Friday, December 08, 2006

Menulis Novel Cinta yang Indah

Sastera Islami aliran surah Yusuf menerima genre novel cinta berdasarkan fakta bahawa tema cinta adalah salah satu tema utama dalam surah Yusuf.

Justeru menulis novel cinta dapat menjadi ibadah. Maka, dari sudut pandang teori sastera Islami aliran surah Yusuf, tidak timbul isu apakah genre novel cinta itu layak diterima sebagai sastera ataupun bukan sastera.

Isunya sekarang, apakah ciri-ciri ‘cinta’ yang menjadi unsur keindahan dalam sebuah kisah cinta yang indah berdasarkan sudut pandang Quran.

Ada beberapa unsur cinta yang lain daripada yang lain dalam kisah Nabi Yusuf.

Meskipun Allah sendiri mengatakan bahawa kisah Nabi Yusuf itu adalah kisah yang ‘paling indah’, namun cinta yang diceritakan dalam surah ini lazimnya tidak dianggap cinta yang indah dalam tradisi kisah-kisah cinta konvensional.

Cinta yang berlaku dalam surah Yusuf adalah:

(1) Cinta itu adalah cinta seorang perempuan dewasa yang berhati kejam.

(2) Ia cinta terlarang, cinta seorang isteri curang, cinta seorang ibu angkat ke atas anak angkatnya sendiri.

(3) Ia bukan cinta inosen teruna-dara, bukan cinta tulus suci, bukan cinta penuh pengorbanan.

(4) Ia cinta yang tidak kesampaian, bukan cinta yang berakhir dengan perkahwinan dan kebahagiaan.

(5) Ia cinta yang berubah menjadi dendam, yang klimaksnya adalah penganiayaan yang dilakukan oleh si pecinta ke atas yang dicinta.

(6) Ia kisah seorang teruna mempertahankan kesucian dirinya daripada eksploitasi nafsu seorang perempuan kaya yang ternama, bukan sebaliknya.

(7) Ia kisah perempuan dewasa tergila-gilakan lelaki muda teruna, bukan sebaliknya.

Para penganut teori-teori sastera konvensional akan mengatakan 7 ciri cinta dalam kisah Nabi Yusuf ini adalah bahan-bahan yang hanya layak ditulis oleh pengarang-pengarang novel picisan, novel cabul, alias novel sampah sahaja.

Tujuh ciri cinta pada surah kisah Nabi Yusuf itu akan dikatakan hanya membawa segala macam kerosakan ke atas minda pembaca, justeru tidak selayaknya diiktiraf sebagai cerita yang bermutu sastera.

Namun, begitulah ciri-ciri materi cinta yang diperkisahkan dalam surah Yusuf oleh Allah Taala.

Allah jualah yang lebih mengetahui.

.

.

Surah Yusuf dan Warkah Cinta

Apakah hukumnya apabila novelis Muslim menulis kisah-kisah cinta yang di dalamnya diselitkan dengan warkah-warkah cinta dan puisi-puisi cinta?

Isu ini perlu dibincangkan oleh ulamak-ulamak sastera Islami. Kita, baik penerbit, editor mahupun penulis, semuanya memerlukan panduan piawai ISO bagi novel-novel cinta yang layak dikategorikan sebagai novel cinta yang HALAL dibaca.

Tema cinta dibenarkan dalam sastera Islami berdasarkan hujah nas bahawa cinta adalah salah satu tema dalam kisah Nabi Yusuf. Dalam kisah Nabi Yusuf, cinta itu adalah cinta seorang perempuan yang sudah menjadi isteri orang kepada lelaki lain.

Selain itu terdapat pula dalam al-Quran kisah cinta Nabi Adam kepada Hawa, begitu juga ada kisah cinta Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis. Juga cinta Nabi Ibrahim kepada Siti Hajar, isteri keduanya.

Isunya sekarang, teknik-teknik dan ayat-ayat yang bagaimana yang dibenarkan dalam novel cinta Islami, dan teknik-teknik serta ayat-ayat yang bagaimana yang tidak dibenarkan?

Dalam surah Yusuf, tidak ada surat cinta dituliskan oleh isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf. Dalam kisah cinta Nabi Adam, Nabi Sulaiman dan Nabi Ibrahim juga tidak disebutkan mereka menulis surat cinta. Adakah ini bermakna dalam novel cinta Islami pengarang tidak dibenarkan memasukkan warkah-warkah cinta?

Bagaimana pula isu menuliskan puisi-puisi cinta? Apakah ia dibenarkan ataupun tidak.

Ayat-ayat al-Quran adalah ayat-ayat yang mempunyai ciri-ciri puitis. Justeru, ayat-ayat yang diucapkan oleh isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf adalah ayat-ayat yang puitis sifatnya. Apakah ini bermakna puisi cinta dibenarkan diselitkan dalam novel cinta Islami?

.