Penulis Sepenuh Masa adalah Bisnesman
Saudara mahu menjadi penulis sepenuh masa, ini bermakna saudara perlu belajar pelbagai kemahiran baru, khususnya jenis-jenis kemahiran seperti berikut:
1. Pandai menjalin dan mengekalkan persahabatan. Kemahiran ini adalah asas kejayaan dalam bisnes. Semakin banyak sahabat saudara, semakin murah rezeki saudara. Projek-projek penulisan dipesan menggunakan borang LO local order. Maknanya, si pegawai yang menjaga projek penulisan, dia yang memilih siapa yang akan diberikan projek itu. Tidak ada pegawai yang akan menyerahkan borang LO kepada orang yang tidak dikenalinya.
2. Pandai berunding. Berunding bermakna bertolak ansur. Jangan pandai rebut-merebut. Apabila berunding, jangan tamak. Jangan hendak semua, nanti langsung tidak dapat apa-apa. Belajar rugi sedikit hari ini supaya untung banyak hari esok. Jangan suka berkira-kira dengan orang, nanti orang akan berkira-kira dengan saudara. Jadilah orang yang “senang runding”.
3. Pandai rugi. Jangan hendak untung dalam semua perkara. Jangan simpan apa yang saudara tidak perlukan, berikan kepada orang yang memerlukannya. Dalam berniaga, kita memerlukan duit, kita tidak memerlukan nama. Kalau membuat projek jabatan kerajaan, ingat, pegawai kerajaan mahukan 'nama', jadi berikan 'nama' kepada mereka, nanti baru mudah kita mendapat duitnya. Jangan nama hendak, duit pun hendak. Kita orang bisnes, rugi nama tidak jadi kudis!
4. Pandai memberi. Jangan tunggu orang lain yang memulakan pemberian, biar kita yang memberi dahulu. Sebelum dia minta diskaun, kita sudah tawarkan diskaun istimewa kepadanya.
Akan disambung......
5. Pandai bersetuju: Kemahiran ini bunyinya mudah, tetapi ia susah. Bagi saudara yang baru belajar berfikir macam orang bisnes, pandai bersetuju adalah kemahiran yang sukar dipelajari, ia mengambil masa.
Cuba saudara bercakap dengan orang bisnes yang sudah berjaya, saudara akan dapati, walau apa pun yang saudara katakan, dia akan setuju ataupun DIAM. Dia tidak akan berkata apa-apa yang membawa makna “No, you are wrong.”
Bagi orang bisnes, dia hendak duit. Kalau orang lain hendak tunjuk pandai, dia biarkan sahaja orang itu tunjuk pandai. Bagi orang bisnes, apabila bisnesnya berjaya, itulah buktinya dia seorang yang pandai!
Mengapakah majoriti orang makan gaji dengan kerajaan tidak mempunyai bakat bersetuju yang tinggi? Sebab gaji mereka tidak ada kena mengena dengan perbuatan bersetuju! Dia suka berdebat ataupun tidak suka berdebat, kesannya ke atas kenaikan gajinya serupa.
Oleh itu, orang kerajaan, kalau dia suka berbeza pendapat sekalipun dengan orang-orang di sekelilingnya, gajinya tetap macam itu juga.
(Minta maaf banyak-banyak, kepada tuan-tuan yang terkena....) Cuba baca blog-blog orang makan gaji, kita akan dapati mereka menghasilkan banyak karya-karya kritikan, yang menunjukkan mereka pandai berbeza pendapat.
Di kalangan orang makan gaji, ada semacam keyakinan palsu kononnya apabila dia pandai menghasilkan kritikan yang bernas, pandai membuktikan orang lain salah, maka pandailah dia!
Bagi orang bisnes, bagi penulis sepenuh masa, dia tahu, kalau dia selalu tidak bersetuju, susahlah dia hendak cari makan.
Akan disambung......
6. Pandai diam. Kemahiran ini pun kemahiran yang susah diperoleh. Ia memakan masa yang lama untuk pandai diam.
Perbuatan diam apabila kita bersetuju, itu mudah, malah itulah yang selama ini kita lakukan. Tetapi diam apabila kita tidak bersetuju, inilah yang sukar. Mana boleh kita diam sedangkan kita melihat sesuatu itu tidak betul, alias merugikan kita. Begitulah lazimnya kita berfikir, lalu kita pun bercakap.
Banyak orang pandai bercakap, maka dia bercakap. Makin tinggi pelajaran kita, makin kita pandai bercakap. Orang yang pandai bercakap belum tentu pandai buat duit.
Majoriti orang-orang yang baru belajar bisnes belum menguasai habit pandai diam daripada bercakap, iaitu habit menangguhkan bercakap.
Bila pelanggan saudara bercakap, dan saudara tidak setuju dengan apa yang dikatakannya, belajar DIAM. Angguk-angguk sahaja. Tangguhkan bercakap.
Jangan dibantah cakap pelanggan saudara di situ juga. Balik dulu.... tunggu sehari dua, kemudian pergi jumpa dia semula.... cakap baik-baik. Entah-entah dia pun sudah lupa apa yang dikatakannya dulu!
Kalau pun pelanggan saudara masih ingat, moodnya sudah berubah.... Kalau dulu dia bercakap dalam keadaan dia sedang stress, sehari dua kemudian dia mungkin sudah lebih relaks.... maka lebih mudah baginya untuk menyambung semula perbincangan berkenaan perkara yang saudara kurang setuju....
Akan disambung....
Apabila saudara sudah bulat hati hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa, isu bagaimana hendak mencari duit belanja harian akan menjadi fokus fikiran saudara.
