Saturday, August 13, 2005

Nasib Buku Tempatan dalam Bahasa Inggeris

Orang-orang yang menuturkan bahasa Inggeris selalu berkata, lebih kurang begini bunyinya, kepada pegawai-pegawai PTS, “Lebih baik awak terbitkan buku dalam bahasa Inggeris. Boleh jual di serata dunia.”


Beginilah jawapan PTS:

  1. Undang-undang di Amerika, Canada, Australia, Britain, German, Perancis, Itali dan lain-lain negara Eropah mewajibkan buku-buku yang hendak dijual di negara-negara itu mesti diterbitkan dan dicetak di situ, ataupun sudah mendapat keizinan khas untuk dipasarkan di negara-negara itu. Begitulah cara negara-negara maju mengawal pasaran buku mereka. Dasar begitu adalah amat bijaksana kerana dengan cara itu para penerbit dan pencetak di sana mendapat peluang menjana keuntungan dan pekerjaan. Dengan adanya undang-undang itu tidak ada jalan bagi penerbit Malaysia mengekspot buku yang diterbitkan di negara ini ke sana.

  1. Buku-buku bahasa Inggeris yang ditulis oleh penulis tempatan tidak dapat dijual di sini. Rakyat Malaysia yang membaca dalam bahasa Inggeris mempunyai sikap memandang rendah buku-buku Inggeris yang diterbitkan di Malaysia, tanpa mengira siapa penulisnya. Itulah sebabnya penerbit Malaysia menggunakan alamat Singapura ataupun Hong Kong pada buku mereka untuk mengaburi mata pembaca tempatan. Orang Malaysia yang pandai bahasa Inggeris yakin sesiapa yang namanya nama Inggeris, buku orang itu ada kualiti. Sesiapa yang namanya 'Chong' atau 'Ahmad' atau 'Muthu' bukunya tiada kualiti.

  1. Sedangkan penulis Malaysia berbangsa Cina pun dipandang rendah oleh pembaca buku-buku Inggeris, inikan pula penulis yang menggunakan nama Melayu!


Bagi saudara yang baru hendak belajar menjadi penulis ataupun penerbit, hati-hati apabila memproses pendapat individu-individu yang tidak tahu menahu tentang industri perbukuan di negara ini.


Jangan sampai dikatakan orang, “Dengar cakap enggang, makan buah beluluk. Dengar cakap orang, terjun masuk lubuk.”




Panduan Mengenalpasti Pembaca Sasaran

Apabila saudara sudah yakin saudara mahu hidup sebagai penulis sepenuh masa, salah satu kemahiran yang saudara perlu pelajari adalah mengenalpasti siapa yang perlukan buku saudara.


Katakanlah, saudara menulis buku dengan tajuk “Pendidikan Akhlak untuk Remaja”. Jawab pertanyaan berikut:


1. Siapa yang berminat membeli buku saudara itu? Antaranya adalah pustakawan dan guru pusat sumber sekolah. Mereka membeli sahaja, tetapi tidak membacanya. Dalam kerjaya mereka, mereka itu tidak perlu membaca buku tentang pendidikan akhlak untuk remaja. Jumlah pustakawan dan guru pusat sumber adalah amat kecil di negara ini.


2. Siapa yang memerlukan isi kandungan buku saudara itu? Antaranya adalah ibu bapa, mereka yang menganjurkan kem-kem motivasi, kaunselor sekolah, dan pakar pendidikan. Walaupun isi kandungan buku saudara mungkin berguna kepada mereka, tetapi mereka mungkin tidak membelinya dan tidak membacanya. Pakar pendidikan yang bercakap Inggeris memandang rendah pada pakar-pakar tempatan, oleh itu mereka tidak membaca buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja bermasalah tidak pergi ke kedai buku.


3. Siapa yang mahu membaca buku saudara itu? Sudah tentu remaja tidak mahu membaca buku tentang pendidikan akhlak untuk mereka.

Kemahiran mengenalpasti siapa yang mahu membeli dan siapa yang mahu membaca buku saudara dapat membantu saudara mengelakkan kesilapan memilih tema buku yang saudara tulis.


Semua buku ramai yang memerlukannya, tetapi orang yang memerlukannya belum tentu membelinya. Buku “Hidup Sihat Tanpa Dadah” diperlukan oleh semua orang. Tetapi orang yang sihat tidak membelinya. Penagih dadah pun tidak mahu membelinya! Kalau saudara menulis buku ini, jangan harapkan royalti yang banyak.




Siapa Rabiah Amit?

Dua jilid buku resipi Kek Lapis Sarawak oleh Rabiah Amit diam-diam sudah terjual berbelas-belas ribu naskhah, bagi setiap jilid. Jilid 1 dijual RM28 manakala jilid 11 dijual RM34.


Sehingga saat berita ini ditulis, jualan buku beliau masih laju. Dijangka menjelang bulan Ramadhan depan, jualannya akan meningkat lebih laju lagi!


Rabiah adalah penulis buku resipi kategori kek dan biskut paling berjaya dalam pasaran negara ini. Rekod jualan buku Rabiah Amit mengatasi rekod mana-mana buku kek, termasuk yang terbit dalam bahasa Inggeris.


Entah di mana sedapnya kek lapis Sarawak, tetapi produk tradisional itu sudah menjadikan Rabiah Apit antara penulis tempatan yang menerima royalti paling tinggi daripada jualan bukunya dalam pasaran terbuka.


Sekali lagi terbukti, penerbitan bahan-bahan lokal dalam bahasa Melayu adalah jauh lebih menguntungkan, baik bagi penerbit mahupun penulis, dibandingkan dengan penerbitan buku tempatan dalam bahasa Inggeris, ataupun buku yang diimpot dari negara Inggeris.



Cinta Pertama

Apa yang kamu tulis di belakang saya ini?” Noraisyah bertanya kepada Anuar.

Rahsia,” jawab Anuar.

Anuar yang sebenarnya sedang melakar nama buah hatinya di belakang badan Noraisyah masih teragak-agak untuk memberitahu isi hatinya yang sebenar.

Saya rasa seperti ejaan nama saya sahaja. Kamu tulis 'Noraisyah' bukan, di belakang saya?” tanya Noraisyah lagi.

Anuar sememangnya menulis nama Noraisyah, di belakang badan gadis kecil itu dengan menggunakan jari telunjuknya.

Siapa pula nama teman lelaki kamu?” tanya Anuar kepada Noraisyah.

Baik, sekarang kamu pusing ke belakang.”

Anuar terus mengesot sedikit dan memusingkan badannya membelakangkan Noraisyah.

Saya akan tulis nama lelaki idaman saya di belakang badan kamu pula,” terang Noraisyah.

Anuar yang tidak membantah hanya menurut sahaja arahan Noraisyah.

Kamu jangan tulis laju sangat. Bagaimana saya hendak menangkap apa yang kamu tulis,” kata Anuar sambil mengerutkan keningnya.

Kamu tulis nama Terry, bukan?” teka Anuar.

Betul,” jawab Noraisyah.

Jikalau begitu, kamu tidak cintakan saya?” duga Anuar.

Sebenarnya saya telah menipu perasaan saya sendiri,” akhirnya Noraisyah mengaku.Baik, sekarang kamu pusing ke belakang sekali lagi dan saya akan tulis semula,” Noraisyah memberikan arahan.

Sekarang cuba kamu teka saya tulis nama siapa,” kata Noraisyah.

Anuar senyum simpul apabila namanya dilakar oleh Noraisyah di belakang badannya.

Nampaknya saya tidak bertepuk sebelah tangan,” kata Anuar.

Noraisyah dan Anuar senyum malu selepas membuat pengakuan cinta masing-masing pada usia lapan tahun.

(Petikan dari novel jibunsyi Norasyikin yang bakal terbit.)




Benarkah Orang Melayu Tak Baca Buku?

“Saya sedang menulis buku,” kata seorang bekas pengarah jabatan cawangan khas dalam pasukan Polis Diraja Malaysia. “Tapi dalam bahasa Inggeris.”

“Kenapa dalam bahasa Inggeris?” tanya si editor.

“Kalau saya tulis dalam bahasa Melayu, tak laku,” katanya.

“Mana tahu tak laku?”

“Orang Melayu tak baca buku,” katanya.

Benarkah orang Melayu tak membaca buku? Mari kita lihat apa yang sedang berlaku dalam kedai-kedai buku:

  1. Kedai buku Borders yang baru membuka cawangannya di Kuala Lumpur memperuntukkan 10 ribu kaki persegi untuk menempatkan buku-buku Melayu. Ruang yang sama besar diperuntukkan bagi buku-buku Cina. Borders adalah rangkaian kedai buku terbesar di dunia.

  1. Rangkaian MPH semakin banyak memperuntukkan rak bagi mempamerkan buku-buku Melayu. Malah rak-rak buku Melayu sudah diletakkan di sisi pintu masuknya.

  1. Rangkaian kedai buku Popular yang menjadi benteng buku-buku Cina sudah mula membuka ruang untuk mempamerkan buku-buku Melayu.

  1. Statistik daripada sebuah rangkaian kedai buku menunjukkan, di semua kedainya, 8 daripada 10 buku terlaris adalah judul-judul Melayu.

  1. Di sebuah rangkaian kedai lagi, stok buku Melayu yang berjumlah 20%, ia mendatangkan 40% perolehan syarikat itu.

  1. Dalam sebuah rangakaian lain, jualan fiksyen Inggeris adalah sekitar 600-700 naskhah sebulan, tetapi jualan fiksyen Melayu melebihi 5000 naskhah sebulan.

  1. Rangkaian kedai buku yang paling pesat berkembang dengan membuka cawangan-cawangan baru adalah rangkaian milik penuh rakyat Malaysia dan mereka memfokuskan pasaran pada buku-buku Melayu, iaitu rangkaian kedai buku Rythm, Muda Osman dan Seri Intan.

Jika saudara penulis baru, jangan mudah menelan mentah-mentah cakap-cakap orang yang tidak tahu menahu tentang dunia perbukuan negara ini.Kalau didengar cakap-cakap mereka, saudara boleh hilang semangat hendak menulis dalam bahasa Melayu.




