Saturday, February 25, 2006

Kartun Cina

BBC semalam, 24 Feb, menyiarkan berita yang menggemparkan industri kartun seluruh dunia.

Beijing sudah mengambil langkah supaya kartun dan animasi dari luar negara itu tidak disiarkan lagi di saluran-saluran TV negara itu. Langkah tersebut adalah bagi melindungi dan menggalakkan pertumbuhan industri animasi dan kartun dalam negara.

Siri animasi Tele Bubble adalah terbitan BBC dan sedang ditayangkan di Cina.




.

Friday, February 24, 2006

Perangkap 80 – 20

Entri ini ditulis khusus untuk mentee-mentee SifuPTS!

Beberapa orang mentee seperti Fadzli Yusof, Samsudin Wahab, Naim Jaafar, Ashadi Zain, Jeniri Amir, Salhah Mohamad, Ida Rizyani, Alif Firdaus dan Ahmad Zafran berjaya meluncurkan buku-buku mereka, lepas satu satu lagi, ke dalam pasaran. Manuskrip baru yang sedang dalam proses belum dicetak, mereka sudah hampir menyiapkan satu lagi manuskrip baru.

Dalam bidang pengurusan kerja peribadi, salah satu punca kegagalan menghasilkan buku adalah apa yang disebut “Perangkap 80 – 20”.

Bagaimanakah saudara boleh terjebak dalam perangkap kegagalan ini?

Begini:

Saudara menulis banyak buku serentak. Bagus! Itu strategi yang betul, mengikut KJ Method. (Peringatan: Tulis sekurang-kurangnya 5 buku serentak! Jangan lupa, gunakan sistem kad. Jangan gunakan logik linear, nanti kerja tersangkut-sangkut.)

Cuba tengok semula kemajuan tiap-tiap buku yang saudara sedang tulis. Bukankah semuanya separuh jalan! Saudara banyak buat kerja, tetapi satu pun tidak ada yang siap!

Jangan saudara menyorok di sebalik pelbagai alasan yang saudara ada-adakan bagi mempertahankan kegagalan saudara itu. Orang lain pun sibuk juga.

Cara keluar dari perangkap ini adalah begini: Pilih buku yang sudah 80% siap dan SIAPKAN yang 20% peratus lagi.

Jangan tunggu ada mood baru hendak disiapkan. Paksa diri sendiri menyiapkan buku itu, dan segera hantar kepada editor saudara supaya dapat diberi feedback. Jangan tergoda untuk menulis buku yang baru 20% dimulakan.

Ingat prinsip No. 1 mengurus banyak kerja: Buat banyak kerja, tetapi siapkan satu demi satu.

Nih, Sifu dah geramlah nih! (Kan dah kena rotan di depan perhimpunan!... kasihan juga).

Warning: Kalau dalam masa 2 minggu saya tidak terima manuskrip, nama-nama saudara akan saya tampal di papan notis!




Thursday, February 23, 2006

Surah Yusuf: Nasib Malang sebagai Unsur Keindahan

Nasib malang adalah unsur keindahan dalam sastera Islami. Ertinya, kisah yang tidak mengandungi unsur nasib malang tidak akan lebih tinggi nilai keindahannya.

Berdasarkan teori novel Islami mazhab surah Yusuf, watak utama perlu mengalami rentetan nasib malang. Berapa kalikah watak utama perlu menempuh nasib malang dalam sebuah kisah yang indah?

Lima kali.

Ya, hero dalam novel Islami menempuh malang sebanyak 5 kali. Ini adalah berdasarkan apa yang dialami oleh Nabi Yusuf:

1. Nabi Yusuf dicemburui oleh abang-abangnya sendiri sehingga mereka cuba membunuhnya dengan mencampakkannya ke dalam telaga.

2. Nabi Yusuf dijual sebagai hamba oleh saudagar dengan harga yang amat murah.

3. Beliau difitnah oleh isteri majikannya yang gagal menggodanya.

4. Beliau dimasukkan ke dalam penjara meskipun suami majikannya tahu isterinyalah yang menggoda beliau.

5. Sewaktu di dalam penjara, rakan banduan yang diberi pesan supaya berusha membantu beliau dibebaskan, terlupa, sehingga Nabi Yusuf merengkok lebih lama dalam penjara itu.

