Suatu persoalan yang bagaikan tidak masuk akal adalah peristiwa cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf.
Peristiwa itu berlaku di Mesir, beribu-ribu tahun dahulu, pada zaman sewaktu pembesar-pembesar raja mempunyai ramai isteri dan gundik, dan kedudukan perempuan teramat rendah.
Maka, apakah faktor-faktor yang menyebabkan al-Aziz, suami Zulaikha, sebagai seorang lelaki dan seorang pembesar dalam istana Raja Mesir, melakukan apa yang dilakukannya apabila berdepan dengan masalah rumahtangganya itu?
Zulaikha jatuh cinta kepada Nabi Yusuf. Dia cuba memerangkap Nabi Yusuf supaya masuk ke dalam kamarnya. Apabila terserempak dengan suaminya, dia berdusta. Katanya, “Kekanda, apakah balasan bagi orang yang cuba berbuat serong dengan isteri kekanda?”
Kemudian Zulaikha mengapi-apikan emosi marah dan cemburu suaminya dengan berkata lagi, “Tidak ada lain, kecuali dia dipenjarakan ataupun disiksa dengan siksaan yang pedih.”
Sebagai seorang lelaki, apabila al-Aziz melihat dengan matanya sendiri baju Nabi Yusuf koyak di belakang, yang membuktikan isterinya yang mengajak Nabi Yusuf berbuat serong di dalam kamar tidurnya, apakah yang dilakukan oleh al-Aziz?
Seperti tidak masuk akal, si pembesar raja Mesir itu hanya memarahi isterinya dengan berkata kepadanya, “Ini semua tipu daya kamu! Sesungguhnya tipu daya kamu itu amat berbahaya.”
Kemudian suami Zulaikha meminta Nabi Yusuf supaya melupakan peristiwa itu. Kata al-Aziz, “Yusuf, lupakanlah peristiwa ini.”
Selepas itu al-Aziz menyuruh Zuklaikha bertaubat, katanya, “Kamu minta ampun atas dosa kamu itu. Sesungguhnya kamu orang yang bersalah.”
Selepas kejadian itu, Siti Zulaikha terus menggilai Nabi Yusuf, perkara ini tentu disedari oleh suaminya. Bagaikan tidak masuk akal, al-Aziz tidak menghalau Nabi Yusuf keluar dari rumahnya, sebaliknya, lelaki yang digilai oleh isterinya itu dibenarkan terus tinggal di dalam rumahnya.
Apakah al-Aziz mahu menutup skandal isterinya itu demi menjaga maruahnya sendiri?
Mengapakah al-Aziz tidak membebaskan sahaja Nabi Yusuf yang pada waktu itu Nabi Yusuf adalah hambanya, pada hal, pada zaman dahulu, hamba yang menyebabkan masalah kepada tuannya layak dihukum bunuh. Sebaliknya dia membenarkan Nabi Yusuf terus tinggal di dalam rumahnya,
Skandal itu tidak dapat dirahsiakan sehingga menjadi perbualan dan umpat keji di kalangan isteri-isteri pembesar Raja Mesir.
Disebabkan sakit hatinya oleh umpat keji itu, Zulaikha mengundang perempuan-perempuan itu datang menjamu selera di rumahnya, supaya dia dapat memulangkan paku buah keras mereka.
Apabila perempuan-perempuan itu tercengang-cengang melihat sendiri penampilan Nabi Yusuf, mereka yang pada saat itu sedang memegang pisau buah-buahan, tanpa disedari mereka terpotong jari masing-masing.
Kemudian Zulaika memulangkan paku buah kerasnya kepada mereka dengan berkata, “Dialah lelaki yang kamu umpat aku kerana aku tergoda olehnya.”
Kemudian seperti tidak masuk akal, di depan semua perempuan-perempuan itu, dan di depan Nabi Yusuf, Zulaikha dengan berani mengemukakan suatu pengakuan, katanya, “Memang aku yang menggodanya, tetapi dia menolak.”
Apakah faktor yang mengizinkan Zulaikha begitu berani dan yakin bahawa dengan pengakuannya itu suaminya tidak akan mengapa-apakan dirinya?
Kemudian, disaksikan oleh semua yang ada dalam majlis itu, Zulaikha mengancam Nabi Yusuf, katanya, “Percayalah, jika dia menolak hasratku, dia akan dipenjarakan, sehingga dia menjadi orang yang hina!”