Friday, August 12, 2005

Bagaimana Penulis Ditindas (Lagi)

Zurinah adalah penulis baru yang berbakat, tetapi dia tidak tahu bakatnya setinggi mana. Dengan keyakinan karyanya tidak akan diterima oleh DBP, Creative, Utusan ataupun Alaf21, dia menghantar novel pertamanya ke sebuah penerbit kecil yang mempunyai seorang editor Melayu sepenuh masa.

Selepas seminggu Zurinah menelefon editor itu dan bertanya khabar. Dia diberitahu novelnya diterima untuk diterbitkan.

"Sedaplah cerita awak," kata editor itu. "Touching! I sedih baca," katanya lagi.

Dua bulan kemudian Zurinah ke kedai majalah dan ternampak novelnya dipamerkan dalam kedai kecil itu. Hatinya gembira bukan kepalang, dia terus membeli semua 4 naskhah yang masih belum terjual.

"Semua?" Mamak itu bertanya macam tak percaya.

"Semua!" kata Zurinah. "Ini novel saya!" katanya lagi tanpa ditanya.

"Wah! Bagus, ini novel banyak laku. Baru 5 hari saya sudah jual 20!" kata si Mamak.

Besok pagi Zurinah pergi ke pejabat penerbit itu dengan harapan dia boleh mendapat apa-apa jua bentuk bayaran.

"You tulis satu lagi novel, nanti I bayarlah novel you yang ada sekarang," kata tuan punya penerbit itu.

"Kalau aku tulis novel kedua, kalau aku serahkan kepadanya, apa jaminan dia akan bayar aku?" kata hati Zurinah.

Menulis Buku untuk Kanak-Kanak

Penulis baru lazimnya menyangka, menulis buku kanak-kanak adalah lebih mudah daripada menulis buku remaja. Menulis buku remaja pula lebih mudah daripada menulis buku untuk orang dewasa. Jadi ramai penulis baru yang hendak mula menulis dengan rancangan menulis untuk bacaan kanak-kanak dahulu.

Begitu juga ramai menyangka menulis buku untuk golongan berpendidikan rendah adalah lebih mudah daripada menulis untuk golongan berpelajaran tinggi. Sangkaan itu tidak benar. Buku-buku untuk setiap kategori pembaca mempunyai ciri-cirinya sendiri.

Buku kanak-kanak ditulis dengan menggunakan apa yang disebut ‘hitung kata’ yang sesuai untuk kanak-kanak. Hitung kata untuk buku kanak-kanak mesti sesuai dengan tahap kognitif mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak di bawah 7 tahun belum dapat memahami ayat-ayat hipotetikal, oleh itu ayat-ayat ‘seandainya’ tidak boleh digunakan.

Sesetengah struktur ayat tidak boleh digunakan dalam buku kanak-kanak. Walaupun ayat itu pendek tetapi jika ayat itu adalah jenis ayat pancangan, maka ia tidak boleh digunakan seperti ayat ‘Walaupun nakal, Mamat yang suka bergurau, adalah budak yang baik hati.” Jikalau ayat itu panjang, tetapi jika ia adalah ayat gabungan, maka ia boleh digunakan, seperti ayat ‘Mamat suka bangun pagi, lalu dia terus pergi mandi, memakai baju, kemudian baru dia sarapan, lalu pergi ke sekolah berjalan kaki.”

Mereka yang paling banyak menyatakan hasrat mahu menulis buku untuk kanak-kanak adalah perempuan. Salah satu masalah penulis perempuan yang hendak menulis untuk bacaan kanak-kanak adalah sikap “mengemak-emak” dalam tulisan mereka. Sikap mengemak-emak menghasilkan ayat-ayat nasihat, berleter, mengajar-ajar budak, dan memperbodoh budak.

Syarat utama menjadi penulis buku cerita kanak-kanak adalah bakat mencipta cerita-cerita yang diminati oleh kanak-kanak. Menulis cerita yang diminati kanak-kanak dan remaja adalah lebih sukar daripada menulis cerita untuk bacaan dewasa.

Penulis yang pandai menghasilkan karya untuk audiens dewasa jarang sekali dapat menghasilkan cerita yang menarik bagi kanak-kanak dan remaja.

Kanak-kanak suka berangan-angan, mereka tidak suka logik, mereka mempunyai logik mereka sendiri, itu sebab mereka suka kartun kerana kartun tidak menggunakan logik orang dewasa. Orang dewasa pula, makin tua, makin takut berangan-angan.

Dewan bahasa dan Pustaka dahulu banyak menerbitkan buku sastera kanak-kanak dan remaja yang ditulis oleh orang-orang dewasa dengan menggunakan logik orang dewasa.. Sewaktu buku-buku itu dinilai untuk diterbitkan, buku-buku itu tidak diserahkan kepada kanak-kanak dan remaja supaya mereka baca dan mereka sendiri nilai apakah mereka meminati buku-buku itu. Akibatnya, DBP banyak menerbitkan buku-buku yang tidak disukai oleh kanak-kanak dan remaja.

Penerbit Muzik dan Penerbit Buku

Jika saudara penulis di Eropah ataupun Amerika, saudara tidak berpeluang berjumpa dan berbincang dengan editor yang bertugas di penerbit-penerbit besar. Saudara hanya berjumpa dengan agen-agen persuratan kepada penerbit-penerbit itu.

Literary agents atau agen persuratan adalah terdiri daripada individu-individu yang menjalankan tugas mendapatkan manuskrip buku-buku yang bakal diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan.

Setiap penerbit buku mempunyai program penerbitan masing-masing dua tahun lebih awal ke depan. Sebagai contoh, pada tahun 2005 syarikat penerbit ABC sudah membuat perancangan mahu menerbitkan 25 judul fiksyen sains untuk tahun 2007, dengan pembahagian tema sekian sekian, untuk bacaan kumpulan usia sekian sekian, dengan tebal muka surat sekian sekian.

Maklumat itu disebarkan di kalangan agen-agen persuratan yang bekerja rapat dengan penerbit berkenaan. Agen-agen itulah yang akan menemui penulis-penulis fiksyen sains dan memikirkan buku yang bagaimana yang perlu dihasilkan oleh penulis itu.

Apabila penulis sudah menyiapkan bukunya, agen akan membawa manuskrip itu kepada editor bagi dinilai. Jika manuskrip itu diterima untuk diterbitkan, maka agen dan penulis akan berkongsi royalti yang bakal dibayar oleh penerbit.

Kaedah ini mempunyai banyak kelebihan, baik kepada penerbit mahupun pengarang.

Daripada sudut penerbit, mereka mendapat manuskrip yang memenuhi syarat-syarat yang mereka cari. Cara ini juga memudahkan penerbit mencapai target program penerbitan yang sudah digubal.

Daripada sudut penulis, mereka mendapat maklumat yang tepat berkenaan ciri-ciri buku yang dicari oleh penerbit. Jadi tidak timbul masalah buku sudah siap ditulis tetapi tidak diterima oleh penerbit.

Di Malaysia, kita belum mempunyai individu-individu yang mencari rezeki dengan menjalankan fungsi sebagai agen persuratan. Calon yang sebaik-baiknya menjadi agen adalah individu yang mempunyai pengalaman sebagai editor di syarikat penerbitan.

Kita meramalkan tidak berapa lama lagi Malaysia akan meniru kaedah kerja di Eropah dan Amerika. Di sana agen-agen persuratan beroperasi menggunakan konsep ‘studio’ di mana mereka menyediakan konsep sesuatu buku itu secara complete, lengkap dengan cadangan kulit dan blurpnya sekali, baru dikemukakan kepada penerbit.

Di Malaysia, konsep studio ini sudah diamalkan oleh syarikat-syarikat penerbit muzik. Sebagai contoh studio KRU menyiapkan mastercopy lagu-lagu yang akan diterbitkan. Kemudian mastercopy itu diserahkan kepada penerbit untuk diterbitkan.

Strategi kerja seperti ini menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti tinggi daripada sudut seninya. Ini disebabkan, studio tidak perlu memfokuskan perhatian mereka kepada hal-hal yang tiada kaitan dengan seni muzik.

Kos pengeluaran dan strategi pemasaran itu dikendalikan oleh syarikat penerbit, kerana penerbit mempunyai sumber kewangan bagi mebiayai kos produksi dan kempen pemasaran.

Nama Atas, Nama Bawah

Buku-buku akademik tempatan banyak ditulis oleh lebih daripada satu orang pengarang. Ada yang ditulis oleh dua, tiga ataupun sepuluh pengarang.


Apabila nama-nama pengarang dicetak pada kulit depan, macam-macam kerenah penulis boleh berlaku. Kebanyakan penulis tidak mengemukakan bantahan pada bagaimana nama-nama mereka disusun dan dicetak pada kulit buku. Tetapi ada yang tidak puas hati.


“Kenapa nama saya di bawah?” kata seorang pengarang dengan nada tidak puas hati. “Saya profesor madya, si polan itu pensyarah biasa?”


“Kenapa nama si polan itu di atas? Saya tulis 4 bab, dia cuma tulis 3 bab?” kata seorang pengarang lain.


“Bos kami tak setuju nama si polan diletakkan di kulit buku kami sebagai editor projek. Dia belum ada PhD. Kata bos kami, mesti letak nama orang yang ada PhD sebagai editor,” kata si penulis yang ada PhD, dia berdusta dengan menjual nama bosnya.


Cakap-cakap macam itu timbul apabila pengarang sudah nampak kulit buku yang diterbitkan itu cantik. Semasa buku belum terbit, tak cakap apa-apa, masing-masing setuju sahaja dengan pertimbangan editor tentang nama siapa yang selayaknya diletakkan di atas ataupun di bawah.


Begitu juga dengan pembahagian royalti. Belum nampak duit, belum timbul perasaan tamak. Sudah dapat cek, baru terfikir macam-macam....



Kahwin Cerai dengan Penerbit

Kahwin cerai antara penulis dengan penerbit adalah amalan lazim dalam dunia perbukuan negara kita. Perkara ini merugikan baik penulis, mahupun penerbit.