Mengapakah dalam kisah Nabi Yusuf yang indah itu, watak utama menempuh 5 kali nasib malang? Mengapa tidak sekali, ataupun 4 kali, ataupun 10 kali? Tuhanlah yang lebih mengetahui.



.

En. Rashid Azad Khan

Jangan Lupa!


En. Rashid Azad Khan, CEO Kumpulan PTS akan mengendalikan bengkel menulis buku-buku motivasi bisnes pada Ahad 26 Feb 2006. Ambil peluang berkenalan dengan Boss Besar PTS.




.

Tewasnya Budak Besar Komik Melayu

Topik hangat yang dibincangkan dalam bengkel komik Sdr Zunar pada 19hb Februari lalu adalah kejatuhan majalah komik Gila-Gila daripada tahtanya sebagai majalah humor paling popular pada suatu masa dahulu.

Faktor paling utama yang berjaya menjatuhkan Gila-Gila adalah banyaknya majalah-majalah komik yang kecil-kecil, yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit independent, yang menawarkan genre humor yang serupa dengan apa yang ditawarkan oleh Gila-Gila.

Pelukis-pelukis komik yang diketengahkan oleh Gila-Gila telah keluar satu demi satu, meninggalkan majalah humor itu, dan menjadi penerbit independent. Begitu banyaknya komik humor independent masuk ke dalam pasaran, sehingga akhirnya semua pihak gagal dan menanggung kerugian.

Walaupun waktu itu Gila-Gila sudah besar, namun ia tidak berupaya melawan komik-komik kecil yang begitu banyak. Komik-komik kecil itupun akhirnya mati disebabkan mereka bukan hanya perlu berlawan dengan Gila-Gila, malah mereka perlu berlawan sama sendiri. (Baca blog Kalamtimur untuk sejarah ringkas kebangkitan dan kejatuhan komik Melayu.)

Trend yang sedang berlaku sekarang dalam pasaran novel cinta ada persamaannya dengan apa yang pernah berlaku kepada Gila-Gila.

Fenomena penulis-penulis novel cinta, yang menjadi popular kerana diketengahkan oleh Creative dan Alaf21, keluar dan menjadi penerbit independent sedang menyebabkan berulangnya pengalaman Gila-Gila ke atas Creative dan Alaf. Maklumat pasaran menunjukkan kehadiran mereka sudah pun dapat menyebabkan turunnya jumlah cetakan pertama novel-novel Creative, Alaf21, Utusan, Rythm dan Times.

Dalam dunia penerbitan lokal, gosip sedang tersebar bahawa seorang lagi nama besar dalam novel cinta akan menjadi penerbit independent. Dikatakan sekumpulan penulis lain daripada sebuah penerbit besar sudah menyerahkan novel-novel baru mereka kepada nama besar itu.

Dalam menghadapi senario seperti ini, apakah yang sebaiknya dilakukan oleh NB Kara, Media Intens, KakiNovel dan KarnaDya? Mereka berempat bukan hanya perlu berlawan dengan Creative dan Alaf21, mereka perlu berlawan dengan Utusan, Rythm, Times dan lain-lain penerbit kecil.

Kejatuhan Gila-Gila menyebabkan tidak ada lagi Budak Besar yang mampu memimpin industri komik Melayu. Akibatnya, pintu industri komik Malaysia terbuka luas kepada kemasukan komik-komik impot. Kini komik-komik Melayu bukan hanya berlawan sesama sendiri, mereka harus berlawan dengan komik-komik impot.

Walaupun kita masih dapat membaca komik-komik tempatan, namun gaya persembahan komik-komik itu meniru bulat-bulat komik impot, suatu fenomena yang tidak menawarkan keuntungan kepada nilai-nilai kebudayaan Melayu. Kita menanggung dua kekalahan sekarang, kalah bisnes dan kalah budaya.

Demi kepentingan ekonomi dan budaya nasional, industri buku Melayu memerlukan kewujudan Budak-budak Besar bagi tiap-tiap kategori produk. Tanpa kehadiran Budak Besar, tidak ada pihak yang mempunyai kekuatan menentang dan menepis serangan budak-budak lari luar negara.

