Selalunya apabila kanak-kanak kampung itu bermain kahwin-kahwin, Sazalilah yang menjadi Tok Kadi. Hampir semua budak-budak kampung itu pernah dikahwinkannya.
“Kamu sudah bersedia hendak berkahwin?” tanya Sazali kepada Zaini, yang baru berusia tujuh tahun.
“Sudah, Tok Kadi,” jawab Zaini sambil tersenyum lebar menampakkan gigi susunya yang tidak cukup dua batang, gara-gara terjatuh dari pokok rambutan.
“Siapa pengantin perempuan?” tanya Sazali lagi sambil matanya ligat memandang semua 'tetamu' yang hadir pada majlis 'pernikahan' itu.
“Tuu!!” Zaini memuncungkan bibirnya ke arah Rosnah yang selalu berseluar panjang dengan rambutnya paras bahu, yang dari tadi asyik bermain-main dengan rambut Sanisah yang panjangnya hingga ke pinggang.
“Saya tidak mahu! Saya tidak mahu kahwin dengan dia, Tok Kadi,” Rosnah merengek-rengek kepada Sazali sambil menarik baju Sazali dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
Sazali menolak tangan Rosnah dan injak jauh sikit darinya.
“Kalau kahwin dengan Khairul, saya mahulah,” Rosnah menuding jari sambil menjeling kepada Khairul dan segera merapati Khairul dengan harapan Khairul juga bersetuju berkahwin dengannya.
“Saya tidak mahu kahwin dengan Rosnah, saya mahu kahwin dengan Sarina,” kata Khairul sambil mencebik dan memusingkan kepalanya mencari Sarina yang sedang berpaut pada bahu Sanisah.
“Sekiranya awak mahukan saya, awak mesti belikan saya kereta, saya hendak rumah saya...” Sarina memberi syarat kepada Khairul.
Sarina pernah mendengar makcik-makcik di kampung itu bersembang mengatakan yang mereka hanya akan mengahwinkan anak-anak gadis mereka dengan orang yang mampu memberi kesenangan kepada anak-anak mereka. Apabila dapat menantu kaya, semua penduduk kampung akan pandang mereka tinggi.
“Baiklah, nanti saya ambil duit ayah saya dan belikan kamu rumah, kereta dan apa saja yang kamu mahu, janji saya dapat kamu!” ujar Khairul memintas percakapan Sarina sambil meninggikan kolar bajunya.
“Kami mahu kereta yang besar dan cantik,” kata Sarina lagi seperti tidak yakin dengan Khairul yang bersetuju dengan syaratnya tadi.
“Alah, ayah saya banyak duit,” Khairul meninggi diri.
Kebetulan Khairul pernah melihat ayahnya mengira-ngira hasil jualan pisang yang tidak seberapa. Namun, pada tanggapan Khairul beberapa keping duit kertas berwarna merah yang dikira ayahnya amat banyak.
“Sudah, sudah, sudah jangan mengada-ngada!” bentak Sazali. Dia mengerutkan dahi sambil mencampakkan batu kelikir kecil yang digenggamnya.
Bosan Sazali melihat sandiwara antara Khairul dan Sarina kerana Sazali juga ada hati dengan Sarina tetapi Sazali tidak berani mengajak Sarina berkahwin. Siapa pula yang akan menikahkan dirinya?
Semua terdiam dan keadaan tiba-tiba menjadi sunyi.
“Habis siapa mahu kahwin dengan siapa?” tanya Sazali memecah kesunyian sambil menolak Khairul supaya menjauhi Sarina.
Lantas Sazali berdiri di antara Sarina dan Khairul.
“Saya dengan Sanisah,” cadang Zain sambil dia mendapatkan Sanisah dan menarik tangan Sanisah untuk berdiri di sebelahnya.
“Saya tak hendak kahwin dengan kamulah! Lepaskan tangan saya!” herdik Sanisah sambil meronta-ronta minta tangannya dilepaskan.