Ini berbeza sekali dengan amalan antara para penyanyi dengan penerbit mereka. Jikalau ada mana-mana penyanyi popular yang menamatkan kontrak dengan penerbit mereka, peristiwa itu menjadi berita besar dalam ruangan gosip artis.


Perceraian penulis-penerbit paling sensasi adalah perceraian Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Perceraian itu didahului oleh "mogok sastera" oleh SN itu disebabkan perasaan tidak puas hati beliau terhadap layanan yang diterimanya daripada DBP. Menurut beliau, DBP lambat serba-serbi, lambat menerbitkan karya-karyanya dan lambat membayar royaltinya.


Pergaduhan antara SN itu dengan DBP disiarkan dalam media massa. DBP membela dirinya dengan mengatakan DBP sudah membayar jumlah royalti sekitar RM200 ribu kepada beliau! "Apa lagi yang SN itu tidak puas hati?" tanya DBP.


"DBP tidak menerangkan kepada media massa bahawa jumlah itu dibayar kepada saya dalam masa lebih kurang 20 tahun!" kata SN itu.


Kahwin banyak antara seorang penulis dengan beberapa penerbit juga perkara amat lazim, manakala hal seperti itu mustahil boleh berlaku dengan penyanyi. Satu orang penulis boleh jadi menerbitkan bukunya dengan dua, tiga, malah tujuh buah penerbit pun ada.


Kata pepatah Melayu, "Kahwin banyak, ada anak tak dapat disuruh."


Saudara banyak buku, tetapi satu buku di sini, satu buku di sana. Itulah sebabnya buku-buku saudara tidak dipasarkan dengan bersungguh-sungguh oleh mana-mana penerbit itu.



Siapa Ashadi Zain?

Banyak orang mempunyai bakat yang tinggi. Tetapi bakat tinggi sahaja tidak cukup kalau mahu berjaya dalam apa yang saudara usahakan. Lebih penting daripada bakat adalah kegigihan.


Ashadi Zain, 27 tahun, adalah seorang Senior Accountant di sebuah bank. Beliau penulis PTS yang paling gigih. Kalau orang lain dalam kedudukan beliau, barangkali mereka sudah lama patah semangat.


Buku pertama beliau banyak menerima maklum balas negatif daripada pembeli sehingga pengurusan PTS memutuskan tidak mengulangcetak buku itu kecuali diperbaiki. Maklum balas itu tidak disorokkan oleh PTS, semuanya disampaikan kepada beliau.


Macam belum cukup pedih, disiram pula air garam. Sudahlah buku menerima kritikan teruk, Ashadi Zain kemudian menerima pula surat tunjuk sebab daripada majikannya mengapa tindakan tatatertib tidak boleh diambil ke atas dirinya kerana menulis dan menerbitkan buku tanpa izin pihak pengurusan!


Apa tindakan beliau? Beliau tidak memperbaiki bukunya yang teruk dikritik itu. Beliau menulis buku-buku lain. Kali ini buku-buku itu tidak lagi dikritik teruk oleh pembaca, tetapi buku-buku itu tidak pula bergerak laju.


Ashadi Zain penulis PTS seangkatan dengan Ahmad Naim Jaafar, Ahmad Fadzli Yusuf dan Syed Yusainee. Sewaktu buku-buku beliau lambat bergerak dalam pasaran, beliau tahu benar buku-buku rakan beliau laju keluar dari setor PTS, malah memecahkan rekod jualan PTS sebelumnya. Kalau orang lain, barangkali sudah serik!


Sudah jatuh ditimpa tangga pula! Salah sebuah karya beliau dicetak rompak oleh seorang yang menggunakan nama Tariq Ziyad dan dijual di mana-mana sahaja apabila perompak itu menyampaikan ceramah motivasinya. Sehingga 2005 buku cetak rompak itu sudah 2 kali diulangcetak dan dijual dengan harga RM20. Perompak itu pula banyak memberi motivasi di sekolah-sekolah seluruh negara. (Jaga-jaga cikgu semua, ada perompak menyamar pakar motivasi!)


Apa tindakan beliau? Kes beliau sudah dirujukkan oleh PTS kepada peguam pakar bidang harta intelek. PTS masih menunggu apa keputusan beliau disebabkan hakcipta buku itu adalah milik beliau. Dengan kes ini, ia adalah kali ketiga buku-buku penulis PTS dicetak dan diterbitkan oleh pihak lain!


Masuk tahun keempat, barulah ada tanda-tanda nama Ashadi Zain mula diterima oleh pasaran. Pada saat ini PTS sedang melancarkan kempen promosi 2 daripada 6 buah buku beliau. Tajuk kempen itu adalah "JOM BISNES!"



Jangan Peduli Judul Buku

Penulis baru lazimnya mengambil waktu memikir-mikirkan jawapan kepada soalan, “Apa judul buku yang hendak aku tulis?”


Jangan peduli apa JUDUL buku. Peduli pada TEMA buku. Habiskan ayat ini, “Saya hendak menulis buku berkenaan....”


Tema buku hendaklah spesifik. Lihat contoh di bawah:


“Saya hendak menulis buku tentang panduan rumahtangga.” (tidak spesifik)

“Saya hendak menulis buku tentang panduan hidup bahagia tinggal serumah dengan keluarga mertua.” (spesifik)


“Saya hendak menulis tentang kemahiran keibubapaan.” (tidak spesifik)

“Saya hendak menulis tentang kemahiran menjadi ibu bapa tiri.” (spesifik)


Hantarkan cadangan tema buku saudara kepada editor PTS dengan cara SMS pun memadai. Jangan tulis buku lagi sebelum diluluskan.



Penulis Bukan Pakar Bidang

Salah satu soalan lazim yang ditanyakan oleh penulis baru adalah, “Ijazah saya dalam bidang lain, bolehkah saya menulis dalam bidang lain?”


Boleh. Silakan!


Tidak ada mana-mana peraturan yang mengatakan saudara hanya boleh menulis dalam bidang ijazah saudara, umpamanya jika ijazah saudara adalah bidang perubatan maka saudara tidak boleh menulis dalam bidang-bidang seperti agama, komunikasi, kepimpinan, motivasi dan lain-lain.


Ramai orang yang mengambil kursus di universiti dalam jurusan yang bukan pilihan pertamanya. Minat mereka adalah dalam bidang lain. Sebagai contoh, ada seorang jurutera yang sangat meminati orkid, maka dia layak menulis tentang cara-cara menanam orkid.


Orang suka menghadkan istilah 'kepakaran' dengan ijazah. Memang ada bidang-bidang kepakaran yang hanya dapat diperoleh dengan mengambil kursus berijazah, seperti bidang-bidang kedoktoran dan kejuruteraan.


Tetapi banyak bidang tidak memerlukan seseorang itu mempunyai kelulusan akademik dalam bidang berkenaan. Saudara boleh saja memiliki ijazah dalam bidang lain, kemudian mempelajari bidang-bidang lain yang tidak memerlukan ijazah khusus dalam bidang-bidang itu.


Katakanlah, ijazah saudara sekarang adalah ekonomi, saudara berminat menulis buku berkenaan kemahiran memimpin. Silakan! Bacalah banyak-banyak buku tentang ilmu kepimpinan, dan tulislah buku saudara.


Dua orang penulis PTS yang paling menjanjikan masa depannya dalam bidang pembangunan diri adalah Sdr. Ahmad Naim Jaafar dan Sdr. Ahmad Fadzli Yusuf. Kedua-duanya adalah pemegang ijazah dalam bidang undang-undang.




Perpustakaan Peribadi

Apabila saudara hendak menjadi penulis, saudara perlu memiliki perpustakaan peribadi dalam bidang penulisan yang saudara ceburi, tanpanya saudara tidak dapat menghasilkan buku-buku berkualiti.


Buku-buku yang saudara beli dan simpan untuk kegunaan peribadi adalah petunjuk paling nyata apakah saudara memiliki 'passion' ataupun tidak dalam sesuatu bidang ilmu. Tanpa passion saudara tidak dapat menghasilkan karya bermutu yang laku di pasaran.


Buku-buku yang saudara beli adalah pelaburan modal bagi menghasilkan buku-buku karya saudara. Sebagaimana para penghibur melaburkan modal membeli pakaian yang dipakai dalam show mereka, para penulis membeli buku bagi menulis buku.


Mungkinkah seseorang itu mempunyai bacaan yang luas dalam sesuatu bidang tanpa memiliki perpustakaan peribadi dalam bidang itu? Tanpa bacaan luas, saudara tidak mempunyai sumber rujukan yang banyak. Tanpa rujukan yang banyak, apa yang saudara tulis tentu kurang maklumat dan faktanya, dan buku saudara mengandungi banyak kesilapan.



Thursday, August 11, 2005

RM700 untuk Kursus Penulisan Sehari

Baru-baru ini terbit suatu iklan untuk kursus penulisan sehari yang bernilai RM700. Iklan ini memecahkan rekod yuran kursus penulisan buku di tanah air kita. Belum pernah dalam sejarah dunia perbukuan negara kita ada mana-mana pihak yang berani menganjurkan kursus penulisan dengan yuran yang begitu tinggi.


Kursus itu bukan dikendalikan oleh mana-mana pegawai daripada penerbit terkenal, sebaliknya ia dikendalikan oleh seorang yang sudah berjaya menerbitkan bukunya sendiri, tetapi bukunya itu cuma dijual di kedai buku terbesar di Kuala Lumpur. Buku beliau tidak dijual dalam kedai-kedai buku tradisional di seluruh negara.


Apakah yang dapat disampaikan oleh seorang penulis buku dalam masa satu hari kepada peserta-peserta kursusnya? Tentulah perkara-perkara yang dia sendiri lakukan dan alami.


Logik, “Kalau saya boleh menulis buku yang laris dalam kedai buku terbesar Kuala Lumpur, semua orang boleh melakukan apa yang saya lakukan,” adalah logik yang mengandungi falasi serius.


Begitu juga logik, “Kalau saya boleh terbitkan buku saya sendiri dan dapat untung besar, anda semua tentu boleh terbitkan buku anda sendiri dan dapat untung besar macam saya,” adalah logik yang berbahaya untuk dijaja. Ia memberi harapan palsu kepada individu-individu yang tidak mempunyai maklumat tentang dunia perbukuan.