Kebangkitan Creative dan Alaf21 dalam pasaran sastera popular dan novel cinta remaja telah berjaya menyekat serangan novel-novel cinta terjemahan dari Barat, yang mengandungi unsur-unsur budaya Barat yang dapat mempengaruhi secara negatif akhlak pembaca.

Para penerbit Melayu yang sudah besar perlu berfikir dengan menggunakan Jiwa Besar, jika tidak kita akan dibunuh oleh budak-budak kita sendiri. Mereka pun belum tentu dapat menjadi Budak Besar yang mampu memimpin industri penerbitan Melayu.

Apakah faktor yang mendorong pelukis-pelukis komik Melayu dan penulis-penulis novel cinta lari daripada Creative dan Alaf21, lalu menubuhkan syarikat sendiri? Trend ini mesti dibendung, kerana trend beginilah yang telah membunuh Gila-Gila.



Tuesday, February 21, 2006

Bagaimana Penerbit Baru Merosakkan Pasaran

Adakah saudara hendak belajar menjadi penerbit novel cinta Melayu?

Jika ya, itu bermakna saudara menjadi apa yang diistilahkan penerbit bebas (independent publisher), yakni penerbit yang tidak dimiliki oleh syarikat induk korporat besar.

Sepanjang sejarah penerbitan novel-novel Melayu, kita hanya dapat menyebut 3 penerbit yang berjaya dalam bidang ini: DBP, Creative dan Alaf21.

DBP 'berjaya' disebabkan ia jabatan kerajaan. Tetapi bagaimanakah Creative dan Alaf21 berjaya? Adakah sesuatu yang dapat kita pelajari dan jadikan contoh disebabkan kedua-duanya telah berjaya membuktikan novel Melayu laku dijual.

Selepas Creative berjaya membuka pasaran novel Melayu, barulah Alaf21 masuk. Kemudian penerbit besar lain ikut masuk, iaitu Utusan, Rythm dan Times. Daripada nama-nama itu, hanya Creative sahaja merupakan penerbit independent. Yang lain adalah anak-anak syarikat milik penuh syarikat induk.

Creative dan Alaf21 berjaya di mana DBP gagal. Kedua-duanya berjaya membuka pasaran baru dengan cara memfokuskan produk mereka secara bertubi-tubi dan konsisten selama bertahun-tahun.

Creative menumpukan penerbitannya pada kategori sastera popular, manakala Alaf21 menumpukan pada kategori novel cinta remaja. Jelaslah, walaupun Creative dan Alaf21 sama-sama menerbitkan novel, tetapi sebenarnya Creative dan Alaf21 tidak bersaing kerana masing-masing menjual produk yang berbeza kepada sektor pembaca yang berbeza.

Dengan fokus serta ketekunan yang mereka amalkan, akhirnya Creative dan Alaf21 berjaya menjadi 'market leader' bagi sektor masing-masing. Begitu kukuh dan kuatnya kedudukan kedua-dua penerbit itu sehingga mereka dapat memaksa para pengedar dan peruncit membeli tunai novel-novel mereka!

Utusan, Rythm dan Times cuba masuk ke dalam pasaran di mana Creative dan Alaf21 sudah menjadi market leader-nya. Mereka tidak masuk dengan menawarkan konsep produk baru. Mereka hanya menjadi 'me-too player'. Terbukti, selepas hampir 10 tahun, mereka tidak dapat mengatasi kejayaan Creative dan Alaf21.

Sebagai pemain ikut-ikutan, para pembaca novel cinta Melayu mempunyai persepsi bahawa Utusan, Rythm dan Times hanya dapat menerbitkan novel-novel cinta yang sudah ditolak oleh Creative dan Alaf21. Inilah cabaran utama bagi Utusan, Ryhtm dan Times, yakni bagaimana mereka mahu membuang persepsi negatif itu daripada minda pasaran.

Bagaimana pula dengan KakiNovel, KarnaDya, Media Intens dan NB Kara yang masing-masing dimiliki oleh bekas-bekas orang Creative dan Alaf21? Apakah cabaran utama mereka?