“Alah, kita main-main sahaja,” pujuk Rosnah tersenyum menampakkan lesung pipitnya sambil mengusap rambut Sanisah.
“Dengar sini semua,” kata Sazali untuk meraih perhatian dari atas busut.
Semua mata tertumpu ke arahku, menanti pengumuman penting yang akan kubuat.
“Kamu Sanisah akan jadi pengantin perempuan,” kata Sazali sambil menuding ke arah Sanisah.
Semua para 'hadirin' bersorak meraikan pengantin perempuan. Kedengaran juga lagu “Bunga Rampai' dilaungkan.
“Tetapi olok-olok sahaja, ya Tok Kadi?” Sanisah mengemukakan syarat kepada Sazali, sambil matanya menjeling Zaini. Meluat dia melihat Zaini yang rompong dan berhingus.
“Kalau betul-betul pun apa salahnya?” celah Suhaili yang dari tadi diam sahaja, asyik memerhatikan gelagat rakan-rakannya yang asyik memilih pasangan. Dia memandang Zaini yang tidak henti-henti tersengih kerana suka hendak berkahwin dengan Sanisah.
Sazali terdengar ketawa-ketawa kecil dari arah Khairul, Sarina, Rosnah dan Hamidon.
“Mengikut adat kampung ini, saya yang akan menetapkan siapa berkahwin dengan siapa, faham?” Sazali berlagak seperti Tok Ketua pula.
“Pada hari ini Zaini akan berkahwin dengan Sanisah,” arah Sazali.
“Kahwin olok-olok sahaja, ya Tok Kadi!” Sanisah ingin mendapatkan kepastian lagi.
Sazali mengangguk untuk meyakinkan Sanisah.
“Kaum perempuan duduk hujung sana, dan pengantin perempuan duduk tempat khas. Kamu pengantin lelaki, duduk sini,” arah Sazali kepada mereka sambil memastikan semua mengambil tempat masing-masing.
“Mana ibu bapa pengantin perempuan?” tanya Sazali tercari-cari siapa yang layak memegang peranan ibu bapa pengantin perempuan.
“Pengantin perempuan anak yatim piatu,” celah Hamidon, sekaligus mereka semua ketawa terbahak-bahak.
“Saya tidak mahu kahwinlah kalau macam ini. Emak saya ada di rumah, tahu? Ayah saya ada di kebun,” Sanisah merajuk memuncungkan mulutnya.
“Macam mulut itik,” bisik hati Sazali lalu terukir senyuman mengejek.
“Kami pun tak mahu kahwinlah kalau macam ini,” sampuk Sarina, menyebelahi Sanisah, walaupun tadi kulihat Sarina pun ketawa menyeringai.
“Kamu ini, kami baru melawak sedikit, sudah hendak merajuk, macam budak perempuan!” celah Khairul kepada Sanisah.
Mereka ketawa lagi.
“Engkau pun satu! Sanisah memang budak perempuan,” kata Sazali seolah-olah menyebelahi Sanisah pula. Kini giliran Kahirul pula ditertawakan.
“Sudah, sudah. Mari kita mulakan sekarang acara kahwin-kahwin,” Sazali cuba mengawal keadaan.
“Mana wali pengantin lelaki?” tanya Sazali kepada pengantin lelaki.
“Saya jadi ayahnya,” kata Hamidon memberi persetujuan.
“Mana wali pengantin perempuan?” tanya Sazali lagi.
“Saya,” kata Azam, mengangkat tangan.
“Siapa jadi saksi?” Sazali meneruskan pertanyaannya.
“Saya dan Rahim,” ujar Suhairi sambil menepuk-nepuk bahu Rahim.
“Pengantin lelaki duduk depan saya,” arah Sazali kepada Zaini.
“Baik, Tok Kadi,” Zaini menuruti, menundukkan bandannya untuk ke tempat duduk khasnya di hadapan Sazali.
“Tok Kadi tak pakai songkok, mana boleh kahwinkan Zaini! Kan? Kan?” kata Azam yang muda setahun daripada Sazali, meminta persetujuan dari rakan-rakan yang lain.