Sebagai orang yang baru hendak belajar menjadi penulis, hati-hati apabila saudara memilih kursus. Sebelum membayar yuran kursus yang mahal, beli dahulu buku-buku panduan tentang teknik penulisan berkesan yang banyak terdapat di kedai-kedai buku. Sebuah buku yang baik adalah “Think Like Your Editor”.



Harta Intelektual Hikayat Hang Tuah

Seandainya penulis 'Hikayat Hang Tuah' masih hidup sampai hari ini, dia mungkin menjadi penulis paling kaya sekarang, dengan pendapatan jauh melebihi pendapatan Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Norhayati Berahim, ataupun Faisal Tehrani.


Daripada potensi harta inteleknya, Hikayat Hang Tuah (HHT) mempunyai ciri-ciri yang hanya dapat diimpikan oleh mana-mana penulis lain hari ini.


Penulis HHT boleh mendapat royalti daripada pelbagai sumber pelesenan harta intelektual karya itu:

  1. Lesen kepada penerbit buku.

  2. Lesen kepada penerbit siaran radio.

  3. Lesen kepada penerbit filem untuk izin menerbitkan HHT dalam bentuk filem.

  4. Lesen kepada penerbit siri televisyen.

  5. Lesen kepada penerbit CD.

  6. Lesen kepada penerbit buku komik.

  7. Lesen kepada penerbit siri animasi.

  8. Lesen kepada penerbit teater dan drama pentas.

  9. Lesen kepada penerbit yang berminat menerbitkan HHT versi terjemahan ke dalam bahasa-bahasa lain.

  10. Lesen untuk menghasilkan barangan merchandise.

  11. Lesen menerbitkan versi moden.

  12. Lesen menerbitkan versi yang diringkaskan.

  13. Lesen mennerbitkan versi buku elektronik di internet.

  14. Lesen menerbitkan versi buku bergambar.

  15. Lesen menerbitkan versi kaset untuk si pekak.

  16. Lesen menerbitkan versi braille untuk si buta.

  17. Lesen menerbitkan versi hand-held devices.

  18. Lesen menghasilkan module latihan profesional bidang pengurusan berdasarkan teori perang Hang Tuah.

Setiap lesen itu adalah sumber pendapatan royalti kepada pengarang Hikayat Hang Tuah. Sebagai sebuah karya, HHT dapat dieksploitasi ke dalam pelbagai bentuk penerbitan dan penghasilan yang bernilai komersial.

Terbukti, selepas hampir 200 tahun karya itu dihasilkan, ia masih terus dikomersialkan oleh pelbagai pihak dalam pelbagai bentuk, tanpa membayar sebarang yuran pelesenan disebabkan tidak ada siapa yang mengetahui siapa pengarang asal karya itu.

Belum ada mana-mana karya sastera Melayu sehingga hari ini yang mempunyai ciri-ciri yang dapat dieksploitasi pengkomersialannya sebagaimana dengan halnya Hikayat Hang Tuah.




TV Pertama dalam Hidup Saya

Pada suatu petang sedang saya bermain-main dengan abang saya di halaman rumah saya, kawan saya Khalid menjerit.


“Mari kita pergi tengok TV.”

“TV? Apa itu TV?”

“Marilah tengok, ada macam-macam dalam TV itu,” tambahnya lagi.

“Di mana?”

“Tu, di rumah kedai di hadapan rumah awak.”


Lebih kurang 200 meter di hadapan rumah saya memang terletak satu deret bangunan rumah kedai. Rumah kedai itu satu-satunya yang diperbuat daripada batu di Bukit Tengah pada masa itu.


Pada masa itu saya hanya berusia 8 tahun dan sedang belajar dalam Darjah dua.


“Mari kita pergi tengok,” saya mengajak Khalid.

“Saya nak balik ke rumah, saya dah tengok. Awak pergilah tengok,” kata Khalid.

“Abang, mari kita pergi tengok TV,” saya mengajak abang saya.

“TV! Apa itu TV?” tanya abang saya.

“Saya pun tak tahu, mari kita pergi tengok dulu.”


Kami berdua pun lari menuju ke arah rumah kedai di hadapan rumah saya. Apabila sampai di kedai itu, saya lihat sebuah kotak di atas sebuah almari di kedai itu. Tercengang-cengang saya dan abang saya.


“Apa benda itu?” saya berfikir.


Gambar saya lihat ialah seorang lelaki berpakaian kot bercakap di dalam kotak itu. Sekejap kemudian terdapat gambar-gambar lain disiarkan. Kemudian gambar orang bercakap itu kembali lagi.


Ramai kanak-kanak dari kampung saya berkumpul berdiri di luar kedai itu memerhatikan kotak ajaib itu.


Saya juga nampak gambar sungai mengalir ditunjukkan dalam TV itu. Lama kemudian baru saya tahu bahawa program TV pertama yang saya menonton ialah program Warta Berita.


TV menjadi begitu ajaib kepada saya sebab saya tidak lahir di zaman yang ada TV. TV datang selepas saya. Ini mungkin berbeza dengan kanak-kanak zaman ini yang sudah biasa dengan TV sejak kelahirannya lagi. Ada bayi yang dibaringkan di hadapan TV sejak dari kecil lagi.


(Petikan dari novel jibunsyi karya Dr. Balakrishnan yang bakal terbit.)




Siapa Lebih Kaya: Penyanyi ataupun Penulis?

Penyanyi dan penulis mempunyai banyak persamaan dalam dunia profesion masing-masing.

  1. Penyanyi dan penulis dilindungi oleh undang-undang yang sama iaitu Akta Hakcipta.

  1. Mereka mempunyai dua sumber pendapatan yang utama. Pertama, penyanyi menerima royalti dari produk mereka yang terbit dalam bentuk album, manakala penulis menerbitkan karyanya dalam bentuk buku. Kedua, mereka menerima yuran penampilan ataupun 'show' di mana penyanyi menyanyi di depan audiensnya, manakala penulis berceramah di depan audiensnya.

  1. Penyanyi dan penulis sama-sama bekerja kuat bagi menambahkan jumlah peminat mereka disebabkan terdapat perkaitan kuat antara jumlah peminat dengan pendapatan mereka. Selagi mereka tidak melakukan tingkah laku yang dibenci oleh peminat, peminat-peminat mereka terus setia.

  1. Penyanyi dan penulis sama-sama boleh menjadi mangsa lanun cetak rompak. Tetapi dalam hal ini penyanyi lebih teruk disamun perompak-perompak itu.

  1. Tidak semua penyanyi ataupun penulis menikmati pendapatan tinggi yang mencecah ratusan ribu ringgit. Mereka yang mempunyai banyak album ataupun buku berpeluang menerima royalti tinggi.

Siapakah yang hidup lebih selesa? Ada antara para penyanyi yang menikmati hidup mewah, tetapi sekejap sahaja. Mereka adalah penyanyi-penyanyi yang merakamkan lagu-lagu ikut trend citarasa semasa. Penulis yang menulis buku-buku berdasarkan isu-isu hangat semasa juga mengalami nasib yang serupa. Apabila isu itu tamat, pasaran bukunya pun tamat.


Apakah pebezaan antara penyanyi dan penulis? Gaya hidup. Ya, gaya hidup. Penyanyi banyak membelanjakan wang pendapatan mereka untuk menjaga gaya hidup, oleh itu mereka tidak mementingkan urusan menabung dan melaburkan wang mereka.


Penulis tidak memerlukan gaya hidup yang mahal seperti penyanyi. Akhirnya, penulis mempunyai tabungan dan harta yang lebih banyak dibandingkan dengan penyanyi.




Ikan Kecil Makanan Ikan Besar

Isu penerbit menekan penulis adalah isu si bodoh makanan si cerdik, si lemah makanan si kuat, dan isu si miskin makanan si kaya.


Jika saudara penulis muda, lazimnya saudara 'bodoh', 'lemah' dan 'miskin' sekaligus. Makin banyak kelemahan saudara, makin saudara terdedah kepada penindasan penerbit.


Penerbit mempunyai berbagai-bagai cara jika ia mahu menekan penulis. Penerbit yang menindas penulis mempunyai ciri-cirinya sendiri:


1. Penerbit itu kecil. Tetapi ia mempunyai menteliti pirahna. Selagi dia dapat makan orang, dia akan makan orang itu. Mereka tidak mempunyai etika perniagaan profesional. Penerbit besar tidak menindas penulis.


2. Penerbit itu dimiliki oleh satu orang pemegang saham. Dia mengeluarkan modal, dia juga yang menanggung semua risiko bisnesnya. Dia pengerusi dalam lembaga pengarah syarikat, dia juga ketua eksekutif syarikat. Dia menjalankan urusan bisnesnya secara one-man show.


3. Semua urusan harian itu dikontrol oleh tuan punya penerbit itu. Dia yang mencari penulis, dia yang memilih pencetak, dia yang menyimpan buku cek. Oleh sebab itu dia boleh menyimpan dua buku akaun, satu untuk dirinya, satu untuk pihak-pihak lain.


Salah satu pola fikir penulis muda adalah, dia tidak berapa kisah terhadap isu-isu yang berkaitan dengan hakcipta karyanya. Dia tidak sabar hendak melihat karyanya terbit. Inilah faktor utama yang membolehkan penerbit menindas penulis-penulis muda.


Penulis-penulis kecil adalah mangsa utama penerbit-penerbit kecil. Ikan kecil makanan ikan besar, begitulah kata pepatah.


Selagi ada penulis yang mahu dirinya ditindas penerbit, selagi itu penerbit-penerbit seperti itu dapat menindas si penulis. Masuklah kursus penulisan yang dikendalikan oleh pihak-pihak yang kredibel dan pelajari cara-cara mengurus bakat saudara dengan cara-cara yang profesional. Ingat, selagi saudara 'bodoh' selagi itu saudara mudah dimakan oleh si pandai.



Buku Meja Kopi

Apabila saudara pergi ke kedai-kedai buku besar, nanti saudara dapati ada satu ruang di mana di situ dipamerkan buku-buku kulit tebal, saiz besar, tebal, kertasnya kilat dan mahal, dicetak dalam empat warna, dan harganya tinggi, biasanya minimum RM100. Buku-buku itu disebut dengan istilah 'coffe table books' atau 'buku meja kopi'.