Tetapi memikirkan duit adalah salah. Duit adalah hasil perkara-perkara yang saudara lakukan. Apabila kita melakukan perkara-perkara yang betul, barulah duit datang.
Perkara-perkara yang saya sedang terangkan dalam entri ini adalah antara perkara-perkara yang dapat menghasilkan duit, walaupun tip-tip ini tidak ada kena mengena dengan duit.
Apabila kita mencari duit, modal kita yang paling utama adalah mulut dan lidah kita. Apabila kita pandai berkata-kata, barulah orang mahu berurusan dengan kita. Barulah dia mahu memilih kita menjadi pembekalnya. Ini asas orang 'trading'. Trader tidak mempunyai apa-apa, dia hanya mempunyai dirinya. (Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atasnya, adalah seorang trader.)
Sebelum menawarkan perkhidmatan penulisan saudara, jual diri saudara dulu. Orang bukan membeli apa yang kita tawarkan, orang membeli siapa kita. Kalau dia suka kita, barulah dia mahu menggunakan perkhidmatan kita.
Kemahiran-kemahiran yang saya terangkan dalam entri ini adalah alat kerja yang dapat menjadikan diri saudara dibeli orang.
7. Pandai Memuji. Kalau saudara mempunyai sahabat orang bisnes, saudara mungkin perasan orang-orang bisnes memang pandai memuji dan murah dengan pujian, manakala orang makan gaji dengan kerajaan tidak pandai memuji.
Teknik memuji dan teknik mengampu amat berbeza. Jangan sekali-kali mengampu. (Kalau saudara mahu, saya boleh terangkan teknik-teknik memuji yang betul.)
Pandai memuji menyebabkan orang yang saudara puji itu lebih ingat nama dan wajah saudara, ini penting bagi menambahkan jumlah pelanggan yang akan ingat kepada saudara apabila mereka mempunyai projek.
Jangan tunggu sehingga orang itu meminta bantuan daripada kita. Sebelum dia meminta, kita sudah tawarkan bantuan kita kepadanya.
Berikan kerjasama saudara kepada sesiapa sahaja. Orang yang pernah saudara tolong akan menolong saudara. Menolong orang adalah insurans sosial yang sangat penting saudara lakukan.
Tolong orang itu, meskipun dia adalah pesaing kita. Pesaing kita adalah bakal penolong kita kerana kita sama-sama bergiat dalam bidang kepakaran yang serupa. Apabila dia memerlukan bantuan, berikan bantuan.
Bayangkan nanti, suatu hari saudara mungkin menerima projek penulisan yang besar, maka kepada siapakah saudara hendak mencari bantuan menyiapkan projek itu kalau bukan kepada pesaing saudara. Jika diserahkan kepada orang baru, saudara menanggung risiko kualiti kerja rendah, akibatnya pelanggan saudara tidak puas hati, dan bisnes saudara rosak.
Jika saudara sudah bulat hati mahu hidup merdeka, mahu membayar gaji kepada diri sendiri, tidak mahu lagi menjual waktu saudara kepada majikan saudara, bacalah entri ini seterusnya....
9. Pandai kecewa. Inilah kemahiran yang menentukan survival saudara sebagai penulis sepenuh masa. Jika saudara sanggup belajar kepandaian menerima kekecewaan, maka ada harapan saudara dapat hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa.
Jika saudara ke pasar malam pada hari hujan, saudara akan nampak penjual makanan siap masak menanggung kerugian yang banyak, tetapi minggu hadapan mereka datang berjual lagi. Ini disebabkan pada malam yang hujan turun lebat, peniaga-peniaga itu pandai menerima kekecewaan. Mereka tidak menyalahkan hujan. Mereka terima kenyataan bahawa memang ada malam-malam yang hujan turun lebat walaupun siangnya langit biru dan matahari terik.
Syarikat Esso melabur dalam usaha mencarigali telaga minyak dengan nisbah 20:1, yakni bagi mendapatkan 1 penggalian yang mengeluarkan minyak, mereka sanggup menggali 20 lokasi.
Apabila sesuatu penggalian itu sia-sia kerana di situ tidak ada punca minyak, mereka tidak menyalahkan sesiapa, mereka beralih ke lokasi lain dan mula menggali lagi, jika di situ pun tidak ada punca minyak, mereka beralih ke lokasi lain lagi, dan mula menggali lagi.
Jurutera-jurutera Esso pandai menerima kekecewaan, walaupun mereka sudah menjalankan kajian saintifik di sesuatu lokasi yang difikirkan ada punca minyak di situ, tetapi mereka menerima kenyataan memang ada kemungkinan punca minyak tidak ada di situ.
Adakah saudara sekarang bekerja dengan kerajaan?
Pegawai kerajaan tidak pandai menerima kekecewaan. Semakin lama mereka bekerja dengan kerajaan, semakin mereka tidak pandai menerima kekecewaan. Jika percubaan mereka kali pertama gagal, mereka cepat patah semangat, marah-marah, merajuk, tarik diri, berhenti daripada terus berdaya usaha, menyalahkan orang lain, defensif, tidak pandai mengaku silap....
Apabila saudara mahu hidup merdeka, ingatlah, hidup merdeka lebih sukar daripada sudut psikologinya. Sebagai seorang yang makan gaji dengan kerajaan, saudara sentiasa ada ramai orang lain yang dapat saudara persalahkan.
Apabila saudara sudah merdeka, saudara kehilangan orang-orang yang dapat saudara persalahkan dan jadikan alasan mengapa saudara susah hendak cari makan. Saudara hanya mempunyai diri sendiri bagi dipersalahkan....