan yang evergreen?


Inilah respon kita:

Kita berpandangan, isu menilai apakah sesuatu karya itu indah ataupun kurang indah, perkara itu bukanlah objektif teori sastera Islami. Kita serahkan penilaian kepada Tuhan, sebab menilai adalah kerja Tuhan. Penilaian tentang indah ataupun buruk dilakukan ke atas hasil kerja, sedangkan yang lebih penting adalah usaha.

Dari sudut ideologi, kita meyakini, sesuatu karya yang dihasilkan dengan berpandukan ciri-ciri yang ada pada surah Yusuf, maka pastilah ia akan memiliki ciri-ciri kisah yang indah dan evergreen.

Kita perlu mencipta teori sastera disebabkan teori berfungsi sebagai alat kerja bagi menghasilkan karya sastera yang bermutu, sebagaimana kita perlu mencipta berus yang baik bagi menghasilkan lukisan yang bermutu.

Objektif teori sastera Islami adalah mencipta alat-alat kerja bagi menghasilkan karya yang syariah-compliant, yakni karya yang mematuhi undang-undang Tuhan. Maka boleh sahaja ciri-ciri itu dijadikan kayu ukur keindahan sesebuah karya. Semakin banyak karya itu memiliki ciri-ciri surah Yusuf, semakin tinggi ranking yang dapat diberikan kepada keindahan karya itu.

Sesebuah buku sastera seharusnya layak menggunakan logo HALAL apabila setiap ayat di dalamnya dapat disahkan 100%, dari kulit depan sehingga kulit belakang, semuanya mematuhi undang-undang Tuhan. Logo HALAL sangat berguna kepada ibu bapa dan sekolah sewaktu memilih buku-buku bagi bacaan anak-anak dan pelajar.

Dalam pekerjaan mencipta karya yang syariah-compliant itu, di manakah hendak dicari senarai hukum-hakam, yang dapat dijadikan garis panduan sewaktu hendak menentukan ayat-ayat yang diizinkan dan yang dilarang, yang perlu dipatuhi oleh karyawan.

Berdasarkan nas-nas yang mana hendak dikatakan bahawa sesuatu tema itu boleh digarap dalam sesebuah karya, manakala tema yang bagaimana pula yang tidak boleh? Ataupun bahawa ayat-ayat yang begini boleh dituliskan, manakala ayat-ayat yang begitu tidak boleh dituliskan?

Teori dan teknik surah Yusuf yang sedang diusahakan ini adalah suatu benda ciptaan manusia, yang dibangunkan dengan cara menganalisis perbendaharaan kata, struktur ayat dan struktur teks surah Yusuf itu sendiri.

Teori surah Yusuf adalah teori dan teknik-teknik bagaimana hendak menghasilkan karya sastera yang INDAH. Bagi menghasilkan karya-karya lain, spy-thriller ataupun novel perang umpamanya, perlu dibangunkan teori dan teknik-teknik lain pula, berdasarkan surah-surah lain pula.

Kita menunggu teori-teori dan teknik-teknik lain yang menyenaraikan ciri-ciri teknikal pelbagai genre yang syariah-compliant. Hasil daripada kepelbagaian hasil usaha itu nanti dapat menghasilkan alat-alat kerja yang praktikal bagi kegunaan karyawan Islami.

Tentang jaminan apakah dengan menggunakan teori dan teknik Surah Yusuf kita dapat menghasilkan karya yang evergreen, respon kita adalah: Tidak ada yang dapat dijamin oleh manusia, mahupun oleh teori ciptaan manusia.

Ini isu gabungan antara bakat, pengetahuan dan teknik. Teknik sahaja tidak cukup bagi menghasilkan karya yang indah. Ibarat pelukis yang hanya memiliki berus yang baik, sedangkan bakatnya rendah dan ilmunya sedikit, mana mungkin dia dapat menghasilkan lukisan yang setaraf Monalisa.




Bila Patut Buku Diiklankan?

Bilakah masanya yang paling baik bagi sesebuah penerbit melancarkan kempen iklan buku-buku terbitannya.