Buku meja kopi mendapat namanya itu daripada mengapa ia terbitkan dan dibeli. Buku-buku itu biasanya dibeli bagi diletakkan di meja kopi dalam bilik tetamu menunggu di pejabat pegawai-pegawai tinggi organisasi korporat dan swasta. Sambil tetamu menunggu giliran appointment mereka, buku-buku itu dapat dijadikan bahan pelalai waktu.


Di Barat, buku-buku meja kopi diterbitkan oleh penerbit-penerbit khusus. Mereka hanya menerbitkan buku-buku jenis itu sahaja.


Di Malaysia, senarionya berbeza. Belum ada sebuah penerbit yang khusus menerbitkan buku-buku meja kopi. Buku-buku meja kopi di Malaysia diterbitkan oleh penerbit besar ataupun organisasi besar sahaja disebabkan kosnya amat tinggi dan pasarannya amat kecil.


Dua buah penerbit yang mempunyai pengalaman menerbitkan buku meja kopi secara komersial adalah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Penerbit Utusan.


Kebanyakan buku meja kopi yang diterbitkan oleh organisasi besar dibuat bukan untuk mendapat pulangan wang melalui jualan dalam pasaran terbuka. Sebagai contoh banyak organisasi kerajaan menerbitkan buku meja kopi sempena perayaan ulang tahun penubuhan oraganisasi itu.


Buku-buku yang diterbitkan oleh oraganisasi digunakan sebagai buku kenang-kenangan ataupun buku cendermata rasmi korporat. Mereka menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat periklanan untuk tugas penerbitan buku itu secara kontrak. Kos bagi menerbitkan sebuah buku meja kopi korporat, minimum RM250 ribu.


Sesekali saudara dapat melihat ada buku-buku meja kopi tentang Malaysia di dalam kedai-kedai buku besar. Hampir semua buku itu amat sukar dijual dalam kedai.


Hanya kedai-kedai buku besar sahaja, yang didatangi oleh pelancong luar negara, yang mahu membawa beberapa naskhah buku-buku meja kopi tempatan.



Wednesday, August 10, 2005

Buku Naik Pangkat

Salah satu soalan lazim dari pensyarah universiti adalah, “Siapa yang menilai buku-buku akademik PTS sebelum diterbitkan?”


Apabila diberitahu bahawa PTS adalah syarikat swasta, oleh itu ia tidak bekerja menggunakan prosedur dan amalan-amalan yang seperti yang terdapat di penerbit universiti ataupun Dewan Bahasa dan Pustaka, ada pensyarah-pensyarah yang tidak suka mendengar penerangan itu. Mereka mahu buku mereka dinilai oleh pakar-pakar bidang mereka selaras dengan amalan dalam dunia akademik.


Ada yang mencadangkan supaya pada bahagian dalam buku-buku terbitan PTS, dicetak nama pakar-pakar bidang yang dilantik bagi menilai setiap buku. Mereka yakin apabila buku mereka dinilai oleh panel yang terdiri daripada tokoh-tokoh akademik maka buku-buku itu lebih mudah menerima pengiktirafan untuk tujuan naik pangkat di universiti.


Pihak pengurusan PTS pernah bertanya dengan seorang sumber yang dipercayai dari sebuah universiti ulung, “Adakah di universiti tuan, buku-buku akademik terbitan PTS diiktiraf untuk tujuan naik pangkat?”


“Ya. Buku-buku akademik PTS memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan oleh universiti,” kata sumber itu.


Ada beberapa faktor mengapa pengurusan PTS tidak melantik panel penilai luar:

  1. Yuran yang harus dibayar adalah mahal iaitu RM500 seorang bagi setiap penilaian. Ini meningkatkan kos pengeluaran. Harga buku terpaksa dinaikkan. Harga yang tinggi menyusahkan pelajar membelinya. Akibatnya mereka akan memfotokopi buku-buku itu. Penerbit tidak dapat menjual buku, dan penulis tidak mendapat royalti.

  1. Proses penilaian melambatkan kerja-kerja penerbitan. Jangan hairan ada panel penilai yang menyimpan manuskrip hampir setahun, baru dinilai!

  1. Penilaian oleh pakar akademik sekalipun tidak terlepas daripada pengaruh politik akademik. Buku yang baik tetapi kalau ia mengkritik teori si panel penilai, buku itu akan dinilai sebagai 'tidak layak' diterbitkan dengan diberikan berbagai macam-macam kritikan balasan.

  1. Penilaian yang dibuat oleh pakar akademik menggunakan kriteria yang berbeza daripada penilaian yang dibuat oleh pengurusan PTS yang mementingkan aspek-aspek pemasaran.

  1. Mutu penilaian yang dibuat oleh panel belum tentu teliti. Selepas menunggu 4 bulan, penerbit pernah menerima laporan penilaian yang terdiri daripada 5 potong ayat. Apa gunanya laporan seperti itu?

  1. Untuk tujuan kenaikan pangkat, pihak universiti melantik penilai-penilainya sendiri bagi menilai buku-buku dan pencapaian akademik pensyarah berkenaan. Sedikit pun mereka tidak peduli meminta salinan laporan penilaian daripada panel penerbit!


Tanpa PTS membazirkan waktu dan wang bagi menghantar manuskrip kepada panel penilai, majoriti kakitangan universiti yang menerbitkan buku-buku mereka dengan PTS berjaya naik pangkat, dengan syarat mereka memohon untuk naik pangkat di universiti mereka.




Nombor Sekolah Memandu

Dalam senarai syarikat-syarikat penerbit buku di negara ini, terdapat sekitar 600 buah penerbit. Dengan jumlah yang begitu banyak, mengapakah jumlah buku terbitan tempatan yang terdapat di kedai-kedai buku dan di perpustakaan-perpustakaan awam begitu kecil?


Barangkali saudara belum tahu apa faktor yang mendorong banyaknya jumlah syarikat penerbitan buku ditubuhkan oleh rakyat Malaysia.


Faktor itu adalah keyakinan bahawa dengan mendaftarkan syarikat sendirian berhad, dan dengan menggunakan pelbagai faktor selain buku, mereka boleh mendapat tender projek membekalkan skim buku teks pinjaman kementerian pelajaran yang bernilai berpuluh-puluh juta ringgit setiap tahun.


Sembilan puluh sembilan peratus (99%) syarikat penerbit itu tidak menjalankan aktiviti penerbitan. Malah majoriti tidak pernah menerbitkan apa-apa buku. Mereka tidak tahu menahu tentang dunia buku dan penerbitan buku. Mereka tidak mempunyai jabatan editorial, apatah lagi setor inventori buku. Ruang pejabat pun belum tentu ada.


Kalau saudara telefon nombor yang diberikan oleh syarikat-syarikat itu, ada yang nombor itu nombor rumah, malah ada nombor sekolah memandu! Inilah salah satu realiti dunia persada penerbitan buku di negara kita.



Buku Laku Tapi Bisnes Bankrap

Orang yang belum pernah berniaga lazimnya menyangka, kerja yang paling susah adalah menjual. Bukan, bukan menjual yang paling susah. Menjual adalah kerja yang paling senang.


Semua orang boleh menjual. Apa-apa sahaja dapat dijual.


Kalau saudara menerbitkan novel saudara sendiri, saudara boleh pujuk supaya kedai-kedai buku Mamak dan gerai-gerai majalah Mamak mengambil novel saudara untuk dipamerkan dan dijual kepada pelanggan.


Dalam bisnes ada dua proses yang berbeza. Satu menjual. Satu lagi mengutip bayaran. Kalau saudara menjual aiskrim menggunakan motosikal, proses menjual dan mengutip bayaran berlaku pada waktu yang sama.


Dalam bisnes besar, amalan jual-bayar serentak itu tidak berlaku. Segala-galanya menggunakan sistem kredit – jual beli secara hutang.


Kerja yang paling susah dalam perniagaan adalah MENGUTIP HUTANG! Buku habis terjual, hutang tak dapat dikutip. Inilah risiko paling besar yang saudara ambil apabila saudara menerbitkan sendiri novel saudara.



Tuesday, August 09, 2005

Karyawan Makan Sekali, Penerbit Makan Berkali-kali

Setiap bulan wartawan daripada sebuah akhbar gaya hidup menelefon seorang penggubah hantaran pengantin. “Ada tempahan bulan ini?” tanya si wartawan.

“Ada,” jawab si penggubah dengan gembira.

“Ok, nanti saya datang dengan jurufoto,” kata wartawan itu.

Seperti yang dijanjikan, apabila semua gubahan sudah siap, wartawan dan jurufoto itu pun datang dan mengambil gambar-gambar gubahan dengan cara-cara yang profesional bagi disiarkan dalam akhbar itu dalam kolum “Gubahan Minggu Ini”.

Setiap bulan si penggubah menerima cek bayaran daripada akhbar itu kerana gambar gubahannya disiarkan. Bagi setiap gambar gubahan yang disiarkan dia dibayar RM100. Ia adalah pendapatan tambahan selain bayaran yang diterima daripada keluarga pengantin yang menempah gubahannya.

Keadaan ini berterusan selama lebih 2 tahun.

Pada suatu masa si penggubah pergi ke kedai majalah dan ternampak buku cantik dengan tajuk “Sirih dan Pinang Untuk Pengantin” yang sangat cantik kulitnya, dijual dengan harga RM32 senaskhah. Dalam buku itu terdapat bermacam-macam gubahan sirih pinang buat hantaran pengantin.

Sebagai seorang penggubah hantaran, dia terus mengambil buku itu dengan niat membelinya untuk rujukan dan sumber ilham apabila dia sendiri membuat gubahan untuk pelanggan-pelangganya. Buku itu diterbitkan oleh penerbit akhbar gaya hidup yang selalu menyiarkan gambar gubahannya.

Daun-daun halaman buku itu diselak, diselak dan diselaknya. Hampir 50% gambar-gambar yang disiarkan di dalam buku itu adalah gambar-gambar gubahannya yang dulu pernah disiarkan dalam kolum akhbar. Berderau darahnya!