Cabaran utama mereka adalah isu-isu rutin apabila memulakan bisnes baru sebagai penerbit independent dalam sektor yang sudah ada pemimpin pasarannya, iaitu sektor novel cinta. Sebagaimana yang dilakukan oleh Utusan, Rythm dan Times, empat nama baru itu mengambil posisi sebagai pemain me-too, tanpa menawarkan konsep produk baru.

Selagi Norhayati Berahim, Fauziah Ashari dan Aina Emir hanya menerbitkan karya mereka sendiri, cabarannya tidak besar. Mereka tidak perlu mengambil kira jumlah royalti mahupun jadual pembayaran royalti yang mereka bayar kepada diri mereka sendiri. Tetapi apabila mereka mula menerbitkan karya pengarang-pengarang lain, economics-nya sangat berbeza.

Cabaran kedua yang besar adalah harga jualan novel cinta yang sudah bertahun-tahun dimapankan oleh Creative dan Alaf21. Pembeli novel-novel cinta Alaf21 sudah terbiasa membeli novel Alaf21 pada harga yang 'amat murah'.

Alaf21 dapat menjual novel setebal 600 halaman pada harga RM16! Ini dapat dilakukan kerana Alaf21 adalah anak syarikat Kumpulan Karangkraf, yang merupakan pencetak terbesar Bumiputera di negara ini! Dengan mencetak sendiri novel-novel terbitannya, Alaf21 dapat mengawal kos percetakan dengan efektif sekali.

Mana-mana penerbit yang tidak memiliki percetakannya sendiri tidak dapat menjual novel-novel cintanya pada harga Alaf21. Bagaimanakah KakiNovel, NB Kara, Media Intens dan KarnaDya dapat mengatasi isu harga jualan novel-novel mereka, apabila pada waktu yang sama mereka juga perlu membayar royalti kepada penulis, ini persoalan yang akan menentukan kejayaan mereka bersaing dengan Alaf21.

Apakah pula cabaran yang dihadapi oleh Alaf21?

Jika Alaf21 hanya bersaing dengan 2 ataupun 3 penerbit ikut-ikutan, Alaf21 dapat kekal menang. Tetapi jika dalam pasaran sudah ada 10 ataupun 12 penerbit ikut-ikutan, cabaran bagi Alaf21 untuk mengekalkan prestasinya sekarang tidaklah mudah lagi.

Satu orang kuat bertumbuk melawan 3 orang lemah, ya, masih ok. Tetapi kalau sudah melawan 12 orang lemah, belum tentu ok. Ini logik angka semata-mata.

Tidak mustahil 12 belas penerbit novel cinta independent dapat merosakkan pasaran novel cinta yang sekarang masih didominasi oleh Alaf21. Inikah yang tersirat apabila En. Norden Mohamed, Pengurus Besar Alaf21, mengatakan suatu masa lalu bahawa pada saat ini novel cinta sudah 'lost it's magic'?



.

Din Teksi dan Zunar

Dalam bengkel pekomik Ahad 19hb Feb yang lalu, Sdr. Zunar mengemukakan banyak isu yang sangat penting dalam industri penerbitan komik. Salah satu isu itu adalah terkuburnya siri komik strip yang pada suatu masa dahulu amat popular.

Sdr. Zunar, yang masih pengantin baru itu, datang dengan isterinya yang manis air mukanya, tetapi tidak banyak cakap, tidak seperti suaminya yang apabila bercakap, beliau bercakap dengan penuh komitmen.

Sdr. Zunar menyebut kes siri strip komik DIN TEKSI karya Sdr. Nan. Kebetulan saya juga peminat siri ini. Beliau sedih kerana banyak siri-siri strip komik yang satu masa dahulu sangat popular kini sudah tidak terbit lagi.

Kita melihat fenomena ini daripada sudut pandang harta intelek. Strip komik Din Teksi boleh dihidupkan semula dengan cara Sdr. Nan mendaftarkan karya ciptaannya itu di pejabat harta intelek, dan kemudian melesenkannya kepada pihak kedua.

Katakanlah, PTS berminat menerbitkan siri DIN TEKSI, maka PTS dapat mencari pelukis lain, penulis storibod lain, dan pencipta cerita lain bagi menghasilkan siri itu.

Sdr. Nan tunggu sahaja cek-cek royalti yang bakal dikirim oleh PTS setiap tahun!