Jawapannya: Apabila buku-buku yang diiklankan itu sudah diedarkan dengan meluas dan kemas ke kedai-kedai di seluruh negara.

Jangan iklankan buku sebab saudara hendak melariskan jualan buku-buku itu. Jika iklan keluar, tetapi buku tidak ada di kedai, orang marah, dan objektif iklan tidak tercapai.

Iklan yang tidak dirancang dengan teliti tidak membantu jualan bertambah laris. Duit saudara terbakar, buku masih berlonggok dalam setor.

Kemaskan sistem pengedaran buku-buku saudara. Pastikan kedai-kedai buku ada stok buku-buku yang saudara iklankan itu. Kemudian baru keluarkan iklan.

Kos iklan amat tinggi. Ia menyebabkan kos penerbitan naik melambung. Jika kempen iklan saudara gagal, bukan hanya saudara rugi, saudara boleh gulung tikar!


Wednesday, October 04, 2006

Dari Novel ke Filem

Bagi saudara yang berminat dengan topik adaptasi novel ke filem, klik di sini.

.

Projek Novel Jibunsyi

Projek novel jibunsyi PTS diterbitkan dalam siri “Diari Sebuah Kehidupan”. Novel-novel yang sudah berada di pasaran adalah:


1. “Tegar” oleh Ahmad Zafran. Beliau seorang mantan juruteknik, kini penulis sepenuh masa.


2. “Dari Kepala Batas ke New Haven” oleh Ashadi Zain. Beliau seorang senior accountant.

3. “Kisah Satu Impian” oleh Haslisa Ramli. Beliau seorang doktor perubatan.


4. “Jalan Jauh ke Kampus” oleh Ida Rizyani Tahir. Beliau seorang pensyarah pengurusan.


5. “Mencari Dewasa” oleh ZA Imad. Beliau lulusan undang-undang UIA.


Lebih banyak novel jibunsyi akan menyusul. Setiap bulan PTS FORTUNA akan meluncurkan 2 buah jibunsyi ke dalam pasaran.

Antara nama-nama yang bakal diperkenalkan dalam bulan-bulan berikut adalah:

a. Zulkifly Dewa, seorang chef.

b. Engku Zainun, penulis sepenuh masa lulusan perakaunan.

c. Noor Halilah, penulis sepenuh masa dan suri rumah, mantan gadis kilang.

d. Zalimaturnura Isa, seorang ustazah tadika.

e. Siti Rafidah, penulis sepenuh masa, lulusan UKM.

f. Faridah Mohamed, seorang guru siswazah.

g. Norehan Mohamed, seorang pensyarah maktab.

h. Umi Kalthum, seorang profesor madya di fakulti kejuruteraan, USM.

Selepas tamat musim perayaan nanti Sifu PTS akan mengadakan bengkel penulisan jibunsyi lagi. Ini adalah untuk membangunkan manuskrip yang akan diterbitkan sepanjang 2008. Justeru saudara mempunyai tempoh 1 tahun bagi menyiapkan jibunsyi saudara.

Saudara yang berminat, tinggalkan alamat emel dan no hp di sini.


.

Tuesday, October 03, 2006

Menulis Buku Motivasi

PTS adalah penerbit yang sinonim dengan buku motivasi. Sebut PTS, orang ingat buku motivasi. Ini disebabkan oleh banyaknya jumlah judul buku motivasi dan pembangunan diri yang sudah diterbitkannya.

Buku motivasi adalah pelaburan yang baik disebabkan ia genre yang tahan lama dalam pasaran. Ia juga laku sepanjang tahun. Manakala pasarannya besar.

Sebelum PTS masuk ke dalam sektor buku motivasi, buku-buku jenis itu diterbitkan oleh penerbit buku-buku agama. Manakala penulisnya juga kebanyakannya ustaz-ustaz, oleh itu buku-buku motivasi itu banyak mengandungi doa-doa untuk kejayaan. Kebanyakan buku-buku yang ditulis oleh ustaz-ustaz itu adalah motivasi kejayaan dalam peperiksaan sekolah dan motivasi menjadi suami-isteri solih.