Bulan demi bulan berlalu, dia menunggu jikalau ada cek datang dari penerbit itu. Cek yang ditunggu-tunggu tidak juga datang. Dia berasa dirinya sudah tertipu sebab penerbit telah membuat banyak keuntungan daripada gubahannya, manakala dia tidak dibayar apa-apa lagi.

Wajarkah si penggubah berasa dirinya ditipu oleh si penerbit? Wajarkah penerbit membayar sekali sahaja kepada si penggubah, tetapi menggunakan gubahannya itu berkali-kali untuk mengaut lebih banyak keuntungan?

Bolehkah si penggubah membawa kesnya ke mahkamah?

Siapakah yang memiliki harta intelektual ke atas karya gubahan hantaran pengantin? Adakah ia milik si penggubah?

Apabila penerbit membayar RM100 bagi setiap gubahannya yang diterbitkan, di mana gambar-gambar itu diambil oleh jurufoto yang bertugas dengan penerbit, adakah harta intelektual ke atas gambar-gambar itu milik si penerbit?

Dalam kes ini, bahan-bahan yang digubah adalah milik keluarga pengantin. Upah membuat gubahan itu sudah dibayar oleh keluarga pengantin.

Bolehkah si penggubah membenarkan mana-mana penerbit mengambil gambar-gambar gubahannya itu dan menerbitkannya, dan pada waktu yang sama si penggubah sendiri menerima bayaran atas gubahan itu daripada penerbit?

Kisah benar di atas berlaku disebabkan para penyumbang bahan penerbitan tidak mempunyai pengetahuan berkenaan undang-undang harta intelektual dan bagaimana cara-cara yang betul apabila berurusan dengan pihak yang menerbitkan harta intelektual mereka.

Bagaimana Penulis Ditipu Penerbit

Seorang ustaz pergi ke pejabat sebuah penerbit agama dan berjumpa dengan tuan punya penerbit itu. Memang begitulah, penerbit buku-buku agama di negara kita masih 'one man show' di mana dia kontrol serba-serbi urusan perniagaannya.


“Saya ada dua buku,” kata si ustaz. “Satu buku 'Asas-asas Fiqah', satu lagi buku 'Doa-doa Penerang Hati'.


“Buku macam itu tidak laku, ustaz. Susah mahu jual,” kata si penerbit. “Kalau ustaz mahu, dua buku satu ribu, bolehlah.”


Ustaz itu pun menyerahkan disket yang mengandungi dua bukunya itu. Si penerbit membuka laci mejanya dan mengeluarkan wang tunai RM1 ribu. Disket dan wang itu pun bertukar tangan.


Kalau buku itu tidak laku, mengapakah tanpa banyak soal-jawab, si penerbit sanggup membelinya?



Kulit Novel Cinta

Jika saudara baru hendak belajar menerbitkan buku, saudara lazimnya mempunyai satu syarat sahaja berkenaan ciri kulit buku yang baik: kulit buku mesti cantik.


Syarat CANTIK tidak cukup. Cantik di mata siapa?


Perempuan mementingkan kulit buku yang cantik. Inilah faktor yang menyebabkan penerbit-penerbit seperti Alaf21 dan Creative melaburkan wang yang banyak bagi mendapatkan lukisan-lukisan yang cantik untuk kulit novel-novel terbitan mereka. Lukisan-lukisan itu dipilih daripada karya pelukis-pelukis luar yang membekalkan karya-karya mereka kepada penerbit-penerbit novel.


Empat buah penerbit utama novel adalah Creative, Alaf21, Utusan dan Rythm. Kemudian muncul penerbit kecil yang tertarik menceburi penerbitan novel disebabkan mendengar cerita-cerita berkenaan larisnya novel-novel cinta. Kita dapat lihat kualiti dan perwajahan terbitan mereka mirip-mirip wajah terbitan 4 pemain utama itu disebabkan mereka menggunakan pelukis-pelukis yang sama.


Barangkali amalan ini adalah strategi bisnes penerbit-penerbit baru yang cuba memasuki pasaran Alaf21 dan Creative. Dengan menggunakan wajah kulit yang serupa, mereka mengharapkan mereka dapat menarik perhatian pembeli yang sama.



Monday, August 08, 2005

Buku untuk Pasaran Sekolah

Jika saudara hendak buku saudara memasuki pasaran sekolah, itu adalah matlamat yang baik dari sudut bisnes penerbitan.


Pada masa ini ada sekitar 10 ribu buah sekolah, masing-masing mempunyai perpustakaan. Bagi setiap kepala murid kementerian pelajaran memperuntukkan RM15 bagi pembelian buku murid. Wang peruntukan itu dihantar ke setiap sekolah dan terpulang kepada sekolah memilih buku yang dibeli. Inilah sebabnya jika saudara hendak terus menjual buku-buku saudara ke sekolah, saudara perlu mempunyai pasukan jurujual khusus untuk pergi dari sekolah ke sekolah. Jika tidak, saudara boleh menggunakan para pengedar buku yang bergiat dalam sektor sekolah, ini bermakna margin saudara akan jatuh merudum disebabkan mereka meminta diskaun yang amat opresif kepada penerbit kecil.


Sekolah juga membeli buku-buku untuk kegunaan guru. Selain daripada itu guru-guru kaunselor dan guru-guru pusat sumber diberi peruntukan berasingan bagi pembelian buku yang mereka perlukan.


Beberapa perkara penting yang perlu ada pada buku-buku untuk pasaran sekolah adalah:

  1. Sistem ejaan mestilah mematuhi peraturan sistem ejaan yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

  1. Tatabahasanya hendak mematuhi Tatabahasa Dewan.

  1. Pilihan huruf dan saiz font hendaklah mematuhi panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran.

  1. Tidak boleh ada sebarang unsur yang boleh ditafsirkan sebagai menghina mana-mana kaum, agama dan kebudayaan masyarakat negara ini.

  1. Tidak boleh mengandungi unsur-unsur lucah ataupun yang bertentangan dengan kepentingan perpaduan masyarakat.

  1. Sebaik-baiknya buku itu membantu keberkesanan pengajaran mata-mata pelajaran yang diajarkan di sekolah.

  1. Harga jualannya hendaklah sesuai dengan kemampuan sekolah ataupun ibu bapa.

  1. Ciri-ciri fizikal buku hendaklah mematuhi garis panduan pembelian buku yang digunakan oleh Perpustakaan Negara.

  1. Setiap tahun Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) menilai buku-buku yang akan disyorkan kepada sekolah-sekolah supaya dibeli untuk perpustakaan. Senarai buku yang lulus penilaian itu dihantar ke semua sekolah. Setiap penerbit yang mahu bukunya dimasukkan ke dalam senarai itu dikehendaki menghantar naskhah-naskhah contoh ke BBT, dan bagi setiap judul itu dikenakan yuran.

Itulah antara perkara-perkara asas yang mesti ada pada buku-buku yang hendak dipasarkan ke sekolah.



Risiko Merancang Karya Sendiri


Seorang penulis baru berkata kepada editor, “Saya sudah menulis buku cerita-cerita dari al-Quran untuk kanak-kanak. Saya sudah dapat seorang penterjemah Arab dan seorang penterjemah Inggeris. Saya hendak menerbitkan 3 buku itu serentak!”


Kata editor itu, “Buku cerita-cerita dari al-Quran untuk kanak-kanak sudah banyak dalam pasaran dan harganya murah-murah. Buku agama kanak-kanak dalam bahasa Inggeris sukar dijual. Buku dalam bahasa Arab, kedai buku pun tak mahu bawa. Lagipun kami tidak menerbitkan buku bacaan kanak-kanak.”


Percakapan itu tamat di situ.


Kesilapan begini amat lumrah dilakukan oleh penulis baru. Mereka merancang buku yang ditulis tanpa mempunyai latar belakang berkenaan dunia perbukuan. Itulah sebabnya mereka sukar dapat menerbitkan karya mereka dengan penerbit yang kredibel.


Jika saudara hendak menjadi penulis yang dari awal-awal sudah berjaya menerbitkan buku pertama saudara, masuk kursus Diploma Penerbitan di UPTS. Saudara mesti melabur dalam pendidikan diri sendiri sebagai penulis, kemudian baru menceburkan diri ke dalam dunia penulisan dengan lebih profesional.


Seni Melukis Kulit Buku

Penulis baru lazimnya mempunyai angan-angan sendiri tentang rupa wajah kulit buku yang bagaimana yang dia mahu. Sebagai contoh seorang penulis yang menulis novel remaja tentang kisah Orang Asli mahukan lukisan kulit bukunya menggunakan wajah Orang Asli.


“Ini lukisan Orang Asli yang kawan baik saya sudah lukiskan untuk kulit buku saya,” kata penulis baru itu, sambil menyerahkan lukisan itu kepada editor. Lukisan itu menunjukkan Orang Asli sedang menyumpit.


“Cantik lukisan ini,” kata editor, “tapi tak dapat gunakan untuk kulit novel encik.”


“Kalau cantik, kenapa tak boleh gunakan?” berkerut kening penulis itu.


“Wajah Orang Asli tidak dapat menjual buku,” kata editor.


Dalam sesebuah rumah penerbitan, siapakah yang akhirnya dipertanggungjawabkan memilih konsep kulit buku saudara? Editor. Ya, editor!


Sebelum konsep kulit buku diterangkan kepada artis yang akan mencipta design kulit buku itu, editor memberi taklimat pendek kepadanya tentang maklumat latar belakang buku saudara. Maklumat itu termasuklah:

  1. Buku itu buku apa? Katakanlah, buku itu novel. Artis kulit buku mempunyai bakat yang berbeza-beza. Bukan semua artis di jabatan grafik mempunyai bakat menghasilkan kulit buku kreatif.

  2. Apa isi utama novel itu? Maklumat tentang isi buku digunakan oleh artis yang bertugas sebagai “visualiser”. Lazimnya tugas ini dijalankan oleh Pengarah Kreatif. Katakanlah, cerita cinta terhalang antara seorang pemuda Orang Asli suku Temuan dengan gadis Melayu di Kinaboi, Kuala Pilah, yang akhirnya menjadi asal-usul nama kampung Janda Baik di Bentong, Pahang. Visualiser akan mencipta konsep kulit buku itu dahulu, kemudian diterangkan konsep itu kepada artis yang ditugaskan untuk melahirkan konsep itu dalam bentuk design.