Kita mengulang apa yang diperkatakan oleh Sdr. Abdullahjones dalam blognya beberapa waktu yang lalu sewaktu membincangkan isu majalah komik Gila-Gila. Menurut beliau, para peminat Gila-Gila kini sudah menjadi orang-orang kaya, mereka mampu membeli buku yang mahal-mahal sekalipun.

Sdr. Nan elok segera mendaftarkan harta inteleknya itu, supaya ia dilindungi oleh undang-undang negara ini. Jika tidak PTS besok pagi boleh menerbitkan buku strip komik berjudul DIN TEKSI, dan beliau gigit jari sahajalah....



.

Nilai Dialog: Sudut Pandang Surah Yusuf

Daripada 111 ayat dalam surah Yusuf, 86 ayat adalah ayat dialog, iaitu sekitar 74 peratus. Ini bermakna, dari sudut pandang surah Yusuf, gaya penceritaan yang indah dalam sastera Islami adalah gaya dialog, bukan gaya naratif.

Salah satu unsur yang mencacatkan nilai keindahan pada gaya bercerita adalah terdapatnya dialog-dialog yang melemahkan keindahan cerita disebabkan dialog-dialog itu tidak mempunyai niai cerita.

Dialog yang tidak mempunyai nilai cerita mecipta 3 kesan negatif:

1. Ia melambatkan perkembangan cerita.

2. Dialog-dialog itu membosankan apabila dibaca.

3. Ia menimbulkan persepsi bahawa pengarangnya tidak mempunyai bakat bercerita yang tinggi.

Dialog yang tidak mempunyai nilai cerita adalah unsur kecacatan pada keindahan karya. Semakin banyak terdapat dialog jenis ini dalam karya, semakin serius kesan kecacatan itu, sehingga pada suatu tahap ia menyebabkan karya itu memperbodohkan pembaca.

Bagaimanakah caranya saudara dapat mengenalpasti dialog-dialog yang tidak mempunyai nilai cerita? Apabila dialog itu selalu dapat didengar dalam percakapan masyarakat sehari-hari, maka dialog itu disebut dengan istilah bahasa basa-basi, iaitu dialog yang tidak mempunyai nilai informasi mahupun nilai keindahan bahasa.

Dialog-dialog jenis basa-basi tidak terdapat sama sekali dalam surah Yusuf.

Di bawah adalah contoh petikan dialog-dialog yang tidak mempunyai nilai cerita:

“Assalamualaikum,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) ucap Tuk Guru Dagang, ketua kampung Terus Puri tempat tinggal mereka.

“Waalaikummussalam,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) jawab Pak Kemat sambil berdiri. Ketika itu dia baru sahaja membersihkan sekeliling pokok sayuran yang mereka tanam di tepi rumah mereka. Dengan segera Pak Kemat menghulurkan tangan kepada Tuk Guru Dagang untuk bersalaman.

“Sudah besar pokok yang Pak Kemat tanam ini,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Tuk Guru Dagang sambil menunjuk ke arah pokok cili yang berada di hadapan mereka.

“Betul. (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) Hamba bersyukur kerana hasil tanaman hamba menjadi,” balas Pak Kemat.

“Pak Kemat, awak bercakap dengan siapa itu?” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kedengaran suara Mak Senah bertanya dari arah dalam rumah. Mak Senah sedang memasak untuk hidangan tengah hari mereka.

“Saya bercakap dengan Tuk Guru,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) sahut Pak Kemat.

“Oh, Tuk Guru,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Mak Senah sambil menjengah dari pintu dapur.

“Jemputlah masuk," (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Mak Senah lagi.

“Jemputlah masuk ke rumah kami,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Pak Kemat mempelawa Tuk Guru Dagang masuk ke rumah mereka.

“Baiklah,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Tuk Guru Dagang sambil langkah kakinya mengekori Pak Kemat masuk ke dalam rumah.

“Jemput duduk,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Mak Senah pula sambil membentangkan tikar mengkuang yang baru sahaja selesai dianyamnya kelmarin..

“Terima kasih,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Tuk Guru Dagang, “hamba sebenarnya ada hajat datang ke sini.”