Buku-buku motivasi PTS difokuskan kepada teknik-teknik how-to, dan ditulis bukan oleh ustaz-ustaz tetapi golongan profesional. Bidang motivasi yang di-cover oleh PTS juga lebih luas, daripada bidang keusahawanan sampailah bidang kepimpinan persatuan.

Kita masih berminat dengan buku-buku motivasi, oleh itu saudara yang berminat menulis buku motivasi, hubungi En. Fauzul fauzul@pts.com.my bagi motivasi pembangunan diri remaja, dan En. Nazrul nazrul@pts.com.my bagi motivasi dalam bidang kerjaya.


.

Teknik Menulis Travelogue

Kalau tidak silap saya, itu lori kutip sampah, bukan?” saya bertanya.


Ya, memang itu lori sampah,” jawab pemandu pacuan 4 roda kami.


Mengapa pekerja itu makan dari bakul sampah?”


Memang dia mengutip makanan dari tong sampah,” kata pemandu kami itu. Dia orang tempatan.


Rakan-rakan yang sudah beberapa lama bertugas di Khartoum terpegun melihat gelagat pekerja pemungut sampah mengambil sisa makanan dari dalam tong sampah dan menyuapkannya ke mulutnya. Saya pun terkejut malah kami semua terperanjat melihat peristiwa itu.


Bukan seorang sahaja yang makan dari bakul sampah, tetapi semua pekerja kutip sampah yang bersama lori sampah itu mengutip makanan dari tong sampah.


Pemandu kami terpaksa memberhentikan kenderaan di belakang lori sampah yang mengutip sampah dari belakang bangunan Restoran Amwaaj, sebuah restoran mewah di tengah bandar Khartoum.


Amwaaj itu restoran mewah, makanan yang dibuang pun berserta pembalut plastik, jadi elok lagi. Sebab itu pekerja itu memakannya,” kata teman Sudan kami.


Restoran Amwaaj terkenal dengan hidangan enak dan istimewa. Antaranya ialah daging kambing (karoof) bakar, ayam panggang, nasi beriani, daun salad Sudan, dan sup cendawan yang lazat.


Amwaaj sangat terkenal di kalangan para pegawai korporat di sekitar Khartoum, begitu juga pekerja pejabat NGO serta agensi-agensi bantuan PBB. Mereka selalu mengunjungi Amwaaj bila meraikan pelanggan kerana makanan yang disediakan di situ lazat dan bertaraf hotel lima bintang.


.

Buku Kecil, Royalti Besar

Banyak common sense yang betul, tetapi tidak kurang pula common sense yang sebenarnya salah, disebabkan akal biasa tidak semestinya betul.

Logik akal biasa mengatakan, ganjaran adalah commensurate dengan kesukaran kerja. Justeru ramai orang yakin projek besar membawa keuntungan lebih besar daripada projek-projek kecil.

Begitu juga, ramai orang percaya kerja-kerja yang teruk menerima perolehan lebih besar daripada kerja yang ringan.

Dalam dunia buku, ada buku yang besar dan yang sukar dihasilkan, yang membawa pulangan besar. Sebagai contoh buku Kamus Dewan adalah sebuah projek besar dan ia adalah buku terbitan DBP yang paling menguntungkan.

SifuPTS juga mempunyai buku jenis ini. Koleksi Peribahasa SifuPTS menelan kos RM27 ribu, 6 pembantu, dan 3 tahun bagi mengumpulkan dan menyusunnya. Ia juga merupakan buku SifuPTS yang paling menguntungkan sehingga hari ini.

Tetapi banyak buku-buku kecil dan yang mudah ditulis dapat menghasilkan perolehan yang melebihi kos penulisannya. Buku itu mungkin ditulis dalam masa 3 minggu sahaja, tetapi ia laku keras dan evergreen pula.

Buku-buku doa dan panduan ibadat harian adalah contoh yang baik. Begitu juga buku-buku cerita untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.

Royalti buku-buku kecil memang kecil disebabkan harganya yang murah, tetapi buku-buku itu evergreen dan pasarannya luas. Justeru apabila dihimpunkan, jumlah royaltinya dapat menjadi besar, malah mungkin jauh lebih besar daripada royalti buku-buku besar yang susah menulisnya.