  3. Siapa pembeli sasaran buku itu? Katakanlah, guru pusat sumber sekolah.

  4. Siapa pembaca sasarannya? Katakanlah, pelajar sekolah menengah.

  5. Pelajar lelaki ataupun perempuan? Katakanlah lelaki perempuan, sebab perempuan suka membaca novel yang terdapat di dalamnya unsur cinta terhalang.

  6. Bagaimana buku itu akan dipasarkan? Katakanlah buku itu dimasukkan dalam set “Siri Pendididkan Satera” bernilai RM230 untuk perpustakaan sekolah-sekolah menengah, dan akan dijual ke sekolah oleh syarikat jualan langsung.Ataupun adakah ia akan dijual melalui kedai-kedai buku? Kulit yang laku di sekolah belum tentu laku di kedai buku, begitu juga sebaliknya. Sebagai contoh, kulit novel cinta laku dikedai buku tetapi tidak di sekolah, dalam erti kata guru pusat sumber tidak membeli novel yang kulitnya menunjukkan unsur cinta. Itulah sebabnya maklumat ini amat penting kepada artis kulit buku.

  1. Berapa tebal buku itu? Apa saiznya? Bila buku itu mesti dihantar ke percetakan? Bila kulit buku mesti ditunjukkan kepada Pengurus Pemasaran untuk mendapatkan maklum balas apakah kulit cadangan itu mudah dijual?

Ciri pertama apabila mencipta design kulit buku adalah, kulit itu mesti dapat menjual buku itu. Banyak buku yang baik isinya tidak laku dijual kerana kulit buku itu tersalah konsep. Penerbit terus menyuruh artis mencipta design kulit buku tanpa memberikan taklimat tentang latar belakang yang penting berkenaan bagaimana buku itu akan dipasarkan.


Ingat! Fungsi design kulit buku adalah MENJUAL buku itu, bukan menerangkan isi buku. Buku kisah cinta pemuda Asli tidak perlu menggunakan wajah Orang Asli. Gunakan ikon lain yang dapat menjual buku itu. Yang penting buku itu dibeli orang.



Sunday, August 07, 2005

Bagaimana Buku Dipasarkan

Jika saudara hendak menerbitkan buku, saudara perlu tahu bagaimana saudara boleh memasarkan buku terbitan saudara itu.

Berikut adalah saluran-saluran penjualan buku yang diamalkan oleh penerbit-penerbit di negara ini.

  1. Rangkaian kedai buku besar seperti MPH, POPULAR, RYTHM, MUDA OSMAN, SRI INTAN dan lain-lain.

    Kedai rangkaian hanya mahu berurusan dengan penerbit dan pengedar yang sudah mapan, yakni established. Kalau saudara tidak mempunyai katalog buku, mereka tidak berminat berurusan dengan syarikat saudara. Mereka juga meminta potongan diskaun yang besar. Tetapi pengurus di bank saudara 'suka' apabila melihat buku-buku saudara dipasarkan melalui rangkaian ini, kerana itu adalah bukti kedudukan bisnes saudara tegap. Penulis-penulis juga suka menulis untuk syarikat saudara kerana buku mereka dipasarkan melalui kedai-kedai yang berimej. Disebabkan rangkaian kedai menggunakan sistem komputer yang canggih, soal kutipan hutang tidak ada masalah dengan mereka. Tanpa diminta mereka menghantar cek kepada saudara.

  1. Kedai buku superstore seperti BORDERS dan KINOKUNIYA.

    Kedua-dua superstore ini belum membuka rangkaian. Urusan dengan mereka serupa dengan rangkaian kedai-kedai buku besar.

  1. Kedai buku tradisional milik peribadi.

    Jumlah kedai-kedai ini banyak, mereka dominan di bandar-bandar sederhana besar di seluruh negara. Kecuali dengan beberapa buah kedai, kebanyakan kedai-kedai ini mempunyai masalah membayar saudara dengan cara yang 'gentleman'. Kutipan hutang adalah masalah utama berniaga dengan mereka. Jika saudara penerbit batu, lebih susah. Mereka tahu tak lama lagi saudara akan tutup bisnes, jadi buat apa bayar hutang saudara? Tetapi kerana mereka berperangai begitulah maka bisnes saudara tutup. Risiko hangus tangan apabila membekalkan buku-buku kepada kedai-kedai ini adalah amat besar jika saudara penerbit kecil. Ada sebuah penerbit yang mengumpulkan hutang lapuk yang tak dapat dikutip daripada kedai-kedai kategori ini sebanyak RM180 ribu dalam masa 3 tahun pertama ia memulakan operasinya.

  1. Kontraktor buku yang membekalkan kepada kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

    Mereka masuk tender bagi projek-projek khusus seperti pembelian yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), projek NILAM di bawah Kementerian Pelajaran, projek kemajuan masyarakat (KEMAS) dan pembelian oleh Perbadanan Perpustakaan Negeri. Majoriti kontraktor ini bukan penerbit dan tidak mempunyai kedai buku. Mereka aktif berpolitik dan hanya masuk tender kerajaan. Jika buku terbitan syarikat saudara terpilih dalam senarai tender, pastikan kontraktor yang mendapat kontrak itu membayar tunai kepada saudara sebelum saudara bekalkan buku kepadanya.

  1. Syarikat-syarikat jualan langsung buku yang pergi dari sekolah ke sekolah.

    Mereka ini mempunyai jurujual yang ramai di mana jurujual-jurujual itu bertugas mengikut zon masing-masing. Mereka mempunyai hubungan mesra dengan sekolah dan tahu keperluan sekolah. Mereka hanya memperkenalkan buku-buku yang sesuai sahaja dengan keperluan sekolah. Berurusan dengan syarikat-syarikat ini serupa dengan berurusan dengan kedai-kedai milik peribadi.

  1. Syarikat-syarikat yang membuat pameran buku bergerak.

    Syarikat ini milik peribadi, mereka mengadakan pameran secara kecil-kecilan dari satu tempat ke satu tempat, menjual terus buku-buku kepada pengguna. Pameran buku yang paling laku adalah pameran buku-buku agama. Jualan buku melalui pameran lebih tinggi apabila pameran diadakan sempena seminar di mana di situ ramai guru-guru hadir. Kenakan deposit apabila pempamer datang membeli buku terbitan saudara. Lebih baik lagi galakan mereka membeli tunai dengan memberi diskaun yang lebih tinggi.

  1. Agen pemasaran buku dalam Internet.

    Berurusan dengan mereka sebagaimana saudara berurusan dengan agen-agen kecil lain.

  1. Kedai buku kecil-kecil yang menjual macam-macam majalah, suratkhabar dan gula-gula.

    Penerbit besar tidak suka berurusan dengan mereka kerana risiko yang tinggi, oleh itu kedai-kedai itu mendapatkan bekalan buku mereka daripada pengedar-pengedar utama. Kedai-kedai buku jenis ini berminat menjual buku-buku novel cinta, cerita hantu, buku agama yang kecil-kecil dan buku komik.

  1. Melalui pensyarah ataupun guru yang mengajarkan sesuatu subjek supaya menjual buku-buku itu kepada pelajar-pelajarnya.

    Jurujual syarikat saudara perlu pergi menemui pensyarah-pensyarah berkenaan dan berikan kepada mereka diskaun yang menarik. Lazimnya pensyarah lebih suka menjual bukunya sendiri daripada menjual buku penulis lain kerana kandungan bukunya adalah juga kandungan kuliahnya.

Dengan maklumat di atas diharapkan saudara berfikir betul-betul sebelum menerbitkan buku saudara sendiri, hanya disebabkan saudara tidak puas hati dengan peratus royalti yang ditawarkan oleh penerbit saudara sekarang ataupun apa-apa alasan lain. Jalan yang lebih selamat adalah mencari penerbit lain.



Penulis dan Peminat

Sebagaimana penyanyi dengan album yang mereka rakamkan mendapat peminat, penulis dapat mengumpulkan peminat-peminatnya sendiri melalui karya-karya yang diterbitkan.


Lazimnya orang menyangka hanya penulis-penulis kreatif, seperti novelis dan penyair, yang mempunyai peminat, manakala penulis buku-buku deskriptif tidak. Sebenarnya semua penulis berpeluang mempunyai peminat bagi kategori buku-buku yang diterbitkannya. Peminat novel cinta ada, peminat novel sejarah pun ada. Peminat buku-buku herba ada, peminat buku-buku hantu pun ada.

Peminat mempunyai peranan penting meningkatkan jualan buku-buku saudara:

  1. Peminat saudara adalah pembeli setia buku-buku saudara. Mereka adalah pasaran tersedia bagi produk saudara sebagaimana peminat Siti Nurhaliza menunggu-nunggu albumnya yang akan datang. Malah peminat akan membeli buku-buku saudara yang sudah lama terbit, sebagaimana filem-filem lama P. Ramlee masih terus laku dalam pasaran.

  1. Peminat saudara akan menghadiri seminar-seminar komersial yang saudara kendalikan dan sampaikan. Pasaran seminar dan ceramah adalah sumber pendapatan penting bagi penulis buku-buku motivasi. Malah pendapatan daripada yuran seminar dan ceramah adalah lebih besar daripada royalti.

  1. Peminat saudara adalah jurujual dan jurukempen bagi diri saudara dan buku-buku sauadara. Mereka menceritakan kepada orang lain akan keistimewaan buku-buku saudara.

Sebagai penulis saudara perlu menulis banyak buku kerana jika saudara cuma menerbitkan satu ataupun dua buah karya, saudara tidak dapat mengumpulkan peminat. Jikalau penyanyi hanya merakamkan satu ataupun dua album, dia pun tidak dapat menjadi menjadi penyanyi popular dan mengumpulkan ramai peminat.


Semakin banyak buku saudara, semakin banyak peminat saudara, maka semakin banyak jurujual dan jurukempen saudara yang saudara tidak bayar gajinya!