“Apa yang boleh saya bantu?” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) tanya Pak Kemat sambil tangannya menyambut dulang yang dihulur oleh Mak Senah.






Monday, February 20, 2006

Surah Yusuf: Subjek dalam Dialog

Apabila menuliskan dialog dalam cerita, kita cenderung memasukkan nama orang yang disapa dalam dialog itu. Sebagai contoh, “Osman, kenapa kamu menangis?” ataupun “Apa khabar, Pak Long?” Osman dan Pak Long adalah nama-nama orang yang disapa. Ciri ini tidak terdapat dalam surah Yusuf.

Penulisan dialog dalam surah Yusuf menunjukkan beberapa ciri menarik. Salah satu ciri itu adalah hampir tiada nama orang yang disapa dalam dialog, kecuali dalam dua ayat di bawah:

(a) “Wahai Yusuf! Lupakan sahaja peristiwa ini!....” (ayat 29) Ayat ini diucapkan oleh suami Zulaikha apabila dia melihat sendiri baju Nabi Yusuf koyak di belakang akibat ditarik oleh isterinya.

Dalam ayat ini suami Zulaikha merayu kepada Nabi Yusuf supaya jangan membocorkan rahsia kejadian yang amat memalukan dirinya sebagai suami Zulaikha.

(b) “Wahai Yusuf! Wahai orang yang benar! Terangkan kepada kami makna mimpi....” (ayat 46)

Ayat ini diucapkan oleh bekas rakan banduan Nabi Yusuf yang datang kepada Nabi Yusuf bagi bertanyakan makna mimpi Raja Mesir. Dalam ayat ini belas banduan itu merayu kepada Nabi Yusuf supaya mentafsirkan makna mimpi Raja Mesir.

Berdasarkan surah Yusuf, kita dapat membuat kesimpulan:

1. Dari sudut pandang surah Yusuf, sebutan nama-nama orang yang disapa dalam dialog adalah unsur kecacatan pada keindahan gaya bahasa.

2. Nama-nama orang yang disapa hanya digunakan dalam jenis-jenis ayat rayuan, sebagai contoh, ayat permohonan.

Berikut adalah contoh kesalahan pada penggunaan nama orang yang disapa dalam dialog disebabkan ayat-ayat di bawah bukan ayat rayuan, sebaliknya adalah ayat perbualan biasa.

“Jemputlah masuk, Tuk Guru (SALAH),” kata Mak Senah.

“Betul, Tuk Guru (SALAH). Jemputlah masuk ke rumah kami,” kata Pak Kemat. “Jemput duduk, Tuk (SALAH).”

“Terima kasih, Kemat (SALAH), Senah (SALAH). Hamba sebenarnya ada hajat datang ke sini.”

“Apa yang boleh hamba bantu, Tuk Guru? (SALAH)” tanya Pak Kemat.

“Hamba akan mengadakan majlis perkahwinan anak sulung hamba,” kata Tuk Guru, “hamba berharap sangat Kemat (SALAH) dan Senah (SALAH) dapat menolong apa yang patut.”

“Kalau begitu, tidak jadi masalah, Tuk (SALAH). Kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan setakat yang terdaya,” kata Pak Kemat.

“Bila akan diadakan majlis berkenaan, Tuk? (SALAH)” tanya Pak Kemat lagi.

“Pada bulan hadapan. Hamba harap Pak Kemat (SALAH) dan Mak Senah (SALAH) tidak keberatan,” kata Tuk Guru Dagang lagi.

Tuk Guru (SALAH) jangan risau. Kami akan pergi ke rumah Tuk Guru (SALAH) dua hari lebih awal. Dapatlah kami membantu apa yang patut,” kata Pak Kemat.

“Terima kasih, Kemat (SALAH), Senah (SALAH),” balas Tuk Guru.





Bengkel Penulisan Buku-buku Bisnes

Perhatian! Perhatian!

Bagi saudara yang berminat mengarang buku-buku panduan berniaga, sila datang ke bengkel ini.

Tarikh: Ahad 26 Feb 2006
Tempat: Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata, KL.
Waktu: 10 pagi - 5 ptg.

En. Rashid Azad Khan, CEO Kumpulan PTS akan mengendalikan bengkel ini. Ambil peluang berkenalan dengan beliau.




.