.

Monday, October 02, 2006

Buku Ulangcetak: Mengapa Lambat?

Buku saudara sudah habis dalam setor penerbit saudara. Tetapi mengapa sampai hari ini ia belum diulangcetak?

Para penulis memang berasa kecewa apabila bukunya sudah habis dalam setor tetapi masih belum diulangcetak oleh penerbitnya.

Berikut adalah garis panduan ulangcetak yang diamalkan oleh penerbit dalam dan luar negara:

1. Buku itu mungkin sudah habis keluar daripada setor penerbit tetapi itu bukan bermakna buku itu semuanya sudah habis terjual di kedai. Tunggu dahulu sampai buku dalam kedai habis terjual, jika tidak, buku yang baru diulangcetak itu tidak dipesan oleh kedai. Ia duduk lama dalam setor. Duit pun sangkut dalam setor.

2. Jika buku itu hendak ditukar kulitnya, ada risiko mana-mana buku kulit lama yang masih ada dalam kedai akan di-return kepada penerbit. Buku kulit lama sukar dijual, ia berlonggok dalam setor. Duit pun sangkut dalam setor.

3. Jika cetakan pertama buku itu 2 ribu naskhah, jangan terus ulangcetak 2 ribu naskhah. Barangkali pasaran sebenar buku itu cuma 2500 naskhah sahaja. 1500 naskhah lagi gagal dijual, ia berlonggok dalam setor. Duit pun sangkut dalam setor.

4. Bukan semua buku patut diulangcetak. Kalau cetakan pertama buku itu pun mengambil masa 2 tahun baru habis dijual, jangan ulangcetak buku itu. Gunakan duit itu untuk mencetak judul baru, ataupun ulangcetak buku lain yang lebih laku.

5. Pilih waktu yang tepat bagi mengulangcetak. Ikut kalendar kegunaan buku-buku itu. Jangan asal habis, buku itu terus hendak diulangcetak. Buku sekolah cetak apabila sekolah hampir buka. Buku haji dan umrah ulangcetak sebelum bulan puasa. Buku universiti tunggu sehingga kursus itu ditawarkan semula. Buku puasa cetak sebelum bulan puasa.

6. Dulukan mencetak judul baru dibandingkan dengan mengulangcetak buku yang ada. Judul baru lebih cepat dijual. Buku ulangcetak lebih slow. Ini penting bagi memastikan cash-flow syarikat tidak tercekik.

7. Jika pesanan buku itu tidak lebih daripada 400 unit, lebih baik jangan ulangcetak buku itu. Gunakan duit itu bagi mencetak buku-buku lain.

3. Bagi buku-buku yang banyak fakta kontemporari di dalamnya, selepas 3 tahun terbit, buku yang hendak diulangcetak mesti dihantar kepada pengarang supaya ditokok-tambah dan diterbitkan sebagai edisi ke-2. Kalau pengarang tidak mahu, jangan ulangcetak buku itu.

4. Selepas 2 tahun buku itu dalam pasaran, baru tukar kulitnya.Sebab apabila kulit ditukar, kedai buku akan segera me-return buku-buku kulit lama yang masih ada dalam kedai.

5. Pada masa ini ada pencetak sanggup mencetak 500 naskhah minimum. Gunakan kemudahan ini bagi mengulagcetak buku-buku yang sederhana permintaannya.

Diharap para penulis sudah mendapat gambaran bagaimana penerbit menguruskan risiko yang berkait dengan buku ulangcetak.

.

Sunday, October 01, 2006

Mengedar Buku ke Kedai Buku Kecil

Adakah saudara baru belajar menjadi penerbit? Adakah saudara memilih-milih kepada siapa saudara akan bekalkan buku-buku yang saudara terbitkan, ataupun saudara main hantar sahaja kepada semua kedai yang berminat, termasuk kedai-kedai kecil?

Ada dua jenis kedai buku kecil:

(a) Kedai buku milik peniaga individu.

(b) Kedai buku cawangan rangkaian kedai buku besar.