Penulis Jangan Tamak

Orang tamak ada di mana-mana. Di kalangan penulis pun ada yang tamak.


Dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan bersama, jangan tamak. Sebagai penulis, saudara memerlukan penerbit, pencetak, pengedar, pekedai, runner dan kontraktor, pembeli dan pembaca buku. Mereka mencari makan dengan memberikan nilai tambah kepada buku saudara.


Tanpa input daripada mereka, buku saudara tidak dapat diterbitkan, apatah lagi dijual. Kata orang bisnes, "Cari makan sama-sama, makan pun mau sama-sama."


Setiap orang daripada mereka mendapat bahagian masing-masing, seorang sedikit, daripada terjualnya buku-buku saudara, baru semua boleh hidup.


Kalau ada mana-mana pihak yang tamak, yang mahu lebih banyak, buku saudara tidak dapat diterbitkan dan dijual, semata-mata kerana kos penerbitan dan penjualannya tidak berbaloi. Akhirnya semua orang tidak dapat apa-apa.


Yang paling rugi tentulah penulis sebab dia sudah mengeluarkan modal daya usaha menulis buku itu.


Apabila saudara tawar-menawar dengan penerbit, jangan hanya melihat kepada peratus royalti yang ditawarkan. Yang lebih penting adalah keupayaan penerbit itu memasarkan buku saudara.


Bak kata seorang penulis yang pernah ditawarkan royalti sebesar 12.5%, pada akhirnya dia cuma menerima sekali sahaja cek, bernilai RM48.85 sen.


Saudara mungkin ditawarkan royalti 5%, tetapi jika jualan buku saudara itu mencapai 20 ribu naskhah, akhirnya saudara menerima wang yang lebih banyak daripada royalti 12.5% tetapi buku saudara berlonggok dalam setor penerbit.


Penerbit-penerbit yang kredibel dapat bertahan lama dalam dunia bisnes yang sengit persaingannya disebabkan banyak pihak menaruh kepercayaan kepada kredibiliti mereka. Tidak ada mana-mana pihak yang berasa mereka rugi apabila berurusan dengan penerbit seperti itu.


Jikalau saudara menerima tawaran dari penerbit yang kredibel bagi menerbitkan buku saudara, jangan tolak dan jangan sekali-kali bersikap tamak.


Penerbit kredibel tidak banyak dalam pasaran. Ingatlah, penerbit mempunyai pilihan banyak penulis yang kredibel. Tetapi penulis di negara ini tidak mempunyai pilihan banyak penerbit yang kredibel.



Bisnes Menjual Buku ke Sekolah

Ramai salesman syarikat-syarikat penerbitan berhenti kerja kerana hendak membuka perniagaan sendiri dengan menjadi agen kepada pengedar dan penerbit-penerbit buku bagi menjual buku-buku terus ke sekolah.


Sekolah mempunyai banyak wang yang diperuntukkan bagi membeli buku perpustakaan. Kementerian memperuntukan RM15 bagi setiap pelajar. Semakin besar jumlah murid di sekolah itu semakin besar jumlah wang yang diterima oleh sekolah daripada kementerian.


Selain daripada itu guru-guru kaunselor dan guru-guru pusat sumber diberi peruntukan khas masing-masing untuk membeli buku.


Kelebihan menjual buku ke sekolah adalah tidak ada masalah pelanggan lari tanpa membayar hutang. Saudara juga tidak perlu mempunyai kedai buku. Saudara hanya perlu mempunyai akaun dengan pengedar besar dan penerbit buku-buku sekolah.


Risiko berniaga dengan sekolah adalah amalan cara-cara sekolah membeli buku. Sekolah membuat semua pembelian daripada pembekal dengan menggunakan borang pesanan yang disebut LO (Local Order).


Katakanlah saudara berjaya mendapat pesanan LO daripada 20 buah sekolah untuk membeli buku-buku perpustakaan bernilai RM40 ribu. Saudara pun membuat pesanan kepada pengedar dan penerbit bagi mendapatkan buku-buku itu.


Saudara mempunyai kemudahan kredit 90 hari daripada pembekal dengan diskaun 30%. Ertinya saudara berpeluang membuat RM12 ribu dalam tempoh itu. Sekali fikir nampaknya perniagaan membekalkan buku-buku ke sekolah amat mudah dan sangat menguntungkan.


Di manakah risikonya?


Risikonya terletak pada tempoh kredit 90 hari daripada pengedar dan penerbit. Selepas 90 hari saudara mesti membayar hutang buku-buku yang saudara ambil daripada mereka. Jika saudara gagal membayar, saudara tidak dibenarkan mengambil lebih banyak buku untuk dihantar ke sekolah-sekolah lain yang sudah mengeluarkan LO pembelian buku dari saudara.


Barangkali saudara tidak tahu bahawa boleh dikatakan tidak ada sekolah yang dapat membayar LO dalam tempoh 90 hari. Banyak yang mengambil masa lebih 6 bulan baru dapat membayar LO mereka. Ada yang sampai berganti tahun lamanya.


Jangan ambil LO melebihi RM40 ribu. Lebih dari itu saudara akan tercekik oleh hutang kepada pengedar dan penerbit.


Inilah faktor yang menyebabkan pembekal-pembekal buku yang tidak mempunyai modal tunai besar tidak dapat bertahan menjadi pembekal sekolah. Mereka tidak mempunyai nafas yang cukup panjang sementara menunggu berbulan-bulan sekolah membayar LO. Jika sekolah belum dapat membayar saudara, saudara hendak makan apa? Inilah faktor yang mencipta fenomena “buku laku tetapi bisnes bankrap”.





Buku Remaja Awal

Remaja yang berusia antara 10 – 14 tahun dikategorikan sebagai remaja awal. Mereka sudah dapat membaca dengan cepat, perbendaharaan kata yang mereka kuasai sudah banyak, dan IQ mereka sudah tinggi, oleh itu mereka juga sudah berfikir dan membuat penilaian secara kritikal.


Jika saudara mempunyai anak atau adik pada usia 10 – 14 tahun, cuba saudara masuk ke kedai buku dan cari buku-buku dalam bahasa Melayu yang sesuai dihadiahkan kepada mereka, berapa banyak buku-buku yang ada dalam kedai itu?


Saudara akan dapati, selepas 25 tahun, buku-buku siri lima sahabat karya Enid Blyton yang buruk terjemahannya itu masih terus dicetak dan dijual hingga sekarang.


Tulislah buku-buku untuk bacaan kategori ini. Pasarannya baik, tetapi produknya amat berkurangan. Akibatnya, perpustakaan sekolah-sekolah amat kekurangan buku-buku yang dapat diminati kumpulan ini.


Jangan salahkan remaja tidak membaca buku: Buku yang hendak dibaca yang tidak ada.


Daripada sudut membaca, mereka sudah mula mahukan bahan-bahan bacaan yang kompleks isinya dan mengandungi maklumat-maklumat baru di luar buku-buku liputan buku teks dalam bidang-bidang yang mereka minati.


Pada usia ini mereka sudah mempunyai angan-angan tentang apa yang mereka ingin lakukan apabila mereka dewasa nanti.


Daripada sudut emosi, pada usia ini mereka sudah mula tertarik dengan kaum yang satu lagi, dan sudah mempunyai konsep mereka sendiri tentang ciri-ciri pasangan yang ideal bagi mereka. Maka tidak hairanlah apabila remaja awal perempuan menjadi pembeli dan pembaca kepada novel-novel cinta.


Buku-buku yang diminati oleh kelompok ini sudah serupa dengan buku-buku yang dapat dinikmati oleh pembaca lebih dewasa. Sebagai contoh, siri Harry Porter dinikmati oleh remaja awal dan juga dewasa.


Faktor ini menyebabkan siri Harry Porter diterbitkan dengan dua wajah. Satu design kulit bukunya menggunakan wajah yang sesuai dengan remaja awal manakala satu lagi wajah menggunakan wajah untuk pembaca dewasa. Tetapi isinya serupa.



Kulit Buku Agama

Penerbit buku-buku agama di negara ini tidak mahu melabur pada kualiti kulit dan perwajahan buku-buku yang mereka terbitkan. Dari semenjak dahulu hingga sekarang kualiti penampilan buku-buku agama tidak berkembang mengikut peredaran citarasa pembeli dan pembaca buku. Ini menyebabkan orang-orang yang tidak kuat agamanya tidak tertarik membeli buku-buku agama. Akibatnya buku-buku agama hanya dibeli oleh orang-orang yang sedia baik agamanya.

Punca mengapa buku-buku agama tidak berkembang mengikut edaran zaman adalah:

1. Penerbit buku-buku agama enggan menggunakan khidmat designer buku dan artis layout yang profesional. Mereka menggunakan tenaga artis part-timer yang sanggup menerima upah murah. Kos yang rendah membolehkan mereka menjual buku-buku agama dengan harga rendah juga.

2. Sikap penerbit yang sudah tua yang tidak berminat menukar cara kerja mereka disebabkan rekod kejayaan perniagaan mereka selama ini. Mereka yakin cara kerja lama masih tidak perlu diubah.

3. Penerbit buku-buku agama tidak mempunyai kakitangan khas bagi tugas-tugas editorial dan rekabentuk buku. Semua kerja-kerja itu diupahkan kepada pekerja part-time. Ada syarikat penerbit buku agama yang duduk dalam sebuah pejabat kecil dan sempit, di mana di situ hanya ada meja untuk dua orang sahaja. Satu meja adalah meja tuan punya penerbit itu, dan satu lagi meja kerani. Tidak ada meja akuantan, tidak ada meja editor, tidak ada meja designer.


4. Penulis-penulis agama menjual manuskrip kepada penerbit dalam keadaan yang sudah dibuat layoutnya dengan menggunakan program komputer seperti WORD, iaitu program yang tidak dicipta khusus bagi kegunaan penerbitan buku secara profesional dengan kualiti tinggi. Inilah punca mengapa layout buku-buku agama masih compang-camping sampai sekarang.


Jika saudara hendak menjadi penerbit buku-buku agama, saudara berpeluang menjadi pembaharu dalam industri itu. Buku-buku agama kita adalah maruah kita.