Friday, November 18, 2005

Projek Fiksyen Sejarah

Perhatian! Perhatian!

Adakah saudara suka membaca dan menulis cerita-cerita sejarah? Jika ya, PTS FORTUNA ingin mengajak saudara hadir bengkel penulisan yang akan diadakan. Sila mendaftar melalui blog ini.



Wednesday, November 16, 2005

Adakah Nasib Buku Melayu akan Serupa Buku Cina?

Dari sudut bahasa, pasaran buku-buku dalam bahasa Cina adalah paling besar di negara ini, diikuti oleh buku-buku Melayu, kemudian barulah buku-buku Inggeris, dan India. Pola ini juga berlaku dalam sektor akhbar dan majalah.

Pada suatu masa, muncul syarikat-syarikat penerbit tempatan yang cuba mengambil kesempatan daripada besarnya saiz pasaran bahasa Cina dengan menerbitkan buku-buku Cina yang ditulis oleh penulis-penulis tempatan. Salah satu syarikat itu adalah Pelangi. Pelangi adalah syarikat papan kedua di BSKL.

Pasaran buku-buku Cina karya tempatan mengalami pukulan kuat daripada buku-buku yang diimpot dari negara Cina. Faktor utamanya adalah disebabkan buku-buku impot itu jauh lebih tinggi mutu isi kandungan dan juga fizikalnya. Akibatnya Pelangi mengambil tindakan mengecilkan jabatan editorial Cinanya sehingga tinggal penerbitan buku-buku teks sekolah Cina sahaja.

Langkah Pelangi itu tentulah menjadi pukulan kuat kepada penulis-penulis Cina tempatan. Tanpa komitmen daripada para penerbit, masa depan buku-buku Cina karya pengarang-pengarang Malaysia adalah malap. Ini adalah kerugian kepada ekonomi negara dari sudut pertukaran wang asing dan dari segi kebudayaan. Kita seharusnya menggalakkan perkembangan karya tempatan supaya dapat diekspot ke pasaran negara Cina yang begitu luas, bukan sebaliknya, di mana kita mematikan pengkaryaan penulis-penulis tempatan, dan dengan itu memaksa pembaca bahasa Cina tempatan membaca karya-karya impot sahaja.

Bagaimana pula dengan nasib buku-buku bahasa Melayu? Jikalau penerbit tempatan tidak menunjukkan komitmen mahu membangunkan pengarang-pengarang tempatan, mungkinkah permintaan yang tinggi untuk buku-buku Melayu akan dipenuhi dengan cara mengimpot buku-buku dari Indonesia sahaja?


Tuesday, November 15, 2005

Siapa Pengeluar Terbesar Rancangan TV Tempatan?

Apa kaitan rancangan TV dengan dunia buku? Jawapannya: Isi kandungan atau 'content'.

Rakyat Malaysia suka menonton rancangan tempatan ataupun rancangan import? Jika penonton Malaysia lebih meminati rancangan impot, stesen TV akan menyiarkan lebih banyak rancangan impot. Habislah nasib penerbit tempatan dan begitu juga nasib semua profesional bidang itu.

Rakyat Malaysia suka membaca buku tempatan ataupun buku impot? Jika pembaca Malaysia suka buku-buku impot, kedai-kedai buku akan menjual lebih banyak buku impot. Habislah nasib penerbit buku tempatan, dan begitu juga nasib semua profesional bidang buku.

En. David Butorac, CEO Astro, dalam interviunya dengan THE EDGE November 7, memberitahu penerbit rancangan TV tempatan yang terbesar adalah Astro, bukan TV3, bukan RTM. Astro mempunyai 9 studio penerbitan di Bukit Jalil. Tahun 2004 Astro menerbitkan 1,300 jam rancangan tempatan. Daripada 10 saluran Astro yang paling popular, 7 adalah saluran tempatan yang dicipta oleh Astro sendiri. Bagi tahun 2005 Astro membelanjakan RM100 juta bagi menerbitkan rancangan-rancangan tempatan.

Dengan fakta bahawa penonton TV lebih suka menonton rancangan tempatan, adakah tidak logik apabila kita yakin bahawa pembaca buku juga lebih suka membaca buku-buku tempatan. Ini sudah dibuktikan oleh perkembangan pasaran novel-novel cinta remaja.

Jadi, para penerbit buku perlu lebih kreatif dalam mengenal pasti isi kandungan tempatan yang dimahukan oleh pembeli buku-buku tempatan. Maklumat itu perlu disampaikan kepada para penulis supaya mereka menulis buku-buku yang digemari oleh pembeli.

Berdasarkan trend ini PTS FORTUNA akan secara aktif menerbitkan buku-buku kreatif yang isi kandungannya memenuhi citarasa tempatan.


Monday, November 14, 2005

Hanya Satu Novel Cinta

Majoriti penulis muda hanya berjaya menerbitkan novel dengan penerbit besar hanya berjaya menerbitkan satu novel sahaja dengan penerbit itu, manakala novel kedua mereka ditolak disebabkan kualiti cerita dan analisis tema yang rendah.

Maklumat ini kita perolehi daripada pengurus besar salah sebuah penerbit novel cinta yang terbesar. Menurut beliau, faktor yang menyebabkan penulis muda gagal menghasilkan karya bermutu secara konsisten adalah mereka tidak banyak membaca.

Isu penulis tidak banyak membaca ini adalah isu penting. Para pembeli buku adalah orang-orang yang gemar membaca, maka itulah sebabnya mereka membeli buku. Jadi, mereka bukan orang bodoh. Tetapi rupa-rupanya masih ada penulis yang menyangka mereka dapat melahirkan karya bermutu tanpa banyak membaca.