Mengedar buku ke kedai-kedai buku milik individu adalah berisiko tinggi, disebabkan oleh kesukaran mengutip hutang. Ini bukan bermakna pemilik kedai buku indie adalah culas membayar hutang, tidak!

Isu kutip hutang ini lebih real apabila kedai-kedai indie itu berada di luar Lembah Kelang.

Faktor yang menyebabkan susah mengutip hutang daripada kedai buku indie adalah akaun mereka kecil, yakni pembelian mereka kecil.

Kos menghantar salesman pergi mengutip hutang menyebabkan saudara berdepan dengan fenomena harga membeli rantai lebih mahal daripada beruk! Hutang yang hendak dikutip cuma RM200. Kos menghantar salesman RM300.

Jika penerbit menggunakan telefon bagi mengutip hutang, kos panggilan telefon lama-lama boleh naik sampai RM300, sedangkan hutang masih belum dapat dikutip.

Tetapi mengapakah begitu sukar mengutip hutang daripada kedai-kedai buku indie? Puncanya adalah budaya kerja pekedai indie.

Tuan punya kedai buku indie lazimnya jarang duduk dalam kedainya. Yang ada dalam kedai mungkin isterinya, mungkin adiknya, mungkin pekerjanya.

Buku cek pula ikut berjalan dengan tuan punya kedai. Kalau beliau tidak ada dalam kedai, salesman balik dengan tangan kosong, sedangkan elaun minyak dan perjalanannya tetap dibayar.

Penerbit besar memang mempunyai prejudis tebal kepada kedai-kedai buku indie. Prejudis itulah yang menyebabkan mereka tidak berminat hendak membekalkan buku secara direct kepada kedai-kedai indie.

Sebaliknya mereka menumpukan bisnes kepada pengedar-pengedar besar sahaja yang majoritinya beroperasi dari Lembah Kelang. Biar pengedar besar yang membekalkan buku kepada kedai-kedai indie.

Ini berbeza sekali dengan kedai-kedai buku besar yang diurus menggunakan budaya korporat. Penerbit tidak perlu terhegeh-hegeh pergi menagih hutang kerana pengurusan gaya korporat lebih efisien sehingga membolehkan setiap bulan cek-cek pembayaran datang sendiri.

Data kewangan PTS menunjukkan 87% hutang yang gagal dikutip selepas tempoh 90 hari datang daripada kedai-kedai buku milik individu!

Angka 13% itu nampaknya kecil, tetapi jika 13% daripada jumlah RM7 juta, itu bukan jumlah kecil. Sedangkan margin keuntungan bagi setiap tajuk hanya 3%!

Angka 13% itu, jika dialami oleh penerbit kecil, ia mencekik cashflow, dan menyebabkan penerbit gulung tikar.

Isu gaya pengurusan kedai-kedai indie yang tidak efisien menyebabkan semua pihak rugi:

(a) Penerbit tidak dapat meluaskan pengedaran buku-buku yang diterbitkannya.

Ini yang dialami oleh PTS di mana buku-buku ilmu PTS tidak dapat diedarkan sampai ke pekan-pekan kecil. Justeru PTS hilang peluang bisnes. Permintaan bagi buku-buku PTS ada di pekan-pekan kecil, tetapi tidak dapat dimanfaatkan.

Puncanya, pengedar buku Melayu yang besar-besar (baca, pengedar Mamak) hanya berminat mengedarkan buku-buku novel cinta dan buku ulangkaji peperiksaan! Mereka tidak mempunyai agenda perjuangan membangunkan industri buku ilmu dan memandaikan bangsa.

(b) Pembaca di luar kawasan bandar-bandar utama tidak mendapat bekalan buku-buku bermutu.

(c) Kedai-kedai buku indie tidak dapat membuka akaun dengan penerbit, oleh itu mereka tidak dapat menikmati diskaun yang tinggi.

Tidak ada penerbit yang tidak mahu mengedarkan buku-bukunya dengan seluas-luasnya. Isunya di sini bukan isu penerbit tidak mahu bukunya laku lebih banyak. Isunya adalah pengurusan risiko. Itu sahaja.