Di hadapan semua perempuan-perempuan itu, Nabi Yusuf menjawab acaman Zulaikha dengan berkata, “Aku lebih sukakan penjara daripada apa yang ditawarkan kepadaku.”
Selepas peristiwa itu, Zulaikha terus menggilai Nabi Yusuf, tetapi Nabi Yusuf terus menolak. Apabila tingkah laku Zulaikha tetap tidak berubah, akhirnya Nabi Yusuf dihadapkan ke pengadilan dan beliau dihukum penjara.
Siapakah yang mengambil langkah membuat aduan kepada Raja Mesir bagi memenjarakan Nabi Yusuf? Adakah Zulaikha? Dia pernah bersumpah di depan perempuan-perempuan Mesir itu jika Nabi Yusuf masih enggan membalas cintanya dia akan mengambil tindakan supaya Nabi Yusuf dipenjarakan.
Kita berpendapat, bukan Zulaikha yang membuat aduan itu, disebabkan semua perempuan yang hadir dalam majlis jamuan itu akan bersumpah bahawa mereka sendiri mendengar Zulaikha mengakui bahawa Nabi Yusuf tidak bersalah.
Kita berpendapat, al-Aziz, suami Zulaikha yang mengambil langkah memenjarakan Nabi Yusuf. Tetapi mengapa?
Apakah al-Aziz membuat aduan itu sebagai usaha bagi memisahkan isterinya daripada terus mendapat peluang mendekati Nabi Yusuf selagi Nabi Yusuf masih berada di dalam rumahnya.
Di depan pengadilan, sebagaimana yang dikatakannya bahawa penjara adalah lebih disukainya, Nabi Yusuf tidak membela dirinya dengan memanggil saksi-saksi yang begitu ramai, termasuk saksi yang nampak bahawa bukti bajunya yang terkoyak di belakang. Dia memilih penjara supaya Zulaikha tidak dapat mengganggunya lagi.
Selepas Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara, Zulaikha tetap dengan statusnya sebagai isteri al-Aziz.
Akhirnya, bertahun-tahun kemudian, selepas Nabi Yusuf membacakan taabir mimpi Raja Mesir, barulah kesnya didengar semula. Di depan Raja Mesir Zulaikha membuat pengakuan bahawa Nabi yusuf tidak bersalah.
Inilah materi yang menjadikan kisah cinta Nabi Yusuf ini kisah cinta yang paling indah.
Cinta siapakah yang lebih mendalam – cinta Zulaikha kepada Nabi Yusuf, ataukah cinta al-Aziz kepada Zulaikha?
Mungkinkah al-Aziz amat mencintai Zulaikha, dan mengapakah demikian sekali cintanya?
Ataukah ada faktor-faktor lain yang memaksanya bersabar sahaja dengan tingkah laku isterinya itu?
Mungkinkah al-Aziz mempunyai kepentingan lain yang amat dicintainya, di mana kunci kepada kecintaannya itu berada dalam genggaman Zulaikha.
Jika ini benar, siapakah Zulaikha, sehingga al-Aziz sanggup menjadi lelaki dayus.
Mungkinkah al-Aziz yang membawa Nabi Yusuf ke muka pengadilan Raja Mesir dan mengemukakan tuduhan fitnah ke atas Nabi Yusuf, supaya dia dijatuhi hukuman penjara, dan dengan itu maruahnya sebagai lelaki terjaga.
Bukankah al-Aziz sedar bahawa Nabi Yusuf dapat dengan mudah mengemukakan bukti dan saksi-saksi yang ramai bahawa Zulaikhalah yang mengajaknya berbuat serong. Jika ini berlaku, tidakkah akan terbuka skandal isterinya kepada pengetahuan raja?
Apabila dibawa ke pengadilan, Nabi Yusuf tidak memanggil saksi-saksi dan tidak mengemukakan bajunya sebagai bukti, sehingga Raja Mesir menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya. Dan memang Nabi Yusuf sudah pun mengatakan bahawa dia lebih cintakan penjara daripada memenuhi kehendak Zulaikha.
Tetapi siapa yang membawakan kes itu ke pengadilan Raja Mesir?
Mungkinkah al-Aziz dan Nabi Yusuf mempunyai persefahaman awal dalam episod pemenjaraan Nabi Yusuf itu?