“Alah, kita main kahwin-kahwin sahaja” celah Sazali mempertahankan kedudukannya sebagai Tok Kadi.
“Minta kad pengenalan?” lagak Sazali seperti kadi yang pernah menikahkan anak jirannya. Tidak tahu pula Sazali apa gunanya kad pengenalan itu. Hendak dikatakan sebagai barang hantaran, tidak pula, sebab dilihatnya pengantin lelaki menyimpan semula kad pengenalannya.
“Kad pengenalan tak ada,” jawab Zaini jujur.
“Kamu hendak kahwin macam mana? Kad penganalan pun kamu tidak ada,” Sazali lihat Zaini sudah mula cuak dan keadaan pula mula menjadi hingar-bingar. Geli hati Sazali melihat Zaini.
“Tetapi disebabkan kamu orang kampung kita, saya akan kahwinkan kamu juga,” Sazali cuba mententeramkan keadaan dan dilihatnya Zaini kembali tenang.
“Kamu sudah sunat?” tanya Sazali selepas keadaan kembali normal.
“Emak saya kata, nanti apabila umur saya sudah 8 tahun baru saya boleh sunat,” Zaini kembali yakin menjawab soalan-soalan Sazali.
“Cuba kamu mengucap.” Inilah soalan yang pernah ditanya oleh kadi semasa Sazali ikut ayahnya ke majlis pernikahan orang kampung mereka beberapa minggu yang lepas.
“Aastapillah al azimmmm....” Zaini mengucap dengan yakin.
Serentak mereka ketawa, tetapi sebenarnya mereka pun kurang pasti 'mengucap' itu macam mana bunyinya.
“Baca alham,” suruh Sazali lagi.
“Alif Ba Ta,” Zaini membaca 'alham'.
Mereka ketawa lagi. Zaini hanya mampu tersengih-sengih.
“Aku angkat nikah kamu dengan anak Abidin dengan mas kahwin 20 sen tunai.”
Baru sahaja Sazali hendak menghenjut tangan Zaini, tiba-tiba semua ketawa. Sazali terpinga-pinga.
“Aku kahwinkan kamu dengan Sanisah dengan mas kahwin 20 sen tunai,” Khairul membetulkan kesilapan Sazali.
Merah padam muka Sazali, malu tersilap cakap tadi.
“Aku nikahkan kamu Zaini bin Masdar dengan Sanisah binti Abidin dengan mas kahwin 20 sen hutanggg....” lantas Sazali menghenjut tangan Zaini, yakin dia tidak tersilap lagi.
“Aku nikahkan aku dengan Sanisah binti Adidin dengan mas kahwin 20 sen tunai....” Zaini mengulangi ayat Sazali tadi, tetapi agak berlainan.
Mereka ketawa lagi.
“Sah?” tanya Sazali kepada kedua-dua saksi.
“Sah!” kedua-dua saksi menganggukkan kepala tanda setuju.
Kedua-dua mempelai diarak dan disandingkan di atas pelamin. Berseri-seri Zaini di atas pelamin sambil dikipas oleh Hamidon dengan pelepah kelapa. Manakala Sanisah tersenyum-senyum menunduk malu diapit oleh Sarina.
Di kiri dan kanan pelamin, sibuklah Sazali, Khairul dan Suhaili mengetuk tin menggantikan kompang sambil mendendangkan lagu untuk pengantin. Sedang asyik mereka menepung tawar pengantin, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Bertempiaran mereka berlari menuju ke rumah masing-masing.
Habis musnah pelamin mereka ditimpa hujan. Bunga-bunga raya di hadapan pelamin dihanyutkan air, manakala pelepah kelapa yang digunakan untuk dijadikan kipas rosak. Terpaksalah mereka membina semula pelamin yang baru.
Namun akhirnya, sesudah masing-masing dewasa, tiada seorang pun yang jadi berkahwin dengan isteri pertama mereka.
(Petikan dari novel jibunsyi karya Chef Zul yang bakal terbit.)