Situasi begini menjejaskan segelintir pekedai indie yang baik, yang memang hendak berniaga dalam bidang retailing buku.

Disebabkan apa yang berlaku dengan kedai-kedai yang tidak berdisplin dengan pembayaran hutang-hutangnya, kedai-kedai indie yang baik pun sukar hendak membuka akaun dengan penerbit besar.


.

Kejayaan Sebagai Penulis: Bakat ataupun Minat?

Pada umumnya, mereka yang hadir kursus-kursus penulisan anjuran PTS dapat dibahagikan kepada 2 kumpulan:

(a) Mereka yang memiliki bakat menulis.

(b) Mereka yang berminat hendak menjadi penulis.

Begitu juga mereka yang memohon masuk skim mentor-mentee SifuPTS. Terbukti mereka yang akhirnya berjaya menulis buku adalah kumpulan (a), yakni mereka yang memiliki bakat, bukan mereka yang sangat berminat hendak menjadi penulis.

Sdr Alif Firdaus adalah contoh yang baik. Beliau tidak pernah ingin menjadi penulis. Beliau tidak percaya beliau berupaya menulis, walaupun sebuah cerpen, apatah lagi sebuah buku. Obsesi beliau adalah mahu menjadi pelukis komik yang terkenal. Beliau hadir kursus penulisan disebabkan 'arahan' SifuPTS. Terbukti, selepas hadir kursus beliau berjaya melahirkan 3 buah nomik remaja. Nomik adalah gandingan novel+komik.

Adakah saudara sangat berminat menjadi penulis? Bagaimana dengan bakat saudara?

Ambil contoh ini: Meskipun sesetengah orang mempunyai bakat menyanyi yang luar biasa, tetapi mereka tidak mempunyai minat hendak menjadi penyanyi, jadi mereka tidak pergi mengambil ujian memasuki Akademi Fantasia.

Manakala majoriti yang pergi ke ujian AF mempunyai minat yang menggebu-gebu hendak menjadi penyanyi, tetapi bakatnya biasa-biasa sahaja. Mereka bukan materi menjadi bintang.

Lazimnya para motivator yang tidak berlatar-belakangkan bidang psikologi berkata lebih kurang begini: "Pilihlah bidang yang saudara minati." Nasihat begini SALAH.

Yang BETUL adalah: "Pilihlah bidang yang saudara miliki bakatnya, walaupun saudara kurang meminatinya."

Menceburi bidang yang saudara minati tanpa bakat adalah merugikan semua pihak. Banyak orang membuka bisnes tanpa berbekalkan bakat bisnes, melainkan minat semata-mata. Mereka gagal, modal terbakar, rumah yang dicagarkan ke bank dilelong, dan bank sukar mengutip semua hutangnya.

Semua orang dilahirkan siap dengan dibekali bakat masing-masing oleh Tuhan. Kenal pasti bakat saudara dan ceburi bidang itu.

SifuPTS hanya mengambil mentee yang memiliki bakat menulis.

Bagaimanakah saudara dapat mengetahui apakah saudara memiliki bakat menulis? Jawab soalan-soalan berikut:

1. Ada ataupun tidak antara anggota keluarga saudara yang memiliki bakat menulis? (ADA) (TIDAK ADA)

2. Jika antara anggota keluarga tidak ada bakat menulis, bagaimana dengan bakat-bakat seni yang lain? (ADA) (TIDAK ADA)

3. Adakah saudara mempunyai blog sendiri? (ADA) (TIDAK ADA)

4. Sewaktu di sekolah, pernahkah saudara mendapat A bagi karangan saudara? (ADA) (TIDAK ADA)

5. Pernahkah saudara masuk peraduan mengarang? (ADA) (TIDAK ADA)

6. Adakah saudara suka membaca apa-apa sahaja? (SUKA) (TIDAK SUKA)

7. Adakah saudara memilki koleksi buku peribai? (ADA) (TIDAK ADA)

Semakin banyak saudara menjawab (ADA) semakin tinggi kemungkinan saudara dilahirkan dengan dibekali bakat menulis. Datanglah ke kursus penulisan PTS.


.